Flag

An official website of the United States government

Bengkel Serantau Ketersambungan Digital YSEALI 2022: Meningkatkan Ketersambungan Digital Untuk Semua
4 MINIT DIBACA
Jun 14, 2022

BENGKEL SERANTAU OLEH INISIATIF PEMIMPIN MUDA ASIA TENGGARA

KUALA LUMPUR – Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan Pusat Kajian Tadbir Urus dan Politik (Cent GPS), berbesar hati untuk menganjurkan Bengkel Serantau Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) mengenai Meningkatkan Ketersambungan Digital Untuk Semua, satu program untuk memupuk perbincangan dan kerjasama dalam kalangan pemimpin muda ASEAN dan Timor-Leste untuk menangani cabaran ketersambungan digital dan mencari penyelesaian untuk merapatkan jurang digital dalam komuniti mereka.

Bengkel tiga hari ini akan diadakan di Kuching, Sarawak, dari 14 hingga 16 Jun, dan akan menghimpunkan 100 peserta di seluruh rantau ASEAN serta penceramah jemputan, pakar, dan pihak berkepentingan daripada industri digital.  Penceramah pakar akan berkongsi pengalaman mereka dalam bidang ketersambungan dan membimbing peserta dalam menghasilkan kertas dasar mengenai peningkatan ketersambungan digital yang boleh dicadangkan kepada agensi kerajaan, badan antarabangsa atau pembiaya korporat.

Bengkel ini akan merangkumi topik termasuk keterangkuman digital untuk spektrum meluas peranti dan pengguna, pendigitalan ekonomi dan perniagaan tempatan, literasi digital, privasi dan keselamatan data, serta pembentukan kerangka kawal selia digital.  Semua peserta akan mendraf kertas putih dengan idea mereka untuk ekosistem digital yang lebih mantap dan inklusif dan berkongsinya pada hari terakhir bengkel dengan rakan mereka.

Bengkel Ketersambungan Digital YSEALI dirasmikan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak YB Dr Haji Hazland bin Abang Hipni, Pengerusi SDEC Sudarnoto Osman dan Kuasa Usaha Kedutaan A.S. Kuala Lumpur, Michael Newbill.

YB Dr Haji Hazland berkata, “Faktor utama untuk mencapai kemakmuran dan meningkatkan kesejahteraan rakyat kita adalah untuk memberi semua rakyat Sarawak akses kepada pengetahuan, maklumat dan peluang ekonomi pada zaman ini, yang diterjemahkan kepada ketersambungan digital.  Sarawak, saya percaya akan menjadi salah satu pusat tumpuan rantau ini.  Kepada para peserta YSEALI, saya berharap anda akan mengadakan bengkel yang produktif, membina rangkaian dan mengenali antara satu sama lain serta membuat rancangan sesama sendiri untuk usaha kolaboratif yang akan memberi kebaikan kepada kita semua di rantau ini.”

Kuasa Usaha Kedutaan A.S. Michael Newbill mengulas “Seperti yang ditunjukkan beberapa tahun lalu, ketersambungan boleh menjadi kunci kepada hasil positif dalam pendidikan, penjagaan kesihatan, membina perniagaan kecil dan memastikan akses kepada perkhidmatan kerajaan.  Kami telah membawa 100 pemimpin muda dari seluruh Asia Tenggara bersama-sama untuk meluangkan beberapa hari berbincang dan membahaskan cara memastikan ketersambungan yang lebih baik dan hasil yang lebih baik untuk semua.  Kedutaan kami amat berbesar hati untuk menganjurkan Bengkel Ketersambungan Digital YSEALI ini di Sarawak, perintis dalam bidang ekonomi digital.”

Seperti yang dinyatakan baru-baru ini dalam Sidang Kemuncak A.S-ASEAN pada bulan Mei, A.S. komited untuk menyokong pembangunan infrastruktur digital ASEAN.  Kedutaan berbesar hati untuk mengadakan program ini di Sarawak, sebuah negeri perintis dalam transformasi ekonomi digital Malaysia.  Jabatan Negara Amerika Syarikat, melalui inisiatif YSEALI, akan terus membina jambatan merentasi rantau ini dengan membawa pemimpin muda yang berfikiran sama dalam bekerjasama untuk membina rantau yang lebih makmur.

Untuk butiran lanjut mengenai bengkel lawati: http://centgps.com.my/yseali-connectivity/

Pertanyaan Akhbar: kimberly@centgps.com.my / info@centgps.com.my

Laman Web : http://centgps.com.my/yseali-connectivity/

Hubungi : +603 9770 9197

Alamat : T3-13A-13, 3 Towers, No 296, Jalan Ampang