PERHATIAN: EDITOR
13 Ogos, 2022
KUALA LUMPUR – Menteri Luar Malaysia, YB Dato’ Sri Saifuddin bin Abdullah, dan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian D. McFeeters, menekankan kepentingan diplomasi belia pada sidang kemuncak di Kuala Lumpur. Sidang kemuncak belia ini menghimpunkan komuniti alumni Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) untuk perbincangan panel dan perjumpaan satu hari bertemakan “Kebangkitan Kuasa Belia di Malaysia dan Asia Tenggara.”
Saifuddin berkata Kementerian Luar Negeri menggalakkan penyertaan belia dalam isu-isu dasar luar dan hal ehwal antarabangsa melalui inisiatif seperti Pasukan Petugas Belia mengenai Hal Ehwal Antarabangsa dan Diplomasi.
Beliau menegaskan bahawa “Diplomasi belia boleh menggalakkan dialog dan kerjasama antara Malaysia dan seluruh dunia dalam pelbagai bidang daripada keusahawanan kepada perubahan iklim. Kementerian Luar Negeri komited untuk memupuk diplomasi belia termasuk dengan pemimpin YSEALI.”
Duta Besar McFeeters berkongsi kisah kejayaan alumni YSEALI dan mengulas tentang kesan positif inisiatif ini terhadap peserta-peserta dari Malaysia. YSEALI telah memperkasakan lebih 500 pemimpin muda Malaysia melalui program pertukaran A.S. dan bengkel serantau.
“Sejak sembilan tahun yang lalu, YSEALI telah menjadi platform berkuasa yang menunjukkan kekuatan program pertukaran belia dalam memupuk perubahan positif di seluruh dunia,” kata Duta Besar McFeeters. “Kami amat berbangga dengan alumni YSEALI Malaysia kami yang memenuhi janji program untuk memupuk generasi pemimpin akan datang yang memberi tumpuan kepada komuniti mereka dan negara mereka.”
Dalam ucapan khas, Presiden IDEAS Malaysia Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz menyeru belia supaya menjadi inovatif dan proaktif dalam memperkukuh demokrasi melalui penglibatan sivik.
Sidang Kemuncak YSEALI Malaysia dianjurkan oleh Majlis YSEALI Malaysia (YCOM), disokong oleh Kedutaan A.S. di Kuala Lumpur dan Dana Inovasi Libat Urus Alumni Jabatan Negara A.S. Lebih 100 pemimpin muda, termasuk alumni terkemuka seperti YB Dr. Afif Bahardin (ADUN Seberang Jaya, Pulau Pinang), YB Lim Yi Wei (ADUN Kampung Tunku, Selangor) dan usahawan sosial Kuhan Pathy, menyertai Sidang Kemuncak ini.