Pegawai PERHILITAN Diiktiraf Sebagai Pakar Pengenalpastian Penggunaan Jerat dalam Kes Pendakwaan Jenayah Hidupan Liar

U.S Embassy’s Resident Legal Advisor and PERHILITAN Director General Abdul Kadir bin Abu Hashim in a group photo at the ceremony. (U.S. Embassy photo)

Penasihat Undang-Undang Residen (RLA) Kedutaan A.S. Kuala Lumpur dan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Abdul Kadir bin Abu Hashim hadir dalam majlis pengiktirafan empat pegawai PERHILITAN sebagai saksi pakar berkenaan jerat harimau.

Pensijilan dan pengiktirafan tersebut adalah susulan daripada penganjuran bengkel “Menentang Jenayah Hidupan Liar melalui Peningkatan Kesedaran Senjata Pemburuan: Jerat dan Perangkap” oleh Pejabat Pembangunan, Bantuan dan Latihan Pendakwaan Luar Negara (OPDAT), Jabatan Kehakiman A.S. yang diadakan secara bersama Biro Hal Ehwal Narkotik dan Penguatkuasaan Undang-Undang Antarabangsa (INL) serta PERHILITAN baru-baru ini. Bengkel itu telah dihadiri oleh para pegawai penguat kuasa undang-undang, pendakwa dan hakim.

Pegawai penguat kuasa undang-undang sebelum ini tidak mempunyai kelayakan rasmi dan mereka tidak diiktiraf sebagai pakar apabila memberi keterangan di mahkamah dalam kes pendakwaan berhubung penggunaan jerat harimau.  Ketua Pengarah  PERHILITAN dan RLA telah bekerjasama untuk mengadakan bengkel tersebut bagi menangani masalah yang wujud.  Bengkel itu meliputi kemahiran advokasi perbicaraan dan teknik mengenal pasti jerat.

Ketua Pengarah PERHILITAN menyatakan bahawa pegawai berkenaan merupakan kumpulan pertama dari Malaysia yang diiktiraf sebagai pakar jerat dan perangkap.   Abdul Kadir menegaskan komitmen pihaknya untuk meningkatkan keberkesanan pendakwaan kes jenayah hidupan liar di Semenanjung dan mahu terus bekerjasama secara rapat dengan A.S. bagi mengadakan program latihan yang direka untuk mencapai tujuan tersebut pada masa akan datang.