Dua orang rakyat Malaysia telah diterima untuk melanjutkan pelajaran di dua akademi tentera A.S. yang berprestij dan bersedia untuk menjadi pegawai tentera Malaysia pada masa depan. Kedutaan A.S. di Kuala Lumpur mengadakan upacara penghantaran secara maya untuk meraikan pemilihan mereka, yang dihadiri oleh Duta Besar Brian D. McFeeters dan Leftenan Jeneral Dato’ Hashim bin Aman Shah, Asisten Ketua Staf, Operasi dan Latihan Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia.
Kedua-dua pelajar dipilih setelah melalui proses pemilihan ketat yang menilai potensi kepimpinan mereka, kecergasan fizikal, dan pencapaian akademik.
Nicholas Ong Yong Xen telah dipilih ke Akademi Tentera Laut A.S. (USNA) di Annapolis, Maryland. Nicholas bersekolah di SMK Puchong Utama (1) sebelum menyertai Maktab Tentera Diraja (MTD) pada tahun 2019. Di USNA, Nicholas akan mempelajari operasi siber, dan beliau berazam untuk menjadi pegawai tentera laut dengan Tentera Laut Diraja Malaysia.
Mohamed Khairel Adha bin Mohd Khairee akan menghadiri Akademi Tentera Udara A.S. di Colorado Springs, Colorado. Anak kelahiran Taiping, Khairel bersekolah di SMK King Edward VII sebelum memasuki Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) untuk pengajian asasi. Khairel akan belajar Kejuruteraan Aeronautika di USAFA dan bercita-cita menjadi juruterbang pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia selepas menamatkan pengajiannya.
Dalam ucapannya, Duta Besar McFeeters mengucapkan tahniah kepada kadet-kadet ini dan menyatakan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia, Maktab Tentera Diraja, dan Universiti Pertahanan Nasional atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan kerjasama akademik yang berterusan antara Amerika Syarikat dan Malaysia, memperkukuhkan hubungan antara rakyat, dan menjalin kerjasama erat antara kedua-dua negara.
Duta Besar McFeeters berkata “rakyat Malaysia yang belajar di akademi tentera A.S. berperanan sebagai duta Malaysia ke Amerika Syarikat dan membina hubungan sepanjang hayat dengan anggota tentera dan rakyat A.S. Ikatan ini terus mengeratkan hubungan kita. Kadet Nicholas dan kadet Khairel pada hari ini turut menyertai barisan rakyat Malaysia yang mengagumkan.”
Leftenan Kolonel Lemar Farhad, Ketua Pejabat Kerjasama Pertahanan di Kedutaan A.S. di Kuala Lumpur, berkata “Program Akademi Tentera A.S. dengan Malaysia berfungsi sebagai salah satu inisiatif paling penting dalam penglibatan ketenteraan kita dengan Angkatan Tentera Malaysia. Lulusan program-program ini secara konsisten bergerak maju dengan memegang jawatan penting dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Kami berharap dapat mendalamkan lagi hubungan dalam pembangunan modal insan melalui peningkatan program latihan dan pendidikan pada tahun-tahun akan datang.”
Lt. Jen. Dato’ Hashim bin Aman Shah berkata, “Amerika Syarikat telah menjadi rakan strategik yang boleh dipercayai dalam memupuk kestabilan serantau, membentuk persekitaran keselamatan dan juga meningkatkan kemampuan pertahanan Malaysia.”
Sehingga kini, seramai 34 rakyat Malaysia telah lulus dari empat akademi tentera A.S., kadet pertama mengikuti Kelas Akademi Tentera Laut A.S. pada tahun 1971. Tiga belas orang telah menyelesaikan program mereka di USNA, empat dari USAFA, dua belas dari West Point, dan lima lulus dari Akademi Pengawal Pantai A.S.
Kadet Mohamad Khairel Adha bin Mohd Khairee
Mohamad Khairel Adha bin Mohd Khairee datang dari Taiping, sebuah pekan kecil di utara Perak. Beliau anak yang kelima daripada enam adik-beradik. Beliau ingin belajar Kejuruteraan Aeronautika di USAFA dan bercita-cita menjadi juruterbang jet pejuang setelah menerima pentauliahan Tentera Udara Diraja Malaysia.
Pada usia 13 tahun, beliau bersekolah di Sekolah Menengah King Edward VII dan belajar menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu yang mencabar. Khairel merupakan seorang pemimpin pelajar, pemegang pangkat dan pemuzik. Beliau boleh berbahasa Jepun dan mengambil bahagian dalam program pertukaran pelajar di Jepun. Khairel sangat aktif dalam sukan terutama hoki padang dan kriket. Beliau merupakan seorang yang berpandukan matlamat, menetapkan laluan menuju kejayaan, dan memimpin orang lain menuju ke arah tersebut
Khairel lulus dalam Asas Pengurusan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dengan jumlah PNGK 4.00. Beliau merupakan yang pertama dalam keluarganya berkhidmat dalam tentera.
Prinsip hidup beliau adalah menyasar lebih tinggi daripada impiannya. Beliau percaya mereka yang bekerja keras dan tidak berputus asa dalam hidup sentiasa dibalas dengan kejayaan pada akhirnya.
Kadet Nicholas Ong Yong Xen
Nicholas Ong Yong Xen berasal dari Puchong, Selangor. Nicholas lulus sebagai pelajar cemerlang dari Maktab Tentera Diraja (MTD), dan memberi inspirasi dan mempengaruhi kohort dan guru akademiknya. Beliau memperoleh “Anugerah Pengarah Pengajian” dari MTD kerana pencapaian akademiknya yang cemerlang. Beliau berhasrat mempelajari Operasi Siber di USNA dan bercita-cita menjadi kelasi semasa bertugas di Tentera Laut Diraja Malaysia.
Penerima Anugerah Antarabangsa dan Emas Duke of Edinburgh dalam pertandingan pidato Bahasa Inggeris, beliau telah memegang banyak peranan kepimpinan termasuk menjadi pemegang pangkat di MTD. Beliau aktif dalam sukan dan telah memenangi beberapa kejuaraan dalam taekwondo dan robotik.
Nicholas menamatkan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia SPM (setaraf O-Level). Beliau merupakan yang pertama dalam keluarganya berkhidmat dalam tentera.