Flag

An official website of the United States government

Kedutaan A.S. Lancar Inisiatif Baharu Untuk Bantu Usahawan Wanita Malaysia
6 MINIT DIBACA
September 9, 2020

group of people
(Foto Kedutaan A.S.)

Hari ini, Duta Besar Kamala Shirin Lakhdhir dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Dr. Junaidah binti Kamarruddin merasmikan pelancaran Akademi Usahawan Wanita (AWE) di Malaysia, sebuah program utama kerajaan A.S. di bawah Inisiatif Pembangunan dan Kemakmuran Global Wanita (W-GDP) yang diterajui oleh Rumah Putih. Melalui AWE, usahawan wanita di seluruh dunia mengambil bahagian dalam program pengembangan perniagaan yang dipermudahkan. AWE bertujuan untuk membantu wanita mencapai potensi ekonomi sepenuhnya dan mewujudkan keadaan untuk peningkatan kestabilan, keselamatan, dan kemakmuran untuk semua.

Di Malaysia, Kedutaan A.S. bekerjasama dengan Persatuan Jaringan Usahawan Bumiputra Wanita (WENA) untuk melaksanakan AWE. Di bawah program ini, 30 usahawan wanita yang bercita-cita tinggi dipilih daripada ratusan pemohon dari empat kawasan: lembah Klang, Kedah, Kelantan dan Sabah. Selama setahun program dijalankan, peserta AWE akan mengambil bahagian dalam program pembelajaran dalam talian yang dipermudahkan, menerima latihan kemahiran tambahan daripada WENA, disediakan mentor dan mempunyai akses kepada pembiayaan mikro untuk perniagaan mereka.

Akademi Usahawan Wanita merupakan sebahagian daripada kempen Kedutaan yang dipanggil Wanita Empowered untuk mempromosikan kesamarataan peluang, menyokong pertumbuhan dan memperkukuhkan hubungan ekonomi antara A.S. dan Malaysia. Pelaburan untuk gadis dan wanita membawa kesan berterusan yang memberi banyak manfaat, bukan hanya kepada wanita, tetapi juga kepada keluarga, masyarakat, dan negara.

Petikan Kata-kata

Kamala Shirin Lakhdhir, Duta Besar A.S.: “Sepanjang Kempen Wanita Empowered, Kedutaan A.S. akan terlibat dalam program dan inisiatif di peringkat akar umbi, termasuk AWE, sebagai tanda komitmen kami. Melakukan sesuatu itu lebih baik daripada hanya berkata-kata dan 30 wanita yang memulakan perjalanan ini dengan kami melalui AWE yang sangat luar biasa. Sebagai individu dan secara kolektif, mereka melambangkan potensi semua wanita dalam masyarakat kita. ”

Nuraizah Shamsul Baharin, Presiden WENA: “WENA percaya dalam menggalakkan wanita yang berwawasan melalui keusahawanan. Pada hari ini, pandemik menyebabkan kesukaran yang belum pernah terjadi sebelumnya terutama bagi perniagaan wanita di sektor makro dan tidak formal. Kami melihat keperluan segera untuk memperkukuhkan perniagaan-perniagaan mereka. Akademi Usahawan Wanita bersama program pertumbuhan perniagaan WENA sememangnya tepat pada masanya dan kami berharap projek selama setahun ini dapat mewujudkan pertumbuhan dan impak yang berterusan. Kami teruja untuk memulakan perjalanan ini dengan Kedutaan Besar AS KL.”

Peserta AWE Nur Hazian Ghazali, Pengasas BeeBudz: Bermula pada tahun 2016, BeeBudz dicipta daripada idea untuk mengganti makanan ringan anak-anak kepada makanan yang lebih sihat berbanding coklat dan gula-gula. Pengasas dan Pengarah Urusan Cik Nur Hazian Ghazali berusaha untuk memberi kesedaran mengenai salah faham madu dan lebah dan mempromosikan manfaat kesihatan madu kepada kanak-kanak. “Saya sangat teruja kerana terpilih menyertai AWE. BeeBudz telah terjejas teruk semasa pandemik ini dan peluang ini telah membantu meningkatkan keyakinan diri saya untuk terus mengejar impian saya. Terima kasih WENA dan Kedutaan A.S.! ”


Tentang Akademi Usahawan Wanita

Pada tahun 2019, Amerika Syarikat melancarkan Inisiatif Pembangunan dan Kemakmuran Global Wanita (W-GDP), pendekatan pertama keseluruhan kerajaan untuk memajukan pemerkasaan ekonomi wanita. W-GDP menyasarkan untuk melibatkan 50 juta wanita di seluruh dunia menjelang 2025 dan telah memberi impak kepada lebih 12 juta orang. Akademi Usahawan Wanita (AWE) adalah program utama di bawah W-GDP.

AWE berpusat pada program latihan dalam talian, DreamBuilder, yang dibangunkan oleh Sekolah Pengurusan Global Thunderbird di Arizona State University. Program ini melengkapkan wanita dengan alatan yang diperlukan untuk membuat dan mengembangkan perniagaan mereka sendiri, mengumpulkan modal, dan membangunkan rangkaian dengan berkesan bersama pemilik perniagaan lain yang berjaya. DreamBuilder boleh didapati di lebih daripada 65 negara, dengan lebih daripada 100,000 pelajar di seluruh dunia. Rangkaian DreamBuilder, yang ditubuhkan oleh alumni, terus membina rangkaian penasihat perniagaan nasional yang telah menjadi rakan kongsi utama dalam aktiviti promosi keusahawanan A.S.

Mentor yang ditugaskan akan memantau peserta dengan teliti mengenai penglibatan mereka dengan kandungan serta tugasan yang disediakan dalam modul DreamBuilder. Selain itu, WENA akan merangkumi latihan kemahiran lembut dan keras seperti pengucapan awam, pengurusan projek, bimbingan, pendaftaran perniagaan, tanggungjawab sivik, pematuhan peraturan cukai tempatan, dan petua untuk membangun ekosistem untuk wanita memberi sokongan kepada wanita.

Untuk terus membangunkan momentum AWE, WENA akan memperkenalkan skim pembiayaan mikro yang mana peserta AWE terpilih akan diberi pinjaman sebanyak RM1,000 untuk membantu meningkatkan prestasi perniagaan mereka. Program selama setahun ini bermula pada bulan September 2020.

Maklumat lanjut tentang AWE di sini: https://eca.state.gov/awe?page=1

Maklumat lanjut tentang Dreambuilder di sini: https://dreambuilder.org/

 

Persatuan Jaringan Usahawan Wanita Bumiputra Malaysia (WENA)

WENA merupakan jaringan utama di Malaysia untuk usahawan, pemimpin perniagaan dan professional wanita. Ditubuhkan pada bulan September 2003, WENA merupakan organisasi bukan untung dengan misi untuk membantu lebih ramai wanita Bumiputra melabur dalam kemahiran dan pengetahuan yang penting untuk mengembangkan potensi mereka dalam perniagaan secara profesional.

WENA:  http://www.wena.my/about-wena/