Kuala Lumpur – Pada 8 Jun 2021, Kedutaan A.S. di Kuala Lumpur menyampaikan sumbangan tambahan bantuan COVID-19 untuk membantu Malaysia memerangi pandemik ini. Bekalan dihantar kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Putrajaya yang termasuk peralatan teknologi maklumat (ICT) yang akan digunakan NADMA untuk menguruskan operasi tindak balas COVID-19 di Malaysia. Sumbangan itu juga merangkumi peralatan pelindung diri (PPE) seperti pelitup muka, pensanitasi tangan dan termometer untuk pekerja barisan hadapan. Turut hadir semasa penghantaran ini ialah Ketua Pengarah NADMA, Datuk Dr. Aminuddin bin Hassim.
Bantuan COVID-19 ini dilaksanakan melalui Pejabat Kerjasama Pertahanan (ODC) di Kedutaan A.S. oleh Jabatan Pertahanan A.S., Pejabat Kemanusiaan, Bencana, dan Bantuan Sivik (ODHACA) USINDOPACOM. Penghantaran ini merupakan bahagian kedua sumbangan yang diberikan kepada Malaysia berjumlah $250,000.00. Awal bulan Mac, Duta Besar McFeeters dan anggota pasukan ODC mengunjungi pusat kuarantin di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) untuk menyaksikan penyampaian bahagian pertama sumbangan PPE kepada Kementerian Kesihatan. Tentera A.S. dan rakan kongsi awam mempunyai komitmen bersama untuk bekerjasama menangani masalah kemanusiaan di seluruh dunia.
NADMA mengucapkan terima kasih bagi pihak kerajaan Malaysia atas sumbangan tambahan daripada Amerika Syarikat, melalui ODC dan Kedutaan A.S. “Sumbangan ini akan dimanfaatkan dengan baik untuk membantu barisan hadapan kesihatan kita dalam memerangi gelombang ketiga penyebaran COVID-19 yang saat ini membinasakan negara kita. Sikap pemurah ini membuktikan solidariti A.S. dan hubungan dua hala yang kuat dengan Malaysia.”
A.S. merupakan penyumbang terbesar kepada tindak balas antarabangsa terhadap COVID-19. Dalam satu mesej video mengenai sumbangan kepada Malaysia dan sumbangan global A.S. kepada usaha bantuan COVID-19, Duta Besar McFeeters berkata, “Amerika Syarikat kini bekerjasama dengan COVAX untuk menyumbang 80 juta tambahan vaksin COVID-19 kepada program vaksin global yang dikendalikan oleh GAVI dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Awal bulan ini, Presiden Biden mengumumkan bahawa Amerika Syarikat akan menyumbangkan tujuh juta dos vaksin COVID-19 ke negara-negara Asia, termasuk Malaysia. “
Pautan Luar:
- LEMBARAN FAKTA:Pentadbiran Biden-Harris Lancar Strategi untuk Perkongsian Vaksin Global, Umum Pelan Peruntukan untuk 25 Juta Dos Pertama yang Akan Dikongsi Di Seluruh Dunia
- Pautan kepada foto dan video untuk dimuat turun
- Video di Youtube yang dihasilkan oleh Kedutaan A.S