OPDAT Anjur Lawatan Ketua Hakim Negara Malaysia

Penasihat Undang-undang Residen OPDAT ke Malaysia Karyn Kenny, Hakim Kanan Loretta Preska dari Mahkamah Daerah A.S. untuk Daerah Selatan New York, Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat, dan Penasihat Undang-Undang OPHAT ICHIP untuk Asia Tenggara Thomas Dougherty. Foto: Jabatan A.S.

WASHINGTON – Pada 13 Disember, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat melawat Amerika Syarikat untuk program penglibatan antarabangsa pertamanya sejak pelantikan bersejarah beliau pada Mei lalu sebagai wanita pertama yang memegang jawatan Ketua Hakim Negara. Selain Ketua Hakim Negara, program ini turut disertai hakim-hakim Malaysia untuk mengukuhkan penglibatan dua hala badan kehakiman kedua-dua negara dan menggalakkan perkongsian amalan terbaik. Lawatan itu dianjurkan oleh Jabatan Latihan dan Bantuan Pengadilan Luar Negeri (OPDAT) Jabatan Keadilan A.S., Jabatan Negara A.S. dan Hakim Loretta A. Preska dari Daerah Selatan New York.

Semasa di New York, delegasi dari Malaysia bertemu dengan wakil Pejabat Peguam A.S. untuk Daerah Selatan New York, Jabatan Polis New York City (NYPD) dan pegawai-pegawai dari Misi Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Di Mahkamah Daerah A.S. untuk Daerah Selatan New York, delegasi ini akan meneroka amalan terbaik untuk menyokong Kedaulatan Undang-undang, kebebasan kehakiman, keselamatan bilik mahkamah dan memerangi jenayah siber.

Dari New York, delegasi mereka akan pergi ke Washington, D.C untuk melawat Mahkamah Agung Amerika Syarikat serta bertemu dengan Pengarah OPDAT Faye Ehrenstamm dan pegawai dari Pejabat Pentadbiran Mahkamah A.S.

“Kami berbesar hati menjadi tuan rumah dalam lawatan antarabangsa pertama Ketua Hakim Maimun sejak pelantikan bersejarahnya sebagai wanita pertama yang menjadi Ketua Hakim Negara,” kata Pengarah OPDAT Ehrenstamm. “Lawatan beliau menandakan satu peristiwa penting dalam hubungan sektor keadilan kerajaan Amerika Syarikat dan Malaysia.”

“Izinkan saya menyatakan penghargaan tertinggi saya kepada Jabatan Keadilan A.S., OPDAT, Jabatan Negara A.S., Hakim Loretta A. Preska dan Daerah Selatan New York, serta NYPD atas peluang untuk melawat Amerika dan bertukar pandangan tentang amalan terbaik. 

“Saya mengalu-alukan perbincangan-perbincangan yang membuahkan hasil mengenai beberapa topik kepentingan bersama yang memberi manfaat kepada Malaysia dan Amerika Syarikat. Sesungguhnya perkara ini akan menjadi pengalaman yang berguna. Saya juga berharap dapat meneruskan kerjasama kami untuk memperkuat hubungan dua hala. Saya gembira dapat bekerja bersama dalam mempromosikan kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang,” kata Ketua Hakim Maimun.

Pada 16 Disember, Mahkamah Daerah A.S. untuk Daerah Selatan New York akan menganjurkan majlis makan tengah hari untuk Ketua Hakim Maimun dengan hakim-hakim wanita di mahkamah persekutuan dan negeri New York. Pada 17 Disember, Persatuan Peguam New York akan menjadi tuan rumah untuk acara Continuing Legal Education (CLE) pada pukul 5:30 petang di Bilik 850 Bangunan Daniel Patrick Moynihan di Manhattan. CLE terbuka kepada ahli pertubuhan peguam dan akhbar. Topik-topik yang disentuh termasuk kerangka Mahkamah Malaysia, termasuk sektor sivil, jenayah, adat dan Syariah, serta tanggungjawab etika, peranan wanita dalam kepemimpinan kehakiman, pengukuhan keselamatan kehakiman, dan amalan terbaik untuk memerangi jenayah siber.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang OPDAT, lawat: https://www.justice.gov/criminal-opdat

###