Flag

An official website of the United States government

A.S. Terus Mengukuhkan Hubungan Dengan Sarawak
10 MINIT DIBACA
Oktober 1, 2021

Ambassador McFeeters virtual tour SarawakKuala Lumpur – Pandemik COVID-19 tidak menghalang Kedutaan A.S. dan Duta Besar A.S. Brian D. McFeeters daripada berinteraksi secara inovatif dengan rakyat Malaysia di negeri-negeri yang lain. Dari 27 September hingga 1 Oktober 2021, Duta Besar McFeeters melakukan lawatan maya ke Sarawak melalui beberapa siri pertemuan dengan pegawai kerajaan Sarawak, syarikat-syarikat, NGO dan alumni program pertukaran Kedutaan A.S. dari Sarawak untuk membincangkan kerjasama A.S.-Sarawak mengenai kesihatan awam, alam sekitar, keterangkuman digital, program pertukaran antara rakyat, dan banyak lagi.

Lawatan Sarawak ini merupakan lawatan maya ketiga Duta Besar McFeeters di luar Lembah Klang. Sebelum ini, Duta Besar McFeeters melawat Sabah pada bulan Ogos dan Pulau Pinang pada bulan Julai.

McFeeters bertemu dengan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dan juga Menteri Sarawak yang menjaga hal-ehwal kesihatan Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian. Duta Besar McFeeters membincangkan hasrat kerajaan A.S. untuk memperkukuhkan perkongsian kesihatan awam A.S.-Sarawak dengan kedua-dua pemimpin. COVID-19 kekal menjadi keutamaan bagi Amerika Syarikat, dan Kedutaan A.S. akan terus membantu Malaysia untuk memerangi pandemik ini. Selain satu juta dos vaksin Pfizer yang disumbangkan kepada Malaysia pada bulan Julai, kerajaan A.S. memberikan RM2 juta untuk sumbangan ambulans dan sokongan lain kepada Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) di Sabah dan Sarawak tahun lalu. Amerika Syarikat juga akan terus menyokong dan menggalakkan kerjasama penyelidikan yang membantu mengenal pasti penyakit zoonotik masa depan dan ancamannya, seperti kerjasama antara Universiti Duke dan Hospital Sibu.

Duta Besar McFeeters juga berkongsi fokus kerajaan A.S. terhadap perubahan iklim dan hasrat untuk menyokong Sarawak dalam meneruskan agenda tenaga bersihnya dengan Timbalan Ketua Menteri, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS Datuk Sauu Kakok, serta Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Biodiversiti Sarawak Dr. Charlie Yeo. Duta Besar McFeeters menekankan minat kerajaan A.S. untuk memberikan bantuan teknikal dan berkongsi amalan terbaik dalam teknologi tenaga hijau, pemuliharaan, dan bioteknologi untuk mengatasi krisis iklim. Mereka membincangkan potensi mengimport teknologi dan produk A.S. untuk menyokong syarikat Malaysia dalam agenda tenaga bersih mereka dan juga meneroka cara-cara untuk kerjasama saintifik dan penyelidikan dengan firma dan institusi A.S.

Amerika Syarikat akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi di Sarawak dalam menggalakkan keselamatan dan kemakmuran Sarawak. Dalam pertemuannya dengan Timbalan Ketua Menteri, dan Ketua Pembangkang, Dato’ Sri Wong Soon Koh, Duta Besar McFeeters menekankan komitmen A.S. terhadap kerjasama keselamatan di Sarawak dan membincangkan keutamaan bersama untuk menangani keselamatan sempadan, hak asasi manusia, dan isu-isu yang berkaitan dengan masyarakat tanpa kewarganegaraan di Sarawak.

Di samping itu, Amerika Syarikat kekal komited untuk mencapai keterangkuman digital dan pemerkasaan belia dengan Sarawak. Sejak tahun 2004, Kedutaan A.S. telah bekerjasama dengan Pustaka Negeri Sarawak yang menjadi hos kepada Sudut Amerika (AC) Sarawak, sebuah platform bagi orang Sarawak untuk melawat dan mengetahui lebih banyak mengenai Amerika Syarikat dan perkongsian A.S.-Malaysia. Sudut Amerika Sarawak sangat penting dalam penganjuran program-program pendidikan dan mendekati masyarakat yang menggalakkan dan menyokong pereka dan pencipta muda melalui akses kepada teknologi dan sumber lain.  Pada tahun yang akan datang, AC Sarawak juga akan memberi tumpuan kepada program yang berkaitan dengan literasi digital dan ekonomi digital. Duta Besar McFeeters menekankan nilai perkongsian ini semasa pertemuannya dengan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Puan Arpah Adenan untuk terus memberi impak kepada golongan muda dalam bidang-bidang ini.

Akhir sekali, Duta Besar McFeeters berkesempatan untuk belajar tentang sejarah dan kepelbagaian budaya Sarawak melalui lawatan maya bersama alumni program pertukaran kerajaan A.S. dari Sarawak. Sesi interaktif itu juga memperkenalkan Duta Besar McFeeters kepada makanan tempatan Sarawak yang unik.  Duta Besar McFeeters menghargai peluang untuk “melawat” Sarawak dan berharap dapat berkunjung secara fizikal sekiranya keadaan mengizinkan.

Contoh lain daripada perkongsian A.S. di Sarawak termasuk:

• Pada 19 Ogos, Duta Besar McFeeters melancarkan kumpulan kedua Akademi Usahawan Wanita di Malaysia, yang merangkumi 10 peserta dari Sarawak. Program ini bertujuan untuk melengkapkan wanita dengan alat dan kemahiran yang diperlukan untuk membuat dan mengembangkan perniagaan mereka.  Pada tahun ini, 10 lagi usahawan wanita Sarawak selesai mengikuti program ini.

• Melalui Inisiatif Keselamatan Maritim A.S., Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menerima pesawat CN235 yang dinaikkan taraf. Penaikan taraf ini akan meningkatkan keupayaan rondaan maritim TUDM di Laut China Selatan. Penghantaran pesawat pertama dijangka tiba di Kuching dalam beberapa bulan lagi.

• Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) ialah program khas kerajaan A.S. untuk memperkukuhkan pembangunan dan jaringan kepemimpinan di Asia Tenggara. Melalui pelbagai program dan penglibatan, termasuk program pertukaran pendidikan dan budaya A.S., pertukaran serantau, dan pendanaan benih (seed funding), YSEALI berusaha untuk membina kemampuan kepemimpinan belia di rantau ini, memperkuat hubungan antara Amerika Syarikat dan Asia Tenggara, dan memupuk komuniti ASEAN.

  • Pada bulan Oktober ini, Kedutaan A.S. dengan kerjasama Inisiatif Biji-biji dan Me.reka akan melancarkan YSEALI Bootcamp 2021: Sparking Digital Action – Edisi Borneo.  Program ini akan terdiri daripada satu siri webinar, latihan intensif “boot camp” selama tiga minggu, dan komponen bimbingan yang dirancang untuk memperkasakan belia untuk memperjuangkan isu sosial yang dihadapi masyarakat di Sabah dan Sarawak, dengan fokus pada tema kepelbagaian dan penerimaan perbezaan, alam sekitar, dan kesamarataan digital.
  • Kedutaan juga merancang untuk mengadakan bengkel serantau YSEALI mengenai penyambungan digital di Sarawak pada tahun 2022.  Pemimpin muda dari Sarawak, Malaysia, dan negara-negara ASEAN yang lain akan berkumpul untuk membincangkan bagaimana hubungan dan akses digital dapat mengubah komuniti dan ekonomi.

Peluang Program Pertukaran Antara Rakyat Akan Datang:

Permohonan kini dibuka untuk Program Penyelesaian Komuniti (CSP) yang dibiayai oleh kerajaan A.S. CSP menyediakan pemimpin komuniti antarabangsa (berumur 25-38 tahun), dengan pengalaman pembangunan profesional selama empat bulan di Amerika Syarikat yang merangkumi latihan amali 35 jam seminggu di organisasi hos A.S. dan kursus pembangunan kepemimpinan 10 jam seminggu. Antara alumni terkenal program ini termasuk usahawan sosial Melisa Lin, Lilian Chen dan Chan Zi Xing dari Langit Collective, yang mempromosikan hasil pertanian unik dan turun-temurun daripada petani di Malaysia Timur.

Mohon sekarang untuk membina jaringan dengan pemimpin masyarakat baharu muncul dan bekerjasama dengan NGO Amerika untuk mencapai pembangunan ekonomi, sosial, politik, dan alam sekitar yang lestari: http://bit.ly/csp2022apply

Pautan:
Galeri Foto

Kiriman media sosial daripada lawatan:

Perjumpaan dengan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas

Perjumpaan dengan Ketua Pembangkang Dato’ Sri Wong Soon Koh

Perjumpaan dengan CEO PETROS dan Pasukan Kepimpinan

Lawatan Maya Duta Besar dan Makan Tengah Hari bersama Alumni Sarawak