Perhatian: Editor
10 Mac 2021
Kuala Lumpur – Duta Besar A.S. ke Malaysia Brian McFeeters menyaksikan majlis pemberian sumbangan PPE dan kit ujian pantas COVID-19 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini. Duta Besar McFeeters bertemu dan mengucapkan terima kasih kepada barisan hadapan Malaysia dan berharap sumbangan tersebut dapat membantu meringankan kerja mereka yang tidak kenal penat lelah dalam memerangi COVID-19.
”A.S. dan Malaysia mempunyai sejarah panjang kerjasama dalam isu kesihatan awam, termasuk dalam mengenal pasti penyakit dan ancaman yang muncul. Saya komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dan pegawai kesihatan Malaysia untuk melakukan segala-galanya yang kami mampu untuk bertahan dan pulih daripada COVID-19, dan untuk membina keupayaan dan keselamatan kesihatan yang lebih kukuh untuk masa depan.”
Duta Besar McFeeters juga bercakap mengenai komitmen Amerika Syarikat terhadap usaha bantuan COVID-19 global. “Selama dua dekad yang lalu, Amerika Syarikat telah memberikan lebih $140 bilion bantuan kesihatan global. Kami merupakan penyumbang tunggal terbesar untuk tindak balas antarabangsa terhadap COVID-19. Kami telah menjanjikan $4 bilion hingga 2022 dengan setengahnya telah diberikan kepada COVAX, menjadikan Amerika Syarikat sebagai penyumbang terbesar dalam usaha COVAX. Pembiayaan ini akan meluaskan jangkauan COVAX dan mewakili komitmen kami terhadap koordinasi tindak balas antarabangsa. Ini merupakan krisis antarabangsa yang memerlukan pendekatan antarabangsa.”
Dana untuk sumbangan ini diberikan melalui Pejabat Kerjasama Pertahanan di Kedutaan A.S. oleh Jabatan Pertahanan A.S., pejabat Bantuan Kemanusiaan, Bencana, dan Sivik (ODHACA) USINDOPACOM. Tentera A.S. dan rakan kongsi awam mempunyai komitmen bersama untuk bekerjasama untuk menangani masalah kemanusiaan di seluruh dunia.
Untuk melihat lebih banyak foto, kunjungi laman U.S. Embassy Flickr kami.