Flag

An official website of the United States government

A.S. Komited Memperkasakan Remaja Pulau Pinang Melalui Pendidikan STEM
4 MINIT DIBACA
Mac 1, 2022

Georgetown, Pulau Pinang– Pada 28 Februari, Duta Besar Brian McFeeters melawat Pulau Pinang dan melancarkan Pameran Pemburu Virus (Virus Hunter), Pusat Penasihat EducationUSA dan American Tech Corner (ATC) on Wheels. Beliau juga bertemu pegawai kerajaan dan peneraju perniagaan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkongsian awam-swasta di Pulau Pinang.

Duta Besar McFeeters memulakan lawatannya dengan melancarkan Pameran Pemburu Virus di American Tech Corner (ATC) Pulau Pinang bersama Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, YB P. Ramasamy. Pemburu Virus atau Virus Hunter adalah kempen untuk mendidik belia Malaysia tentang penyakit berjangkit, pembangunan vaksin, dan laluan kerjaya STEM. Ia bertujuan untuk membina belia yang kukuh dengan minat mengenai STEM yang boleh membantu mencegah, mengesan dan bertindak balas terhadap wabak masa depan. Dianjurkan oleh ATC Pulau Pinang di Penang Science Cluster (PSC), pengalaman “Pemburu Virus” yang lengkap termasuk panel maklumat interaktif, demo sains praktikal dan bengkel, serta lawatan pembelajaran maya melalui VirusHunterExhibit.com. Pameran itu juga akan menjelajah Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah, Sarawak, dan Kuala Lumpur.

Di samping itu, Duta Besar McFeeters juga melancarkan Pusat Penasihat EducationUSA di Pulau Pinang.  Dibiayai oleh Jabatan Negara A.S., EducationUSA menyediakan khidmat nasihat percuma tentang pengajian di institusi pengajian tinggi yang bertauliah di A.S. Pembukaan pusat itu di PSC menandakan peluasan perkhidmatan nasihat EducationUSA ke wilayah utara Malaysia. Meskipun dilanda COVID-19, A.S. kekal sebagai destinasi pengajian luar negara utama dengan lebih 914,000 pelajar antarabangsa dan lebih 5,000 rakyat Malaysia yang sedang belajar di Amerika Syarikat.

Duta Besar McFeeters turut menghadiri pertemuan dengan Lembaga Pengarah PSC, yang termasuk wakil-wakil syarikat A.S. di Pulau Pinang. Semasa pertemuan itu, beliau menyatakan penghargaannya atas pelaburan syarikat dalam membangunkan bakat muda STEM melalui usaha sukarelawan pekerja mereka dan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat.

Selain itu, Duta Besar McFeeters mengambil kesempatan untuk bertemu dengan alumni program pertukaran kerajaan A.S. dari Pulau Pinang. Beliau bertemu alumni yang berkhidmat dalam kerajaan, sektor kesihatan, media, dan pendidikan serta membincangkan kepentingan pertukaran budaya dalam memupuk hubungan yang lebih kukuh antara rakyat Amerika dan Malaysia serta mewujudkan impak dalam masyarakat tempatan.

Duta Besar McFeeters juga turut serta dalam pelancaran American Tech Corner (ATC) on Wheels bersama Datuk Bandar Pulau Pinang, Y. Bhg Dato’ Ar. Yew Tung Seang. Satu program mendekati masyarakat oleh ATC Penang, ATC on Wheels membawa sumber pendidikan STEM dan alatan pembuat dan pereka ke sekolah Pulau Pinang yang tidak mempunyai akses kepada peluang sedemikian. Inisiatif mudah alih terdiri daripada pameran STEM, pencetak 3D, realiti maya dan set robotik, maklumat tentang laluan kerjaya STEM dan banyak lagi. Melalui ATC on Wheels, Kedutaan A.S. berharap lebih ramai pelajar dapat memanfaatkan alatan yang ada serta terus berasa teruja untuk mengikuti pendidikan STEM.

Akhir sekali, Duta McFeeters bertemu dengan Gabenor Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi bin Haji Razak. Beliau mengulangi komitmen kerajaan A.S. untuk mengukuhkan hubungan dengan Pulau Pinang melalui pendidikan STEM dan inisiatif pemerkasaan belia yang lain.

Duta Besar McFeeters berkata, “Sokongan kami untuk pelbagai inisiatif pendidikan ini berakar umbi dalam kepercayaan kami bahawa pendidikan STEM, dan pendidikan secara amnya, boleh membantu kita menangani begitu banyak masalah yang paling mendesak di dunia.  Dan kami berharap ia mencetuskan kecintaan pelajar terhadap sains dan matematik suatu hari nanti serta boleh membantu mereka memainkan peranan dalam menangani isu seperti perubahan iklim, tenaga boleh diperbaharui, kesihatan awam dan pelbagai keutamaan lain.”

Kerajaan A.S. komited untuk membina hubungan pendidikan yang lebih kukuh dengan Pulau Pinang dan mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat antara A.S. dan Malaysia.

Sila layari https://flic.kr/s/aHBqjzE1EB untuk mendapatkan gambar.