Flag

An official website of the United States government

Amerika Syarikat Beri Tambahan $800,000 untuk Bantuan COVID-19 di Malaysia
3 MINIT DIBACA
Oktober 21, 2021

Amerika Syarikat Beri Tambahan $800,000 untuk Bantuan COVID-19 di MalaysiaPada bulan ini, Amerika Syarikat mengumumkan tambahan $800,000 bantuan COVID-19 untuk Malaysia. Bantuan ini akan menyokong usaha Kerajaan Malaysia untuk memberi vaksin kepada  komuniti rentan yang sukar dijangkau.  Ia juga akan menyokong kemudahan kuarantin yang selamat untuk komuniti ini, membantu dalam melindungi Malaysia daripada SARS-CoV-2 dan membantu memastikan pemulihan ekonomi Malaysia terus maju. Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia akan melaksanakan bantuan ini di Malaysia.

Dalam pertemuan dengan Yang Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah, Pengerusi Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, dan Haji Hakim bin Haji Hamzah, Setiausaha Agung Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Duta Besar McFeeters mengucapkan terima kasih atas usaha berterusan persatuan untuk menyokong usaha Malaysia menentang COVID-19.  “Malaysia melakukan kerja yang luar biasa dalam memberi vaksin kepada  populasinya, dan bantuan tambahan ini akan meningkatkan usaha untuk membantu masyarakat yang rentan dan membantu menjaga keselamatan seluruh negara.”

“Dalam usaha keras kita untuk mengekang COVID-19 secara menyeluruh , dana USAID ini sangat penting bagi kerja kita untuk membantu melindungi orang daripada penyakit ini, terutama golongan paling rentan,” kata Tunku Puteri Intan Safinaz. “Kita berusaha mencapai peringkat terakhir dalam vaksinasi kita di seluruh pelosok negara dan kita perlu ingat bahawa tidak ada yang selamat sehingga semua orang selamat. COVID-19 tidak membezakan antara bangsa, agama, etnik atau kewarganegaraan. Terima kasih kepada Duta Besar McFeeters dan USAID kerana menyokong usaha Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.”

Bantuan ini merupakan tambahan kepada   lebih $2 juta bantuan COVID-19 kepada Malaysia sejak pandemik ini bermula.  Pada 5 Julai, Amerika Syarikat menyumbangkan 1 juta vaksin Pfizer kepada Malaysia, dan juga telah menyumbangkan bekalan perubatan, alat ujian COVID-19, ambulans, dan banyak lagi.  Komuniti perniagaan A.S. di Malaysia, melalui MYAMCHAMCares, juga telah memberikan lebih RM7 juta sumbangan kepada usaha bantuan COVID-19 sejak tahun 2020.

Usaha ini dibina berdasarkan kerja-kerja  menyelamat nyawa sejak berdekad lamanya dan kepimpinan A.S. dalam menangani krisis kesihatan dunia.  Selama 60 tahun yang lalu, bantuan A.S. telah menyelamatkan berjuta-juta nyawa daripada penyakit seperti Ebola, HIV/AIDS, tuberkulosis, malaria, dan sekarang COVID-19.  Di Malaysia, USAID dan Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Nasional (NIAD) di Institut Kesihatan Nasional (NIH) telah membiayai penyelidikan kritikal untuk membantu meramalkan dan mencegah pandemik masa depan selama lebih dari satu dekad.

Amerika Syarikat komited untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk mengakhiri pandemik COVID-19, mengurangkan kesan sosial dan ekonomi yang dahsyat, dan membangun kembali dunia yang lebih bersedia untuk pandemik pada masa depan.

###