Kuala Lumpur – Pada hari Isnin, 5 Julai 2021, Amerika Syarikat berbesar hati untuk memberikan satu juta dos vaksin Pfizer-BioNTech yang menyelamatkan nyawa untuk membantu Malaysia memerangi pandemik COVID-19. Penghantaran vaksin tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah untuk diedarkan ke pusat-pusat vaksin di seluruh negara.
Malaysia ialah salah satu negara pertama yang menerima vaksin di bawah rancangan Presiden Biden untuk menyumbangkan 80 juta dos vaksin ke seluruh dunia, yang diumumkan pada bulan Jun.
Sokongan ini akan membantu melindungi rakyat Malaysia daripada virus COVID-19, yang membolehkan Malaysia memulakan bab baharu selepas pandemik ini dan memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi.
Di majlis penyerahan itu, Duta Besar A.S. ke Malaysia, Brian McFeeters, mengatakan bahawa Amerika Syarikat komited untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk mengalahkan pandemik COVID-19 dan mencapai keselamatan kesihatan global. “A.S. dan Malaysia mempunyai perkongsian yang panjang dan kukuh dalam isu kesihatan awam, dan keutamaan kami sekarang untuk membantu Malaysia menyelamatkan nyawa. Kami komited untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan meningkatkan liputan vaksin dan membantu mencapai sasaran pemulihan secepat mungkin.”
Peruntukan vaksin kepada Malaysia adalah sebahagian daripada komitmen Pentadbiran Biden untuk berkongsi bekalan vaksin A.S. di seluruh dunia. Ketika kita meneruskan usaha memerangi pandemik COVID-19 di Amerika Syarikat dan berusaha untuk mengakhiri pandemik ini di seluruh dunia, Presiden Biden berjanji bahawa Amerika Syarikat akan menjadi penggerak kerjasama vaksin untuk dunia.
Amerika Syarikat merupakan penderma kewangan terbesar untuk COVAX, sebuah perkongsian vaksin global, dengan janji memberikan dana $4 bilion hingga tahun 2022.
Amerika Syarikat baru-baru ini juga telah berjanji untuk menyediakan tambahan 500 juga dos vaksin Pfizer kepada negara-negara berpendapatan terendah di dunia melalui COVAX. Dalam kenyataannya, Presiden Biden menyatakan komitmen kerajaan A.S. untuk membina dunia yang lebih aman daripada penyakit berjangkit dan memacu usaha vaksinasi antarabangsa yang penting dan mendesak. “Kami berkongsi dos ini bukan untuk mendapatkan kelebihan manfaat atau konsesi. Kami berkongsi vaksin ini untuk menyelamatkan nyawa dan memimpin dunia dalam mengakhiri pandemik ini.”
Foto-foto boleh didapati di akaun Flickr Kedutaan Amerika Syarikat.