Setiausaha Rendah Krach Meningkatkan Keselamatan Ekonomi di Forum Perniagaan Indo-Pasifik

JABATAN NEGARA A.S.
Pejabat Jurucakap
Untuk Siaran Segera
NOTA MEDIA

12 November 2019


Setiausaha Rendah Krach Meningkatkan Keselamatan Ekonomi di Forum Perniagaan Indo-Pasifik

Setiausaha Rendah Negara bagi Pertumbuhan Ekonomi, Tenaga dan Persekitaran Keith Krach telah membuat tiga pengumuman penting semasa inisiatif tenaga, prasarana dan digital di Forum Perniagaan Indo-Pasifik (Indo-Pacific Business Forum atau IPBF) di Bangkok.  Inisiatif ini mewakili usaha terkini dalam ketiga-tiga teras ekonomi Strategi Indo-Pasifik untuk membentuk standard yang dipercayai di peringkat global.

IPBF mengumpulkan hampir 1,000 orang pemimpin perniagaan dan kerajaan untuk mempromosikan nilai pelaburan standard tinggi, ketelusan, peraturan perundangan dan pembangunan ekonomi yang diterajui oleh sektor swasta.

Setiausaha Rendah Krach bersama-sama dengan rakan-rakan sejawatnya telah melancarkan Blue Dot Network, inisiatif infrastruktur multilateral baharu yang diperkenalkan oleh A.S., Australia dan Jepun; menandatangani perjanjian $10 bilion bagi mengukuhkan Perkongsian Tenaga Strategik Jepun-Amerika Syarikat; dan membincangkan rancangan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang dipacu oleh digital di rantau Indo-Pasifik.

Blue Dot Network merupakan inisiatif berbilang pemegang kepentingan yang mengumpulkan kerajaan, sektor swasta dan masyarakat awam untuk bersama-sama melabur dalam infrastruktur global yang dibina mengikut standard yang dipercayai di peringkat dunia.  Setiausaha Rendah Krach telah bercakap tentang peranan penting yang dimainkan oleh sektor swasta dan awam dalam melaksanakan jangkaan standard yang dipercayai bagi ketelusan dan akauntabiliti; kedaulatan negara, harta dan sumber; tenaga kerja tempatan dan hak asasi manusia; peraturan undang-undang; alam sekitar dan tadbir urus yang baik.

Sebagai sebahagian daripada  Perkongsian Tenaga Strategik Jepun-Amerika Syarikat (Japan-United States Strategic Energy Partnership atau JUSEP), Setiausaha Rendah Krach dan rakan sejawat beliau dari Jepun di IPBF telah menandatangani satu kenyataan yang menekankan tujuan Jepun untuk menyalurkan pembiayaan awam dan swasta sebanyak $10 bilion bagi menyokong pelaburan dan pembinaan kapasiti bagi infrastruktur tenaga serantau termasuk pelaburan dalam gas asli cecair.  JUSEP mempromosikan akses universal untuk tenaga yang boleh diharapkan dan mampu dimiliki di rantau Indo-Pasifik, menerusi kerjasama A.S.-Jepun yang kukuh yang telah pun mencapai kemajuan dalam membangunkan infrastruktur gas asli di Bangladesh, Indonesia, dan Mozambique.  Setiausaha Rendah Krach menekankan komitmen bersama A.S.-Jepun dalam mempromosikan kebebasan sumber tenaga menerusi rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, serta faedah yang terakru untuk warga dunia menerusi peningkatan akses kepada tenaga. Prinsip dan bidang fokus JUSEP menyokong inisiatif Meningkatkan Pembangunan dan Pertumbuhan Asia menerusi Tenaga (Asia Enhancing Development and Growth through Energy atau Asia EDGE) yang diterajui oleh A.S.

Setiausaha Rendah Krach telah melibatkan sektor swasta secara langsung dengan menganjurkan dialog pemimpin perniagaan dan menyertai persidangan meja bulat Majlis Perniagaan A.S.-ASEAN dan Dewan Perdagangan A.S.  Setiausaha Rendah mengetuai perbincangan panel untuk menggalakkan ekonomi digital Indo-Pasifik yang rancak dan dipercayai berteraskan rangkaian yang boleh dipercayai.  Menekankan bahawa integriti, ketelusan, keadilan dan sikap saling menghormati menjadi asas untuk memajukan ekonomi digital, dan kepercayaan menyokong aliran data yang bebas merentasi sempadan, beliau mengesahkan komitmen A.S. untuk melindungi data peribadi dan memudahkan perdagangan antarabangsa.

Penglibatan A.S. di rantau Indo-Pasifik bukanlah sesuatu yang baharu.  Hubungan ekonomi yang sudah lama terjalin oleh Amerika Syarikat dengan rantau Indo-Pasifik disokong oleh perdagangan dua hala bernilai lebih $1.9 trilion.  Amerika Syarikat merupakan sumber terbesar pelaburan langsung asing di rantau ini dengan syarikat-syarikat Amerika yang melabur di Indo-Pasifik menyediakan peluang pekerjaan untuk 5.1 juta orang penduduk di rantau ini dan sentiasa komited terhadap inovasi, pemerkasaan ekonomi untuk wanita dan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dalam negara dan juga di rantau ini.

Untuk maklumat lanjut tentang Forum Perniagaan Indo-Pasifik, sila layari: https://www.indopacificbusinessforum.com/

Untuk mendapatkan maklumat tentang lawatan Setiausaha Rendah Krach, sila ikuti beliau melalui Twitter @State_E, melalui Facebook @StateDeptE, melalui Instagram @StateDeptE, dan melalui LinkedIn @U.S. Department of State – E Under Secretariat.

 

# # #

 

 

Terjemahan ini disediakan sebagai ihsan dan hanya sumber bahasa Inggeris asal yang harus dianggap sahih.