Amerika Syarikat Pulang lebih RM800 Juta Dana 1MDB Yang Diperoleh Semula

PUTRAJAYA – Duta Besar A.S. ke Malaysia Kamala Shirin Lakhdhir dan Timbalan Penolong Ketua Peguam Negara A.S. John P. Cronan bertemu hari ini dengan Peguam Negara Tommy Thomas dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng untuk mengesahkan permulaan proses pemulangan kira-kira $196 juta (RM812.9 juta) ke Malaysia, mewakili ansuran  pertama dana yang diperoleh daripada rampasan aset yang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dana milik negara dan dikawal oleh Malaysia yang diwujudkan untuk mendapatkan projek pelaburan dan pembangunan bagi manfaat ekonomi dan rakyat Malaysia.

Tranche pertama dana yang dipulangkan termasuk:

  • $57,036,688.68 (RM 233,701,605.23) daripada Red Granite Pictures, dan berpunca daripada penyelesaian di mahkamah California pada bulan Mac 2018. Jumlah ini telah diterima oleh Malaysia.
  • Jabatan Kehakiman Amerika sedang dalam proses mengembalikan $139,000,000 (RM 576,196,700) daripada penjualan Hotel Park Lane Manhattan pada bulan Februari 2019. Jumlah ini dalam proses dipindahkan dari A.S. ke Malaysia.

“Kami amat gembira tentang tranche pertama aset dari siasatan Jabatan Kehakiman yang sedang dipindahkan ke Malaysia. Perkara ini menunjukkan komitmen A.S. untuk memulangkan aset ini untuk kepentingan rakyat Malaysia,” kata Duta Besar Kamala Shirin Lahkdhir, Duta Besar A.S. ke Malaysia. “Ia merupakan lambang penting kerjasama antara kedua negara – kerjasama yang menunjukkan komitmen bersama kami terhadap tadbir urus yang baik, memerangi rasuah dalam kerajaan, dan memastikan keadilan ditegakkan.”