JABATAN NEGARA A.S.
Pejabat Jurucakap|
UNTUK SIARAN SEGERA
KENYATAAN OLEH SETIAUSAHA MICHAEL R. POMPEO
13 Julai 2020
Pendirian A.S. tentang Tuntutan Maritim di Laut China Selatan
Amerika Syarikat memperjuangkan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka. Hari ini kita memperkukuhkan dasar A.S. di bahagian yang penting dan dipertikaikan di rantau ini — Laut China Selatan. Kami ingin jelaskan: Tuntutan Beijing ke atas sumber luar pesisir di sebahagian besar Laut China Selatan sama sekali tidak sah, seperti juga kempen membuli untuk menguasainya.
Di Laut China Selatan, kami berusaha untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan, menegakkan kebebasan laut dengan cara yang sesuai dengan undang-undang antarabangsa, memastikan aliran perdagangan tanpa halangan, dan menentang segala percubaan untuk menggunakan paksaan atau kekuatan untuk menyelesaikan perselisihan. Kami berkongsi kepentingan mendalam dan berkekalan ini dengan sekutu dan rakan kongsi kami yang telah lama menyokong aturan antarabangsa yang berasaskan peraturan.
Kepentingan bersama ini menerima ancaman yang belum pernah terjadi sebelumnya daripada Republik Rakyat China (RRC). Beijing menggunakan intimidasi untuk menjejaskan hak kedaulatan negara-negara pesisir Asia Tenggara di Laut China Selatan, dengan membuli mereka untuk meninggalkan sumber luar pesisir itu, menuntut penguasaan secara unilateral, dan mengganti undang-undang antarabangsa dengan “kekuatan itu kebenaran.” Pendekatan Beijing amat jelas selama bertahun lamanya. Pada tahun 2010, Menteri Luar Negeri RRC ketika itu, Yang Jiechi memberitahu rakan-rakannya di ASEAN bahawa “China adalah negara besar dan negara-negara lain adalah negara-negara kecil dan itu adalah faktanya.” Pandangan dunia RRC yang bersifat predatori tidak mendapat tempat pada abad ke-21.
RRC tidak memiliki alasan sah untuk secara unilateral untuk memaksa kehendaknya ke atas wilayah tersebut. Beijing tidak menawarkan dasar sah yang koheren untuk tuntutan “Garis Sembilan Putus-Putusnya” di Laut China Selatan sejak secara rasmi mengumumkannya pada tahun 2009. Dalam keputusan sebulat suara pada 12 Julai 2016, sebuah Tribunal Timbang Tara dibentuk berdasarkan Konvensi Undang-Undang Laut 1982 – yang mana RRC adalah satu pihak negara – menolak tuntutan maritim RRC sebagai tidak mempunyai asas dalam undang-undang antarabangsa. Tribunal berpihak pada Filipina, yang telah membawa kes timbang tara, dalam hampir semua tuntutan.
Seperti yang telah dinyatakan oleh Amerika Syarikat sebelumnya, dan sebagaimana yang diperuntukkan secara khusus dalam Konvensyen, keputusan Tribunal Timbang Tara adalah muktamad dan mengikat secara sah bagi kedua-dua pihak. Hari ini kami menyelaraskan pendirian A.S. mengenai tuntutan maritim RRC di SCS dengan keputusan Tribunal. Khususnya:
- RRC tidak boleh secara sah menegaskan tuntutan maritim – termasuk tuntutan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) yang berasal dari Scarborough Reef dan Kepulauan Spratly – vis-a-vis Filipina di kawasan-kawasan yang didapati Tribunal berada dalam EEZ atau pentas benua Filipina. Gangguan Beijing terhadap perikanan Filipina dan pembangunan tenaga luar pesisir di kawasan-kawasan tersebut adalah tidak sah, begitu juga tindakan RRC secara unilateral untuk mengeksploitasi sumber-sumber tersebut. Selaras dengan keputusan Tribunal yang mengikat secara sah, RRC tidak mempunyai tuntutan wilayah atau maritim yang sah terhadap Terumbu Mischief (Mischief Reef) atau Gosong Thomas Kedua (Second Thomas Shoal), yang kedua-duanya berada sepenuhnya di bawah hak dan bidang kuasa kedaulatan Filipina, dan juga Beijing tidak mempunyai tuntutan wilayah atau maritim yang diperolehi daripada ciri-ciri ini.
- Oleh kerana Beijing gagal mengemukakan tuntutan maritim yang sah dan koheren di Laut China Selatan, Amerika Syarikat menolak setiap tuntutan RRC ke atas perairan di luar perairan 12 batu nautika yang diperolehi dari pulau-pulau yang dituntutnya di Kepulauan Spratly (tanpa menjejaskan tuntutan kedaulatan negeri lain ke atas pulau-pulau tersebut). Oleh itu, Amerika Syarikat menolak sebarang tuntutan maritim RRC di perairan yang mengelilingi Vanguard Bank (di luar Vietnam), Gosong Luconia (di luar Malaysia), perairan di EEZ Brunei, dan Natuna Besar (di luar Indonesia). Sebarang tindakan RRC untuk mengganggu penangkapan ikan atau pembangunan hidrokarbon di perairan-perairan ini – atau untuk menjalankan aktiviti tersebut secara unilateral – adalah tidak sah.
- RRC tidak mempunyai tuntutan wilayah atau maritim yang sah terhadap (atau memperoleh sesuatu daripadanya) Beting Serupai (James Shoal), sebuah ciri yang tenggelam sepenuhnya hanya 50 batu nautika dari Malaysia dan sekitar 1.000 batu nautika dari pantai China. Beting Serupai sering disebut dalam propaganda RRC sebagai “wilayah paling selatan China.” Undang-undang antarabangsa jelas: Ciri bawah laut seperti Beting Serupai tidak boleh dituntut oleh mana-mana negara dan tidak boleh dijadikan zon maritim. Beting Serupai (kira-kira 20 meter di bawah permukaan) bukan dan tidak pernah menjadi wilayah RRC, juga Beijing tidak dapat menegaskan hak maritim yang sah daripadanya.
Dunia tidak akan membenarkan Beijing memperlakukan Laut China Selatan sebagai empayar maritimnya. Amerika berdiri bersama sekutu dan rakan kongsi Asia Tenggara kami dalam melindungi hak kedaulatan mereka untuk sumber luar pesisir, sesuai dengan hak dan kewajiban mereka di bawah undang-undang antarabangsa. Kami berdiri bersama masyarakat antarabangsa dalam membela kebebasan laut dan menghormati kedaulatan dan menolak desakan untuk memaksakan “kekuatan itu kebenaran” di Laut China Selatan atau wilayah yang lebih luas.