PERHATIAN: PENGARANG
Kedutaan Amerika Syarikat Kuala Lumpur, bagi pihak rakyat Amerika, melahirkan rasa simpati kepada mangsa banjir di Malaysia baru-baru ini. Bagi membantu usaha bantuan, kerajaan Amerika Syarikat, melalui Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat, menyumbangkan RM420,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, dengan kerjasama Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah. Dana ini akan menyokong penyediaan perkhidmatan kesihatan kepada isi rumah yang terjejas dengan banjir di Malaysia, termasuk rawatan perubatan, pencegahan penyakit dan perkhidmatan kesihatan mental..
Kuasa Usaha Michael Newbill berkata “Kami berharap dana ini akan membantu memberikan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir baru-baru ini. Saya dan rakan sekerja juga bekerjasama untuk mengumpul dana bagi membantu ahli komuniti Kedutaan kami sendiri yang rumah dan keluarga mereka terjejas akibat banjir. Kami menghargai usaha gigih Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah dalam bertindak balas terhadap bencana ini, dan atas kerja berterusan mereka menyokong usaha bantuan COVID-19.”
Tuan Hj. Hakim Bin Hj. Hamzah, Setiausaha Agung Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, berkata: “Dana yang banyak daripada Amerika Syarikat ini akan sangat membantu dalam usaha berterusan kami, kerana kami menyediakan bantuan selanjutnya, termasuk makanan, air bersih, bekalan perubatan dan kit kebersihan kepada orang ramai di seluruh kawasan yang paling teruk terjejas di Malaysia.”
Alka Kapoorsharma, Ketua Delegasi Malaysia, Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah berkata: “Banjir ini datang sebagai tamparan berganda bagi rakyat Malaysia yang mengharungi pandemik COVID-19. Dana ini sangat berguna untuk menyediakan bantuan segera dan sokongan jangka panjang untuk mereka yang terjejas oleh banjir ini.”
###