Donald Trump: Presiden Amerika Seterusnya

Presiden Barack Obama bertemu dengan bakal Presiden Donald Trump di Rumah Putih. (Foto AP)

Oleh Pamela M. Prah

9 November 2016

Pengundi AS telah memilih calon Republikan Donald J. Trump sebagai Presiden A.S. ke-45.  Mereka meletakkan seorang ahli perniagaan dalam Rumah Putih yang berjanji untuk menggunakan pengetahuan kewangan beliau untuk membantu rakyat Amerika meningkatkan taraf hidup mereka.

Hartawan hartanah ini menewaskan bekas Setiausaha Negara Hillary Clinton, yang menaruh harapan untuk menjadi presiden wanita pertama.

Ketika menerima kemenangan pada awal 9 November, Trump berkata, “Kepada semua Republikan dan Demokrat dan calon bebas di seluruh negara ini, ini adalah masa untuk kita bersatu sebagai satu bangsa yang bersatu padu. … Saya berjanji kepada setiap rakyat di negara ini bahawa  saya akan menjadi presiden untuk semua rakyat Amerika.”

Membawa pengalaman perniagaan

Trump, yang namanya terpahat pada hotel mewah, bangunan pencakar langit dan padang golf di seluruh dunia, mengikut jejak ahli perniagaan lain yang berjaya mencapai kedudukan politik tertinggi negara.  Mereka ini termasuk George W. Bush dan bapanya George H.W. Bush yang merupakan ahli perniagaan dalam perniagaan minyak, dan juga memiliki pasukan Major League Baseball.

Contoh lain adalah Jimmy Carter, seorang petani kacang tanah, jurutera perlombongan Herbert Hoover dan penerbit akhbar Warren Harding.

Tetapi semua ahli perniagaan ini menyertai politik sebelum bersaing untuk jawatan Rumah Putih. Trump adalah orang pertama yang melangkah terus dari pejabat korporat ke Pejabat Oval.

Sepanjang tempoh kempen ini, Trump, bekas personaliti TV dan penulis, menggunakan latar belakang perniagaannya sebagai tarikan.  “Kita memerlukan orang di Washington yang tahu cara mencapai perjanjian,” kata Trump semasa kempen.

Trump juga menjalankan kempen yang luar daripada kebiasaan, dengan bergantung sepenuhnya kepada media sosial.  Beliau banyak menulis tweet secara terus kepada pengikutnya yang berjumlah lebih 25 juta.

Berakhirnya perjuangan bersejarah Clinton

Kemenangan Trump memberi kejutan kepada ramai orang.  Ini kerana Clinton dianggap sebagai salah seorang calon paling bersedia untuk bertanding jawatan Presiden A.S.  Clinton bukan orang asing kepada Rumah Putih — beliau menghabiskan lapan tahun di sana sebagai Wanita Pertama apabila suaminya, Bill Clinton, menjadi Presiden.  Apabila penggal suaminya berakhir, Clinton memenangi pilihan raya sebagai senator pada 2000, satu-satunya Wanita Pertama yang memenangi jawatan yang ditandinginya itu.

Beliau menjelajah ke 112 negara ketika menjadi Setiausaha Negara dari 2009 hingga 2013 di bawah Presiden Obama, dan tahun ini beliau menjadi Wanita Pertama dicalonkan untuk jawatan Presiden oleh Parti Demokrat A.S.

Kedua-dua Clinton dan Presiden Obama berjanji untuk bekerja dengan Trump melalui peralihan kuasa yang aman demi Amerika yang lebih kukuh.

Clinton berkata beliau berharap Trump “akan menjadi presiden yang berjaya untuk semua rakyat Amerika.”

Bercakap dari Rumah Putih, Obama mengakui bahawa “bukan suatu rahsia bahawa saya dan Presiden yang dipilih mempunyai beberapa perbezaan yang cukup ketara,” tetapi menambah bahawa “kita semua mahu apa yang terbaik untuk negara ini.”