Laporan Pemerdagangan Manusia 2017

MALAYSIA: TAHAP 2

Kerajaan Malaysia tidak mematuhi standard minimum untuk membanteras pemerdagangan sepenuhnya. Walau bagaimanapun, ia berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Kerajaan menunjukkan peningkatan usaha berbanding tempoh laporan sebelumnya; Oleh itu, Malaysia telah dinaik taraf ke Tahap 2. Kerajaan menunjukkan peningkatan usaha dengan mengembangkan siasatan penyeludupan, pendakwaan, dan sabitan. Pegawai kerajaan mengukuhkan penguatkuasaan undang-undang yang melarang penahanan pasport, dengan mensabitkan 17 majikan kerana menahan pasport tanpa kebenaran, berbanding sifar pada tahun sebelumnya. Untuk merangsang penyelarasan operasi antipemerdagangan, kerajaan menubuhkan sebuah pasukan petugas penguatkuasaan undang-undang antara agensi baharu, 17 pegawai dari tujuh agensi telah diberikan tugas dan dilatih tentang taktik penyiasatan. Kerajaan telah meluluskan satu pelan tindakan kebangsaan dikemas kini yang merangkumi tempoh 2016-2020 dan memperuntukkan sumber yang mencukupi ke arah pelaksanaan pelan tindakan ini. Walau bagaimanapun, kerajaan tidak memenuhi standard minimum dalam beberapa bidang utama. Usaha melindungi mangsa oleh kerajaan sebahagian besarnya masih tidak mencukupi. Undang-undang yang baru dilaksanakan mewujudkan satu proses bagi penduduk di pusat perlindungan untuk bergerak bebas dan bekerja jika mereka dibenarkan oleh profesional perubatan, keselamatan, dan kesihatan mental serta diluluskan oleh Majlis Antipemerdagangan Orang (MAPO).Walau bagaimanapun, kelewatan birokrasi, termasuk kekurangan kaunselor yang boleh membuat penilaian kesihatan mental yang diperlukan; sikap mengelak mengambil risiko dan paternalistik ke arah mangsa; serta kekurangan minat mangsa dalam peluang pekerjaan yang ada menyebabkan jumlah mangsa yang diberikan hak untuk bekerja dan/atau bergerak bebas sangat rendah. Daripada 1,558 mangsa yang dikenal pasti, kerajaan menjalankan hanya 106 penilaian risiko dan akhirnya memberikan visa bekerja kepada enam mangsa dan pas imigresen khas untuk kebebasan bergerak kepada 12 orang. Lagi 28 mangsa diberikan kebebasan bergerak, tetapi kelewatan dalam mendapatkan pasport yang diperlukan dari negara asal mangsa bermakna mereka sama ada telah kembali ke tempat asal atau masih menunggu pada akhir tempoh laporan. Penglibatan dalam kalangan pegawai penguatkuasaan undang-undang, dalam bentuk menerima rasuah untuk membenarkan orang menyeberang sempadan tanpa izin, menghalang beberapa usaha antipemerdagangan. Sementara pihak berkuasa menyiasat jenayah ini, pegawai yang bersalah biasanya terlepas hukuman. Walau bagaimanapun, kerajaan menahan sekurang-kurangnya 42 pegawai semasa tempoh laporan atas kesalahan berkaitan penyeludupan dan pemerdagangan orang, walaupun tidak jelas berapa ramai yang didakwa dengan jenayah berkaitan pemerdagangan.

CADANGAN UNTUK MALAYSIA:

Meningkatkan pelaksanaan peraturan-peraturan bagi pindaan 2015 kepada undang-undang antipemerdagangan untuk meningkatkan bilangan mangsa pemerdagangan yang mendapat pekerjaan dan secara rutin membenarkan mangsa kebebasan untuk bergerak; meningkatkan bilangan dan keberkesanan pendakwaan dan sabitan terhadap pemerdagangan, termasuk pegawai bersubahat, melalui peningkatan kerjasama antara agensi penguatkuasaan undang-undang, kerjasama kukuh antara pegawai penguat kuasa undang-undang dan pendakwa, siasatan lebih berkesan, mengurangkan kelewatan mahkamah, dan meningkat pengetahuan undang-undang tentang jenis jenayah pemerdagangan orang, terutamanya buruh paksa; mendedahkan hasil siasatan yang melibatkan pegawai yang korup untuk meningkatkan ketelusan dan pencegahan serta menahan pegawai bertanggungjawab yang melakukan jenayah apabila mereka melanggar undang-undang; meningkatkan keupayaan pemeriksa buruh untuk mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan kumpulan terdedah, seperti pekerja asing, dan menyiasat pemerdagangan buruh dengan berkesan; melaksanakan perubahan yang dirancang untuk jadual levi pekerja asing bagi menjadikan majikan, bukan pekerja, yang bertanggungjawab atas yuran pengambilan; meningkatkan pengurusan kes dan komunikasi dengan mangsa pemerdagangan, termasuk melalui peningkatan interaksi pendakwa-mangsa sekurang-kurangnya dua minggu sebelum perbicaraan seperti yang diarahkan peguam negara; terus bekerjasama dengan NGO yang berkesan dan boleh dipercayai serta melaksanakan rancangan untuk menyediakan lebih banyak perkhidmatan untuk mangsa, termasuk pembinaan pusat perlindungan baharu; terus memaklumkan pekerja, termasuk pembantu rumah, tentang hak mereka untuk mengekalkan akses kepada pasport mereka pada bila-bila masa, tanpa penangguhan atau memerlukan kebenaran, dan tanpa memberi kesan kepada status dan hubungan mereka dengan majikan mereka, dan memasukkan ayat yang jelas menyatakan pasport akan kekal di bawah pemilikan pekerja dalam model kontrak dan memorandum persefahaman dua hala dengan negara sumber buruh pada masa depan; secara berkesan menguatkuasakan undang-undang yang melarang majikan daripada menahan pasport tanpa persetujuan pekerja, mendidik pekerja dan majikan mengenai hak pekerja asing, termasuk bantuan perundangan dan remedi terhadap pemerdagang, dan memastikan majikan menyediakan loker atau kemudahan penyimpanan pasport yang selamat; memperluaskan perlindungan buruh untuk pembantu rumah, terus menyiasat dakwaan penderaan pembantu rumah, dan mendidik majikan mengenai hak pembantu rumah; dan melaksanakan sepenuhnya rancangan kebangsaan 2016-2020 untuk memerangi pemerdagangan orang.

PENDAKWAAN

Kerajaan mengembangkan usaha penguatkuasaan undang-undang. Akta Antipemerdagangan Orang 2007—dipinda pada 2010 dan 2015—melarang semua bentuk pemerdagangan orang dan menetapkan hukuman sehingga 20 tahun penjara, yang cukup tegas dan setimpal dengan hukuman yang ditetapkan bagi kesalahan serius lain seperti rogol. Dalam tempoh laporan 2016, kerajaan telah menjalankan 581 siasatan kes yang berkemungkinan membabitkan pemerdagangan orang, peningkatan ketara daripada 158 pada 2015. Siasatan terhasil daripada serbuan polis atau pemeriksaan buruh bersifat reaktif daripada maklumat pekerja. Kerajaan telah memulakan pendakwaan terhadap 175 orang yang disyaki sebagai pemerdagang orang, meningkat daripada 38 ketika permulaan pada tahun sebelumnya. Kerajaan mensabitkan 35 pemerdagang orang—18 atas pemerdagangan buruh dan 17 atas pemerdagangan seks—mewakili jumlah sabitan tahunan tertinggi dan peningkatan yang ketara daripada tujuh pemerdagang orang yang disabitkan pada 2015. Daripada 35 yang didapati bersalah, 29 telah didakwa di bawah Akta Antipemerdagangan Orang, dan enam yang lain di bawah undang-undang lain seperti Akta Imigresen dan kanun keseksaan. Empat belas pemerdagang orang menerima hukuman penjara sekurang-kurangnya empat tahun, hingga setinggi 10 tahun. Daripada baki 21 orang, lapan pemerdagang orang menerima hukuman antara satu dan tiga tahun penjara, sembilan menerima hukuman kurang daripada satu tahun, dan empat tidak dipenjara tetapi didenda. Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan bagi kes yang melibatkan 13 individu yang menerima hukuman yang tidak cukup tegas. Pejabat Peguam Negara melaporkan majoriti pendakwa kekal mematuhi arahan bertulis 2014 yang memerlukan mereka untuk melibatkan diri dengan mangsa sekurang-kurangnya dua minggu sebelum perbicaraan untuk lebih memahami dan menangani kebimbangan mangsa mengenai mekanisme dalaman perbicaraan. Bagaimanapun, ketersediaan terhad jurubahasa yang diperakui dan bidang kuasa tidak berpusat Malaysia menjadikan pematuhan rutin sukar. Kerajaan mengukuhkan penguatkuasaan undang-undang terhadap penahanan pasport yang tidak dibenarkan dengan mengenakan 17 sabitan terhadap majikan yang melanggar Akta Pasport Malaysia 1966. Kerajaan tidak mendakwa mana-mana majikan atas jenayah ini pada 2015, dan hanya satu pada 2014.

Kerajaan menubuhkan satu pasukan petugas penguatkuasaan undang-undang rentas agensi yang baharu. Tujuh belas pegawai dari tujuh agensi diberikan tugas dan dilatih taktik penyiasatan serta mengenal pasti sasaran bernilai tinggi; pasukan petugas melancarkan operasi secara rasmi pada bulan Januari 2017. Antara tempoh mula dan akhir laporan ini, pasukan petugas berjaya menjalankan empat operasi, termasuk serbuan di kilang sarang burung, yang membawa kepada penangkapan dua pekerja kanan dan dua pekerja biasa serta mengenal pasti 172 mangsa. Kerajaan melanjutkan mandat enam bulan yang diberikan pada mulanya kepada pasukan petugas hingga Disember 2018. Polis Diraja Malaysia terus berkhidmat sebagai agensi penguat kuasa utama di bawah akta antipemerdagangan orang dan mengekalkan unit antipemerdagangan khusus terdiri daripada 235 pegawai yang ditugaskan bekerja di seluruh negara. Jabatan buruh juga mempunyai pasukan penguatkuasaan pemerdagangan khusus terdiri daripada 30 pegawai. Jabatan Peguam Negara melantik 10 orang lagi sebagai timbalan pendakwa raya yang pakar dalam pemerdagangan orang di seluruh Malaysia, menjadikan jumlahnya 52, meningkat daripada 42 yang diambil bekerja pada 2015.

Kerajaan terus menjalankan latihan antipemerdagangan tahun ini dengan mencapai lebih daripada 1,600 pegawai. Latihan memberi tumpuan antaranya kepada perlindungan mangsa, penguatkuasaan undang-undang, dan pendakwaan. Pegawai Kementerian Dalam Negeri terus menyediakan peluang latihan antipemerdagangan orang kepada pegawai mereka sendiri dan pegawai dari agensi lain yang berkaitan. Majlis antipemerdagangan orang pula menjalankan lapan sesi untuk sejumlah 125 pegawai kerajaan yang memberi tumpuan kepada kesedaran tentang isu pemerdagangan orang dan pindaan kepada undang-undang. Pada tahun laporan, sebanyak 99 pendakwa di jabatan peguam negara mengambil bahagian dalam 10 program latihan, tiga pada peringkat antarabangsa dan tujuh di Malaysia.

Penemuan kem pendatang dan kubur besar pada bulan Mei dan Ogos 2015 di sepanjang sempadan dengan Thailand menguatkan lagi laporan tentang pegawai korup yang bersubahat dalam penyeludupan pendatang, yang mungkin juga termasuk jenayah pemerdagangan orang. Pada 2016, penyiasatan tentang kem dan kubur ini menyebabkan empat orang disabitkan; tiada rakyat Malaysia yang disabit. Dalam tempoh laporan ini, siasatan masih berterusan dengan Malaysia dan Thailand terus bekerjasama dalam mencari suspek tambahan dan ekstradisi 10 sasaran yang dikenal pasti, tiada seorang pun daripada mereka adalah rakyat Malaysia. Pegawai Malaysia juga telah meminta agar Bangladesh mengesan dan mengekstradisi seorang suspek dalam kes itu.

Penglibatan pegawai penguat kuasa undang-undang, dalam bentuk menerima rasuah untuk membolehkan pendatang tanpa izin membolosi sempadan, telah menghalang beberapa usaha antipemerdagangan orang. Kerajaan telah menahan 42 pegawai imigresen dan polis kerana terlibat dalam subahat jenayah penyeludupan dan pemerdagangan orang. Pihak berkuasa mendakwa lima daripada pegawai ini dan kes masih berlangsung pada akhir tempoh laporan. Pada bulan Jun 2016, kerajaan membongkar skim untuk memanipulasi sistem kawalan pasport negara di pelbagai tempat masuk oleh pegawai imigresen yang jumlahnya tidak diketahui, dipercayai untuk membolehkan penyeludup dan pemerdagang orang untuk beroperasi tanpa dikesan. Susulan daripada itu, kerajaan memecat 15 pegawai yang bersalah, menggantung 14, membekukan gaji lapan, dan menukar tugas lebih daripada 60 yang lain.Tiada laporan pendakwaan jenayah ke atas pegawai ini.

PERLINDUNGAN

Kerajaan meningkatkan usaha untuk mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang tetapi langkah perlindungan masih tidak mencukupi. Tidak semua mangsa pemerdagangan diberi kebebasan bergerak dan kebenaran untuk bekerja semasa siasatan mereka belum selesai dalam sistem kehakiman. Kerajaan melaporkan agensi penguatkuasaan undang-undang mengikut prosedur standard untuk mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang.

Pengenalpastian kes pemerdagangan buruh terus bergantung kepada pemeriksaan buruh yang reaktif berdasarkan aduan tentang pekerja yang tidak dibayar gaji dan pelanggaran lain. Pada 2016, kerajaan dilaporkan mengenal pasti 3,411 orang yang mungkin merupakan mangsa pemerdagangan. Daripadanya, ia mengesahkan 1,558 merupakan mangsa pemerdagangan orang, iaitu peningkatan yang ketara berbanding 305 mangsa yang disahkan pada 2015. Walau bagaimanapun, agensi penguatkuasaan menggunakan undang-undang antipemerdagangan secara meluas dengan melabel sewenang-wenangnya semua wanita asing semasa penahanan di bar atau rumah urut sebagai orang yang berkemungkinan menjadi mangsa pemerdagangan tanpa membuat saringan untuk mengenal pasti petunjuk pemerdagangan. Kerajaan tidak sentiasa proaktif menyaring populasi pekerja asing yang terdedah untuk petunjuk pemerdagangan. Sebahagian daripada pekerja asing ini dengan jumlah yang tidak diketahui mungkin merupakan mangsa yang tidak diberi perlindungan sesuai. Undang-undang antipemerdagangan memberikan mangsa pemerdagangan kekebalan daripada kesalahan imigresen yang berkaitan, seperti masuk secara haram, berada dalam negara secara haram, dan memiliki dokumen perjalanan palsu. Orang yang berkemungkinan merupakan mangsa pemerdagangan orang tetapi menafikan diri sebagai mangsa atau mereka yang dokumen telah diambil majikan kadang-kadang ditahan, dihantar pulang, atau didakwa atas kesalahan imigresen dalam tempoh laporan ini.

Dalam tempoh laporan ini, Peguam Negara meluluskan dan Timbalan Perdana Menteri menguatkuasakan pelaksanaan peraturan bagi pindaan kepada undang-undang antipemerdagangan. Pindaan membenarkan mangsa—mengikut budi bicara Majlis Antipemerdagangan Orang—untuk bekerja dan bergerak bebas di dalam dan di luar kemudahan kerajaan, sementara menunggu penilaian risiko keselamatan, pemeriksaan perubatan, dan penilaian kesihatan mental; membenarkan mahkamah untuk memerintahkan pemerdagang orang yang disabitkan untuk membayar restitusi kepada mangsa dan memberi ruang kepada mangsa untuk membawa tindakan sivil terhadap orang yang menganiaya mereka; melanjutkan perintah perlindungan interim daripada 14 hingga 21 hari untuk membolehkan lebih banyak siasatan menyeluruh; membenarkan NGO untuk berkhidmat sebagai pegawai perlindungan yang ditetapkan; dan menginstitusikan jawatankuasa antipemerdagangan peringkat tinggi. Dalam tempoh laporan ini, kerajaan terus bekerjasama dengan pemegang kepentingan persatuan sivil, terutama dengan membangunkan secara bersama satu set prosedur operasi standard untuk memberikan kebebasan bergerak kepada mangsa, yang digunakan untuk meluluskan permohonan kebebasan bergerak dan permit kerja. Namun beberapa isu operasi masih wujud, termasuk batasan kepada rakyat negara tertentu untuk bekerja dalam sektor tertentu; akauntabiliti untuk menyediakan penilaian risiko keselamatan, penilaian psikologi, dan pemeriksaan perubatan; serta kekurangan profesional kesihatan mental yang terlatih untuk berkhidmat kepada mereka. Menjelang akhir tempoh laporan ini, kerajaan memperluaskan jumlah kaunselor—dari tiga hingga 146—yang tersedia untuk menjalankan penilaian psikologi dengan membenarkan kaunselor bekerja dengan mangsa penderaan domestik dan populasi terdedah lain termasuk juga menilai mangsa pemerdagangan.

Daripada 1,558 mangsa yang dikenal pasti, pihak berkuasa menyelesaikan 106 penilaian risiko untuk mempertimbangkan sama ada untuk memberikan kebebasan bergerak; pihak berkuasa menafikan 60 mangsa kebebasan bergerak berdasarkan dakwaan masalah kesihatan atau keselamatan. Pemeriksaan perubatan dijalankan oleh doktor terlatih. Dalam tempoh laporan ini, kerajaan telah mengeluarkan enam visa kerja kepada mangsa pemerdagangan—berbanding empat yang dikeluarkan pada tahun sebelumnya. Kerajaan memberikan kebebasan bergerak kepada 40 lagi mangsa asing, tetapi kelewatan dalam mendapatkan pasport daripada kedutaan masing-masing oleh mangsa membantutkan proses pengeluaran pas imigresen khas, yang menjadi prasyarat untuk kebebasan bergerak. Akhirnya, kerajaan mengeluarkan 12 pas imigresen khas dalam tempoh laporan ini. Baki 28 mangsa menunggu pasport mereka pada akhir tempoh laporan ini atau memutuskan untuk kembali ke negara asal mereka sebaik sahaja pasport mereka disediakan. Pegawai Malaysia terus memperkemas proses pentadbiran yang biasanya sukar untuk menghubungkan mangsa berminat dalam pekerjaan dengan rantaian hotel mewah melalui pengecualian beberapa keperluan bagi pemohon pekerjaan baru, dengan memberi tumpuan pada proses penilaian risiko. Walau bagaimanapun, baki enam peserta yang layak enggan mengambil bahagian dalam program pekerjaan itu. Mereka memilih untuk pulang ke negara asal masing-masing atau berasa tidak puas hati dengan gaji yang ditawarkan, yang secara ketara lebih tinggi daripada gaji minimum. Kerajaan memulakan pembayaran elaun bulanan sebanyak RM120 kepada mangsa untuk perbelanjaan sampingan, dan melantik 12 individu untuk membentuk kohort pegawai perlindungan NGO pertama.

Pada tahun berkenaan, sebahagian besar mangsa pemerdagangan orang ditempatkan di kemudahan kerajaan sebagai sebahagian daripada arahan perlindungan sementara 21 hari mahkamah (untuk mangsa yang disyaki) atau perintah perlindungan 90 hari berikutnya (untuk mangsa pemerdagangan yang disahkan). Sesetengah mangsa, bagaimanapun, kekal berada di pusat perlindungan sehingga enam bulan. Pusat perlindungan menjadi begitu sesak berikutan peningkatan usaha polis untuk mengenal pasti mangsa yang membawa kepada lebih ramai penghuni dalam pusat perlndungan. Sebagai contoh, sebuah pusat perlindungan terbesar mempunyai kapasiti kira-kira 70 penghuni tetapi kadang-kadang menempatkan sehingga 200 atau lebih ramai orang. Kebanyakan mangsa yang tinggal di pusat perlindungan kerajaan tinggal tanpa kebebasan bergerak atau hak untuk bekerja, dan perkara ini melanggar amalan terbaik global. Seperti tahun-tahun yang lalu, ramai mangsa lebih suka kembali secara segera ke negara asal mereka. Walaupun undang-undang membenarkan mangsa untuk memberi keterangan secara jarak jauh, pihak berkuasa umumnya menjangkakan mangsa kekal berada di dalam negara sementara menunggu prosiding perbicaraan. Dalam tempoh laporan ini, ramai mangsa tidak mahu memberi keterangan. Keengganan mangsa untuk memberi keterangan saksi dilaporkan berpunca daripada keinginan untuk mengelakkan prosiding jenayah yang berlarutan, untuk pulang ke rumah dengan lebih cepat, dan rasuah atau ugutan daripada pemerdagang orang.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat mengekalkan tujuh kemudahan khusus untuk menempatkan mangsa pemerdagangan orang—empat untuk wanita, satu untuk lelaki dan dua untuk mangsa pemerdagangan kanak-kanak. Dalam tempoh laporan, kerajaan memperuntukkan RM3.06 juta untuk membuka tiga pusat perlindungan baharu di negeri Kedah, Kelantan dan Sarawak. Kerajaan menyediakan perkhidmatan asas untuk semua mangsa yang tinggal di kemudahannya, termasuk makanan, tempat tinggal, rawatan perubatan, aktiviti sosial dan agama, serta keselamatan; NGO menyediakan beberapa perkhidmatan pemulihan dan kaunseling mangsa di kebanyakan tempat perlindungan, biasanya tanpa pembiayaan kerajaan. Mangsa boleh membuat panggilan telefon sekurang-kurangnya sekali sebulan dan kakitangan pusat perlindungan memberi peluang kepada mangsa untuk melibatkan diri dalam kerja kraftangan dan aktiviti penjanaan pendapatan yang lain. Secara umum, NGO kekurangan kakitangan dan menyatakan bahawa mereka mempunyai kesukaran untuk mengekalkan sumber yang mencukupi untuk menyediakan perkhidmatan yang konsisten kepada mangsa. Dalam tempoh laporan ini, pegawai Malaysia memberikan RM483,000 kepada tiga NGO—10 kali lebih daripada yang diperuntukkan dalam tahun sebelumnya untuk menjalankan pelbagai program dan aktiviti bersama penghuni pusat perlindungan pemerdagangan, dan juga menambah peruntukan pembiayaan kepada RM5.3 juta, meningkat daripada RM4.6 juta pada tahun sebelumnya, kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mengendalikan kemudahan kerajaan untuk mangsa pemerdagangan.

PENCEGAHAN

Kerajaan mengekalkan usaha sederhana untuk mencegah pemerdagangan. MAPO diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri dan mempunyai perwakilan daripada lima badan penguatkuasaan, entiti kerajaan yang lain, dan dua wakil NGO. Ia bertemu hampir setiap bulan dan aktif dalam menyelaras usaha antara agensi antipemerdagangan orang dan menjalankan latihan untuk kementerian, selain sesi rundingan dengan rakan NGO untuk menguatkan perlindungan mangsa. Pada 2016, kerajaan telah mengekalkan peruntukan sebanyak RM4 juta untuk menjalankan urus setia MAPO. Timbalan Perdana Menteri meluluskan pelan tindakan negara dikemas kini yang merangkumi tempoh 2016-2020, menggariskan objektif kerajaan untuk memerangi pemerdagangan orang dengan mengukuhkan undang-undang, meningkatkan kerjasama dan kemahiran siasatan agensi penguatkuasaan undang-undang, meningkatkan kesedaran awam, dan meningkatkan kerjasama dengan NGO dalam perlindungan mangsa. Kerajaan menerbit dan menyiarkan 6,492 siaran radio perkhidmatan awam dan 1,648 segmen televisyen dalam tempoh laporan ini, berbanding 6,447 dan 1,347 pengumuman seumpama masing-masing pada 2015. Kerajaan juga mengedarkan 20,000 buku kecil mengandungi maklumat pemerdagangan orang melalui 139 pusat maklumat di seluruh negara; ia mengedarkan 50,000 pada tahun sebelumnya. Pegawai buruh juga menyediakan kain rentang dan papan tanda pelbagai bahasa di ruang menunggu pekerja asing baharu yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk membantu mendidik tentang hak mereka di Malaysia. Dalam tempoh laporan, kerajaan telah menganjurkan 11 program peningkatan kesedaran dengan industri perladangan untuk menyedarkan mereka tentang petunjuk buruh paksa; kerajaan mengadakan program serupa dalam sektor elektronik pada tempoh laporan sebelumnya.

Kerajaan mempunyai MOU sedia ada dengan kerajaan Sri Lanka, Vietnam, Thailand, China, Pakistan, Bangladesh, India, Indonesia, dan Kemboja untuk memperbaiki peraturan kontrak dan hak pekerja asing. Pada 2016, kerajaan mengembangkan MOU dengan Kemboja—dibuat pada 2015 untuk mengawal selia pembantu rumah Kemboja di Malaysia—untuk memasukkan pekerja kilang, ladang, dan pembinaan. Undang-undang pekerjaan terus menyisihkan pembantu rumah daripada beberapa perlindungan, termasuk gaji minimum di negara ini. Pemeriksa buruh menjalankan 49,610 pemeriksaan buruh, yang mengakibatkan pengeluaran 5,297 notis koreksi dan rujukan 27,063 pertikaian buruh kepada mahkamah buruh. Pegawai buruh merujuk dua kes kepada Pejabat Peguam Negara untuk pendakwaan, manakala selebihnya diselesaikan melalui bayaran balik kepada pekerja dieksploitasi dan mengenakan denda kepada majikan yang tidak patuh; pada 2015 kerajaan melaporkan 47,000 pemeriksaan buruh, 6,500 saman dikeluarkan kerana melanggar Akta Pekerjaan, dan tujuh kes eksploitasi buruh dirujuk untuk prosiding jenayah —hasil tujuh kes ini tidak diketahui pada akhir tempoh laporan. Berikutan dakwaan bahawa salah satu pembekal buruh menipu pekerja asing mengenai upah dan menempatkan mereka dalam keadaan yang teruk, McDonald’s Malaysia menghentikan kerjasama dengan pembekal buruh itu. Kerajaan tidak menunjukkan usaha untuk mengurangkan permintaan untuk seks komersial. Kerajaan menyediakan latihan antipemerdagangan untuk kakitangan diplomatik dan tenteranya sebelum mereka dihantar ke luar negara dalam misi pengaman antarabangsa.

PROFIL PEMERDAGANGAN

Seperti yang dilaporkan dalam tempoh lima tahun yang lalu, Malaysia menjadi negara destinasi dan, sedikit sebanyak, negara sumber dan transit untuk lelaki, wanita, dan kanak-kanak yang terdedah kepada buruh paksa serta wanita dan kanak-kanak yang terdedah kepada pemerdagangan seks. Sebahagian besar mangsa pemerdagangan adalah dalam kalangan kira-kira dua juta pekerja asing sah, dan tanpa izin yang jumlahnya lebih ramai di Malaysia. Pekerja asing membentuk lebih daripada 20 peratus tenaga kerja di Malaysia dan biasanya berhijrah secara sukarela—selalunya secara haram—ke Malaysia dari Bangladesh, India, Nepal, Myanmar, Indonesia, Filipina, dan negara Asia Tenggara yang lain, kebanyakannya untuk mengejar peluang ekonomi yang lebih baik. Sesetengah pendatang ini dikerah menjadi buruh paksa atau terikat dengan hutang oleh majikan mereka, ejen pekerjaan, atau perekrut buruh tidak formal apabila mereka tidak mampu untuk membayar yuran untuk pengambilan kerja dan perjalanan yang berkaitan. Pekerja asing yang diambil bekerja oleh syarikat penyumberan luar atau syarikat perburuhan kontrak, yang mungkin atau mungkin tidak mengambil berat tentang isu pekerja atau keadaan kerja harian, terdedah kepada eksploitasi dan kekurangan keupayaan dalam menyelesaikan pertikaian. Ejen di negara sumber buruh boleh mengenakan yuran yang membebankan kepada pekerja sebelum mereka tiba di Malaysia, dalam sesetengah kes menyebabkan ikatan hutang. Pekerja asing di Malaysia dan syarikat yang mengambil mereka bekerja adalah tertakluk kepada sistem yuran kerajaan yang kompleks untuk pemprosesan imigresen, levi pekerja asing, dan proses tadbir yang lain. Undang-undang membenarkan kebanyakan yuran ini, yang pada mulanya dibayar oleh majikan, untuk ditolak daripada gaji pekerja. Ini memberi dorongan kepada majikan untuk menghalang pekerja daripada menamatkan pekerjaan mereka sebelum yuran dapat dibayar semula sepenuhnya. Pihak berkuasa melaporkan sindiket jenayah terancang besar yang bertanggungjawab untuk sesetengah kejadian pemerdagangan. Penglibatan pegawai kerajaan dan rasuah dalam kalangan pegawai imigresen dan polis masih menjadi masalah dan menghalang beberapa usaha untuk menangani pemerdagangan. Penemuan kem pendatang asing dan kubur besar di sepanjang sempadan dengan Thailand pada 2015 mendedahkan bahawa beberapa pegawai bersubahat dalam memudahkan penyeludupan migran, yang mungkin termasuk jenayah pemerdagangan orang. Walau bagaimanapun, tidak ada pegawai Malaysia ditahan atas jenayah yang dilakukan.

Sesetengah pekerja asing di ladang kelapa sawit dan ladang pertanian, di tapak pembinaan, dalam industri elektronik, dan di rumah sebagai pembantu rumah mengalami amalan yang boleh berunsur kerja paksa, seperti penahanan pasport—sama ada secara sah atau tidak sah—dan pelanggaran kontrak, pengehadan pergerakan, penipuan bayaran, dan pengenaan hutang yang ketara oleh ejen pengambilan pekerjaan atau majikan. Pelanggaran kontrak kekal meluas di Malaysia. Penahanan pasport kekal meluas dan menjadi masalah. Undang-undang Malaysia membenarkan majikan untuk menahan pasport pekerja dengan kebenaran pekerja, tetapi sukar untuk menentukan sama ada pekerja secara sukarela memberi kebenaran, dan sesetengah majikan menahan pasport untuk mengelakkan pekerja daripada menukar pekerjaan. Dalam usaha untuk memintas langkah perlindungan antipemerdagangan yang dibuat oleh kerajaan Indonesia, terdapat pekerja Indonesia menjadikan Malaysia sebagai transit sah dalam perjalanan ke negara Timur Tengah, di mana sesetengah mereka boleh mengalami perhambaan pembantu rumah. Walaupun jumlah buruh paksa hanya kecil, beberapa wanita terutamanya wanita asing muda—kebanyakannya dari Asia Tenggara—direkrut kononnya untuk bekerja secara sah di restoran, hotel, dan salun kecantikan di Malaysia, tetapi terpaksa atau dipaksa melakukan kerja yang menawarkan khidmat seks. Wanita dan gadis Vietnam diatur untuk berkahwin di Malaysia dan kemudiannya dipaksa melacur.

Lebih daripada 150,000 pelarian berdaftar dan pencari suaka di Malaysia tidak mempunyai status formal dan keupayaan untuk mendapatkan permit kerja sah,yang menjadikan mereka terdedah kepada pemerdagangan orang. Kebanyakan mereka menanggung hutang yang banyak kerana diseludup. Hutang ini dijadikan ikatan hutang ke atas sesetengah pelarian oleh pemerdagang orang. Kanak-kanak daripada komuniti pelarian di Semenanjung Malaysia dilaporkan mengalami keadaan dipaksa mengemis. Sebahagian besar populasi orang Islam Filipina tinggal secara haram di Sabah, sesetengah daripada mereka terdedah kepada pemerdagangan. Hanya sedikit rakyat Malaysia yang mengalami pemerdagangan di dalam dan di luar negara.