Flag

An official website of the United States government

Kenyataan daripada Presiden Joe Biden dan Wanita Pertama Jill Biden Sempena Aidilfitri
3 MINIT DIBACA
April 21, 2023

BRIEFING ROOM

STATEMENTS AND RELEASES

 

Saya dan Jill ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada komuniti Islam di Amerika Syarikat dan di seluruh dunia selepas berakhirnya bulan Ramadan yang mulia.

 

Dengan terlihatnya anak bulan, Aidilfitri dirayakan oleh umat Islam selepas sebulan berpuasa. Mereka menghias rumah, memberi hadiah kepada orang tersayang, memakai pakaian baharu, serta melawat keluarga dan rakan-rakan.  Saya terharu dengan kemurahan hati yang ditunjukkan oleh keluarga yang memberi makan dan menyumbang bantuan kepada mereka yang memerlukan melalui Zakat Fitrah.

 

Aidilfitri menandakan berakhirnya bulan mulia yang didedikasikan untuk beribadat, beramal, dan bermuhasabah—juga masa untuk kita mengingati komuniti Islam di seluruh dunia yang mengalami konflik, kemiskinan, kelaparan, dan penyakit, serta mereka yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka.  Dalam kita meraikan kemuliaan hari raya ini, marilah kita juga menegaskan semula komiten kita pada usaha tanpa mengenal penat lelah untuk membina keamanan serta membela hak dan maruah semua orang.  Pentadbiran saya juga komited untuk menangani semua bentuk kebencian, termasuk Islamofobia.  Inilah sebabnya saya menubuhkan pasukan petugas antara agensi dengan pegawai kanan kerajaan untuk menanganinya dan cabaran yang berkaitan serta menggalakkan setiap rakyat Amerika Syarikat membina negara yang lebih inklusif.

 

Kami berbesar hati untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri di Rumah Putih sekali lagi tahun ini untuk memberi penghormatan kepada warga Muslim Amerika yang memberi sumbangan di seluruh negara. Mereka berada di makmal dan di kilang, bekerja untuk mencipta serta mengeluarkan teknologi dan inisiatif termaju bagi membina masa depan Amerika. Mereka ialah artis serta penjaga, yang menyerikan keindahan fabrik bagi kreativiti dan kemurahan hati negara kita.  Mereka ialah guru dan anggota bomba serta ahli komuniti, yang merintis usaha untuk membina persefahaman dan perpaduan yang lebih erat di seluruh negara kita.  Mereka ialah atlet, wartawan, pelawak, ahli akademik, anggota tentera kebanggaan kita — dan memainkan banyak lagi peranan lain yang membentuk fabrik Amerika.

 

Kepada semua yang meraikannya, saya dan Jill mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada anda dan keluarga tersayang. Eid Mubarak!

###