Flag

An official website of the United States government

Setiausaha Antony J. Blinken di Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mengenai Iklim dan Keselamatan
7 MINIT DIBACA
September 23, 2021

Secretary of State BlinkenKENYATAAN
ANTONY J. BLINKEN, SETIAUSAHA NEGARA
IBU PEJABAT PBB
NEW YORK CITY, NEW YORK
Pautan Tetap: https://www.state.gov/secretary-antony-j-blinken-at-un-security-council-meeting-on-climate-and-security/

SETIAUSAHA BLINKEN:  Terima kasih banyak, Taoiseach.  Setiausaha Agung Guterres, terima kasih atas kehadiran anda, terima kasih atas kepimpinan anda mengenai iklim.  Dan Taoiseach, terima kasih banyak kerana mengadakan perbincangan hari ini, kerana meletakkan hubungan antara iklim dan keselamatan dalam agenda Majlis Keselamatan.  TTerima kasih juga, bersama rakan-rakan kami dari Niger, atas kerja penting yang dilakukan oleh Ireland dan Niger dengan Kumpulan Pakar Informal mengenai Iklim dan Keselamatan.  Saya juga ingin memuji testimoni Cik Elman yang sangat kuat.  Kami amat berterima kasih kerana mendapatkannya hari ini.

Sejak hari pertama, Presiden Biden menjadikan menangani krisis iklim sebagai keutamaan pentadbiran kami, termasuk dengan mengarahkan saya – dan setiap diplomat kami – untuk memastikan bahawa ia elemen teras dasar luar AS.  Kami mempertimbangkan bagaimana setiap penglibatan dua hala dan pelbagai hala yang kami ada – setiap keputusan dasar yang kami buat – akan mempengaruhi matlamat kami untuk menjadikan dunia berada di jalan yang lebih selamat dan lebih lestari.

Ia dibuat bukan sahaja kerana implikasi yang dahsyat – dan dalam beberapa keadaan, tidak dapat dipulihkan – oleh perubahan iklim untuk planet kita yang hebat ini.  Ia juga kerana kesannya yang berantai ke atas hampir setiap aspek kehidupan kita, daripada pertanian kepada infrastruktur, daripada kesihatan awam kepada keselamatan makanan.  Dan kita telah mendengar beberapa perkara ini dijelaskan.

Di sini di New York City tempat kita berkumpul hari ini, awal bulan ini, satu ribut dahsyat yang disebabkan oleh sisa-sisa Taufan Ida telah membunuh puluhan orang, termasuk seorang budak lelaki berusia dua tahun, dan menyebabkan kerosakan berpuluh-puluh bilion dolar.  Lebih dari tiga inci hujan turun di Central Park dalam satu jam, yang memecahkan rekod cuma beberapa minggu sebelumnya.

Lihatlah di mana-mana negara kita, anda akan melihat peristiwa cuaca ekstrem yang menjadi lebih teruk seperti ini.  Krisis iklim bukannya akan mendatang.  Ia sudah ada di sini.

Dan pola yang jelas muncul dalam impaknya.  Akibatnya telah menimpa secara tidak seimbang ke atas populasi rentan dan berpendapatan rendah.  Dan perkara ini memburukkan lagi keadaan dan penderitaan manusia di tempat-tempat yang dilanda konflik, tahap keganasan dan ketidakstabilan yang tinggi.

Impak-impak yang semakin meningkat ini – bersama dengan laporan sintesis yang dikeluarkan minggu lalu dan laporan komprehensif Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim yang dikeluarkan bulan lalu – menekankan keperluan mendesak untuk mengurangkan emisi kita secara dramatik dan membangun daya tahan kita untuk perubahan yang tidak dapat dielakkan pada masa akan datang.

Satu cara untuk melakukan itu adalah dengan membantu orang lain melakukan bahagian mereka.  Pada bulan April lepas, Presiden Biden mengumumkan bahawa Amerika Syarikat akan menggandakan pembiayaan antarabangsa awam kami untuk negara-negara membangun yang paling banyak dilanda krisis iklim.  Awal minggu ini, di sini di PBB, beliau mengumumkan bahawa kami akan bekerjasama dengan Kongres A.S. untuk menggandakan jumlah itu sekali lagi.  Kami mendesak kerajaan-kerajaan lain untuk meningkatkan pelaburan ini – terutama seperti di Amerika Syarikat, yang merupakan pengeluar emisi terbesar.

Majlis Keselamatan juga berperanan penting – dalam tiga cara yang ingin saya nyatakan secara ringkas.

Pertama, kita perlu berhenti membahaskan apakah krisis iklim perlu dibincangkan dalam Majlis Keselamatan, sebaliknya bertanya bagaimana Majlis ini dapat memanfaatkan kuasanya yang unik untuk menangani impak negatif iklim terhadap keamanan dan keselamatan.  Itu adalah perbahasan yang sepatutnya sudah lama diselesaikan.

Lihatlah hampir di setiap tempat di mana anda melihat ancaman terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa hari ini – dan anda akan mendapati bahawa perubahan iklim menjadikan keadaan kurang aman, kurang selamat, dan menjadikan respons kita lebih mencabar.  Itulah kisah mengenai Syria, Mali, Yemen, Sudan Selatan, Ethiopia, banyak tempat lain yang dilanda pertelingkahan.  Dengan bersetuju bahawa masalah ini perlu dibincangakn di Majlis Keselamatan, kita juga akan menghantar mesej yang jelas kepada masyarakat antarabangsa mengenai implikasi serius yang disebabkan oleh perubahan iklim terhadap keselamatan bersama kita.

Kedua, misi lapangan PBB perlu secara konsisten memasukkan kesan perubahan iklim ke dalam perancangan dan pelaksanaannya, seperti yang dilakukan dalam mandat untuk Misi Bantuan PBB untuk Iraq, Misi Penstabilan Bersepadu Multidimensi PBB di Mali, dan Pejabat PBB untuk Afrika Barat dan Sahel, antara lainnya.  Dengan melakukan itu akan memajukan aktiviti-aktiviti misi; ia akan memupuk kestabilan; ia akan membina daya tahan.

Ketiga, sistem PBB perlu selanjutnya mengintegrasikan analisis berkaitan iklim ke dalam mediasi konflik dan usaha pencegahan konflik, terutama di negara-negara yang rapuh dan kawasan yang mempunyai konflik aktif.  Keputusan Jabatan Hal Ehwal Politik dan Pembangunan Keamanan PBB untuk memasukkan keselamatan iklim dalam Pelan Strategiknya untuk pertama kalinya pada tahun 2020 dan Mekanisme Keselamatan Iklim adalah contoh yang sangat positif.

Kepada sesiapa yang meragukan keperluan langkah-langkah ini, saya cuma menggalakkan anda untuk bertanya kepada beberapa komandan pasukan PBB, utusan khas, perunding, pembangun keamanan, dan lain-lain yang ada di luar sana yang bergelut dengan impak iklim dalam usaha harian mereka.  Mereka dahagakan lebih banyak alatan seperti ini.

Saya telah fokus hari ini pada ancaman yang ditimbulkan oleh krisis iklim.  Tetapi izinkan saya katakan sebagai penutup, adalah menjadi kesilapan untuk melihat perkara ini hanya melalui lensa tersebut.

Kita bersetuju bahawa untuk mencegah akibat bencana, semua negara kita mesti mengambil tindakan segera dan berani untuk membina ketahanan, untuk menyesuaikan dengan impak yang tidak dapat dielakkan, dan bergerak cepat ke dunia bersih sifar.  Itu adalah pecutan bersama kita untuk COP26, yang tinggal hanya beberapa minggu lagi.  Dan jika kita ingin mencapai tujuan untuk mengehadkan pemanasan global hingga 1.5 darjah Celsius, setiap negara perlu membawa cita-cita mereka ini setinggi mungkin ke dalam perbincangan.

Tetapi usaha ini – dan pelaburan yang mereka perlukan daripada kita semua – juga memberikan peluang yang belum pernah terjadi sebelumnya untuk memperluas akses kepada tenaga bersih yang berpatutan; untuk membina infrastruktur hijau; untuk mewujudkan pekerjaan dengan gaji yang baik – semuanya boleh menjadi tunjang pertumbuhan ekonomi jangka panjang, menerbalikkan ketidakseimbangan yang semakin meningkat di dalam dan di antara negara kita, dan memperbaiki kehidupan orang di seluruh dunia.

Oleh itu, walaupun kita mempunyai pandangan jelas tentang ancaman tersebut, jangan sampai kita melupakan peluang global sekali dalam satu generasi ini.  Janganlah hanya didorong oleh ketakutan terhadap semua kerosakan yang boleh ditimbulkan – dan yang telah ditimbulkan – oleh krisis iklim tetapi juga dengan imaginasi bahawa semua cara tindak balas kita sebenarnya dapat menjadikan kehidupan orang lebih baik, pada masa sekarang dan masa depan.

Terima kasih banyak.