Jabatan Negara A.S
Antony J. Blinken, Setiausaha Negara
Hotel Four Seasons
Kuala Lumpur, Malaysia
Pautan Kekal: https://www.state.gov/secretary-antony-j-blinken-at-energy-transition-roundtable/
MODERATOR: Brian McFeeters dari Kedutaan A.S. Saya ingin memperkenalkan Setiausaha Negara Antony Blinken untuk bercakap tentang peralihan tenaga Malaysia.
Tuan Setiausaha.
SETIAUSAHA NEGARA BLINKEN: Brian, terima kasih banyak, dan kepada anda semua, saya berasa amat gembira dapat bersama anda pada hari ini. Dan saya mulakan, Tuan Menteri, dengan mengucapkan terima kasih kerana sudi bersama kami, kerana meluangkan masa pada hari ini. Dan kepada semua rakan kami, anda semua memainkan peranan penting dalam menerajui peralihan tenaga bersih Malaysia. Dan bagi tujuan itulah kami ingin meluangkan sedikit masa untuk bercakap tentang hal tersebut hari ini.
Usaha ini amat penting kerana salah satu perkara yang kita sedia maklum dan kita rasai hampir setiap hari bahawa krisis iklim bukan lagi merupakan satu cabaran masa hadapan yang masih jauh. Ia sudah berada di sini sekarang. Malah, setiap negara di Bumi ini dapat merasakan kesannya. Negara Malaysia, sebagai contoh, pernah mengalami ribut petir yang melampau dan banjir di pantai timur semasa musim tengkujuh. Dan sudah tentu, kami mempunyai pengalaman kami sendiri di Amerika Syarikat dengan kesan langsung dari perubahan iklim.
Jadi saya fikir kita semua merasakan betapa perlunya meningkatkan respons kolektif secara signifikan terhadap krisis iklim. Sebahagian besar daripadanya adalah dengan peralihan kepada tenaga bersih. Ia merupakan salah satu kaedah paling berkuasa yang sebenarnya berupaya mengurangkan pelepasan karbon. Ia juga berpotensi tinggi mencipta sumber pekerjaan dan pertumbuhan sebagai industri baharu, produk baharu, perkembangan teknologi baharu. Ia menjadi satu cara untuk mendapatkan tenaga yang mampu milik dan boleh dipercayai bagi mereka yang memerlukannya. Jadi dalam erti kata lain, ia merupakan satu kemenangan tiga kali ganda. Dan saya katakan itu tanpa memperkecilkan cabaran-cabaran dan kesukaran yang datang dengan peralihan tersebut dan yang mana boleh dibincangkan bersama.
Sebagai pengeluar sel tenaga solar ketiga terbesar di dunia, Malaysia akan menjadi negara kritikal dalam usaha ini. Malah ia sudah pun berlaku, dalam banyak hal, Malaysia sudah pun menerajui iklim. Malaysia telah menandatangani ikrar metana dan penebangan hutan global pada mesyuarat COP26 baru-baru ini di Glasgow. Ia menetapkan sasaran berani tenaga boleh diperbaharui. Dan kini kerajaan sedang mempertimbangkan undang-undang iklim baharu yang – dan juga memfokuskan kepada pelan perdagangan karbon domestik, dasar tenaga negara yang telah dikemas kini di mana ia mengutamakan tenaga boleh diperbaharui.
Tetapi seperti yang telah saya katakan pada mesyuarat COP26 yang lalu, ia juga bukan satu isu yang boleh diselesaikan oleh kerajaan secara bersendirian. Kami memerlukan sektor swasta untuk membuat pelaburan yang boleh membawa kami kepada pelepasan sifar bersih. Itulah caranya kita boleh mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius dan mencegah sesuatu yang boleh menjadi malapetaka iklim.
Hari ini kami mengumumkan perkongsian baharu antara Malaysia dan Amerika Syarikat untuk mempercepatkan peralihan Malaysia kepada tenaga bersih. Ia dipanggil Program Sektor Kuasa. Dan matlamatnya adalah untuk membantu negara Malaysia menarik pelaburan tenaga bersih yang lebih banyak dan berkualiti tinggi, dan untuk mewujudkan syarat-syarat pelaburan bagi membuahkan hasil yang terbaik mungkin. Amerika Syarikat akan memberikan sokongan khidmat nasihat kepada Kerajaan Malaysia tentang kaedah menarik pelaburan yang diperlukan bagi memenuhi matlamat tenaga bersih, termasuklah cara menilai tawaran-tawaran untuk memastikan ia benar-benar dilaksanakan.
Kami akan menyediakan bantuan teknikal untuk menaik taraf grid elektrik Malaysia supaya ia boleh mengendalikan dan mengagihkan kuasa yang dijana oleh sumber boleh diperbaharui dengan lebih baik, termasuklah solar. Dan kami akan menumpukan bantuan di kawasan-kawasan negara yang boleh mendapat manfaat paling baik, seperti Malaysia Timur, di mana pelabur-pelabur yang berkelayakan boleh mempercepatkan peralihan daripada tenaga diesel kepada tenaga solar dan kuasa bateri pada masa yang sama mencipta peluang pekerjaan dan memacu pertumbuhan.
Dan sekali lagi, pada akhirnya saya fikir itulah yang dimaksudkan dengan peralihan tenaga bersih. Ia mengenai mencipta peluang; ia mengenai menyokong inovasi. Ia mengenai melindungi komuniti di seluruh planet kita sekarang, untuk anak-anak kita, dan akhirnya cucu-cicit kita. Jadi kami amatlah bersemangat, Tuan Menteri, untuk bekerjasama dengan kerajaan tuan dan dengan sektor swasta di dalam dan di luar Malaysia dalam usaha mencapai matlamat ini. Dan saya sangat menanti-nantikan peluang ini untuk bersungguh-sungguh mendengar daripada kalian tentang beberapa peluang, beberapa cabaran dan perkara-perkara yang boleh kami lakukan untuk mengatasinya.
Dengan itu, terima kasih.
MODERATOR: Baiklah, terima kasih banyak, Tuan Setiausaha. YB Menteri, bolehkah kami mendengar komen pembukaan tuan juga?
MENTERI TENAGA DATUK SRI TAKIYUDDIN: Terima kasih, Tuan Duta. Tuan Yang Terutama Antony J. Blinken, Setiausaha Negara, tetamu yang dihormati, warga media, tuan-tuan dan puan-puan. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama dan Kedutaan A.S. di Malaysia kerana sudi menjemput saya untuk menyertai perbincangan Meja Bulat Tenaga Boleh Diperbaharui A.S.-Malaysia hari ini. Ini merupakan satu penghormatan bagi saya kerana diberi peluang ini untuk mengadakan perbincangan bersama dengan Tuan Setiausaha mengenai tenaga boleh diperbaharui, topik yang dibincangkan secara meluas di seluruh dunia hari ini tatkala masyarakat global sedang meningkatkan usaha bagi mengurangkan kesan perubahan iklim.
Berita tentang kelompok puting beliung yang telah meranapkan laluan sepanjang 200 batu merentasi Kawasan Barat Tengah dan Selatan A.S., memusnahkan banyak rumah dan meratakan premis perniagaan, adalah bukti realiti perubahan iklim, yang memerlukan tindakan segera oleh masyarakat global. Oleh itu, ia sememangnya satu peluang yang baik untuk dapat berbincang dengan Tuan Setiausaha, dan rombongan tuan yang terdiri daripada industri terkemuka mengenai cara untuk kita bekerjasama dalam membuat peralihan sektor kuasa Malaysia supaya kami dapat memainkan peranan kami sebagai sebahagian daripada komuniti global dalam mengurangkan kesan buruk perubahan iklim.
Tuan Setiausaha, tuan-tuan dan puan-puan, izinkan saya berkongsi dengan anda semua perancangan yang kami ada dalam membuat peralihan sektor kuasa kami. Seperti yang kita sedia maklum, sektor kuasa di seluruh dunia memainkan peranan penting dalam mengurangkan pelepasan global. Dan adalah benar bagi Malaysia dalam memenuhi aspirasi iklim kami untuk mencapai pelepasan GHG (Gas Rumah Hijau) sifar bersih seawal menjelang 2050. Dalam hal ini, Malaysia telah memetakan laluan karbon yang lebih rendah dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif dasar bagi membuat peralihan sektor tenaganya. Sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan bagi mencapai 31 peratus TBD (Tenaga Boleh Diperbaharui) dalam kapasiti terpasang kami pada tahun 2025, dan 40 peratus pada tahun 2035, telah membuka jalan ke arah masa depan rendah karbon untuk sektor tenaga Malaysia.
Dari segi megawatt, kapasiti terpasang TBD dijangkakan lebih daripada dua kali ganda berbanding kapasiti semasa kepada kira-kira 18,000 megawatt menjelang 2035. Dengan peningkatan kapasiti TBD, akan berlaku pengurangan sebanyak 45 peratus dalam intensiti karbon bagi setiap KDNK pada tahun 2025, dan 60 peratus lagi pada tahun 2035 berbanding tahap pada tahun 2005. Sasaran TBD akan menyokong aspirasi bersih sifar pelepasan GHG negara, yang diumumkan oleh perdana menteri kita semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 di parlimen baru-baru ini.
Kerajaan Malaysia juga telah memutuskan untuk tidak membina loji arang batu baharu apabila loji yang sedia ada tamat beroperasi. Dan menjelang tahun 2033, adalah dijangkakan bahawa lebih daripada 7,000 megawatt perjanjian pembelian tenaga arang batu, PPA, akan tamat tempoh dan digantikan dengan loji gas dan TBD. Sehingga kini, Malaysia telah mencapai 23 peratus TD (Tenaga Diperbaharui) dalam kapasiti terpasangnya. Saya yakin Malaysia mampu mencapai sasaran 31 peratus TD pada 2025 melalui pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif seperti, nombor satu, solar berskala besar; nombor dua, pemeteran tenaga bersih; nombor tiga, mekanisme kuasi pasaran yang dikenali sebagai Pengaturan Penghantaran Dipertingkat Baharu (NEDA); dan juga, nombor empat, kami mempunyai program Tarif Sesuai. Dan – ya, itulah empat inisiatif dan program yang kami laksanakan.
Memandangkan solar semakin ketara dalam sistem kuasa kita, ketidaksinambungan yang berkaitan dengan sumber tenaga boleh ubah ini perlu ditangani untuk memastikan keutuhan bekalan. Oleh itu, kami merancang untuk memperkenalkan sistem penyimpanan tenaga bateri berskala utiliti, BESS, dengan jumlah kapasiti 500 megawatt dari 2030 hingga 2034 ke dalam sistem elektrik semenanjung kami. Ini adalah salah satu bidang kerjasama yang ingin kami cuba menerokai lebih lanjut dengan Amerika Syarikat.
Kementerian ini juga sedang menjalankan satu kajian, melalui syarikat jaminan terhad di bawah kementerian kami yang dipanggil MyPower, bertugas menjadikan industri bekalan elektrik kalis masa depan. Tuan Setiausaha, tuan-tuan dan puan-puan, menyedari peningkatan permintaan untuk elektrik hijau dalam kalangan syarikat-syarikat yang mempunyai komitmen ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus), baru beberapa minggu yang lalu saya telah melancarkan Tarif Elektrik Hijau (GET), di mana di bawah program ini pelanggan-pelanggan Tarif Elektrik Hijau akan mempunyai hak eksklusif ke atas gabungan sijil RE Malaysia yang disokong oleh sijil tenaga boleh diperbaharui antarabangsa – I-REC – standard.
Program ini akan membolehkan orang ramai dan syarikat-syarikat di Malaysia mengurangkan kesan karbon mereka dalam penggunaan elektrik dengan melanggan tarif elektrik hijau pada kos tambahan hanya 3.7 sen Malaysia setiap kilowatt jam. Itu tidak sampai satu sen A.S. setiap kilowatt jam. Dan apa yang lebih menarik tentang program ini ialah pelanggan akan dikecualikan daripada sebarang surcaj tarif elektrik berikutan kenaikan harga median selama setahun.
Memandangkan daya tarikan program ini, saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa Tarif Elektrik Hijau telah mendapat sokongan yang menggalakkan daripada syarikat-syarikat multinasional, dengan 16 peratus daripada kuota yang ada telah dilanggan hanya dalam tempoh sebulan selepas pelancarannya. Oleh itu, saya ingin menjemput syarikat-syarikat A.S. di Malaysia mencari jalan untuk memenuhi komitmen ESG mereka untuk merebut peluang ini, memandangkan kebolehdapatannya adalah terhad.
Selain daripada memenuhi sasaran iklim kami, pelaksanaan inisiatif ini dijangka meningkatkan pertumbuhan ekonomi kami dengan menyediakan pelaburan baharu dan peluang pekerjaan. Sebagai contoh, apabila kami berjaya menawarkan 1,000 megawatt projek solar berskala besar dan 500 megawatt projek atas bumbung solar – pada pertengahan pandemik COVID-19 tahun lepas, peluang pelaburan bernilai kira-kira AS$1.2 billion dolar telah diwujudkan dan 18,000 peluang pekerjaan baharu telah dibuka, yang mana ia membantu dalam pemulihan ekonomi kami.
Yang Amat Berhormat, tuan-tuan dan puan-puan, Malaysia menghargai hubungan yang kukuh dan terjalin lama dengan AS Dengan itu, saya difahamkan bahawa pegawai dari kementerian saya, bersama Suruhanjaya Tenaga dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari, satu agensi di bawah kementerian kami SEDA, telah mengukuhkan bidang kerjasama utama dalam sektor tenaga dengan rakan sejawatan mereka dari AS untuk membantu Malaysia dalam perjalanan peralihan tenaganya. Sukacita saya memaklumkan kepada anda semua bahawa Malaysia berminat untuk menerima tawaran A.S. untuk menerokai kerjasama dalam bidang kelestarian dalam sektor tenaga melalui Program Sektor Kuasa A.S.
Ia menjadi hasrat kami untuk meneruskan kerjasama dengan A.S. termasuk: satu, untuk menjalankan kajian mengenai sistem hibrid penyimpanan tenaga bateri dan solar berskala besar di pantai timur Sabah, salah satu negeri di Malaysia; untuk menilai daya maju teknikal dan komersialnya sebagai pilihan untuk menggantikan loji berkuasa diesel yang lama. Untuk makluman Yang Berhormat, kajian ini merupakan keutamaan kami, dan kami berharap mendapat pertimbangan sewajarnya daripada pihak Amerika Syarikat.
Nombor dua, penggubalan pelan hala tuju untuk peningkatan integrasi solar di Malaysia. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, solar mempunyai salah satu potensi terbesar di Malaysia, dan isu berkaitan peningkatan integrasi solar – seperti kos penyepaduan dan kesediaan grid – perlu ditangani.
Nombor tiga, penggubalan pelan hala tuju bagi peningkatan keupayaan grid untuk mengoptimumkan penggunaan sumber tenaga teragih (DER), di Malaysia. Pembinaan talian penghantaran yang besar menjadi semakin mencabar apabila situasi tanah menjadi isu, terutamanya di kawasan bandar. Jadi berpaling kepada penggunaan hutan simpan bukanlah satu alternatif yang mudah diterima oleh kerajaan negeri. Oleh itu, Malaysia sedang melihat untuk mengoptimumkan DER.
Nombor empat, pembinaan kapasiti dengan Persatuan Pesuruhjaya Utiliti Kawal Selia Kebangsaan (NARUC), dalam bahagian tertentu, termasuk kemungkinan pergantungan pegawai-pegawai ST dan SEDA dengan institusi berkaitan di A.S.
Dan terakhir, untuk mencadangkan strategi-strategi Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Nasional Malaysia selepas 2025. Pelan Tindakan KT semasa kami akan berakhir pada tahun 2025. Oleh itu, kami sedang melihat untuk merangka strategi baharu untuk mempertingkatkan lagi usaha KT kami.
Tuan Setiausaha, tuan-tuan dan puan-puan, Malaysia komited untuk mengurangkan pelepasan sektor tenaga sepanjang perjalanan menuju ke arah laluan rendah karbon. Kerajaan kami telah menyediakan banyak peluang kepada peserta-peserta perniagaan dan industri, terutamanya dalam industri solar. Namun begitu, kami tahu bahawa kami berupaya melakukan lebih banyak lagi, kerana perjalanan peralihan tenaga kami bukanlah tanpa cabarannya. Kami percaya dalam pengambilan pendekatan pragmatik untuk peralihan sektor kuasa ini bagi memastikan peralihan tenaga yang adil dan saksama untuk semua.
Bercakap tentang itu, Malaysia tidak mungkin dapat mencapai matlamat tenaga lestarinya tanpa sokongan daripada pelbagai rakan kongsi antarabangsa. Oleh itu, saya percaya, dengan bantuan dan sokongan Amerika Syarikat melalui kerjasama Program Sektor Tenaga dengan Biro Tenaga dan Sumber Asli, Jabatan Negara AS, Malaysia boleh mengambil peluang ini untuk memanfaatkan kepakaran AS bagi membantu kita dalam melaksanakan peralihan sistem kuasa kami. Bersendirian kita hanya boleh berbuat begitu sedikit; bersama-sama kita boleh melakukan banyak perkara. Oleh itu, adalah menjadi harapan saya dan kerajaan kami agar kita dapat bekerjasama, Tuan Setiausaha, ke arah peralihan sistem tenaga kita demi kebaikan generasi akan datang kita. Terima kasih banyak.
###