Memulih Peranan Negara Bangsa dalam Aturan Liberal Dunia

Remarks by Secretary Pompeo on Restoring the Role of the Nation-State in the Liberal International Order (State Dept. / AP Images)
Kenyataan
Michael R. Pompeo
Setiausaha Negara
German Marshall Fund
Brussels, Belgium

4 Disember 2018


SETIAUSAHA POMPEO: Terima kasih, Ian, untuk pengenalan yang baik. Selamat pagi kepada anda semua; terima kasih kerana menyertai saya di sini hari ini. Begitu indah berada di tempat yang indah ini, untuk mendapatkan peluang membuat satu set pernyataan mengenai kerja yang anda lakukan, isu-isu yang dihadapi oleh Marshall Fund dan juga yang dihadapi wilayah kita. Sebelum saya memulakan ucapan rasmi saya hari ini, adalah – adalah tidak patut sekiraya saya tidak memberi penghormatan yang selayaknya kepada presiden ke-41 Amerika, George Herbert Walker Bush. Beliau seorang yang –ramai di sini yang mengenali beliau. Beliau ialah pejuang kebebasan untuk dunia yang kuat keazamannya — pertama sebagai juruterbang pejuang dalam Perang Dunia II, kemudian sebagai ahli Kongres. Beliau ialah duta kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan kemudian menjadi duta ke China. Beliau kemudian mempunyai tugas yang sama seperti saya iaitu pengarah CIA – saya melakukannya lebih lama daripada yang beliau lakukan. Beliau kemudian menjadi naib presiden di bawah Ronald Reagan.

Saya dapat mengenali beliau secara peribadi. Beliau ialah seorang abang, bapa, datuk yang hebat dan seorang rakyat yang mencintai Amerika. Malah, Amerika ialah satu-satunya negara yang beliau cintai lebih daripada Texas. (Ketawa.)

Saya sebenarnya berfikir bahawa beliau akan gembira kerana saya berada di sini hari ini di sebuah institusi yang dinamakan sempena pencinta kebebasan, George Marshall. Dan beliau pasti teruja untuk melihat anda semua di sini yang ramai berkumpul memberi keazaman untuk ikatan transatlantik, yang mula dijalin berdekad-dekad lamanya.

Mereka yang membina semula tamadun Barat selepas Perang Dunia II, seperti Setiausaha Marshall sebelum saya, tahu bahawa hanya kepemimpinan A.S. yang kuat, bersama dengan rakan-rakan dan sekutu kita, dapat menyatukan negara-negara berdaulat di seluruh dunia.

Oleh itu, kita bersetuju untuk menyokong institusi baru untuk membina semula Eropah dan Jepun, untuk menstabilkan mata wang, dan memudahkan perdagangan. Kita semua mengasaskan NATO untuk menjamin keselamatan diri kita dan sekutu kita. Kita memeterai perjanjian untuk mengkodifikasikan nilai-nilai Barat mengenai kebebasan dan hak asasi manusia.

Secara kolektif, kita bergabung dalam organisasi pelbagai hala untuk menggalakkan keamanan dan kerjasama dalam kalangan negara-negara. Dan kita bekerja keras – tanpa mengenal penat lelah – untuk memelihara nilai ideal Barat kerana, seperti yang Presiden Trump dijelaskan dalam ucapannya di Warsaw, nilai-nilai ini layak dipelihara.

Kepimpinan Amerika ini membolehkan kita menikmati kemajuan besar manusia dalam sejarah moden. Kita memenangi Perang Dingin. Kita memenangi keamanan. Dengan usaha kecil George H. W. Bush, kita menyatukan kembali Jerman. Inilah jenis kepimpinan yang Presiden Trump tegaskan dengan berani.

Selepas Perang Dingin berakhir, kita membenarkan aturan liberal ini mula dihancurkan. Ia mengecewakan kita di beberapa tempat, dan kadang-kadang ia mengecewakan anda dan seluruh dunia. Multilateralisme terlalu sering dilihat sebagai jalan akhir. Semakin banyak perjanjian yang kita tandatangani, kononnya kita lebih selamat. Lebih banyak birokrat yang kita ada, lebih baik sesuatu tugas itu diselesaikan.

Adakah itu yang sebenarnya? Persoalan utama yang kita hadapi ialah – persoalan tentang sama ada sistem yang sedang diatur, seperti yang wujud hari ini, dan seperti yang wujud di dunia hari ini – adakah ia berfungsi dengan baik? Adakah ia berkesan untuk semua orang di dunia?

Hari ini di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, misi menjaga keamanan berleretan selama beberapa dekad, bukannya semakin dekat kepada keamanan. Perjanjian-perjanjian yang berkaitan dengan iklim PBB dilihat oleh sesetengah negara sebagai satu-satunya cara untuk mengagihkan semula kekayaan. Bias anti-Israel telah diinstitusikan. Kuasa serantau berpakat untuk mengundi masuk negara-negara seperti Cuba dan Venezuela ke dalam Majlis Hak Asasi Manusia. PBB diasaskan sebagai sebuah organisasi yang mengalu-alukan negara-negara yang mencintai keamanan. Saya ingin bernya: Adakah hari ini PBB masih berlaku setia terhadap misinya?

Di Hemisfera Barat, adakah Pertubuhan Negara Amerika telah melakukan secukupnya untuk mempromosikan empat terasnya iaitu demokrasi, hak asasi manusia, keselamatan, dan pembangunan ekonomi di rantau ini yang termasuk negara seperti Cuba, Venezuela, dan Nicaragua?

Di Afrika, adakah Kesatuan Afrika memajukan kepentingan bersama negara-negara anggotanya?

Bagi komuniti perniagaan, dari mana saya datang, pertimbangkan hal ini: Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa telah ditubuhkan untuk membantu membina semula wilayah yang dilanda perang dan menggalakkan pelaburan dan pertumbuhan swasta. Pada hari ini, institusi-institusi ini sering menasihatkan negara-negara yang telah salah tadbir urusan ekonomi mereka untuk melakukan langkah-langkah penjimatan yang menghalang pertumbuhan dan menjauhkan aktor sektor swasta.

Di sini di Brussels, Kesatuan Eropah dan pendahulunya telah memberikan banyak kemakmuran ke seluruh benua. Eropah ialah rakan dagang tunggal Amerika yang terbesar, dan kami mendapat manfaat yang besar daripada kejayaan anda. Tetapi Brexit – satu-satunya pilihan pada situasi kini – adalah panggilan untuk kesedaran politik. Adakah EU memastikan bahawa kepentingan negara dan warganegara mereka diutamakan daripada birokrat di sini di Brussels?

Ini ialah persoalan-persoalan yang sah. Ini membawa kepada poin saya yang seterusnya: Aktor yang buruk telah mengeksploitasi ketiadaan kepimpinan kita untuk keuntungan mereka sendiri. Ini buah beracun daripada pengunduran Amerika. Presiden Trump bertekad untuk mengubahnya.

Pembangunan ekonomi China tidak membawa kepada penerimaan demokrasi dan kestabilan serantau; ia membawa kepada penindasan politik dan provokasi serantau. Kita mengalu-alukan China ke dalam aturan liberal, tetapi tidak pernah mengawal kelakuannya.

China secara rutin mengeksploitasi kelemahan dalam peraturan-peraturan Pertubuhan Perdagangan Sedunia, mengenakan sekatan pasaran, memaksa pindahan teknologi, dan mencuri harta intelek. Dan ia tahu bahawa pendapat dunia tidak ada kuasa untuk menghentikan pelanggaran hak asasi manusianya yang ala Orwell.

Iran tidak menyertai komuniti negara-negara selepas perjanjian nuklear telah ditandatangani; ia menggunakan pengaruh kekayaan yang baru dijumpai untuk pengganas dan diktator.

Teheran menahan beberapa tebusan Amerika, dan Bob Levinson telah hilang di sana selama 11 tahun. Iran secara terang-terangan mengabaikan resolusi Majlis Keselamatan PBB, berbohong kepada Pemeriksa Agensi Atom Antarabangsa mengenai program nuklearnya, dan mengelak sekatan PBB. Hanya minggu ini, Iran melancarkan ujian peluru berpandu balistik, yang melanggar Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2231.

Awal tahun ini, Tehran menggunakan Perjanjian Persahabatan A.S.-Iran untuk membuat dakwaan yang tidak berasas terhadap Amerika Syarikat di hadapan Mahkamah Keadilan Antarabangsa – kebanyakan aktiviti bersifat tidak baik ini dilakukan semasa JCPOA.

Rusia. Rusia tidak menerima nilai-nilai Barat mengenai kebebasan dan kerjasama antarabangsa. Sebaliknya, ia telah menindas suara-suara pembangkang dan menyerang negara-negara berdaulat Georgia dan Ukraine.

Moscow juga telah mengerahkan agen saraf gred tentera di negara asing, di sini di Eropah, yang melanggar Konvensyen Senjata Kimia yang mana ia menjadi pihak konvensyen itu. Dan seperti yang saya akan perincikan kemudian hari ini, Rusia telah melanggar Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Pertengahan selama bertahun-tahun.

Senarai ini masih panjang. Kita perlu mengambil berat aturan dunia hari ini untuk mencorakkan hala tuju masa hadapan. Inilah Strategi Keselamatan Nasional Amerika yang dianggap “realisme berprinsip.” Saya suka memikirkannya sebagai “pemikiran yang munasabah.”

Setiap negara – setiap negara – haruslah secara jujur mengakui tanggungjawabnya kepada warganya dan bertanyakan adakah aturan antarabangsa sekarang bagus untuk kebaikan rakyatnya. Dan jika jawapannya tidak, kita mesti bertanya bagaimana kita boleh memperbetulkannya.

Inilah yang dilakukan oleh Presiden Trump. Beliau mengembalikan Amerika Syarikat kepada peranan kepimpinan utama dunia. Beliau melihat dunia seperti itu, bukan seperti yang kita inginkan. Beliau tahu bahawa tidak ada yang dapat menggantikan negara bangsa sebagai penjamin kebebasan demokratis dan kepentingan nasional. Beliau tahu, seperti yang George H.W. Bush tahu, bahawa dunia yang lebih selamat secara konsisten menuntut keberanian Amerika di peringkat dunia. Dan apabila kita – dan apabila kita semua mengabaikan tanggungjawab kita kepada institusi yang kita telah wujudkan, orang lain akan menyalahgunakannya.

Pengkritik-pengkritik di tempat-tempat seperti Iran dan China – mereka yang sebenarnya mengancam aturan antarabangsa – mengatakan pentadbiran Trump adalah sebab sistem ini semakin hancur. Mereka mendakwa Amerika bertindak secara unilateral bukannya secara multilateral, seolah-olah setiap jenis tindakan pelbagai hala adalah sesuatu yang diinginkan. Malah rakan-rakan Eropah kita kadang-kadang mengatakan kita tidak bertindak untuk kepentingan dunia. Perkata ini tidak benar sama sekali.

Misi kita adalah untuk menegaskan kembali kedaulatan kita, memperbaharui aturan antarabangsa yang liberal, dan kita ingin rakan-rakan kita membantu dan menegaskan kedaulatan mereka juga. Kita bercita-cita untuk menjadikan aturan antarabangsa bermanfaat kepada rakyat kita – bukan untuk mengawal mereka. Amerika berhasrat untuk memimpin – sekarang dan selamanya.

Di bawah Presiden Trump, kami tidak meninggalkan kepimpinan antarabangsa atau rakan-rakan kami dalam sistem antarabangsa. Malah sebaliknya. Lihatlah, sebagai satu contoh, pada begitu banyak negara telah menyertai kami untuk kempen tekanan terhadap Korea Utara. Tidak ada negara lain di dunia yang boleh mengumpul puluhan negara, dari setiap penjuru dunia, untuk mengenakan sekatan terhadap rejim di Pyongyang.

Badan-badan antarabangsa mesti membantu memudahkan kerjasama yang meningkatkan keselamatan dan nilai-nilai dunia bebas, atau mereka mesti diperbaiki atau dihapuskan.

Apabila perjanjian dilanggar, pihak yang melanggar perlu ditentang, dan perjanjian harus diperbaiki atau dimansuhkan. Kata-kata itu bermakna sesuatu.

Oleh itu, pentadbiran kami dengan sah keluar atau merundingkan semula perjanjian dan perjanjian perdagangan yang lapuk atau berbahaya, dan pengaturan antarabangsa lain yang tidak selaras dengan kepentingan berdaulat kita, atau kepentingan sekutu kita.

Kami mengumumkan niat kami untuk menarik diri daripada Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim, tidak ada istilah yang lebih baik untuk Amerika Syarikat. Pakatan sekarang akan menyerap wang dari gaji Amerika dan pencemar yang kaya seperti China.

Di Amerika, kami telah menemui penyelesaian yang lebih baik – kami fikir penyelesaian yang lebih baik untuk dunia. Kami telah melepaskan syarikat tenaga kami untuk berinovasi dan bersaing, dan pelepasan karbon kami telah menurun secara dramatik.

Kami berubah arah dalam perjanjian Iran, kerana, antara lain, aktiviti ganas dan gangguan kestabilan oleh Teheran, yang menjejaskan semangat perjanjian dan meletakkan keselamatan orang Amerika dan sekutu kami dalam risiko. Sebagai ganti, kami mengetuai sekutu kami untuk mengekang cita-cita revolusi Iran dan menamatkan kempen Iran terhadap keganasan global. Dan kita tidak perlu birokrasi baru untuk melakukannya. Kita perlu terus membangunkan satu gabungan yang akan mencapai hasil yang akan menjadikan rakyat di Timur Tengah, Eropah, dan seluruh dunia selamat daripada ancaman Iran.

Amerika merundingkan kembali perjanjian NAFTA untuk memajukan kepentingan pekerja Amerika. Presiden Trump dengan bangganya menandatangani Perjanjian A.S.-Mexico-Canada di G20 hujung minggu lalu di Buenos Aires, dan pada hari Jumaat akan menyerahkannya kepada Kongres, badan yang bertanggungjawab kepada rakyat Amerika.

Perjanjian baru ini juga termasuk peruntukan rundingan semula, kerana tiada perjanjian perdagangan yang kekal sesuai untuk semua masa.

Kami menggalakkan rakan kongsi G20 kami untuk memperbaharui WTO, dan mereka mengambil langkah awal yang baik di Buenos Aires minggu lepas.

Saya bercakap pada awalnya mengenai Bank Dunia dan IMF. Pentadbiran Trump sedang berusaha untuk memfokuskan semula institusi-institusi ini terhadap dasar-dasar yang menggalakkan kemakmuran ekonomi, menolak untuk menghentikan pemberian pinjaman kepada negara-negara yang sudah dapat mengakses pasaran modal global – negara-negara seperti China – dan menekan untuk mengurangkan manfaat untuk pembayar cukai kepada bank pembangunan yang mampu meningkatkan modal sendiri.

Kami juga mengambil langkah untuk memimpin, dan betul-betul mengambil tindakan untuk menghentikan mahkamah antarabangsa yang tidak berprinsip, seperti Mahkamah Jenayah Antarabangsa, daripada memijak kedaulatan kami – kedaulatan anda – dan kebebasan kita semua. Pejabat Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa cuba membuka siasatan ke atas kakitangan A.S. berhubung perang di Afghanistan. Kami akan mengambil semua langkah yang perlu untuk melindungi rakyat kami, dan sekutu NATO yang berjuang bersama kami di Afghanistan daripada pendakwaan yang tidak adil. Kerana kami tahu bahawa jika ia boleh berlaku kepada orang kami, ia juga boleh berlaku kepada anda. Ia soalan yang baik: Adakah mahkamah masih berguna untuk tujuan asalnya?

Dua tahun pertama pentadbiran Trump menunjukkan bahawa Presiden Trump tidak meruntuhkan institusi-institusi ini, mahupun meninggalkan kepimpinan Amerika. Namun sebaliknya. Dalam tradisi terbaik demokrasi kami yang hebat, kami menggabungkan negara-negara yang baik di dunia untuk membina sebuah aturan liberal baru yang menghalang peperangan dan mencapai kemakmuran yang lebih besar untuk semua.

Kami menyokong institusi yang kami percaya dapat ditingkatkan; institusi yang bekerja untuk kepentingan Amerika – dan anda – bekerja untuk nilai bersama kita.

Contohnya, di sini di Belgium pada tahun 1973, bank-bank dari 15 negara telah membentuk SWIFT untuk membangunkan piawaian umum untuk pembayaran rentas sempadan, dan kini merupakan sebahagian daripada infrastruktur kewangan global kita.

SWIFT baru-baru ini memutuskan sokongan untuk bank Iran daripada platformnya kerana risiko yang Iran beri kepada sistem – kepada sistem secara keseluruhan. Ini contoh yang sangat baik daripada kepimpinan Amerika yang bekerja bersama institusi antarabangsa untuk bertindak secara bertanggungjawab.

Satu lagi contoh: Inisiatif Keselamatan Percambahan Senjata, yang dibentuk oleh 11 negara di bawah pemerintahan Bush untuk menghentikan perdagangan senjata pemusnah besar-besaran. Ia telah berkembang secara organik kepada 105 negara dan sudah pasti menjadikan dunia lebih selamat.

Dan saya tidak boleh lupa, dengan berdiri di sini, salah satu institusi antarabangsa yang terpenting – yang akan terus berkembang dengan kepimpinan Amerika. Lawatan pertama saya, dalam masa beberapa jam selepas bersumpah sebagai setiausaha negara, saya pergi ke sini untuk melawat sekutu NATO kami. Saya akan mengulangi pagi ini apa yang saya katakan tadi – ini adalah institusi yang amat diperlukan. Presiden Trump mahu semua orang membayar bahagian mereka secara adil supaya kita boleh menghalang musuh kita dan mempertahankan rakyat – rakyat negara kita.

Untuk itu, semua sekutu NATO perlu bekerja untuk mengukuhkan apa yang telah menjadi pakatan tentera terbesar dalam semua sejarah.

Tidak pernah sesekali ada pakatan yang pernah menjadi sangat kuat atau aman, dan hubungan bersejarah kita ini mesti diteruskan.

Untuk itu, saya dengan besar hati mengumumkan bahawa saya akan menjadi tuan rumah rakan sejawat negara asing untuk mengadakan pertemuan di Washington April depan, di mana kita akan menyambut ulang tahun ke-70 NATO.

Sebelum saya berhenti berucap, saya ingin mengulangi apa yang dikatakan oleh George Marshall kepada Perhimpunan Agung PBB pada masa pembentukannya pada tahun 1948. Beliau berkata, mula petikan, “Organisasi antarabangsa tidak boleh mengambil tempat usaha negara dan peribadi atau tempatan dan imaginasi individu; tindakan antarabangsa tidak boleh menggantikan bantuan sendiri.” Tutup petikan.

Kadang-kadang ia tidak popular untuk melawan status quo, untuk menyatakan apa yang kita semua nampak tetapi kadang-kadang enggan bercakap tentangnya. Tetapi jujurnya, terlalu banyak dipertaruhkan untuk kita semua di dalam bilik ini hari ini untuk tidak berbuat demikian. Inilah realiti yang Presiden Trump memahami secara mendalam.

Sama seperti generasi George Marshall yang melahirkan wawasan baru untuk dunia yang selamat dan bebas, kami menyeru anda untuk mempunyai keberanian yang sama. Seuan kami sangat penting – terutamanya dengan segera memandangkan ancaman yang kita hadapi daripada negara-negara berkuasa dan aktor yang cita-cita untuk membentuk semula aturan antarabangsa dalam imej bukan liberalnya sendiri.

Mari kita bekerjasama. Mari kita bekerjasama untuk memelihara dunia yang bebas supaya ia terus memberi manfaat kepentingan rakyat yang kita masing-masing bertanggungjawab.

Mari kita lakukan dengan cara yang mewujudkan organisasi-organisasi antarabangsa yang tangkas, yang menghormati kedaulatan negara, yang menyampaikan misi-misi mereka yang dinyatakan, dan mewujudkan nilai untuk aturan liberal dan untuk dunia.

Presiden Trump memahami dengan mendalam bahawa apabila Amerika mengetuai, keamanan dan kemakmuran hampir pasti akan berlaku.

Beliau tahu jika Amerika dan sekutu kita di Eropah tidak memimpin, pihak yang lain akan memilih untuk memimpin.

Amerika akan, seperti yang selalu ia lakukan, terus bekerjasama dengan sekutu kita di seluruh dunia menuju ke arah aturan yang aman dan liberal yang setiap warganegara dunia layak mendapatnya.

Terima kasih kerana bersama saya di sini hari ini. Semoga Tuhan memberkati anda semua. Terima kasih. (Bertepuk tangan.)