Laporan Pemerdagangan Orang 2016

MALAYSIA: SENARAI PEMERHATIAN TAHAP 2

Malaysia merupakan destinasi dan, pada tahap lebih rendah, menjadi negara sumber dan transit bagi lelaki, wanita, dan kanak-kanak yang dijadikan buruh paksa dengan sebilangan kecil kanak-kanak terdedah kepada perdagangan seks. Majoriti mangsa pemerdagangan terdiri daripada pekerja asing sah yang dianggarkan berjumlah dua juta serta pekerja asing tidak sah yang jumlahnya lebih besar di Malaysia. Pekerja asing-terutamanya dari Indonesia, Bangladesh, Filipina, Nepal, India, Burma, dan negara Asia Tenggara yang lain-biasanya berhijrah secara sukarela ke Malaysia untuk mencari peluang ekonomi yang lebih baik. Sesetengah pendatang ini dikerah menjadi buruh paksa atau terikat oleh hutang dengan majikan, ejen pekerjaan, atau perekrut buruh tidak formal apabila mereka tidak mampu untuk membayar yuran pengambilan kerja dan perjalanan berkaitan. Pekerja asing yang diambil bekerja oleh syarikat penyumberan luar atau syarikat buruh kontrak, yang mungkin terlepas pandang tentang isu kakitangan atau keadaan kerja harian telah meningkatkan pendedahan kepada eksploitasi buruh dan mengurangkan keupayaan dalam penyelesaian pertikaian. Ejen di negara sumber buruh boleh mengenakan yuran yang membebankan kepada pekerja sebelum mereka tiba di Malaysia, dalam sesetengah kes, yuran ini menyebabkan ikatan hutang. Pekerja asing di Malaysia dan syarikat yang mengambil mereka tertakluk kepada pelbagai yuran kerajaan untuk pemprosesan imigresen, levi pekerja asing, dan yuran pentadbiran yang lain. Undang-undang membenarkan kebanyakan yuran itu, yang pada mulanya dibayar oleh majikan, untuk ditolak daripada gaji pekerja. Ini memberi dorongan kepada majikan untuk menghalang pekerja daripada berhenti sebelum yuran dapat dibayar sepenuhnya. Peraturan kerajaan meletakkan beban membayar beberapa yuran imigresen dan pas bekerja pada pekerja asing. Amalan ini menjadikan pekerja lebih terdedah kepada ikatan hutang. Pihak berkuasa melaporkan sindiket jenayah terancang bertanggungjawab untuk beberapa kejadian pemerdagangan. Rasuah dalam kalangan pegawai imigresen dan polis masih menjadi masalah yang menghalang usaha untuk menangani pemerdagangan orang.

Sesetengah pekerja asing di ladang kelapa sawit dan ladang pertanian, tapak pembinaan, industri elektronik, dan di rumah sebagai pembantu rumah mengalami amalan yang boleh menjurus kepada kerja paksa, seperti penahanan pasport—sama ada secara sah atau tidak sah—dan pelanggaran kontrak, pengehadan pergerakan, penipuan bayaran, dan pengenaan hutang yang ketara oleh ejen pengambilan pekerja atau majikan. Penemuan kem migran dan kubur besar di sepanjang sempadan Malaysia dengan Thailand pada 2015 telah menjurus kepada laporan bahawa beberapa pegawai bersubahat dalam memudah cara penyeludupan migran, yang mungkin termasuk jenayah pemerdagangan orang. Dalam tahun-tahun sebelum ini, beberapa mangsa buruh paksa – termasuk rakyat Kemboja dan Burma yang berada di dalam bot nelayan Thailand telah melarikan diri daripada pemerdagang mereka di perairan Malaysia. Selepas laporan tentang penderaan, kerajaan Kemboja melaksanakan larangan ke atas rakyatnya daripada menjadi pembantu rumah di Malaysia pada 2011. Larangan itu ditarik balik pada Disember 2015 selepas majlis menandatangani dua memorandum persefahaman di antara Kerajaan Kemboja dan Malaysia untuk memperbaiki peraturan kontrak pekerja asing dan melindungi hak pekerja.  Sesetengah wanita Kemboja kekal  menjadi hamba sebagai pembantu rumah. Untuk melolos daripada usaha perlindungan dan antipemerdagangan oleh kerajaan Indonesia, terdapat laporan bahawa sesetengah pekerja Indonesia pergi  ke negara Timur Tengah melalui transit di Malaysia, di mana sesetengah mereka mungkin mengalami perhambaan sebagai pembantu rumah. Walaupun jumlah mereka hanya sebilangan kecil daripada buruh paksa, sesetengah wanita asing muda—terutamanya dari Asia Tenggara, serta pada jumlah kecil dari Afrika—diambil bekerja kononnya secara sah di restoran, hotel, dan salun kecantikan di Malaysia, tetapi sebenarnya dipaksa melacur . Sesetengah wanita dan gadis Vietnam melangsungkan perkahwinan yang diaturkan di Malaysia dan dipaksa melacur.

Lebih daripada 150,000 pelarian berdaftar dan pemohon suaka politik di Malaysia tidak mempunyai status rasmi atau keupayaan untuk mendapatkan permit kerja sah, yang menjadikan mereka terdedah kepada pemerdagangan. Kebanyakan mereka menanggung hutang banyak selepas diseludup. Hutang ini dijadikan ikatan oleh penyeludup ke atas sesetengah pelarian. Kanak-kanak daripada komuniti pelarian di Semenanjung Malaysia dilaporkan dipaksa mengemis. Sebahagian besar populasi orang Islam Filipina tinggal secara haram di Sabah, sesetengah daripada mereka terdedah kepada pemerdagangan. Hanya terdapat sejumlah kecil rakyat Malaysia yang mengalami pemerdagangan di dalam dan luar Negara.

Kerajaan Malaysia tidak mematuhi standard minimum untuk membanteras pemerdagangan sepenuhnya. Walau bagaimanapun, ia berusaha bersungguh-sungguh untuk berbuat demikian. Meskipun dengan langkah ini, kerajaan Malaysia secara keseluruhannya tidak menunjukkan peningkatan usaha antipemerdagangan berbanding dalam tempoh laporan sebelumnya. Oleh itu, Malaysia diletakkan pada Tahap 2 Senarai Pemerhatian bagi tahun kedua berturut-turut. Pada Julai 2015, Parlimen meluluskan pindaan kepada undang-undang antipemerdagangan sedia ada sebagai pembaharuan sistem perlindungan mangsa. Pindaan ini berkuat kuasa secara sah pada bulan November. Kerajaan menjadi pengerusi bersama dengan pakar pemerdagangan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi sesi perundingan dengan pihak berkepentingan persatuan sivil dalam usaha membangunkan pelaksanaan peraturan bagi pindaan itu, dengan tumpuan kepada perubahan undang-undang yang membenarkan mangsa pemerdagangan untuk tinggal dan bekerja di luar kemudahan kerajaan. Kerajaan kemudian menganjur dua sesi rundingan berikutnya dengan persatuan sivil. Buat julung kalinya, kerajaan mengongsikan teks penuh draf pelaksanaan peraturan dengan lebih 40 peserta jemputan sebelum setiap sesi perundingan dan bekerjasama dengan NGO dan wakil organisasi antarabangsa untuk membuat suntingan draf secara baris demi baris dalam dua sesi yang terakhir. Peraturan itu disiapkan pada Mac 2016 tetapi menantikan pelaksanaan secara rasmi pada akhir tempoh laporan. Dalam usaha untuk membenarkan mangsa untuk bergerak bebas dan bekerja di luar kemudahan kerajaan, kerajaan bekerjasama dengan rantaian hotel antarabangsa untuk mengenal pasti peluang pekerjaan, mengiklankan jawatan kepada lebih 100 mangsa pemerdagangan, mengeluarkan permit kerja kepada empat mangsa pemerdagangan, dan mengatur pemeriksaan perubatan sebagai sebahagian daripada proses kelulusan permit kerja untuk lima mangsa sepanjang tahun. Walau bagaimanapun, dua daripada empat pekerja pertama kemudiannya meninggalkan pekerjaan mereka, dan ramai mangsa enggan mengambil bahagian dalam program ini, sebaliknya mengatakan keinginan untuk pulang ke rumah.  Berlaku pengurangan untuk memulakan siasatan dan pendakwaan pemerdagangan di Malaysia berbanding tahun lepas, tetapi Malaysia meningkatkan sabitan daripada tiga kepada tujuh. Hukuman untuk pemerdagang yang disabitkan kesalahan adalah pelbagai, tetapi ada yang tidak cukup keras. Kerajaan menyoal siasat beberapa pegawai selepas penemuan kubur besar di sempadan Thai, tetapi tidak mendakwa mana-mana pegawai yang bersubahat dalam jenayah pemerdagangan orang dalam tempoh laporan. Kerajaan mengekalkan pasukan polis yang khusus untuk usaha antipemerdagangan, ia turut menggandakan bilangan pemeriksa buruh yang merupakan pakar antipemerdagangan, dan meningkatkan bilangan pakar pendakwa pemerdagangan. Kerajaan tidak mensabitkan mana-mana majikan yang menahan pasport secara tidak sah, walaupun amalan penahanan pasport yang meluas dan terdapat kesukaran dalam menentukan jika pekerja secara sukarela membenarkan majikannya untuk menjaga pasport mereka. Ini menunjukan penurunan berbanding satu kes sabitan pada 2014. Malaysia meneruskan usaha pencegahan pemerdagangan yang ditaja oleh kerajaan, termasuk melalui kempen kesedaran awam dan majlis menandatangani sembilan memorandum persefahaman dua hala dengan negara sumber tenaga kerja untuk memperbaiki peraturan kontrak pekerja asing dan melindungi hak pekerja.

CADANGAN UNTUK MALAYSIA:

Menerima pakai, mewartakan kepada umum, dan melaksanakan sepenuhnya peraturan-peraturan bagi pindaan 2015 untuk undang-undang antipemerdagangan dan membenarkan mangsa pemerdagangan untuk mendapatkan pekerjaan dan bergerak bebas untuk masuk dan keluar dari kemudahan kerajaan dan NGO; meningkatkan bilangan dan keberkesanan pendakwaan dan pensabitan pemerdagangan, termasuk pegawai yang bersubahat, melalui peningkatan kerjasama antara agensi penguatkuasaan undang-undang, kerjasama kukuh antara pegawai penguatkuasa undang-undang dan pendakwa, penyiasatan yang lebih berkesan, mengurangkan kelewatan kes mahkamah, dan meningkat pemahaman badan kehakiman tentang kepelbagaian jenis jenayah pemerdagangan manusia, terutamanya buruh paksa; meningkatkan kapasiti pemeriksa buruh untuk mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan kumpulan yang terdedah, seperti pekerja asing, dan untuk menyiasat pemerdagangan buruh dengan berkesan; menyesuaikan semula jadual levi pekerja asing untuk menjadikan majikan, dan bukan pekerja, yang bertanggungjawab untuk membayar yuran yang dikenakan oleh kerajaan; meningkatkan keberkesanan pengurusan kes dan komunikasi dengan mangsa pemerdagangan, termasuk melalui peningkatan interaksi antara pendakwa dan mangsa sekurang-kurangnya dua minggu sebelum perbicaraan selaras dengan arahan peguam negara; meningkatkan kerjasama dan memperuntukkan dana tambahan kepada NGO yang boleh dipercayai dan berkesan dalam menempatkan dan memberi bimbingan kepada mangsa, termasuk dalam bahasa ibunda masing-masing; memastikan pekerja, termasuk pembantu rumah, dimaklumkan sepenuhnya tentang hak untuk mengekalkan akses kepada pasport mereka pada bila-bila masa, tanpa berlengah-lengah atau perlukan keizinan, dan tanpa syarat dalam hubungan dengan majikan mereka, dan memasukkan bahasa yang jelas untuk menyatakan bahawa pasport kekal milik pekerja dalam model kontrak dan memorandum persefahaman dua hala masa depan dengan negara sumber tenaga kerja; secara berkesan menguatkuasakan undang-undang yang melarang majikan menyimpan pasport tanpa persetujuan pekerja, mendidik pekerja dan majikan mengenai hak pekerja asing, termasuk bantuan perundangan dan remedi daripada pemerdagang, dan memastikan majikan menyediakan loker atau kemudahan lain untuk penyimpanan pasport secara selamat; memperluaskan perlindungan buruh untuk pembantu rumah, terus menyiasat dakwaan penderaan pembantu rumah, dan mendidik majikan mengenai hak pembantu rumah; dan melaksanakan pelan kebangsaan 2016-2020 secara sepenuhnya untuk memerangi pemerdagangan orang.

PENDAKWAAN

Kerajaan menunjukkan usaha yang tidak sekata dalam penguatkuasaan undang-undang antipemerdagangan. Usaha kerajaan berkenaan menyebabkan penurunan jumlah siasatan dan pendakwaan, tetapi peningkatan dalam sabitan jenayah pemerdagangan daripada tiga kepada tujuh. Akta Antipemerdagangan Orang 2007 Malaysia (dipinda pada 2010) melarang semua bentuk pemerdagangan orang dan menetapkan hukuman penjara sehingga 20 tahun. Hukuman ini cukup ketat dan setara dengan yang ditetapkan bagi kesalahan serius lain seperti rogol. Pada 2015, kerajaan melengkapkan 158 siasatan untuk kes yang berkemungkinan melibatkan pemerdagangan – jumlah ini merupakan penurunan daripada 186 kes pada 2014—dan melaporkan 247 tangkapan bagi jenayah yang disyaki, angka untuk tahun sebelumnya tidak diperolehi. Pegawai kerajaan terus bergantung kepada pemeriksaan buruh dan laporan daripada pekerja untuk memulakan siasatan pemerdagangan buruh. Kerajaan telah memulakan pendakwaan terhadap 38 suspek pemerdagangan—termasuk 24 orang atas kesalahan pemerdagangan seks dan 14 orang atas kesalahan kerja paksa—menurun daripada 54 pendakwaan pada tahun sebelumnya. Kerajaan mensabitkan tujuh pemerdagang orang—lima untuk pemerdagangan seks dan dua pemerdagangan buruh—menandakan peningkatan daripada tiga pemerdagang yang didapati bersalah pada 2014. Hukuman untuk pemerdagang yang disabitkan adalah tidak sama; purata adalah lima tahun penjara. Walau bagaimanapun, majoriti hukuman adalah lemah dan tidak selaras dengan yang ditetapkan bagi kesalahan serius yang lain, termasuk seorang pemerdagang yang dikenakan satu hari penjara serta denda RM20,000, dan tiga yang lain diberi hukuman penjara setahun hingga tiga dan setengah tahun. Jabatan Peguam Negara melaporkan majoriti pendakwa mematuhi arahan bertulis yang dikeluarkan pada 2014 yang mewajibkan mereka untuk berhubung dengan mangsa sekurang-kurangnya dua minggu sebelum perbicaraan untuk lebih memahami dan menangani kebimbangan mangsa tentang proses dan tempoh perbicaraan. Walau bagaimanapun, ketersediaan yang terhad untuk jurubahasa yang diperakui dan bidang kuasa tidak berpusat di Malaysia kekal menjadi cabaran. Kerajaan meneruskan kes yang tidak memenuhi standard pembuktian bagi undang-undang antipemerdagangan, mengklasifikasikan semula kes di bawah Akta Pekerjaan, Akta Imigresen, dan undang-undang lain yang berkaitan untuk pendakwaan. Namun, tindakan kebertanggungjawaban terhadap pemerdagang kekal rendah dan tidak seimbang berbanding dengan skala masalah pemerdagangan orang di negara ini.

Polis Diraja Malaysia mengekalkan unit antipemerdagangan yang khusus, dan jabatan buruh menggandakan pasukan penguatkuasaan pemerdagangan yang khusus kepada kira-kira 30 dalam tempoh laporan ini. Jabatan Peguam Negara melantik 13 lagi timbalan pendakwa raya pemerdagangan di seluruh Malaysia, menjadikan jumlahnya 42, meningkat daripada 29 yang bekerja pada 2014. Penguatkuasaan oleh pihak kerajaan terhadap larangan penahanan pasport oleh majikan yang tidak dibenarkan undang-undang adalah masih terhad. Pihak kerajaan tidak mendakwa mana-mana majikan untuk jenayah ini pada 2015; pada 2014, kerajaan mensabitkan seorang defendan atas kesalahan undang-undang menahan pasport 29 pekerja dan mendendanya RM5,000. Amalan pemegangan pasport kekal meluas dan mengundang masalah. Undang-undang Malaysia membenarkan majikan memegang pasport pekerja dengan kebenaran pekerja, tetapi sukar untuk mengenal pasti sama ada pekerja memberi kebenaran dengan rela dan sesetengah majikan mungkin memegang pasport untuk menghalang pekerja daripada menukar pekerjaan.

Setiap lima agensi penguatkuasaan Malaysia terus menjalankan latihan antipemerdagangan dengan membabitkan jumlah pegawai yang tidak diketahui, ia memberi tumpuan antaranya kepada perlindungan mangsa, penguatkuasaan undang-undang, dan pendakwaan. Kerajaan memudah cara 10 sesi taklimat kebangsaan di peringkat negeri untuk memaklumkan agensi berkaitan tentang aspek kritikal pindaan 2015 dalam undang-undang antipemerdagangan orang. Wakil kerajaan menganjurkan kursus untuk sektor kehakiman dengan taklimat oleh Pejabat Peguam Negara kepada hakim bertugas mengenai elemen pemerdagangan orang. Pada tahun ini, pegawai kerajaan Malaysia mengambil bahagian dalam kursus khusus dan mesyuarat dua hala yang dipermudah cara oleh polis wilayah Filipina mengenai isu pemerdagangan rentas sempadan. Penemuan kem migran dan kubur besar pada bulan Mei dan Ogos 2015 di sepanjang sempadan dengan Thailand menguatkan lagi laporan tentang pegawai korup yang membantu dalam penyeludupan migran, yang mungkin juga termasuk jenayah pemerdagangan orang. Walaupun pihak berkuasa Malaysia menahan polis dan pegawai perhutanan dengan jumlah yang tidak diumumkan untuk disoal siasat, kerajaan tidak melaporkan sebarang pendakwaan atau sabitan pegawai kerajaan yang bersubahat dalam pemerdagangan orang.

PERLINDUNGAN

Kerajaan melaksanakan beberapa usaha untuk melindungi mangsa. Kerajaan terus mengubah sistem perlindungan mangsa, termasuk beberapa kemajuan dalam kerangka kawal selia untuk membenarkan pergerakan bebas mangsa dan hak untuk bekerja. Pada bulan Julai 2015, Parlimen meluluskan pindaan kepada undang-undang antipemerdagangan orang, yang secara rasmi berkuat kuasa pada bulan November 2015. Undang-undang yang disemak semula membolehkan mangsa untuk bekerja dan bergerak bebas di dalam dan di luar kemudahan kerajaan; membolehkan mahkamah untuk memerintahkan pemerdagang orang yang disabitkan untuk membayar restitusi kepada mangsa pemerdagangan dan menyediakan ruang bagi mangsa pemerdagangan untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap orang yang mengeksploitasi mereka; memperluaskan perintah perlindungan interim daripada 14 kepada 21 hari untuk membolehkan siasatan lebih menyeluruh; membenarkan NGO sebagai pegawai perlindungan untuk memberi perlindungan penempatan secara sah kepada mangsa yang ditetapkan; dan menginstitusikan jawatankuasa antipemerdagangan peringkat tinggi. Dengan dana antarabangsa, kerajaan dan pakar pemerdagangan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa menjadi pengerusi bersama sesi perundingan dengan pihak berkepentingan persatuan sivil untuk mendapatkan maklum balas dan cadangan tentang pembangunan pelaksanaan peraturan bagi pindaan kepada undang-undang antipemerdagangan, dengan tumpuan kepada perubahan undang-undang yang membolehkan mangsa pemerdagangan untuk tinggal dan bekerja di luar kemudahan kerajaan. Kerajaan kemudian menganjurkan dua sesi rundingan berikutnya dengan persatuan sivil. Buat julung kalinya, kerajaan mengongsikan teks penuh draf pelaksanaan peraturan-peraturan dengan lebih daripada 40 peserta yang dijemput sebelum setiap sesi perundingan dan bekerjasama dengan NGO dan wakil organisasi antarabangsa untuk menyunting draf dalam dua sesi lepas.

Kementerian Dalam Negeri melengkapkan peraturan pelaksanaannya pada bulan Mac 2016. Walau bagaimanapun, peraturan ini tidak secara rasmi berkuat kuasa pada akhir tempoh laporan ini kerana menunggu pelaksanaan secara rasmi dan penyiaran dalam warta rasmi. Versi akhir peraturan draf mencerminkan beberapa amalan terbaik antarabangsa dan input NGO. Perundingan tambahan dengan pihak berkepentingan persatuan sivil diperlukan untuk menangani isu operasi yang ada, termasuk batasan ke atas rakyat negara tertentu yang bekerja di sektor yang spesifik, akauntabiliti untuk menyediakan pemeriksaan perubatan dan penilaian risiko, dan peranan pegawai perlindungan NGO. Jika dilaksanakan sepenuhnya, pindaan kepada undang-undang antipemerdagangan 2015 akan membolehkan semua mangsa—termasuk rakyat asing—yang menerima perintah perlindungan untuk tinggal di kemudahan kerajaan di Malaysia, untuk bekerja, dan untuk keluar dan masuk dengan bebas dari kemudahan kerajaan atau NGO , sementara menunggu pemeriksaan perubatan dan penilaian risiko.

Dalam tempoh laporan ini, kerajaan bekerjasama dengan rantaian hotel antarabangsa untuk mengenal pasti peluang pekerjaan kepada mangsa pemerdagangan dan mengiklankan jawatan kepada lebih daripada 100 mangsa pemerdagangan di fasiliti kerajaan. Sembilan menerima tawaran itu dalam tempoh laporan ini. Ramai yang enggan mengambil bahagian dengan menyatakan mereka lebih suka untuk pulang ke negara asal masing-masing atau rasa tidak puas hati dengan gaji yang ditawarkan oleh rantaian hotel itu yang hampir dua kali ganda gaji minimum di Malaysia. Kerajaan mengeluarkan permit kerja untuk empat mangsa pemerdagangan dan mengatur pemeriksaan perubatan bagi lima yang selebihnya. Mereka menunggu pengeluaran permit kerja mereka pada akhir tempoh laporan. Dalam kes ini, kerajaan telah mengenalpasti dan menghapuskan halangan pentadbiran yang menjadikan pengambilan pekerja asing satu proses yang rumit dan berpanjangan. Dua daripada empat mangsa pemerdagangan orang yang baru bekerja meninggalkan pekerjaan mereka beberapa minggu selepas memulakan kerja. Kerajaan menawarkan pekerjaan ini kepada mangsa pemerdagangan yang baru dikenal pasti dan penghuni perlindungan lain secara tetap, namun ramai wanita terus menolak peluang itu.

Kerajaan melaporkan bahawa agensi penguatkuasaan undang-undang mengikut prosedur standard untuk mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang. Pegawai memulakan siasatan pemerdagangan buruh selepas pemeriksaan buruh dan laporan pekerja tidak dibayar gaji. Pada 2015, kerajaan mengenal pasti 1,386 mangsa pemerdagangan orang yang berpotensi. Daripada jumlah itu, kerajaan mengesahkan 305 adalah mangsa pemerdagangan orang, lebih kurang sama dengan 303 mangsa yang dikenal pasti pada 2014. Mangsa kebanyakannya rakyat Vietnam dan Indonesia, diikuti oleh Filipina dan Thailand. Kerajaan tidak sentiasa proaktif melindungi populasi pekerja asing yang terdedah berdasarkan petunjuk pemerdagangan. Keadaan ini menyebabkan sejumlah orang yang berpotensi menjadi mangsa tidak dapat dikenal pasti  atau diberi penjagaan yang sewajarnya. Undang-undang anti-pemerdagangan memberikan mangsa pemerdagangan kekebalan daripada kesalahan imigresen. Orang yang berpotensi merupakan mangsa pemerdagangan tetapi menafikan diri sebagai mangsa atau orang yang dokumennya dirampas oleh majikan mereka kadang-kadang ditahan, dihantar pulang, atau didakwa dengan kesalahan imigresen.

Pada tahun laporan, sebahagian besar mangsa pemerdagangan orang ditempatkan di kemudahan kerajaan atas arahan perlindungan sementara 21 hari daripada mahkamah (untuk mangsa yang disyaki) atau perintah perlindungan 90 hari berikutnya (untuk mangsa pemerdagangan yang disahkan). Tempoh terpanjang yang dicatatkan pada tahun ini adalah tujuh bulan. Ramai mangsa lebih gemar untuk kembali ke negara asal mereka dengan segera dan, dalam sesetengah kes, beberapa kedutaan asing memberi perlindungan kepada mangsa bagi mempercepatkan penghantaran balik dan menyediakan alternatif daripada ditempatkan di kemudahan kerajaan Malaysia. Walaupun undang-undang membenarkan mangsa untuk memberi keterangan dari tempat yang jauh, pihak berkuasa umumnya mengjangkakan mangsa kekal dalam negara sementara menunggu prosiding perbicaraan. Dalam usaha untuk mengelakkan prosiding jenayah yang berpanjangan dan membolehkan mereka pulang ke rumah dengan lebih cepat, ramai mangsa tidak bersedia untuk memberi keterangan terhadap pemerdagang orang. Terdapat laporan mendakwa bahawa pemerdagang mengugut mangsa atau merasuah mereka dengan penyelesaian luar mahkamah.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat mengekalkan tujuh kemudahan untuk menempatkan mangsa pemerdagangan—empat untuk wanita, satu untuk lelaki dan dua untuk mangsa pemerdagangan kanak-kanak. Kerajaan menyediakan perkhidmatan asas kepada mereka yang tinggal di kemudahannya, termasuk makanan, rawatan perubatan, aktiviti sosial dan agama, serta keselamatan; NGO menyediakan beberapa perkhidmatan pemulihan dan kaunseling kepada mangsa di kebanyakan tempat perlindungan, biasanya tanpa pembiayaan daripada kerajaan. Dalam tempoh laporan ini, pegawai Malaysia merundingkan perjanjian kerjasama untuk menyediakan pembekalan perkhidmatan NGO tempatan dengan RM44,000 untuk menjalankan aktiviti terapeutik di tempat perlindungan pemerdagangan orang milik kerajaan di Kuala Lumpur. Mangsa boleh membuat panggilan telefon sekurang-kurangnya sekali sebulan dan lebih kerap apabila kapasiti perlindungan tidak mencapai maksimum. Kerajaan mengekalkan peruntukan sebanyak RM4,000,000 kepada Kementerian Dalam Negeri dan RM4,600,000 kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mengendalikan kemudahan kerajaan untuk mangsa pemerdagangan pada 2015.

PENCEGAHAN

Kerajaan meningkat usaha untuk membanteras pemerdagangan secara sederhana. Majlis Antipemerdagangan Orang (MAPO) diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri dan termasuk wakil daripada lima badan penguatkuasaan, entiti kerajaan yang lain, dan dua wakil NGO. Majlis ini bertemu setiap bulan dan aktif dalam menyelaras usaha antipemerdagangan orang antara agensi. Kabinet mengadakan satu mesyuarat untuk membincangkan isu pemerdagangan orang dalam tempoh laporan ini dan secara berasingan meluluskan pelaksanaan peraturan untuk undang-undang antipemerdagangan; ia mengadakan empat mesyuarat sepanjang tahun sebelumnya. Kerajaan merangka satu pelan tindakan kebangsaan yang meliputi tahun 2016-2020 untuk menggantikan pelan 2010-2015. Kempen kesedaran antipemerdagangan kerajaan terus menekankan hukuman jenayah yang berkaitan dengan eksploitasi seks komersil. Kerajaan menerbit dan menyiarkan 6,447 siaran radio awam dan 1,347 segmen televisyen dalam tempoh laporan ini, meningkat daripada 3,947 dan 1,179 hebahan masing-masing pada 2014. Kerajaan juga menyebarkan 50,000 buku kecil yang mengandungi maklumat mengenai pemerdagangan melalui 139 pusat maklumat di seluruh negara. Hebahan awam di penerbangan yang tiba dari negara sumber memberi amaran tentang hukuman berat di bawah undang-undang antipemerdagangan orang. Media sering membuat liputan berita berkaitan pemerdagangan, walaupun sering mencampurkannya dengan penyeludupan migran. Kementerian Dalam Negeri terus mendekati syarikat elektronik dan majikan Malaysia mengenai isu pemerdagangan orang, termasuk di Simposium Akademi Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia pada bulan Oktober 2015. Pada 2014, kerajaan menyasarkan 100 syarikat dalam industri elektronik di Pulau Pinang, Shah Alam dan Johor untuk secara strategik menyedarkan orang awam tentang petunjuk buruh paksa, seperti penahanan pasport. Kerajaan bersama dengan organisasi antarabangsa antipemerdagangan menganjurkan satu bengkel serantau di Kuala Lumpur pada bulan Disember 2015, peserta dari negara ASEAN dan pertubuhan sivil bekerja bersama-sama untuk membangunkan petunjuk umum untuk pengamal mengenal pasti mangsa pemerdagangan dengan lebih berkesan.

Kerajaan menandatangani memorandum persefahaman dengan kerajaan Sri Lanka, Vietnam, Thailand, China, Pakistan, Bangladesh, India, Kemboja dan Indonesia untuk memperbaiki peraturan kontrak dan hak pekerja asing. Pada bulan Disember 2015, kerajaan menandatangani dua memorandum persefahaman untuk mengawal pengambilan pembantu rumah Kemboja di Malaysia, yang menyebabkan kerajaan Kemboja menarik balik larangan 2011 ke atas rakyatnya untuk bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia. Walau bagaimanapun, sesetengah wanita kekal menjadi hamba pembantu rumah. Undang-undang Pekerjaan terus menyisihkan pembantu rumah daripada beberapa perlindungan, termasuk gaji minimum di negara ini. Pemeriksa buruh menjalankan lebih daripada 47,000 pemeriksaan buruh, mengeluarkan 6,500 saman atas pelanggaran Akta Pekerjaan, dan merujuk tujuh kes eksploitasi buruh bagi prosiding jenayah, jumlah yang agak rendah berbanding tahap pemerdagangan buruh di negara ini; keputusan daripada tujuh kes belum tersedia pada akhir tempoh laporan ini. Mahkamah Buruh juga menyelesaikan lebih daripada 16,000 kes tidak dibayar gaji dan majikan terpaksa membayar lebih daripada RM35.4 juta dalam pembayaran tunggakan gaji dan kira-kira RM2.2 juta denda. Kerajaan menyediakan latihan antipemerdagangan untuk kakitangan diplomatik dan tenteranya sebelum mereka dihantar ke luar negara dalam misi pengaman antarabangsa.