Ulasan Setiausaha: Ulasan Dengan Wakil Tetap ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Nikki Haley

Ulasan
Michael R. Pompeo
Setiausaha Negara
Ibu Pejabat PBB
Bandar raya New York
20 Julai 2018


SETIAUSAHA POMPEO: Selamat tengah hari semua. Pertama sekali saya ingin menyampaikan penghargaan kepada rakan baik saya Duta Haley dan pasukan beliau yang cemerlang di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Kepimpinan beliau dalam menjaga kepentingan Amerika berhubung Korea Utara serta pelbagai isu lain telah terbukti pada pagi ini hasil sokongan pasukan beliau yang hebat. Saya ucapkan terima kasih kepada Nikki.

Tujuan utama ke sini pada hari ini adalah untuk bertemu dengan para anggota Majlis Keselamatan PBB – serta Korea Selatan dan Jepun – untuk menyampaikan butiran usaha saya ketika lawatan ke Korea Utara pada awal bulan ini serta kemajuan yang dicapai semasa lawatan. Saya turut berpeluang menemui Setiausaha Agung PBB Guterres untuk membincangkan topik ini serta topik-topik lain.

Negara-negara Majlis Keselamatan bersetuju tentang keperluan penghapusan senjata nuklear yang sepenuhnya dan muktamad bagi Korea Utara sebagaimana yang dipersetujui oleh Pengerusi Kim. Penguatkuasaan sekatan yang ketat adalah penting bagi kita mencapai matlamat ini.

Para anggota Majlis Keselamatan PBB khususnya dan semua negara ahli PBB secara amnya telah bersetuju sebulat suara untuk menguatkuasakan sepenuhnya sekatan ke atas Korea Utara dan kita menjangkakan mereka akan terus mematuhi komitmen tersebut. Apabila sekatan tidak dikuatkuasakan, harapan untuk kejayaan penghapusan senjata nuklear akan pudar. Pada ketika ini Korea Utara sedang menyeludup produk petroleum secara haram ke negara tersebut pada kadar yang jauh melebihi kuota yang ditentukan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Pemindahan haram dari kapal ke kapal ini merupakan cara yang paling utama penyeludupan ini berlaku.

Pemindahan ini telah berlaku sekurang-kurangnya 89 kali pada lima bulan pertama tahun ini dan penyeludupan ini terus berlaku. Amerika Syarikat mahu mengingatkan setiap negara ahli PBB tentang tanggungjawab masing-masing untuk menghentikan pemindahan haram dari kapal ke kapal ini dan kami menggesa mereka untuk meningkatkan usaha penguatkuasaan.

Kita juga perlu menghentikan sebarang usaha mengelak sekatan yang lain, termasuklah penyeludupan arang batu melalui laut, penyeludupan melalui sempadan darat dan kehadiran pekerja tamu Korea Utara di sesetengah negara. Kecurian siber oleh Korea Utara serta aktiviti jenayah yang lain turut menjana hasil yang besar kepada rejim dan semuanya ini perlu dihentikan.

Presiden Trump kekal positif terhadap prospek penghapusan senjata nuklear Kora Utara. Saya pun sama, memandangkan kemajuan yang sedang berlaku. Pentadbiran Trump berharap satu hari nanti DPRK dapat bersama-sama kita di pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu – bukan sebagai pariah tetapi sebagai sahabat. Bayangkan mesyuarat Majlis Keselamatan PBB di mana program nuklear dan misil DPRK bukan lagi menjadi agenda. Kita akan dapat menumpukan tenaga terhadap masalah penting lain yang dihadapi oleh dunia.

Saya dan juga Presiden Trump percaya ini boleh menjadi suatu kenyataan. Tetapi penguatkuasaan sekatan yang sepenuhnya diperlukan untuk kita mencapainya. Pengerusi Kim juga perlu mematuhi komitmen peribadi yang dibuat beliau kepada Presiden Trump di Singapura. Laluan seterusnya bukannya mudah dan usaha ini akan mengambil masa. Tetapi harapan kami untuk dunia yang lebih selamat untuk kita semua dan masa depan yang lebih cerah untuk Korea Utara kekal menjadi objektif kami dan moga harapan ini dapat bertahan.

Terima kasih. Duta Haley.

DUTA HALEY: Terima kasih banyak. Saya gembira rakan saya, Setiausaha Pompeo, dapat bersama dan bermesyuarat dengan Majlis Keselamatan pada hari ini.

Inilah yang kita tahu setakat ini. Lapan belas bulan lalu ketika saya mula menjawat jawatan, kebimbangan utama kita adalah Korea Utara. Semua orang tertanya-tanya bilakah ujian baharu akan dilakukan, apakah ancaman baharu yang bakal berlaku dan seluruh masyarakat antarabangsa tahu bahawa sesuatu perlu berlaku. Majlis Keselamatan telah berdepan dengan tugas besar untuk meluluskan tiga pakej sekatan utama, menghapuskan semua eksport, 90 peratus daripada perdagangan, 30 peratus daripada minyak, mengusir semua pekerja buruh dan menjadualkan semula bagi memastikan semua usaha sama dihentikan. Semua ini serta kerjasama daripada masyarakat antarabangsa, pengusiran para diplomat dan menghentikan perhubungan, serta dengan pendirian tegas Presiden adalah gabungan usaha yang berjaya membawa Korea Utara ke meja rundingan.

Kini Korea Utara dan A.S. telah mula mengadakan rundingan. Dan ketika rundingan ini sedang berjalan, kami dan Majlis Keselamatan serta masyarakat antarabangsa perlu menyokong rundingan ini. Cara terbaik untuk memberi sokongan adalah untuk tidak melonggarkan sekatan. Dan apa yang kita telah lihat adalah sesetengah negara mahukan pengecualian, sesetengah negara pula berkata, “Ayuh hentikan sekatan,” sesetengah negara mahu melakukan lebih lagi. Dan apa – saya menghargai apa yang diusahakan oleh Setiausaha Pompeo dan apa yang kami terus tekankan adalah kita tidak boleh membuat perkara lain sehingga kita menyaksikan Korea Utara mengotakan janji mereka untuk menghapuskan senjata nuklear. Kita perlu melihat sesuatu tindakan dilakukan. Dan sehingga tindakan ini berlaku, Majlis Keselamatan akan meneruskan pendirian, kepada masyarakat antarabangsa – kami meminta anda untuk berdiri teguh dalam usaha kita ini.

Masalah yang kami hadapi adalah sesetengah rakan kami membuat keputusan bahawa mereka mahu mempermainkan undang-undang. Anda boleh lihat bahawa terdapat pelanggaran sekatan minyak. Seperti yang disebut oleh Setiausaha Pampeo, pelanggaran ini sudah berlaku sebanyak 89 kali. Kami ada gambar foto bukti pemindahan kapal ke kapal. Rakan-rakan sekalian, keputusan kami adalah untuk kita sama-sama memastikan perkara ini dihentikan. Jadi pihak A.S. semalam membuat keputusan untuk menghentikan semua penghantaran tambahan petroleum yang ditapis ke Korea Utara. Negara China dan Rusia telah menyekat keputusan ini.

Sekarang apabila China dan Rusia menyekat keputusan ini, apakah yang cuba disampaikan oleh mereka? Adakah mereka memberitahu kita bahawa mereka mahu terus membekalkan minyak ini? Mereka mendakwa bahawa mereka memerlukan lebih banyak maklumat. Kita tidak memerlukan maklumat yang lain lagi. Jawatankuasa sekatan memiliki segala maklumat yang diperlukan. Kita tahu perkara ini sedang dilaksanakan. Hari ini kita mengenakan tekanan terhadap China dan Rusia untuk mematuhi dan menjadi penyokong untuk melalui situasi ini dan membantu kami meneruskan penghapusan senjata nuklear.

Bagi saya, inilah harinya satu perbincangan yang terbuka antara Setiausaha Pompeo, menteri luar Korea Selatan serta rakan kami dari Jepun dan juga Majlis Keselamatan untuk sama-sama menyatakan: Jika kita mahu melihat kejayaan dicapai, kita perlu melihat tindakan daripada Pengerusi Kim dan kita tidak akan berganjak selagi tindakan ini tidak berlaku. Hari ini sangat berjaya dengan Majlis Keselamatan kekal bersatu dan terus memberi tekanan kepada para anggota kita untuk meneruskan proses ini. Terima kasih.

SOALAN: Tuan Setiausaha –

MS NAUERT: Tiga soalan pendek. Rich Edson, Fox News.

SOALAN: Terima kasih. Tuan Setiausaha, Duta PBB Haley menyebut bahawa Rusia tidak begitu membantu dalam menguatkuasakan sekatan. Tuan Presiden pula menyatakan selepas pertemuannya dengan Presiden Putin bahawa Presiden Putin akan membantu berkaitan Korea Utara. Adakah Rusia tidak mengotakan perjanjian yang dibuat dengan Presiden? Dan apakah perkara lain yang dipersetujui oleh kedua-dua presiden ketika mereka membuat pertemuan?

 

SETIAUSAHA POMPEO: Penguatkuasaan sekatan adalah proses yang berterusan. Ada banyak perkara di mana pihak Rusia telah memberi sokongan mereka. Tentunya sejak bermulanya resolusi Keselamatan PBB, pihak Rusia telah melakukan banyak perkara untuk menguatkuasakan sekatan ini dan kami amat menghargai usaha mereka. Apa yang kami perlukan sekarang adalah kita perlu meneruskan usaha ini. Kami perlu memastikan dunia tidak melihat perkara ini berterusan – penghapusan senjata nuklear Korea Utara bukanlah suatu permintaan oleh Amerika; penghapusan ini adalah permintaan dunia dan kami mahu dunia untuk meneruskan usaha ini.

Apabila kami menghadapi isu di mana mana-mana negara, sama ada Rusia atau negara lain, tidak memainkan peranan mereka untuk menguatkuasakan sekatan, kami mahu memastikan bahawa kami menyediakan maklumat kepada mereka supaya mereka dan juga dunia melihat sendiri dan kami akan mendesak setiap negara di dunia melaksanakan tugas mereka.

MS NAUERT: Kylie dari CBS News.

SOALAN: Tuan Setiausaha, soalan susulan tentang Rusia, kerana perkara ini adalah apa yang sedang diperkatakan oleh setiap orang di Washington sekarang. Adakah ia suatu idea yang baik bagi Presiden untuk menjemput Vladimir Putin ke White House? Apakah yang A.S. mahu capai daripada lawatan ini?

SETIAUSAHA POMPEO: Ya, saya gembira bahawa dua orang pemimpin daripada dua buah negara yang sangat penting terus mengadakan pertemuan. Sekiranya pertemuan ini berlangsung di Washington, bagi saya ini adalah untuk kebaikan. Pertemuan seperti ini sangat penting. Para pemimpin kanan kami mengadakan pertemuan di serata dunia dengan mereka yang tidak bersependapat dengan kami. Dialog yang berterusan antara Presiden Putin dan Presiden Trump untuk menyelesaikan isu-isu sukar yang dihadapi oleh kedua-dua buah negara adalah sesuatu yang amat beharga untuk rakyat Amerika Syarikat. Bagi saya ini adalah sesuatu yang sangat munasabah dan saya sangat berharap pertemuan ini dapat berlangsung pada musim gugur ini.

MS NAUERT: Dan soalan terakhir, Michelle dari Reuters.

SOALAN: Terima kasih. Tuan Setiausaha, apakah langkah konkrit yang anda mahu Korea Utara ambil sekarang untuk menunjukkan bahawa mereka komited terhadap penghapusan senjata nuklear. Dan tentang Rusia pula, menteri pertahanan Rusia pagi ini berkata bahawa mereka telah menghantar cadangan kepada Washington berhubung pemulangan jutaan pelarian Syria. Mereka berkata perkara ini adalah berdasarkan perjanjian yang dicapai oleh Presiden Putin dan Presiden Trump. Sudahkah anda melihat cadangan ini dan apakah persetujuan yang mereka capai?

SETIAUSAHA POMPEO: Saya jawab soalan yang kedua terlebih dahulu. Pelbagai perbincangan telah diadakan. Terdapat perbincangan antara Presiden Trump dan Presiden Putin tentang resolusi Syria dan bagaimana cara untuk kita mengembalikan orang pelarian. Tuan Presiden telah berkongsi dengan saya perbincangan yang mereka adakan. Adalah penting bagi dunia bahawa pada masa yang sesuai dan menerusi mekanisme sukarela, para pelarian ini berupaya pulang ke negara asal mereka. Inilah yang kita semua sedang usahakan. Perkara yang sama juga sedang diusahakan oleh PBB bersama dengan Staffan de Mistura. Dan Presiden Putin bersama Presiden Trump telah membincangkan perkara yang sama. Ada banyak perkara yang perlu dikaji bagi melaksanakan urusan ini, dan Amerika Syarikat sudah pastinya mahu memainkan peranan untuk membantu mencapai resolusi ini di Syria.

Soalan pertama anda adalah tentang apa yang kami mahu lihat. Apa yang ingin dilihat sebenarnya mudah sahaja. Apa yang perlu dilakukan adalah bukan daripada saya. Pengerusi Kim telah berjanji. Pengerusi Kim bukan sahaja memberitahu Presiden Trump, malah Presiden Moon bahawa beliau telah bersedia untuk menghapuskan senjata nuklear. Skop dan skala penghapusan telah dicapai. Pihak Korea Utara faham apa yang dimaksudkan. Skop penghapusan senjata nuklear adalah sesuatu yang sama-sama diketahui.

Jadi apakah yang kami ingin lihat? Kami mahu lihat Pengerusi Kim melaksanakan janji beliau kepada dunia. Memang nampak mudah tetapi itulah hakikatnya.

MS NAUERT: Baiklah. Terima kasih. Terima kasih.

SOALAN: Satu lagi – satu lagi soalan, Tuan Setiausaha?

MS NAUERT: Terima kasih semua.