Ulasan: Setiausaha Negara Michael R. Pompeo tentang “Visi Amerika bagi Ekonomi Rantau Indo-Pasifik” di Forum Perniagaan Indo-Pasifik

Ulasan
30 Julai 2018

Setiausaha Negara Michael R. Pompeo
“Visi Amerika bagi Ekonomi Rantau Indo-Pasifik”
Forum Perniagaan Indo-Pasifik
30 Julai 2018
Dewan Perniagaan A.S.
Washington DC.


SETIAUSAHA POMPEO: Selamat pagi semua. Saya gembira dapat bersama anda semua hari ini. Terima kasih Tom, atas pengenalan yang baik yang anda berikan. Terima kasih kepada Dewan Perniagaan A.S. kerana menjemput saya dan menganjurkan Forum Perniagaan Indo-Pasifik yang penting ini. Saya juga gembira melihat ramai pemimpin perniagaan Amerika bersama kita di sini hari ini. Ramai yang lupa bahawa saya juga merupakan seorang ahli perniagaan suatu ketika dahulu, sebelum saya hilang akal dan menyertai Kongres.

Saya tahu ada antara anda dari Jabatan Negara dan daripada pentadbiran. Saya juga melihat beberapa orang duta – yang ditempatkan di sini dan mereka yang datang dari ibu negara asing. Terima kasih semua kerana berada di sini dan bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan perniagaan kami ketika kami meneruskan kemakmuran untuk semua orang di seluruh dunia.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan saya, Setiausaha Ross, Setiausaha Perry, Pentadbir Green, Duta Gerrish serta Ray Washburne, juga di OPIC, kawan baik saya dari zaman perniagaan saya. Presiden anda membantu – kehadiran anda juga membantu mengukuhkan pendekatan ekonomi kami ke Indo-Pasifik sebagai misi menyeluruh kerajaan yang sebenar-benarnya.

Saya ke sini pagi ini untuk bercakap tentang strategi pentadbiran Trump untuk memajukan Indo-Pasifik sebagai rantau yang bebas dan terbuka, dan mengapa penglibatan perniagaan AS menjadi keutamaan strategi ini – ia menjadi tonggak misi kami untuk menggalakkan keamanan, kestabilan, dan kemakmuran.

Presiden Trump pertama kali telah menggariskan visinya untuk Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka pada Sidang Kemuncak CEO APEC di Vietnam pada tahun lepas. Strategi Keselamatan Nasional turut menjelaskan visi tersebut secara terperinci. Jangan silap, rantau Indo-Pasifik, yang terbentang dari pantai barat Amerika Syarikat ke pantai barat India, adalah subjek yang sangat penting bagi dasar luar Amerika. Saya akan terangkan sedikit, bahawa wilayah ini adalah salah satu jentera ekonomi yang terbesar dunia untuk masa depan – malah untuk hari ini. Dan rakyat Amerika dan seluruh dunia mempunyai kepentingan dalam kedamaian dan kemakmuran rantau Indo-Pasifik. Itulah sebabnya Indo-Pasifik mestilah bebas dan terbuka.

Dan bagi anda yang mungkin tidak biasa dengan istilah “bebas dan terbuka”, saya mahu mengambil sedikit masa menerangkan apa yang dimaksudkan oleh pentadbiran ini apabila menggunakan terminologi tersebut.

Ketika kita mengatakan Indo-Pasifik yang “bebas”, ini bermakna kita mahukan semua negara, setiap negara, agar dapat melindungi kedaulatan mereka dari sebarang paksaan oleh negara lain. Di peringkat nasional, “bebas” bermakna tadbir urus yang baik dan jaminan bahawa rakyat dapat menikmati hak dan kebebasan asas mereka.

Apabila kita menyebut Indo-Pasifik yang “terbuka”, ini bermakna kita mahu semua negara menikmati laluan yang terbuka kepada laut dan ruang udara. Kami mahukan penyelesaian secara aman terhadap pertikaian wilayah dan maritim. Ini merupakan kunci kedamaian antarabangsa dan untuk mencapai matlamat negara masing-masing.

Secara ekonomi, “terbuka” bermaksud perdagangan yang adil dan timbal balik, persekitaran pelaburan yang terbuka, perjanjian yang telus antara negara-negara, dan perhubungan yang lebih baik untuk memacu hubungan serantau – kerana ini adalah laluan untuk pertumbuhan yang mampan di rantau ini.

Komitmen A.S. untuk rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka sangat mendalam. Jabatan Negara, yang saya wakili, menubuhkan konsulat di Kolkata – yang kemudian dipanggil Calcutta – pada tahun 1794.

Usahawan Amerika, yang kebanyakan berada di sini, telah berdagang dan melabur di Indo-Pasifik lebih lama daripada itu. Dan saya tidak akan bercerita sejarah penuhnya hari ini, tetapi saya akan terangkan bagaimana Amerika Syarikat telah memainkan peranan asas dalam membolehkan pertumbuhan, pembangunan, dan kekayaan yang kita lihat di seluruh Indo-Pasifik hari ini.

Tema utama dari penglibatan kami ialah: Di mana Amerika pergi, kami mencari perkongsian, bukan penguasaan. Selepas Perang Dunia II, kami bekerjasama dengan Jepun untuk menjalin perikatan yang hebat dan merangsang pertumbuhan ekonomi. Korea Selatan pada tahun 1950-an telah musnah akibat konflik. Bantuan dan pelaburan Amerika dalam laluan kereta api, pelabuhan, dan prasarana yang lain membantu mewujudkan asas bagi rakan-rakan Korea Selatan untuk pulih, berkembang maju, dan membina salah satu ekonomi yang paling makmur di dunia – yang kini cukup kuat untuk membantu membangunkan negara-negara lain.

Pada tahun 1960-an, kami mengembangkan kerjasama untuk memenuhi keperluan asas pembangunan. Kami menyokong usaha pertanian transformasi, seperti Revolusi Hijau, yang selama ini telah meningkatkan pertanian gandum dan beras di seluruh dunia – terutamanya di rantau Indo-Pasifik. Kami membantu Hong Kong, Singapura, dan negara Asia Tenggara yang lain untuk bangkit dari tahun 1970-an dan seterusnya. Di Taiwan, perkembangan ekonomi berjalan serentak untuk mewujudkan sebuah masyarakat demokratik terbuka yang berkembang dan menjadi kuasa teknologi tinggi yang utama. Dan Amerika bangga menyokong institusi asas, antara lainnya seperti ASEAN, APEC, dan Bank Pembangunan Asia.

Hasil daripada sejarah penglibatan ekonomi dan komersil ini, hubungan Amerika di seluruh Indo-Pasifik pada hari ini adalah berdasarkan kepercayaan dan penghormatan bersama. Persahabatan Amerika dialu-alukan, dan perniagaan Amerika diiktiraf atas kebijaksanaan, kebolehpercayaan, dan kejujuran mereka.

Hari ini, tiada negara lain yang melakukan perdagangan dua hala di Indo-Pasifik lebih daripada Amerika Syarikat. Di Asia Tenggara, A.S. merupakan sumber terbesar tunggal pelaburan asing secara kumulatif – lebih besar daripada China, Jepun dan Kesatuan Eropah.

Buka peta Indo-Pasifik hari ini, dan ia dipenuhi dengan usaha awam dan swasta A.S. untuk memupuk kemandirian, membina institusi, dan menggalakkan pertumbuhan sektor swasta.

Di Filipina, Texas Instruments, yang berpusat di Dallas, membuka kilangnya pada tahun 1979 yang telah membantu negara tersebut menjadi sebahagian daripada rangkaian bekalan semikonduktor global yang penting. Di Malaysia, General Electric mula melabur dalam pusat jualan dan perkhidmatan pada tahun 1975. Kini, GE mempunyai lebih daripada 1,300 orang kakitangan di negara itu, dari Kuala Lumpur hingga Sarawak. Dengan rakyat Malaysia yang baru-baru ini telah memilih kerajaan baru, saya mahukan mereka dan para pemimpin mereka tahu bahawa Amerika bersedia, seperti yang kita sering lakukan untuk rakan-rakan di rantau itu, untuk mengukuhkan lagi perhubungan perdagangan, kerajaan, dan rakyat dengan semua berdasarkan kepada perkongsian nilai demokrasi kita. Saya akan pergi ke sana pada minggu depan.

Chevron merupakan syarikat pertama yang telah diberikan hak cari gali minyak di Thailand, dan pada tahun 1973, mereka menemui hidrokarbon pertama di perairan Thailand. Ini melahirkan industri tempatan utama. Hari ini Chevron menjadi pengeluar gas semula jadi dan pengeluar minyak mentah utama di Thailand, dan pelaburan mereka menyokong lebih daripada 200,000 pekerjaan. Sementara itu, usaha “Enjoy Science Project” melatih guru-guru tempatan dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik untuk mengukuhkan modal intelektual Thailand dan membantu Chevron untuk mendapatkan pulangan yang lebih besar dalam pelaburannya. Unit Chevron Thailand juga menyediakan peralatan dan nasihat teknikal untuk menyelamatkan kanak-kanak lelaki yang berani dan jurulatih mereka yang terperangkap di dalam gua yang dibanjiri air.

Secara literalnya, syarikat-syarikat A.S. membantu negara-negara rakan kongsi Indo-Pasifik mencapai bintang. SpaceX, salah sebuah syarikat paling inovatif di Amerika Syarikat, baru-baru ini melancarkan satelit komunikasi asli Bangladesh yang pertama.

Sekarang, jelaslah bahawa Kerajaan A.S. tidak mengarahkan syarikat Amerika tentang apa yang perlu dilakukan. Tetapi kami membantu membina persekitaran yang memupuk kapitalisme yang baik dan produktif. Kami membantu firma-firma Amerika berjaya supaya masyarakat tempatan dapat membangun, dan perkongsian dua hala boleh berkembang.

Itulah sebabnya Amerika Syarikat menyokong usaha pendidikan seperti Fulbright University Vietnam dan Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara. Inilah komitmen yang sama seperti yang ditunjukkan pada masa lalu apabila kami membantu menubuhkan Institut Teknologi India yang pertama, bersama dengan 14 buah kolej kejuruteraan serantau dan lapan buah universiti pertanian di seluruh India.

Pembiayaan pembangunan juga penting. Perbadanan Pelaburan Swasta Luar Negara kami mempunyai portfolio berjumlah 3.9 bilion yang dilaburkan di Indo-Pasifik bersama firma-firma Amerika dalam pelbagai industri daripada tenaga kepada penjagaan kesihatan hinggalah kepada perbankan. Bagi setiap dolar yang dilaburkan oleh OPIC, sektor swasta telah melabur $2.76. Di Indonesia, OPIC bekerjasama dengan USAID dan UPC Renewals, yang berpusat di Colorado, untuk membangunkan ladang angin berskala utiliti yang pertama di negara itu, bagi menyediakan kuasa yang bersih, boleh mampu dan boleh dipercayai kepada 70,000 isi rumah Indonesia.

Millennium Challenge Corporation pula telah memberikan $2.1 bilion sejak 2004 untuk menggalakkan pembangunan dan tadbir urus yang baik di negara-negara Indo-Pasifik. Sekarang MCC membelanjakan $500 juta untuk membina beratus-ratus kilometer talian transmisi elektrik di Nepal dan sedar akan potensi tenaga negara itu.

Dan hari ini, di Forum Perniagaan Indo-Pasifik ini, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa MCC telah menandatangani perjanjian $350 juta dengan Kerajaan Mongolia untuk membangunkan sumber bekalan air jangka panjang yang baharu. Selain daripada membantu Mongolia memenuhi keperluan manusia yang kritikal, ia juga akan meletakkan negara itu dalam kedudukan yang dapat menarik pelaburan baru dan merangsang pertumbuhan sektor swasta. Saya tahu bahawa menteri luar Mongolia ingin hadir pada hari ini, tetapi dia malangnya beliau telah dipanggil atas urusan lain.

Program MCC ini akan memberi manfaat kepada Mongolia, rantau dan dunia.

Saya boleh bercakap lebih lama lagi dan memberikan lebih banyak contoh. Syarikat-syarikat Amerika telah menjadi pemacu untuk kemakmuran dan kebaikan di seluruh rantau Indo-Pasifik. Keikhlasan kami sebagai rakan kongsi terbukti dalam menyokong pembangunan ekonomi yang menghormati autonomi tempatan dan kedaulatan negara. Amerika Syarikat tidak melabur untuk mempengaruhi politik, tetapi mengamalkan ekonomi perkongsian.

Kejayaan masa lalu dan sekarang hanyalah permulaan kepada apa yang saya harapkan untuk masa depan. Saya di sini ingin menegaskan bahawa pentadbiran Trump komited dalam mengembangkan penglibatan ekonomi kami di rantau Indo-Pasifik. Kami berusaha memanfaatkan peluang yang sesuai dengan prinsip kebebasan dan keterbukaan.

Seperti yang dikatakan oleh Presiden Trump di Vietnam tahun lepas, Indo-Pasifik adalah “sebuah gugusan negara-negara yang indah, masing-masing mempunyai bintangnya yang cerah, bukan satelit kepada sesiapa – tetapi masing-masing adalah sebuah masyarakat, budaya, cara hidup, dan kediaman.” Untuk bersinar dengan lebih terang lagi, buruj ini memerlukan bahan bakar inovasi dan pertumbuhan mampan. Inilah yang digalakkan oleh strategi Indo-Pasifik kami. Kami percaya dalam perkongsian strategik, bukannya kebergantungan strategik.

Seperti yang dikatakan oleh Presiden Trump tahun lalu, “Kami mahu anda menjadi kuat, makmur, dan berdikari sendiri, berpegang kepada sejarah anda, dan menjangkau masa depan.” Hari ini saya sampaikan semula mesej itu. Saya bercakap untuk Presiden Trump apabila saya mengatakan setiap negara dan perniagaan boleh yakin bahawa Amerika Syarikat akan terus mewujudkan keadaan untuk kesejahteraan bersama di Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.

Ia jelas dalam kepentingan strategik Amerika untuk terus mengukuhkan penglibatan di rantau ini. Lebih dari satu pertiga penduduk global berada di sini. Empat daripada enam ekonomi terbesar di dunia juga ada di China, Jepun, dan India – dan tentu saja, Amerika Syarikat. Sepuluh buah negara komuniti ASEAN adalah zon ekonomi yang paling pesat berkembang di dunia dan merupakan pembeli utama produk A.S. Presiden Trump akan mengambil kesempatan sementara peluang masih ada, kerana wujudnya manfaat ekonomi yang jelas untuk rakyat Amerika.

Visi Indo-Pasifik kami tidak mengecualikan sebarang bangsa. Kami berusaha untuk bekerja dengan sesiapa sahaja untuk mempromosikan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, selagi kerjasama itu mematuhi piawaian tertinggi yang diinginkan oleh rakyat kami. Amerika Syarikat komited untuk meningkatkan kehadiran kami di rantau ini kerana kita mahu orang Amerika dan semua rakyat Indo-Pasifik berkongsi pertumbuhan ekonomi pada 2020, 2030, 2040, dan seterusnya.

Saya tahu ada yang tertanya-tanya tentang peranan Amerika di rantau ini memandangkan keputusan Presiden Trump untuk keluar dari TPP. Semasa kami bekerjasama dengan rakan kongsi kami untuk membuat perjanjian perdagangan dua hala yang lebih baik dan lebih standard, syarikat kami terus memajukan kepentingan ekonomi A.S. dengan meningkatkan kehadiran mereka di rantau ini. Sebagai contoh, bilangan syarikat A.S. di Singapura telah meningkat 10% dalam masa dua tahun yang lalu.

Akhirnya, kami kekal komited dalam penglibatan ekonomi di Indo-Pasifik kerana manfaat keselamatan negara untuk rakyat Amerika dan rakan kongsi kami. Sebagaimana yang dinyatakan dalam Strategi Keselamatan Nasional Presiden Trump, “Keselamatan ekonomi adalah keselamatan negara.”

Sudah jelaslah bahawa sebahagian besar masa depan ekonomi antarabangsa Amerika berada di rantau ini. Maka, seperti sumbangan asas yang telah dibuat oleh Amerika Syarikat pada masa lalu, hari ini saya mengumumkan inisiatif baharu A.S. berjumlah $113 juta untuk menyokong bidang asas masa depan seperti: ekonomi digital, tenaga, dan infrastruktur. Dana ini hanyalah merupakan bayaran awal pada era baru dalam komitmen ekonomi A.S. untuk keamanan dan kemakmuran di rantau Indo-Pasifik.

Strategi kami bertujuan untuk memangkinkan perniagaan Amerika untuk melakukan kepakaran mereka. Presiden Trump juga menjangka komitmen kami untuk menghasilkan sokongan yang lebih besar untuk Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka dari semua negara yang berkongsi wawasan kami tentang sebuah wilayah yang berasaskan pada kedaulatan, kedaulatan undang-undang, dan kemakmuran yang mampan.

Inisiatif pertama ialah Perkongsian Sambungan Digital dan Keselamatan Siber. Perkongsian ini akan dimulakan dengan pelaburan awal $25 juta untuk meningkatkan hubungan digital negara rakan kongsi dan mengembangkan peluang untuk eksport teknologi A.S. Amerika Syarikat akan menyokong pembangunan prasarana komunikasi melalui bantuan teknikal dan perkongsian awam-swasta; menggalakkan dasar pengawalan digital berasaskan pasaran; dan membina kapasiti keselamatan siber untuk menangani ancaman umum. Kami melakukan ini kerana kami mengiktiraf manfaat ekonomi dan sosial yang besar yang datang dengan internet yang terbuka, selamat, dan boleh dipercayai.

Inisiatif kedua dipanggil Asia EDGE. Ia bermaksud Meningkatkan Pembangunan dan Pertumbuhan melalui Tenaga. Tenaga tentu saja merupakan nyawa ekonomi moden. Melalui Asia EDGE, pada tahun ini sahaja kami akan melabur hampir $50 juta untuk membantu rakan-rakan Indo-Pasifik mengimport, menghasilkan, bergerak, menyimpan, dan menggunakan sumber tenaga mereka. Limpahan tenaga Amerika termasuk sumber semula jadi yang luas, firma swasta yang terkemuka di dunia, alat pembangunan kewangan yang canggih, dan kepakaran teknikal yang luar biasa. Kami akan menarik semua ini untuk mengembangkan pasaran tenaga yang mampan dan terjamin di seluruh Indo-Pasifik.

Ketiga, seterusnya, prasarana. Amerika Syarikat komited kepada perhubungan yang memajukan kedaulatan negara, integrasi serantau, dan kepercayaan. Ini berlaku apabila prasarana adalah selamat daripada segi fizikal, berdaya maju daripada segi kewangan dan bertanggungjawab daripada segi sosial.

Maka hari ini A.S. melancarkan Rangkaian Transaksi dan Bantuan Prasarana untuk memacu pembangunan prasarana yang dilakukan dengan betul. Inisiatif menyeluruh kerajaan ini, dengan bantuan hampir $30 juta, membina sebuah badan antara agensi yang baharu untuk menyelaras, menguatkan, dan berkongsi peralatan A.S. untuk mencari projek, pembiayaan, dan bantuan teknikal. Ia juga mewujudkan Dana Penasihat Transaksi Indo-Pasifik yang baharu untuk membantu rakan-rakan mengakses perkhidmatan nasihat perundangan dan kewangan swasta.

Dalam setiap bidang ini – ekonomi digital, tenaga, dan infrastruktur – kami berharap dapat bekerja dengan sekutu dan rakan kongsi. Kami juga berharap dapat memanfaatkan alat-alat baharu dan moden dan program pengaturcaraan yang lebih baik daripada Akta BUILD yang diluluskan baru-baru ini oleh Dewan Perwakilan dan sekarang di hadapan Senat. Ini adalah akta yang penting. Di bawah rang undang-undang Dewan, kapasiti pembiayaan kerajaan A.S. akan berjumlah lebih daripada dua kali ganda hingga $60 bilion dolar.

Mari saya terangkan lagi tentang wang. Presiden Trump – dan saya tahu kebanyakan anda di dalam bilik ini tidak suka membazirkan walau sesen pun – dan pelaburan ini bukanlah pembaziran. Ia juga bukan memberi wang secara percuma. Ini adalah pelaburan strategik dalam bidang paling kompetitif di dunia untuk tahun-tahun akan datang.

Kami berbangga menyokong Akta BUILD ini dan untuk memperuntukkan $113 juta dolar dalam dana baharu segera untuk mengembangkan penglibatan ekonomi di Indo-Pasifik. Kemudian, pada minggu ini, saya akan membuat pengumuman lanjut mengenai bantuan keselamatan.

Tetapi kita juga tahu perbelanjaan kerajaan sahaja tidak dapat memenuhi keperluan Indo-Pasifik. Menurut Bank Pembangunan Asia, negara-negara membangun di rantau ini memerlukan $26 trilion untuk prasarana menjelang tahun 2030. Tiada kerajaan atau gabungan kerajaan mempunyai wang sebanyak itu. Hanya sektor swasta sahaja. Dan hanya jika negara-negara tersebut mengalu-alukan pelaburan swasta, dana sebanyak itu akan masuk ke dalam ekonomi mereka, dan menjadi perusahaan produktif yang membawa pekerjaan dan kemakmuran kepada rakyat mereka. Untuk itu, pemimpin Indo-Pasifik perlu mengutamakan ketelusan, anti-rasuah, dan pembiayaan yang bertanggungjawab.

Inisiatif Indo-Pasifik kerajaan A.S. akan dibentuk oleh nilai-nilai ini dan ditekankan oleh perkongsian dengan syarikat-syarikat Amerika. Ini akan mencerminkan nilai-nilai Amerika dalam standard yang tinggi, ketelusan, dan kepatuhan kepada kedaulatan undang-undang.

Dengan syarikat-syarikat Amerika, rakyat di seluruh dunia mengetahui bahawa apa yang anda lihat adalah apa yang akan anda dapat: kontrak yang jujur, istilah yang jujur, dan tidak memerlukan kerahsiaan di luar buku. Integriti dalam amalan perniagaan adalah tonggak penting dalam visi ekonomi Indo-Pasifik kami, dan ini adalah keperluan setiap negara di rantau ini.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya hari ini, saya mahu semua orang faham bahawa ini merupakan satu komitmen. Saya secara peribadi bersumpah sebagai Setiausaha Negara bahawa saya akan terlibat dengan anda. Saya akan bekerjasama dengan Kongres dan rakan-rakan asing kami. Begitu juga dengan Duta Besar dan pegawai A.S. yang lain. Saya gembira dapat membuat lawatan pertama saya ke Vietnam beberapa minggu yang lalu, dan akan ada banyak lagi lawatan ke rantau ini pada tahun ini.

Satu lawatan seumpamanya akan bermula pada hari Rabu minggu ini. Saya akan pergi ke Malaysia dan Singapura, dan kemudian ke Indonesia untuk hujung minggu. Saya tidak sabar-sabar untuk membincangkan semua yang saya kongsikan bersama anda hari ini dengan pemimpin politik dan perniagaan di rantau tersebut. ASEAN secara literal terletak di tengah-tengah Indo-Pasifik, dan ia memainkan peranan penting dalam visi Indo-Pasifik yang dibentangkan oleh Amerika. Ini adalah salah satu sebab bahawa daripada $113 juta, akan ada pakej sokongan A.S. untuk institusi serantau yang penting, seperti Inisiatif ASEAN dan ASEAN Connect, APEC, Inisiatif Mekong Hilir dan Persatuan Negara-negara Pesisir Lautan Hindi. Penerangan lanjut mengenainya akan diberikan kemudian pada minggu ini.

Pentadbiran Trump mempunyai visi yang jelas untuk Indo-Pasifik pada abad ke-21. Vsi ini adalah visi Amerika yang terlibat secara mendalam dalam urusan ekonomi, politik, kebudayaan, dan keselamatan di rantau ini. Seperti kebanyakan sekutu dan rakan-rakan Asia kita, negara kita berjuang untuk kemerdekaannya sendiri dari empayar yang menjangkakan kita akan mengalah. Oleh itu, kita tidak pernah dan tidak akan mendominasi rantau Indo-Pasifik, dan kita akan menentang mana-mana negara yang mahu melakukannya.

Sebaliknya, kita bercita-cita untuk pemerintahan serantau, negara-negara bebas yang boleh mempertahankan rakyat mereka dan bersaing dengan adil di pasaran antarabangsa. Kami bersedia untuk meningkatkan keselamatan rakan kongsi kami dan membantu mereka dalam membangunkan ekonomi dan masyarakat mereka dengan cara yang memastikan maruah manusia terpelihara. Kami akan membantu mereka. Kami akan membantu mereka menjaga rakyat mereka supaya bebas daripada paksaan atau dominasi kuasa yang hebat.

Dan hari ini saya ingin menjemput mana-mana negara dan perniagaan yang mahukan nilai-nilai yang termaktub di rantau ini untuk menjadi rakan kongsi Kerajaan Amerika Syarikat. Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka adalah laluan pilihan Amerika – dan kami berharap ia akan menjadi milik anda juga. Terima kasih, moga Tuhan memberkati anda, dan semoga hari ini merupakan hari yang hebat untuk anda.

(Tepukan)

###