Ulasan: Setiausaha Negara Michael R. Pompeo, German Marshall Fund, Brussels

JABATAN NEGARA A.S.
Pejabat Jurucakap


Untuk Siaran Segera
ULASAN
Setiausaha Negara Michael R. Pompeo
German Marshall Fund
Brussels, Belgium

4 Disember 2018

SETIAUSAHA POMPEO:  Terima kasih Ian atas pengenalan tadi.  Selamat pagi semua; terima kasih kerana sudi hadir bersama saya hari ini.  Saya gembira berada di tempat yang indah ini, selain peluang untuk memberi ulasan tentang usaha yang anda lakukan, isu-isu yang dihadapi oleh Marshall Fund dan yang dihadapi oleh rantau kita.

Sebelum saya memulakan ulasan formal, sudah tentu – Saya tentunya akan ralat sekiranya saya tidak memberikan penghormatan kepada presiden Amerika yang ke-41, George Herbert Walker Bush.  Beliau merupakan – ramai antara anda yang mengenali beliau.  Beliau merupakan seorang juara kebebasan di seluruh dunia — mula-mula sebagai juruterbang pejuang Perang Dunia II, kemudian sebagai anggota Kongres.  Beliau merupakan duta ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, kemudiannya utusan khas ke China.  Beliau kemudiannya menjawat jawatan yang sama seperti saya sebagai pengarah CIA – cuma tempoh saya lebih lama berbanding beliau.  Beliau kemudiannya menjadi naib presiden kepada Ronald Reagan.

Saya turut mengenali beliau secara peribadi.  Beliau adalah seorang abang, ayah, datuk yang hebat dan warga Amerika yang bangga dengan negaranya.  Amerika adalah satu-satunya negara yang beliau lebih sayang berbanding Texas.  (Ketawa.)

Saya fikir beliau tentu gembira melihat saya di sini pada hari ini di sebuah institusi yang dinamakan sempena seorang lagi pencinta kebebasan, George Marshall.  Dan beliau tentu teruja melihat anda semua di sini, sebuah kumpulan yang besar yang berusaha untuk membina hubungan merentasi Lautan Atlantik, beberapa dekad selepas hubungan ini mula dibina.

Mereka yang membina tamadun Barat selepas Perang Dunia II, seperti orang yang mendahului saya, Setiausaha Marshall, sedar bahawa hanya kepimpinan A.S. yang kuat bersama dengan rakan dan sekutu kami sahaja yang boleh menyatukan negara-negara berdaulat dari seluruh dunia.

Kami telah menyusun institusi baharu untuk membina semula Eropah dan Jepun, menstabilkan mata wang dan memudahkan perdagangan.  Kami telah bersama-sama mengasaskan NATO untuk menjamin keselamatan kami dan sekutu kami.  Kami mengikat perjanjian untuk mengekod nilai-nilai Barat seperti kebebasan dan hak asasi manusia.

Kami telah mengetuai organisasi multilateral untuk menggalakkan keamanan dan kerjasama dalam kalangan negara-negara.  Dan kami telah berusaha – bekerja keras – untuk memelihara ideal Barat kerana sebagaimana yang dijelaskan oleh Presiden Trump semasa ucapannya di Warsaw, setiap ideal ini adalah bernilai dan perlu dipelihara.

Kepimpinan Amerika ini membolehkan kita menikmati pengembangan manusia yang paling hebat dalam sejarah moden.  Kita memenangi Perang Dingin.  Kita memenangi keamanan.  Dan dengan usaha yang bukan sedikit oleh George H. W. Bush, kita telah menyatukan semula Jerman.  Inilah kepimpinan yang sedang dibawakan dengan berani oleh Presiden Trump.

Selepas Perang Dingin berakhir, kita telah membiarkan sistem yang liberal ini merosot.  Sistem ini menggagalkan kita di beberapa tempat dan kadangkala ia menggagalkan anda dan juga seluruh dunia.  Pendekatan berbilang hala sering dilihat sebagai untuk tujuannya sendiri.  Kita sepatutnya merasa lebih selamat dengan semakin banyak perjanjian yang kita tandatangani. Lebih banyak birokrat yang kita ada, lebih banyak kerja yang dapat dicapai.

Adakah ini benar-benar berlaku?  Persoalan utama yang kita hadapi ialah – apakah persoalan sama ada sistem yang sedang disusun, seperti yang wujud hari ini, dan dengan dunia yang wujud hari ini – adakah pendekatan berbilang hala berfungsi?  Adakah ia berfungsi untuk semua orang di dunia?

Hari ini di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, misi menjaga keamanan berlarutan selama beberapa dekad tanpa mencapai penyelesaian.  Perjanjian-perjanjian PBB yang berkaitan dengan iklim dilihat oleh beberapa buah negara sebagai satu-satunya wadah untuk mengagihkan semula kekayaan.  Kecenderungan anti-Israel telah diterima sebagai amalan.  Kuasa serantau berpakat untuk mengundi negara-negara seperti Cuba dan Venezuela ke Majlis Hak Asasi Manusia.  PBB diasaskan sebagai sebuah organisasi yang menerima negara-negara yang cintakan keamanan.  Saya tanya: Hari ini, adakah PPB terus setia melaksanakan misinya?

Di Hemisfera Barat, adakah sudah cukup yang dilakukan oleh Pertubuhan Negara-negara Amerika untuk mempromosikan empat teras iaitu demokrasi, hak asasi manusia, keselamatan, dan pembangunan ekonomi di rantau yang termasuk negara-negara seperti Cuba, Venezuela, dan Nicaragua?

Di Afrika, adakah Kesatuan Afrika memajukan kepentingan bersama bagi negara-negara anggota?

Bagi komuniti perniagaan, dari mana saya datang, pertimbangkan hal ini: Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa telah diamanahkan untuk membantu membina semula wilayah perang yang musnah dan menggalakkan pelaburan dan pertumbuhan swasta.  Pada hari ini, institusi-institusi ini sering menasihatkan negara-negara yang tidak menguruskan hal ehwal ekonomi mereka dengan betul ini untuk mengenakan langkah-langkah penjimatan yang menghalang pertumbuhan dan menggagalkan para peserta sektor swasta.

Di sini di Brussels, Kesatuan Eropah dan pertubuhan sebelum ini telah memberikan pelbagai  kemakmuran ke seluruh benua.  Eropah merupakan rakan dagangan tunggal terbesar Amerika, dan kami mendapat manfaat yang besar daripada kejayaan anda.  Namun Brexit merupakan satu kejutan politik.  Adakah EU memastikan bahawa kepentingan negara dan warganegara mereka mendahului kepentingan birokrat di Brussels?

Ini merupakan satu soalan yang wajar.  Ini membawa kepada perkara seterusnya:  Para aktor yang buruk telah mengeksploitasi kekurangan kepimpinan kita untuk keuntungan mereka sendiri.  Ini adalah kesan buruk daripada pengunduran Amerika.  Presiden Trump bertekad untuk mengubah keadaan ini.

Pembangunan ekonomi China tidak membawa negara tersebut ke arah demokrasi dan kestabilan serantau; ia membawa kepada penindasan politik dan provokasi serantau.  Kami mengalu-alukan China ke dalam sistem pemerintahan yang liberal, tetapi tidak pernah mengawal kelakuannya.

China secara kerap telah mengeksploitasi kelemahan dalam peraturan Pertubuhan Perdagangan Sedunia, mengenakan sekatan pasaran, pemindahan teknologi secara paksa, dan pencurian harta intelek.  Dan China tahu bahawa pendapat dunia tidak berkuasa untuk menghentikan pelanggaran hak asasi manusia yang bersifat Orwellian.

Iran tidak menyertai komuniti negara-negara selepas perjanjian nuklear telah ditandatangani; negara tersebut sebaliknya menyebarkan kekayaan yang baharu kepada pengganas dan diktator.

Teheran menahan beberapa orang tebusan Amerika, dan Bob Levinson telah hilang di sana selama 11 tahun.  Iran secara terang-terangan mengabaikan ketetapan Majlis Keselamatan PBB, berbohong kepada para pemeriksa Agensi Atom Antarabangsa mengenai program nuklearnya, dan mengelakkan sekatan PBB.  Hanya minggu lepas, Iran telah melancarkan ujian peluru berpandu balistik, yang melanggar Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2231.

Awal tahun ini, Tehran menggunakan Perjanjian Persahabatan A.S.-Iran untuk membuat dakwaan yang tidak berasas terhadap Amerika Syarikat di Mahkamah Keadilan Antarabangsa – kebanyakan aktiviti berniat jahat ini berlaku semasa JCPOA.

Rusia.  Rusia tidak menerima nilai kebebasan Barat dan kerjasama antarabangsa.  Sebaliknya, Rusia telah menindas suara-suara pembangkang dan menyerang negara-negara berdaulat Georgia dan Ukraine.

Moscow juga telah menggunakan agen saraf gred tentera di negara asing, di sini di Eropah, yang melanggar Konvensyen Senjata Kimia yang ditandatangani sendiri oleh Rusia.  Dan seperti yang saya akan jelaskan nanti, Rusia telah melanggar Perjanjian Senjata Nuklear Jarak Sederhana selama bertahun-tahun.

Senarai ini berterusan.  Kita perlu mengambil kira sistem dunia hari ini untuk mencorakkan masa depan.  Inilah apa yang dianggap oleh Strategi Keselamatan Nasional Amerika sebagai “realisme berprinsip.”  Saya melihatnya sebagai “akal bestari.”

Setiap negara – setiap negara – haruslah secara jujur mengakui tanggungjawab mereka terhadap warga masing-masing dan menanyakan apakah sistem antarabangsa yang ada sekarang memberi kebaikan kepada rakyat.  Dan jika tidak, kita mesti bertanya bagaimana kita dapat melakukannya.

Inilah yang dilakukan oleh Presiden Trump.  Beliau mengembalikan Amerika Syarikat kepada peranan pemimpin dunia yang dimainkan sebelum ini.  Beliau melihat dunia sebagai realiti, bukan seperti yang kita mahukan.  Beliau tahu bahawa tidak ada yang dapat menggantikan negara bangsa sebagai penjamin kebebasan demokratik dan kepentingan negara.  Beliau tahu, sebagaimana George H.W. Bush tahu, bahawa dunia yang lebih selamat sentiasa memerlukan keberanian Amerika di pentas dunia.  Dan apabila kita – dan apabila kita mengabaikan tanggungjawab kita kepada institusi yang telah kita bentuk, maka orang lain akan menyalahgunakannya.

Pengkritik di negara-negara seperti Iran dan China – yang benar-benar melemahkan sistem antarabangsa – mengatakan pentadbiran Trump adalah punca kepada kerosakan sistem ini.  Mereka mendakwa Amerika bertindak secara unilateral dan bukannya secara multilateral, seolah-olah setiap tindakan multilateral adalah yang diinginkan.  Malah rakan-rakan Eropah kami kadang-kadang mengatakan bahawa kami tidak bertindak mengikut kepentingan dunia.  Ini adalah salah.

Misi kami adalah untuk mengukuhkan kembali kedaulatan kita, memperbaharui sistem antarabangsa yang liberal, dan kami mahu rakan-rakan kami membantu dan mengukuhkan kedaulatan mereka.  Kami mahu menjadikan sistem antarabangsa memenuhi keperluan rakyat – dan bukan untuk mengawal mereka.  Amerika mahu memimpin – sekarang dan selamanya.

Di bawah Presiden Trump, kami tidak meninggalkan kepimpinan antarabangsa atau rakan-rakan kami dalam sistem antarabangsa.  Malah sebaliknya.  Lihatlah, sebagai contoh, jumlah negara yang menyertai kempen tekanan kami terhadap Korea Utara.  Tidak ada negara lain di dunia yang boleh mengumpul puluhan negara, dari setiap penjuru dunia, untuk mengenakan sekatan terhadap rejim di Pyongyang.

Badan-badan antarabangsa mesti membantu memudahkan kerjasama yang menggalakkan keselamatan dan nilai-nilai dunia bebas, atau badan-badan ini perlu diperbaharui atau dihapuskan.

Apabila perjanjian tidak diikuti, mereka yang melanggarnya perlu ditanya dan perjanjian harus diperbaiki atau dibuang.  Kata-kata sepatutnya mempunyai makna.

Oleh itu, pentadbiran kami dengan secara sah keluar atau merundingkan semula perjanjian yang lapuk atau berbahaya, perjanjian perdagangan, dan pengaturan antarabangsa lain yang tidak memenuhi kepentingan berdaulat kami, atau kepentingan sekutu kami.

Kami mengumumkan niat untuk menarik diri dari Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim, kerana ketiadaan terma yang lebih baik untuk Amerika Syarikat.  Perjanjian sekarang akan mengambil wang dari rakyat Amerika dan memperkayakan pencemar seperti China.

Di Amerika, kami telah menemui penyelesaian yang lebih baik – bagi kami penyelesaian yang lebih baik untuk dunia.  Kami telah mengerahkan syarikat-syarikat tenaga kami untuk berinovasi dan bersaing, dan pelepasan karbon kami telah menurun secara dramatik.

Kami mengubah pendirian berhubung perjanjian Iran, kerana, antara lain, aktiviti keganasan dan ketidakstabilan Tehran, yang menjejaskan semangat perjanjian itu dan menjejaskan risiko keselamatan warga Amerika dan sekutu kami.  Sebagai ganti, kami menerajui para sekutu kami untuk menghalang cita-cita revolusi Iran dan menamatkan kempen keganasan global oleh Iran.  Dan kita tidak perlu birokrasi baru untuk melakukannya.  Kita perlu terus membangunkan gabungan yang akan mencapai hasil yang akan menjamin keselamatan penduduk di Timur Tengah, di Eropah, dan seluruh dunia dari ancaman Iran.

Amerika merundingkan semula perjanjian kami, NAFTA, untuk meningkatkan kepentingan para pekerja Amerika. Presiden Trump telah menandatangani Perjanjian A.S.-Mexico-Kanada semasa sidang G20 hujung minggu lalu di Buenos Aires, dan pada hari Jumaat akan mengemukakannya kepada Kongres, badan yang bertanggungjawab terhadap rakyat Amerika.

Perjanjian baru ini juga termasuk peruntukan rundingan semula, kerana tiada perjanjian perdagangan yang sesuai untuk semua waktu.

Kami telah menggalakkan rakan G20 kami untuk memperbaharui WTO, dan mereka telah mengambil langkah pertama yang baik di Buenos Aires pada minggu lepas.

Saya telah menyebut tentang Bank Dunia dan IMF sebelum ini.  Pentadbiran Trump sedang berusaha untuk memfokuskan semula institusi-institusi ini terhadap dasar-dasar yang menggalakkan kemakmuran ekonomi, yang mendorong untuk menghentikan pemberian pinjaman kepada negara-negara yang sudah dapat mengakses pasaran modal global – negara-negara seperti China – dan berusaha untuk menurunkan pemberian oleh pembayar cukai kepada bank pembangunan yang mampu mengumpulkan sendiri modal swasta mereka.

Kami juga mengambil peranan sebagai pemimpin dan bertindak untuk menghentikan mahkamah antarabangsa yang menyalahi undang-undang, seperti Mahkamah Jenayah Antarabangsa, daripada menginjak kedaulatan kami – kedaulatan anda – dan kebebasan kita semua.  Pejabat Pendakwa ICC cuba membuka siasatan terhadap kakitangan A.S. berhubung dengan perang di Afghanistan.  Kita akan mengambil semua langkah yang perlu untuk melindungi rakyat kita, sekutu NATO kita yang berjuang bersama kita di Afghanistan daripada pendakwaan yang tidak adil.  Kerana kita tahu bahawa jika ia boleh berlaku kepada orang kita, ia juga boleh berlaku kepada anda.  Ini adalah soalan yang baik:  Adakah mahkamah terus memainkan peranan asalnya?

Dua tahun pertama pentadbiran Trump memperlihatkan bahawa Presiden Trump tidak memandang rendah terhadap institusi-institusi ini, ataupun beliau melepaskan kepimpinan Amerika.  Tetapi sebaliknya.  Dalam tradisi terbaik demokrasi kami yang hebat, kami telah mengumpulkan negara-negara yang baik di dunia untuk membina sebuah sistem liberal baru yang menghalang peperangan dan mencapai kemakmuran yang lebih besar untuk semua.

Kami menyokong institusi yang kami percaya boleh ditingkatkan; institusi yang bekerja untuk kepentingan Amerika – dan kepentingan anda – dalam memelihara nilai kita bersama.

Contohnya, di sini di Belgium pada tahun 1973, bank-bank dari 15 buah negara telah membentuk SWIFT untuk membangunkan piawaian umum untuk pembayaran rentas sempadan, dan kini ia menjadi sebahagian daripada infrastruktur kewangan global kita.

SWIFT baru-baru ini telah memutuskan hubungan bank-bank Iran yang disekat dari platform SWIFT kerana risiko yang tidak dapat diterima terhadap sistem secara keseluruhannya.  Ini adalah contoh terbaik kepimpinan Amerika yang bekerja bersama institusi antarabangsa untuk bertindak secara bertanggungjawab.

Satu lagi contoh: Inisiatif Keselamatan Penularan Senjata, yang dibentuk oleh 11 buah negara di bawah pemerintahan Bush untuk menghentikan pemerdagangan senjata pemusnah besar-besaran.  Inisiatif ini telah berkembang secara organik ke 105 buah negara dan sudah pasti menjadikan dunia lebih selamat.

Dan saya tidak boleh lupa, salah sebuah institusi antarabangsa yang paling penting di sini – yang akan terus berkembang dengan kepimpinan Amerika.  Lawatan pertama saya, dalam masa beberapa jam setelah mengangkat sumpah sebagai setiausaha negara, saya datang ke sini untuk melawat sekutu NATO kami.  Saya akan mengulangi pagi ini apa yang saya katakan dahulu – ini adalah sebuah institusi yang sangat diperlukan.  Presiden Trump mahu semua orang memberi sumbangan mereka supaya kita boleh menghalang musuh kita dan mempertahankan rakyat – rakyat negara kita.

Untuk itu, semua sekutu NATO perlu bekerja untuk mengukuhkan apa yang telah menjadi pakatan tentera yang terbesar dalam sejarah.

Tidak pernah – tidak pernah ada pakatan yang sebegini kuat atau sebegini aman, dan hubungan bersejarah kita mesti diteruskan.

Untuk itu, saya dengan sukacita mengumumkan bahawa saya akan menjadi tuan rumah kepada rakan sejawat saya dari negara-negara asing untuk mengadakan pertemuan di Washington pada April depan, di mana kami akan meraikan ulang tahun ke-70 NATO.

Sebelum saya mengakhiri ulasan ini, saya ingin mengulangi apa yang dikatakan George Marshall kepada Perhimpunan Agung PBB semasa pembentukan pertubuhan ini pada tahun 1948.  Beliau berkata, saya petik, “Organisasi antarabangsa tidak boleh mengambil tempat usaha negara dan usaha peribadi atau imaginasi tempatan dan individu; tindakan antarabangsa tidak boleh menggantikan sikap berdikari membantu diri sendiri.”  Akhir petikan.

Kadang-kadang melawan arus adalah tidak popular, untuk menegur apa yang kita semua lihat tetapi kadang-kadang enggan menyebut.  Tetapi terus terang saya nyatakan, terlalu banyak dipertaruhkan bagi kita di dalam bilik ini hari ini untuk tidak melakukannya.  Inilah realiti yang Presiden Trump memahami secara mendalam.

Sama seperti generasi George Marshall yang telah menghidupkan visi baharu untuk dunia yang selamat dan bebas, makan kami menyeru anda untuk memiliki keberanian yang sama.  Seruan kami amat penting – dan memerlukan tindakan segera memandangkan ancaman yang kita hadapi dari negara-negara berkuasa dan para aktor yang bercita-cita untuk membentuk semula sistem antarabangsa mengikut acuan mereka sendiri yang mengongkong.

Marilah kita bekerjasama.  Marilah kita bekerjasama untuk memelihara dunia bebas supaya ia terus memenuhi kepentingan rakyat yang menjadi tanggungjawab kita.

Marilah kita lakukan dengan cara yang mewujudkan organisasi-organisasi antarabangsa yang tangkas, yang menghormati kedaulatan negara, yang menyampaikan misi yang telah dinyatakan, dan mencipta nilai untuk sistem liberal dan untuk dunia.

Presiden Trump amat memahami bahawa apabila Amerika menjadi ketua, keamanan dan kemakmuran hampir pasti dapat dicapai.

Beliau tahu jika Amerika dan sekutu kami di Eropah tidak memimpin, yang lain akan memilih untuk melakukannya.

Amerika akan, seperti yang selalu dilakukan, terus bekerja dengan sekutu kami di seluruh dunia ke arah sistem yang aman dan liberal yang wajar dinikmati oleh setiap warganegara dunia.

Terima kasih kerana bersama saya di sini hari ini.  Semoga Tuhan yang Maha Esa memberkati kita.  Terima kasih.  (Tepukan.)

________________________________

###

Terjemahan ini disediakan sebagai ihsan dan hanya sumber bahasa Inggeris asal yang harus dianggap sahih.