Ulasan: Setiausaha Negara Michael R. Pompeo di Mesyuarat Tentang Republik Rakyat Demokratik Korea Bersama Para Anggota Majlis Keselamatan PBB

Ulasan
Michael R. Pompeo
Setiausaha Negara
Bersama Para Anggota Majlis Keselamatan PBB
New York
27 September 2018


SETIAUSAHA POMPEO: Selamat pagi. Mesyuarat Majlis Keselamatan kali ke-8,363 akan dimulakan.

Agenda sementara bagi mesyuarat ini adalah pengawalan senjata nuklear/Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK). Agenda diterima.

Menurut Peraturan 37, saya menjemput para perwakilan Jepun dan Republik Korea untuk menyertai mesyuarat ini. Keputusan kini dibuat.

Saya dengan sukacitanya mengucapkan selamat datang kepada para menteri dan perwakilan yang ada di sini pada pagi ini. Majlis Keselamatan akan menimbang item dua pada agenda.

Sekarang saya akan membuat kenyataan dalam kapasiti saya sebagai Setiausaha Negara Amerika Syarikat.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sepanjang suku abad yang lalu telah berulang kali menjelaskan; dunia tidak boleh menerima Korea Utara yang memiliki senjata nuklear. Ini bukanlah pendirian Amerika Syarikat semata-mata. Ini pendirian dunia.

Percubaan diplomatik sebelum ini untuk menghentikan pembangunan peluru berpandu dan nuklear Korea Utara telah gagal. Walau bagaimanapun, kita sekarang sedang melalui permulaan hari yang baharu. Sejak memegang jawatan, Presiden Trump telah mengetuai kempen tekanan antarabangsa yang telah menghasilkan pencapaian diplomatik penting yang pertama sejak beberapa dekad.

Semasa sidang kemuncak Singapura yang bersejarah antara Presiden Trump dan Pengerusi Kim, Pengerusi Kim telah menyatakan komitmen untuk berusaha ke arah penghapusan senjata nuklear yang menyeluruh di Semenanjung Korea. Kedua-dua pemimpin berkongsi pendapat peribadi tentang apa yang perlu dilakukan bagi mengubah hubungan Amerika Syarikat-DPRK.

Amerika Syarikat meneruskan perbincangan dengan Korea Utara bagi melaksanakan komitmen yang dibuat di Singapura. Semalam saya telah membuat pertemuan yang positif dengan Menteri Luar Ri Yong Ho untuk membincangkan cara bagaimana kami boleh menggerakkan keempat-empat komitmen dalam kenyataan bersama di Singapura. Kami turut membincangkan tentang sidang kemuncak yang kedua antara Presiden Trump dan Pengerusi Kim Jong-un.

Kita tidak harus lupa dengan apa yang telah membawa kita sejauh ini: kempen tekanan antarabangsa bersejarah yang dilakukan oleh majlis menerusi sekatan yang dikenakan. Sehingga penghapusan senjata nuklear yang muktamad oleh DPRK dicapai dan disahkan sepenuhnya, tanggungjawab kita bersama adalah untuk melaksanakan sepenuhnya semua resolusi Majlis Keselamatan PBB berkaitan dengan Korea Utara.

Presiden Trump telah menyatakan secara jelas bahawa sekiranya Pengerusi Kim melaksanakan komitmen beliau, masa depan Korea Utara dan rakyatnya adalah sangat cerah dan Amerika Syarikat akan berada di barisan hadapan dalam usaha memudahkan masa depan yang cerah ini.

Kami mahu melihat perkara ini dicapai dengan seberapa cepat yang boleh. Namun laluan ke arah keamanan dan masa depan yang cerah hanyalah menerusi usaha diplomasi dan penghapusan senjata nuklear. Ini bermakna sebarang cara lain yang dipilih oleh Korea Utara lambat laun akan membawa kepada pengasingan dan tekanan yang semakin meningkat.

Oleh itu adalah penting untuk para anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu memahami perkara ini. Penguatkuasaan sekatan Majlis Keselamatan PBB perlu diteruskan dengan lebih ketat sehinggalah kita mencapai penghapusan senjata nuklear yang sepenuhnya, muktamad dan disahkan. Anggota-anggota majlis ini perlu menunjukkan contoh bagi usaha ini dan kita perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Kita perlu bertanggungjawab terutamanya untuk menguatkuasakan Resolusi 2397 yang mengurangkan had jumlah import petroleum ditapis ke Korea Utara. Amerika Syarikat telah menilai – dan kami boleh menyatakan tanpa sebarang syarat – bahawa had sebanyak 500,000 tong telah pun dilanggar pada tahun ini.

Kita akan terus menyaksikan aktiviti mengimport secara haram petroleum ditapis menerusi pemindahan dari kapal ke kapal yang secara jelas dilarang oleh resolusi PBB. Sebagai anggota majlis keselamatan PBB, kita perlu menyampaikan kepada para kapten dan pemilik kapal-kapal serta sesiapa sahaja yang terlibat dalam pemindahan ini bahawa kami sedang memerhatikan mereka dan mereka perlu menghentikan aktiviti haram ini.

Kita perlu bertanggungjawab untuk menyekat eksport arang batu secara haram oleh Korea Utara yang menyalurkan dana hasil secara terus kepada program senjata pemusnah besar-besaran.

Kita juga perlu bertanggungjawab untuk mengurangkan bilangan tenaga kerja Korea Utara yang dibenarkan masuk melalui sempadan. Amerika Syarikat bimbang dengan laporan baru-baru ini bahawa negara anggota, termasuk anggota Majlis Keselamatan, telah menjadi tempat tinggal kepada tenaga buruh Korea Utara. Ini melanggar resolusi Majlis Keselamatan secara tersurat dan tersirat yang kita telah setuju untuk mematuhi.

Walaupun sekatan kekal menjadi sebahagian daripada pendekatan menyeluruh yang dipakai untuk menghapuskan senjata nuklear di Semenanjung Korea, saya mahu menyatakan sesuatu yang positif. Kami sedang mengusahakan satu proses diplomatik dan kami berharap – sebenarnya kami mahu – melihat usaha ini berjaya. Saya gembira bahawa berdasarkan pertemuan antara Presiden Trump dan Pengerusi Kim baru-baru ini, Presiden telah mengarahkan saya untuk ke Pyongyang pada bulan hadapan untuk bertemu dengan Pengerusi Kim dan mempercepatkan proses ini.

Saya mahu menekankan bahawa masa depan Korea Utara boleh menjadi begitu cerah sekiranya negara ini melaksanakan komitmen untuk menghapuskan senjata nuklear secara muktamad dan disahkan sepenuhnya. Ini akan membawa kepada perubahan positif dalam hubungan A.S.-DPRK, membawa lebih kemakmuran kepada rakyat Korea Utara dan keamanan yang berterusan.

Dalam visi kami untuk rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, semua negara adalah kuat, berdaulat, terhubung, makmur dan aman. Namun visi ini tidak akan lengkap sekiranya kita gagal membawa perubahan di Semenanjung Korea. Warga Korea, rantau ini serta dunia tidak akan dapat merealisasikan janji masa akan datang sekiranya kita tidak merebut peluang diplomatik untuk keamanan yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Pada awal kenyataan ini, saya ada menyebut bahawa kita berada pada permulaan hari yang baharu dalam hubungan dunia dengan Korea Utara. Kita tidak tahu apakah yang akan berlaku di penghujung hari tetapi kita berharap bahawa pencapaian diplomasi yang ada sekarang akan membawa kepada masa depan yang lebih cerah untuk Korea Utara dan dunia yang lebih selamat untuk kita.

Terima kasih.

Sekarang saya serahkan mesyuarat kepada timbalan perdana menteri dan menteri hal ehwal luar Kuwait.