Festival Filem Eko Borneo Rai Kepelbagaian Biokebudayaan Borneo

A brief talk on conserving biodiversity. (U.S. Embassy photo)

Festival Filem Eko Borneo diadakan pada 8-9 Oktober di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.  Program bukan berasaskan keuntungan ini bertujuan untuk berkongsi pengetahuan mengenai isu ekologi dan budaya melalui bengkel, ceramah dan tayangan filem alam sekitar secara percuma kepada orang ramai.  Satu bahagian penting dalam festival ini adalah Program Pembikinan Filem Suara Komuniti yang mengumpulkan lebih 40 peserta daripada masyarakat tempatan seluruh Sabah untuk belajar cara memanfaatkan kuasa filem untuk menyampaikan pandangan, pendapat dan cerita.  Festival ini juga menganjurkan siri ceramah pendidikan dan seminar interaktif yang menampilkan saintis antarabangsa dan tempatan, pakar pemuliharaan, kumpulan berasaskan komuniti, pencerita, pemuzik, dan pembikin filem sepanjang festival berlangsung.  Kedutaan Amerika Syarikat memberikan geran kecil kepada penganjur festival.  Pada malam terakhir festival, Pegawai Hal Ehwal Kebudayaan Michael Quinlan memperkenalkan filem Amerika ‘Landfill Harmonic’ yang menampilkan Recycled Orkestra of Cateura, kumpulan muzik kanak-kanak dari Paraguay yang memainkan instrumen muzik daripada bahan kitar semula.  Kira-kira 1,600 orang menghadiri festival selama dua hari ini di pusat membeli-belah Suria Sabah.