Bantuan Kemanusiaan A.S. terhadap Krisis di Negeri Rakhine, Burma

22 Oktober 2017

Kerajaan A.S. menyediakan bantuan kecemasan berjumlah AS$40 juta sebagai respons langsung terhadap krisis Negeri Rakhine sejak 25 Ogos. Ini menjadikan jumlah bantuan kemanusiaan A.S. pada tahun kewangan 2017 kepada rakyat Burma yang tersingkir di Burma dan wilayah ini kepada hampir AS$104 juta.

Bantuan A.S. diberikan kepada rakan kongsi organisasi antarabangsa kami, termasuk UNHCR, UNICEF, Organisasi Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), dan Program Makanan Sedunia (WFP), yang membantu memberi perlindungan, tempat perteduhan kecemasan, bantuan makanan dan pemakanan, serta penjagaan kesihatan dan sokongan psikososial kepada lebih daripada setengah juta rakyat Burma di Burma, Bangladesh dan wilayah berkenaan.

Kami menyambut baik kemurahan hati Kerajaan Bangladesh dalam menghadapi krisis kemanusiaan yang teruk dan menghargai usaha berterusannya untuk memastikan bantuan dapat dicapai oleh orang yang memerlukan.

Kami menyeru agar dihentikan segera keganasan di utara Negeri Rakhine, dan kepada kerajaan Burma untuk membenarkan pelarian pulang ke rumah secara sukarela, selamat, dan bermaruah. Kami mengalu-alukan komitmen Burma untuk membawa kedamaian dan kestabilan jangka panjang kepada Negeri Rakhine dengan melaksanakan cadangan-cadangan laporan Suruhanjaya Annan.

Amerika Syarikat juga menyeru kerajaan Burma untuk membenarkan akses kemanusiaan yang tidak terhalang kepada orang di Negeri Rakhine, Burma, agar kita dapat menangani dengan lebih lengkap  keperluan kemanusiaan yang mendesak. Kami juga menggesa penderma lain untuk menyertai kami dalam menyediakan bantuan kemanusiaan tambahan kepada mereka yang terjejas oleh krisis.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi PRM Press di PRMPress@state.gov.