PERHATIAN: PENGARANG
Kuala Lumpur – COVID-19 tidak menghalang Kedutaan A.S. dan Duta Besar A.S. Brian D. McFeeters daripada berinteraksi dengan rakyat Malaysia di negeri-negeri yang lain. Dari 16-20 Ogos 2021, Duta Besar McFeeters melakukan lawatan maya ke Sabah melalui siri pertemuan dengan pegawai-pegawai kerajaan negeri, wakil daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), dan alumni Sabah bagi program pertukaran Kedutaan A.S. untuk membincangkan kerjasama A.S.-Sabah mengenai alam sekitar, hak asasi manusia, kerjasama keselamatan, kesihatan awam, pertukaran antara rakyat, dan banyak lagi.
Perjalanan Sabah ini merupakan lawatan maya kedua Duta Besar McFeeters di luar Lembah Klang. Bulan lalu, Duta Besar McFeeters melawat Pulau Pinang untuk lawatan maya pertamanya sejak tiba di Kuala Lumpur pada Februari tahun ini.
Lawatan Sabah dimulakan dengan kunjungan hormat Duta Besar McFeeters ke atas Menteri Besar Sabah, Datuk Seri Haji Panglima Haji Hajiji Noor. Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan hasrat mereka untuk mengukuhkan perkongsian kesihatan awam A.S.-Sabah. COVID-19 kekal menjadi keutamaan bagi Amerika Syarikat, dan Kedutaan A.S. akan terus membantu Malaysia untuk memerangi pandemik ini. Selain satu juta dos vaksin Pfizer yang disumbangkan kepada Malaysia pada bulan Julai, kerajaan A.S. memberikan RM3.5 juta untuk meningkatkan kapasiti ujian COVID-19 di Sabah dan RM2 juta lagi untuk sumbangan ambulans dan sokongan lain kepada Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) di Sabah dan Sarawak tahun lalu.
Amerika Syarikat akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi di Sabah dalam menggalakkan keselamatan dan kemakmuran Sabah. Dalam pertemuannya dengan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Dato’ Abang Iskandar bin Abang Hashim, Duta Besar McFeeters menekankan komitmen A.S. untuk kerjasama keselamatan di Sabah dan membincangkan keutamaan bersama untuk memerangi keganasan, pemerdagangan orang, dan pemerdagangan hidupan liar.
Duta Besar McFeeters juga bertemu dengan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Puan Noorliza Awang Alip untuk membincangkan tindak balas Kota Kinabalu terhadap pandemik yang sedang berlaku, di samping menyatakan penghargaan yang tinggi kepada DBKK atas sokongan berterusan mereka terhadap aktiviti kemasyarakatan Kedutaan di bandar ini, termasuk Hari Amerika dan program muzik dan budaya yang lain.
Dalam pertemuan dengan pegawai-pegawai dari Taman-Taman Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah, dan pertubuhan-pertubuhan NGO lain yang memberi tumpuan pada alam sekitar, Duta Besar berkongsi tumpuan kerajaan A.S. terhadap krisis iklim dan hasrat untuk menyokong Malaysia dalam usahanya untuk mengatasi cabaran ini. Melalui Biro Narkotik dan Hal Ehwal Penguatkuasaan Undang-Undang Antarabangsa (INL) Jabatan Negara, Kedutaan A.S. telah memberikan bantuan untuk melindungi kepelbagaian biologi yang sangat penting bagi industri kesihatan dan pelancongan alam sekitar Sabah dengan geran AS$1 juta untuk memberi latihan memerangi pemerdagangan hidupan liar.
Duta Besar McFeeters juga bertemu dengan organisasi masyarakat sivil yang berpangkalan di Sabah yang memperjuangkan isu hak asasi manusia termasuk SUHAKAM, Pusat Hak Asasi Manusia Sabah, dan Advocates for Non-discrimination and Access to Knowledge. Mereka membincangkan pelbagai topik termasuk memastikan kebebasan bersuara, kerjasama untuk memerangi pemerdagangan orang, dan kepentingan melindungi hak individu tanpa kewarganegaraan di Sabah. Kedutaan A.S. baru-baru ini melancarkan program pembinaan kapasiti untuk mengukuhkan organisasi antipemerdagangan di Malaysia, termasuk yang berpangkalan di Sabah.
Akhir sekali, Duta Besar McFeeters berkesempatan untuk belajar mengenai sejarah dan kepelbagaian budaya Sabah melalui lawatan maya dengan alumni Sabah bagi program pertukaran kerajaan A.S. Sesi interaktif itu juga memperkenalkan Duta Besar McFeeters kepada masakan unik Sabah. Duta Besar McFeeters menghargai peluang untuk “melawat” Sabah dan berharap dapat berkunjung secara peribadi sekiranya keadaan mengizinkan.
Contoh lain daripada perkongsian A.S. di Sabah termasuk:
- Pada 19 Ogos, Duta Besar McFeeters melancarkan kumpulan kedua Akademi Usahawan Wanita di Malaysia, yang merangkumi 10 peserta dari Sabah. Program ini bertujuan untuk melengkapkan wanita dengan alat dan kemahiran yang diperlukan untuk membuat dan mengembangkan perniagaan mereka.
- Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi hos kepada Sudut Amerika (AC) di Sabah. Melalui program AC di UMS, orang Sabah dapat mengetahui lebih lanjut mengenai Amerika Syarikat. AC Sabah terutamanya tertumpu pada program alam sekitar dan akan terus menjadi hos untuk program yang berkaitan dengan topik seperti perubahan iklim, kepelbagaian biologi, dan pemeliharaan hidupan liar.
- 40 pelajar berprestasi tinggi dan kurang berkemampuan dari segi ekonomi daripada SMK St. Patrick di Tawau mengambil bahagian dalam program Kepimpinan Access Kedutaan A.S. untuk memperkasakan pelajar menjadi pemimpin masa depan melalui kelas bahasa Inggeris intensif dan aktiviti pembelajaran berasaskan khidmat.
- Amerika Syarikat memberikan 18 sistem Udara Tanpa Pemandu Taktikal ScanEagl bernilai kira-kira USD$48 juta untuk digunakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Sehingga Ogos 2021, 12 pesawat telah dihantar ke Unit Udara Tanpa Pemandu TLDM yang pertama, Skuadron 601, yang terletak di Pangkalan Sepanggar, Kota Kinabalu. Penghantaran terakhir ScanEagle akan dihantar menjelang Disember 2021. Amerika Syarikat juga telah membiayai kira-kira 54 anggota TLDM untuk melakukan perjalanan ke Washington State untuk menerima latihan pengendali, perancangan dan penyelenggaraan misi untuk sistem ScanEagle.
- Oktober ini, Kedutaan A.S. dengan kerjasama Inisiatif Biji-biji dan Me.reka akan melancarkan YSEALI Bootcamp 2021: Sparking Digital Action – Edisi Borneo. Program ini akan terdiri daripada siri webinar, latihan intensif “boot camp” selama tiga minggu, dan komponen bimbingan yang dirancang untuk memperkasakan belia untuk memperjuangkan isu sosial yang dihadapi masyarakat di Sabah dan Sarawak, dengan fokus pada tema kepelbagaian dan penerimaan perbezaan, alam sekitar, dan kesamarataan digital. Maklumat lebih lanjut dan permohonan untuk menyertai terdapat di sini: https://go.usa.gov/xFGfj
- Perkongsian bandar raya kembar Portland-Kota Kinabalu diwujudkan pada tahun 2014 dan telah memudahkan pertukaran antara rakyat, terutama dalam bidang pemeliharaan alam sekitar, pengurusan kelestarian dan penyelidikan.
- Projek PREDICT yang dibiayai oleh USAID di Malaysia dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk mengkaji penularan penyakit zoonotik dan pencegahan wabak.
Galeri Foto
Ikuti sebahagian dari kiriman media sosial daripada lawatan secara maya oleh Duta Besar Brian D. McFeeters ke Sabah:
Memperkenalkan #Sabah kepada Duta Besar McFeeters!
- https://www.facebook.com/usembassykl/posts/10159356196529847
- https://www.instagram.com/p/CSqfcl1BBau/
- https://twitter.com/usembassykl/status/1427503911707975680?s=20
Sumbangan ambulans
- https://www.facebook.com/usembassykl/posts/10159356224659847
- https://www.instagram.com/p/CSqvpbehM9a/
- https://twitter.com/usembassykl/status/1427559858044170240?s=20
Hidupan Liar dan Alam Sekitar
- https://www.facebook.com/usembassykl/posts/10159358339174847
- https://www.instagram.com/p/CStrsWxBHx3/
- https://twitter.com/usembassykl/status/1427953256244776968?s=20
Lawatan Secara Maya dan Makan Tengahari bersama Alumni Sabah
- https://www.facebook.com/usembassykl/posts/10159359929774847
- https://www.instagram.com/p/CSv2T7phaaJ/
- https://twitter.com/usembassykl/status/1428258457652658178?s=20
###