Flag

An official website of the United States government

Memperkasakan Wanita Menjadi Usahawan Berdikari dan Berkeyakinan
4 MINIT DIBACA
Ogos 19, 2021

Ambassador McFeeters and WENA launches the second cycle for the Academy for Women Entrepreneurs with participants from Klang Valley, Terengganu, Penang, Sabah and Sarawak.
Ambassador McFeeters and WENA launches the second cycle for the Academy for Women Entrepreneurs with participants from Klang Valley, Terengganu, Penang, Sabah and Sarawak.

PERHATIAN: PENGARANG

Kuala Lumpur – Pada hari Khamis 19 Ogos 2021, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Brian D. McFeeters melancarkan pusingan kedua Akademi Usahawan Wanita (AWE) dengan Persatuan Jaringan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (WENA). AWE merupakan program pembangunan perniagaan yang memperkasakan wanita untuk menjadi usahawan yang berdikari dan berkeyakinan melalui peluang pembangunan, rangkaian dan bimbingan.

Dibangunkan oleh Jabatan Negara A.S. di bawah Inisiatif Pembangunan dan Kemakmuran Global (W-GDP) yang dipimpin oleh Rumah Putih, AWE menyokong pengembangan usahawan wanita di seluruh dunia melalui kerjasama dengan Thunderbird School of Global Management di Arizona State University (ASU). Peserta AWE mengikuti Dreambuilder, program pembelajaran dalam talian oleh ASU yang melengkapkan peserta dengan pengetahuan dan alatan untuk membuat dan mengembangkan perniagaan mereka sendiri, mengumpul modal dan menjalin rangkaian secara berkesan dengan pemilik perniagaan lain.

Sepanjang program ini, peserta AWE akan mempunyai mentor untuk membimbing mereka dan diberi peluang untuk berinteraksi dengan pemimpin perniagaan wanita. Mereka juga akan mengikuti latihan di bidang-bidang seperti pengucapan awam, tanggungjawab sivik, dan mendapat petua untuk membina dan memanfaatkan ekosistem wanita yang menyokong wanita. Selepas selesai, WENA akan memperkenalkan skim pembiayaan mikro, dan peserta terpilih akan diberi pinjaman RM1,000 untuk membantu meningkatkan pengembangan perniagaan mereka.

Pelancaran AWE 2.0 dimulakan dengan 50 peserta baharu dari Lembah Klang, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah, dan Sarawak. Ia juga meraikan kejayaan kumpulan pertama alumni yang berkongsi bagaimana AWE telah membantu mereka membangunkan keyakinan diri yang lebih tinggi sebagai usahawan dan memacu perniagaan mereka dalam talian semasa berlakunya pandemik.

Presiden WENA, Nuraizah Shamsul Baharin berkata, “Program AWE telah menjadi pengalaman yang sangat bermanfaat kepada WENA. Ia memberi kami peluang untuk bekerja dengan begitu ramai wanita yang luar biasa. Kami gembira dan bangga melihat bagaimana kumpulan pertama berkembang sebagai usahawan dan berjaya mengharungi pandemik. Kami berharap dapat bekerjasama dengan kumpulan seterusnya.”

Duta Besar McFeeters menekankan, “Program AWE menunjukkan kepentingan yang kita letakkan atas kesamarataan peluang dan menyokong pemerkasaan ekonomi wanita.
Penyertaan ekonomi wanita yang bermakna adalah penting untuk mencapai keselamatan dan kestabilan yang lebih besar di seluruh dunia. Apabila wanita diperkasakan secara ekonomi, mereka melabur dalam keluarga dan komuniti mereka, memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan masyarakat yang lebih stabil.”

AWE merupakan sebahagian daripada Kempen Wanita Empowered Kedutaan, yang bertujuan untuk meningkatkan pemerkasaan ekonomi wanita melalui tiga tonggak: meningkatkan akses kepada pendidikan, menggalakkan keseimbangan ekonomi, dan mengatasi halangan terhadap kesamarataan.

Pertanyaan lebih lanjut mengenai AWE boleh dibuat melalui e-mel kepada Nuraizah Shamsul Baharin di nuraizah@madcatworld.com.

Tentang Persatuan Jaringan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (WENA)
WENA ialah rangkaian terkemuka di Malaysia untuk usahawan wanita, pemimpin perniagaan dan profesional. Ditubuhkan pada bulan September 2003, WENA merupakan organisasi bukan untung dengan misi untuk membantu lebih ramai wanita Bumiputera melabur dalam kemahiran dan pengetahuan yang penting untuk mengembangkan potensi mereka dalam perniagaan atau bidang profesional.