Flag

An official website of the United States government

Planet US Memacu Belia Di Sabah Melakukan Tindakan Lestari Terhadap Perubahan Iklim
5 MINIT DIBACA
September 26, 2022

PERHATIAN: EDITOR

7 September, 2022

 

Kota Kinabalu, 7 September 2022 – Planet Us, sebuah pameran pendidikan interaktif, yang dibangunkan bersama oleh Kedutaan A.S. Kuala Lumpur dan Biji-biji Initiative, telah tiba di Sabah. Planet Us akan mendidik belia tentang kesan tindakan harian terhadap alam sekitar, dan memperkasakan belia untuk menangani perubahan iklim dengan cara yang lestari. Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tanjung Aru akan menjadi tuan rumah pameran itu, yang akan dijalankan pada 1-11 September 2022.

Melalui beberapa siri bengkel, yang dipimpin oleh organisasi seperti Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo dan Danau Girang Field Centre, Planet Us akan memperkasakan belia untuk menangani cabaran pengurusan sisa di Malaysia dan menggunakan penyelesaian kreatif seperti kitar semula. Bengkel kitar semula akan melatih peserta untuk melihat melangkaui fungsi biasa produk buangan harian dan mencari cara untuk menggunakannya semula dan meminimumkan sisa. Di Sabah, NGO Kota Kita telah menjalankan pameran yang sepadan bertajuk “Walkable City, Sustainable City,” yang membolehkan para peserta menghargai aspek kelestarian melalui infografik, aktiviti interaktif dan kuiz.

“Kami amat berbangga dapat bekerjasama dengan Perpustakaan Negeri Sabah dan Biji-biji Initiative untuk membawa Planet Us ke Kota Kinabalu,” kata Kaunselor Kedutaan A.S. untuk Hal Ehwal Awam Mindy Masonis. “Ekosistem Sabah yang pelbagai dan keindahan alam semula jadi yang menakjubkan meletakkannya di barisan hadapan dalam usaha menentang perubahan iklim. Kami berharap Planet Us dapat membantu belia di Kota Kinabalu lebih memahami peranan yang boleh mereka mainkan dalam memelihara keindahan Sabah untuk dinikmati dan dihayati generasi akan datang.”


Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Zainudin Aman berkata “Saya berharap setiap rakyat Sabah akan menyertai dan menyokong pameran ini, serta menyertai gerakan menangani perubahan iklim. Pameran ini akan memberi impak positif kepada kehidupan generasi akan datang dengan menggerakkan golongan muda untuk mewujudkan persekitaran yang lebih baik untuk kita.”

Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, Hajah Fatimah Abdillah berkata “Perpustakaan Negeri Sabah berbesar hati dapat bekerjasama dengan Kedutaan A.S. dan Biji-biji Initiative dalam menyokong program awam yang bermakna itu.

Planet Us telah dilancarkan di Sarawak pada bulan Jun dan dijadualkan mengembara ke seluruh Malaysia untuk empat bulan akan datang, termasuk singgah di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Pengunjung boleh mengambil bahagian dalam bengkel tentang pengkomposan, kraf tangan dan pemuliharaan hidupan liar. Aktiviti dan sumber maya — termasuk pertandingan kitar semula, permainan dalam talian dan tapak web (https://planetus-exhibit.com) — juga akan melibatkan orang ramai dengan meningkatkan kesedaran mereka tentang kesan perubahan iklim.

Planet Us akan membolehkan belia Malaysia melakukan perubahan dalam komuniti mereka dengan memerangi perubahan iklim secara strategik. Tiada negara boleh menyelesaikan krisis iklim secara bersendirian. Setiap orang mesti melakukan bahagian mereka. Kempen ini juga menggalakkan orang ramai untuk berfikir secara kritis tentang kesan tindakan harian mereka terhadap alam sekitar, dan bagaimana mereka boleh mengamalkan tabiat yang lebih lestari. Kempen ini diharap dapat memberi inspirasi kepada perbincangan dan peralihan minda ke arah kesedaran tentang alam sekitar.

Untuk maklumat tambahan, lawati https://planetus-exhibit.com/

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi: Antonia Peter Sani, antoniapeter.sani@sabah.gov.my, +60 17-869 7374