Pertandingan Click! 4.0 bermula!

Photo of winning teams
Pasukan The Enablers (SMK Padang Polo, Pulau Pinang), Mahang Teenagers (SMK Mahang, Kedah), dan Eco Warriors (SMK Lahat, Perak) menerima RM300 sebagai dana awal kerana muncul sebagai tiga pasukan pemenang. (Foto Kedutaan A.S.)

Pada 2-4 Mei, 64 pelajar telah mengambil bahagian dalam kem Click 4.0 “Get.Set.Go” selama tiga hari di Hotel Royal Penang.  Kem inovasi sosial tahunan keempat ini disertai oleh para pelajar yang mengambil bahagian dalam Program Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) Fulbright, program Teach for Malaysia (TFM), dan Program English Access Microscholarship dari Pulau Pinang, Perak, Johor, dan Kedah.

Kem berasaskan pertandingan ini mengumpulkan pelajar bandar dan luar bandar untuk belajar tentang keusahawanan sosial, meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris mereka, dan meningkatkan kemahiran kepimpinan.  Setiap pasukan diberi pembiayaan awal sebanyak RM200 untuk melaksanakan projek-projek mereka dalam tempoh lapan minggu selepas program kem.  Para pelajar akan dibimbing oleh ETA dan guru-guru dan dikehendaki untuk melaporkan kemajuan projek mereka melalui halaman Facebook Click 4.0.

Photo of English teaching assistants
ETA dari Perak; Poonam Daryani (SMK Lahat), Michaela Gaziano (SMK Dato Idris), dan Aisha Hadlock (SMK Dato Maharaja Lela) mempersembahkan topik tentang Amerika kepada para peserta Click. (Foto Kedutaan A.S.)

Pada hari terakhir, pasukan-pasukan mempersembahkan idea-idea mereka untuk dinilai oleh panel tiga hakim yang terdiri daripada Encik Arend C. Zwartjes, Pegawai Hal Ehwal Kebudayaan Kedutaan A.S., Encik Zye Ramli, usahawan dan rakan kongsi bersekutu pusat kreativiti mesra alam Work Palette, dan En Shahidan Shafie pensyarah kanan dari Fakulti Pengurusan Universiti Sains Malaysia.

Sekolah-sekolah yang menyertai kem adalah seperti berikut: SMK Air Itam, SMK Hutchings, SMK Permatang Tok Labu, SMK Mak Mandin dan SMK Padang Polo dari Pulau Pinang; SMK Lahat, SMK Dato Seri Maharaja Lela, SMK Dato Idris di Perak; SMK Mahang dan SMK Dato’ Berjaya Setia (Kedah); dan SMK Kota Masai 2, SMK Taman Seri Kluang, dan SMK Teknik dari Johor.

Pusingan kedua kem akan diadakan di Kuching dari 23 hingga 25 Mei dan satu lagi kem di Kuala Terengganu dari 17 hingga 19 Jun.  Pasukan yang menang akan disenarai pendek untuk Program Pertukaran dan Belajar Belia (YES) Kennedy-Ludgar dan akan dijemput untuk menyertai satu program hujung minggu khas yang dianjurkan oleh Antarabudaya Malaysia (AFS).

Kem Click! 4.0 dianjurkan oleh LifeChamp Sdn. Bhd dan Persatuan Alumni Malaysia-Amerika dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri, Pusat Bahasa ELS, dan Teach for Malaysia.