Persembahan Muzik Tentera Udara A.S. Menarik Perhatian Rakyat Malaysia

Photo of people at the Lincoln Corner
Kumpulan Pemuzik Tentera Udara Amerika Syarikat meraikan para tetamu di Sudut Lincoln Pulau Pinang (Seberang Jaya). (Foto Kedutaan A.S.)

Ketika Tentera Udara A.S. Asia Pasifik (PACAF) menjalankan latihan ketenteraan bersama rakan Malaysia mereka pada 9-22 Jun, kumpulan pemuzik empat orang yang diketuai oleh Kapten Haley Armstrong sibuk melakukan aktiviti-aktiviti perhubungan masyarakat di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.  Mereka mempersembahkan muzik dan lagu popular Amerika dengan cara tersendiri di hadapan penonton, di samping menyebarkan mesej kegembiraan dan persahabatan kepada kira-kira 400 orang awam.  Para pemuzik dari Malaysia, orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta belia, guru muzik, dan wakil-wakil media adalah antara mereka yang menghadiri persembahan cemerlang kumpulan itu.  Persembahan mereka dibuat di Sudut Lincoln di Perpustakaan Kuala Lumpur (12 Jun); Kedutaan Amerika Syarikat (13 Jun); Sudut Lincoln di Perpustakaan Awam Pulau Pinang (Seberang Jaya, 17 Jun) dan Kolej KDU di Pulau Pinang (Georgetown, 19 Jun). “Muzik dan lagu merentasi sempadan” kata salah seorang penonton bersemangat yang menghadiri Kelas Induk kumpulan itu di Pulau Pinang, sambil menambah, “ia mengikat penghibur dan pendengar bersama-sama, seolah-olah kita bercakap bahasa inspirasi yang sama!”

Photo of the U.S. Air Force ensemble
Kumpulan Pemuzik Tentera Udara Amerika Syarikat meraikan para tetamu di Sudut Lincoln Kuala Lumpur. (Foto Kedutaan A.S.)

Persembahan dua jam kumpulan pemuzik Tentera Udara Amerika Syarikat itu termasuk satu jam Kelas Induk untuk mereka berkongsi kisah peribadi dalam kerjaya muzik mereka dan dalam Tentera Udara Amerika Syarikat.  Rakyat Malaysia terhibur mendengar cerita-cerita mereka yang menyentuh perasaan, terutama pertemuan dengan masyarakat pelbagai budaya dan lapisan di negara-negara yang mereka lawati, dan penonton bersemangat yang mereka hiburkan di sekolah, kampung, pekan dan bandar, di seluruh rantau Asia Pasifik.

Di setiap perhentian, para penonton, terutamanya golongan belia, menjalin ikatan mesra dengan kumpulan pemuzik dari Amerika Syarikat ini, dengan mengambil gambar dan “selfies”, mendapatkan autograf, berkongsi cerita pendek, dan memeluk antara satu sama lain untuk menyatakan kegembiraan mereka.

Kumpulan pemuzik Tentera Udara Amerika Syarikat ini ditempatkan di Pangkalan Udara Yokota, Jepun.  Unit ini terdiri daripada pemuzik profesional sepenuh masa yang berusaha untuk memberi inspirasi kepada tentera dan orang awam di rantau Pasifik Barat.  Di bawah arahan Kapten Haley Armstrong, Kumpulan Muzik Tentera Udara A.S. di Pasifik telah membuat beratus-ratus persembahan muzik setiap tahun di pelbagai lokasi di rantau Asia / Pasifik, dan menjalinkan hubungan muhibah dan persahabatan.