Penerbangan Malaysia Airlines MH 370

Kedutaan A.S. sedang mengikuti dengan dekat perkembangan mengenai penerbangan Malaysia Airlines # MH370.  Kami merakamkan rasa simpati kepada orang tersayang yang terlibat di dalam pesawat Penerbangan Malaysia.

Pada masa ini, kami mengesahkan bahawa tiga rakyat Amerika Syarikat berada di dalam penerbangan.  Kami sedang menghubungi keluarga-keluarga individu tersebut.  Sebagai penghormatan terhadap mereka, kami tidak memberikan maklumat tambahan pada masa ini.  Kami sedang berusaha untuk menilai sama ada terdapat lagi rakyat Amerika Syarikat yang mungkin berada di dalam penerbangan.

Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika Syarikat menghantar USS Pinckney, bersama-sama dengan pesawat P-3C untuk membantu dalam usaha mencari.  USS Pinckney (DDG 91), kapal pemusnah peluru berpandu kelas Arleigh Burke, sedang dalam perjalanan ke pantai selatan Vietnam untuk membantu dalam usaha pencarian.  Kapal ini boleh berada di kawasan pesawat yang hilang dalam tempoh 24 jam dan membawa dua helikopter MH-60R yang boleh dilengkapi untuk usaha mencari dan menyelamat.  Di samping itu, sebuah pesawat P-3C Orion juga akan berlepas sebentar lagi dari Pangkalan Udara Kadena di Okinawa, Jepun, yang mempunyai keupayaan radar dan komunikasi pencarian jarak jauh untuk usaha bantuan.

Malaysia Airlines telah mewujudkan nombor telefon khusus untuk ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan penumpang untuk menghubungi syarikat penerbangan itu secara langsung bagi mendapatkan maklumat.  Keluarga dan rakan-rakan perlu menghubungi syarikat penerbangan itu di +603 8787 126 atau +603 87871629.  Syarikat penerbangan itu juga menyediakan maklumat terkini kepada orang awam di laman webnya, http://www.malaysiaairlines.com/hq/en.html.