Pendaftaran Pelajar Malaysia di A.S. meningkat 8.3% kepada 7,834

Chargé d’Affaires Edgard Kagan in a group photo with educators and students at the commencement ceremony. (U.S. Embassy photo)

Siaran Akhbar 

Laporan Open Doors bagi Pertukaran Pendidikan Antarabangsa 2016 mendapati 7,834 pelajar Malaysia menghadiri kolej atau universiti di Amerika Syarikat pada tahun akademik 2015/16, meningkat 8.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.  Malaysia ialah negara ke-22 tertinggi yang menghantar pelajar belajar di Amerika Syarikat.

Sejak tahun akademik 2007/8, jumlah pelajar Malaysia di Amerika Syarikat semakin meningkat.  Bilangan pelajar agak mendatar antara 2011/12 dan 2013/14 tetapi kadar pertumbuhan meningkat kepada 6% pada tahun 2014/15 dan 8.3% pada 2015/16.

Kebanyakan pelajar dari Malaysia di Amerika Syarikat mengikuti pengajian di peringkat sarjana muda, dengan 70 peratus mendaftar di peringkat sarjana muda, 15 peratus di peringkat sarjana, dan 13 peratus dalam latihan praktikal pilihan.

“Kami bersuka cita apabila lebih ramai rakyat Malaysia memilih universiti di A.S. untuk melanjutkan pelajaran mereka dan membina prospek kerjaya mereka,” kata Kuasa Usaha Kedutaan A.S. Edgard Kagan.  “Hakikatnya bilangan pelajar semakin meningkat meskipun kadar pertukaran wang asing lebih tinggi dan hal ini menunjukkan nilai pendidikan A.S. yang begitu besar.  Rakyat Malaysia yang belajar di Amerika Syarikat membangunkan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam ekonomi global hari ini.”

Bilangan pelajar antarabangsa di kolej dan universiti A.S. melepasi satu juta buat kali pertama dalam tahun akademik 2015-16—peningkatan sebanyak tujuh peratus berbanding tahun sebelumnya kepada paras tertinggi yang baharu iaitu hampir 1,044,000 pelajar.  Pertumbuhan yang kukuh ini mengesahkan bahawa Amerika Syarikat kekal sebagai destinasi pilihan dalam pendidikan tinggi.  Amerika Syarikat menjadi tuan rumah kepada lebih 4.5 juta pelajar kolej dan universiti mudah alih dunia berbanding negara lain di dunia.  Pada 2015-16, terdapat hampir 69,000 lebih ramai pelajar antarabangsa mengikuti pendidikan tinggi A.S. berbanding tahun sebelumnya.

Walaupun China setakat ini kekal sebagai negara di tempat teratas dengan jumlah pelajar antarabangsa terbanyak di Amerika Syarikat, meningkat sebanyak 8 peratus kepada 328.547, pertumbuhan India sekali lagi mengatasi China, dengan pelajar dari India meningkat sebanyak 25 peratus kepada rekod tinggi 165,918.  Pada 2015-16, China dan India bersama-sama menyumbang 84 peratus daripada jumlah peningkatan pelajar antarabangsa, dan mereka kini merupakan hampir 47 peratus daripada jumlah pelajar antarabangsa dalam pendidikan tinggi A.S.

“Dapatan Open Doors menunjukkan bahawa pelajar antarabangsa menghargai kualiti, kepelbagaian dan reputasi kukuh institusi A.S. dan menyedari bahawa institusi A.S. akan memberi mereka peluang yang boleh membantu mereka bukan sahaja dalam pelajaran tetapi juga dalam kerjaya mereka,” kata Presiden IIE Allan Goodman .

Kini terdapat 85 peratus lebih ramai pelajar antarabangsa yang belajar di kolej dan universiti A.S. daripada jumlah yang dilaporkan sedekad yang lalu.  Perkara ini juga merupakan tahun kesepuluh berturut-turut Open Doors melaporkan peningkatan jumlah pelajar antarabangsa dalam pendidikan tinggi A.S.  Pelajar antarabangsa kini merupakan lebih kurang lima peratus daripada lebih 20 juta pelajar yang mengikuti pendidikan tinggi A.S., meningkat daripada kira-kira empat peratus pada tahun sebelumnya.

Untuk lebih banyak data, maklumat grafik dan sumber tentang Laporan Open Doors mengenai Pertukaran Pendidikan Antarabangsa 2016, layari http://www.iie.org/Open-Doors

#  #  #

Open Doors diterbitkan oleh Institut Pendidikan Antarabangsa (IIE), sebuah organisasi bebas bukan berorientasi keuntungan yang mempunyai rangkaian 19 pejabat dan sekutu di seluruh dunia dan lebih 1,400 institusi anggota.  IIE mereka bentuk dan melaksanakan program pengajian dan latihan untuk pelajar, pendidik, golongan profesional muda dan pelatih dari semua sektor dengan pembiayaan daripada agensi kerajaan, yayasan, dan syarikat.  IIE menjalankan kajian statistik tahunan pelajar antarabangsa di Amerika Syarikat sejak penubuhannya pada 1919 serta bekerjasama dengan Jabatan Biro Negeri Hal Ehwal Pendidikan dan Kebudayaan sejak 1972.  Open Doors juga melaporkan bilangan sarjana antarabangsa di universiti A.S.; pelajar antarabangsa yang mengikuti kursus persediaan intensif program bahasa Inggeris; dan pelajar A.S. yang belajar di luar negara.  Maklumat lanjut mengenai tinjauan Open Doors 2016 dan dapatan mereka boleh didapati di laman web Open Doors, dan laporan penuh dengan lebih 100 halaman boleh didapati pada bulan Januari serta boleh dipesan daripada IIE Books.

Biro Hal Ehwal Pendidikan dan Kebudayaan (ECA) Jabatan Negara Amerika Syarikat membina hubungan antara rakyat Amerika Syarikat dan rakyat negara lain melalui pertukaran dalam sektor akademik, kebudayaan, sukan, profesional dan peribadi, dan juga perkongsian awam dan swasta serta program mentor. Setiap tahun, kira-kira 50,000 peserta menyertai program pertukaran, termasuk Program Fulbright dan Program Kepimpinan Pelawat Antarabangsa.  ECA juga menaja Biasiswa Benjamin A. Gilman untuk mahasiswa A.S. yang memerlukan bantuan kewangan, Program Biasiswa Kritikal Bahasa bagi menyokong kajian bahasa asing A.S. di luar negara, dan rangkaian EducationUSA dengan lebih 400 pusat nasihat di seluruh dunia yang menyediakan maklumat kepada pelajar di seluruh dunia yang ingin belajar di Amerika Syarikat.  Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti program pertukaran pendidikan dan budaya Jabatan Negara A.S., sila layari eca.state.gov atau hubungi ECA-Press@state.gov.