Naib Presiden Amerika Syarikat

Vice President Mike PenceMichael R. Pence dilahirkan di Columbus, Indiana, pada 7 Jun 1959.  Beliau merupakan salah seorang daripada enam anak kepada pasangan Edward dan Nancy Pence.  Semasa kecil beliau berada di barisan hadapan dalam mengejar Impian Amerika.  Selepas datuknya berhijrah ke Amerika Syarikat ketika berusia 17 tahun, beliau menetap bersama keluarganya di bahagian Barat Tengah Amerika Syarikat.  Bakal Naib Presiden ini menyaksikan ibu bapanya membina keluarga, perniagaan, dan nama baik yang merupakan perkara penting dalam kehidupan.  Pence membantu ibu bapanya menjalankan perniagaan kedai runcit yang berjaya di bandar kecil Indiana.  Beliau dibesarkan dengan penekanan tentang kepentingan nilai kerja keras, kepercayaan, dan kekeluargaan.

Pada 1981, Naib Presiden Pence memasuki Kolej Hanover, seterusnya memperoleh ijazah sarjana muda dalam sejarah.  Semasa di sana, beliau memperbaharui kepercayaan Kristiannya yang kekal menjadi pendorong hidupnya.  Beliau kemudiannya menghadiri Sekolah Undang-Undang Universiti Indiana dan bertemu dengan cinta hidupnya, Karen Pence.

Selepas menamatkan pengajian, Naib Presiden Pence bekerja dalam bidang guaman, mengetuai Indiana Policy Review Foundation, dan menjadi hos untuk Mike Pence Show iaitu rancangan temu bual radio bersindiket dan program hal ehwal awam TV mingguan di Indiana.  Pada masa yang sama, beliau juga menjadi bapa kepada tiga orang anak iaitu Michael, Charlotte, dan Audrey.

Pence membesar di Indiana dalam persekitaran Hoosier (penduduk Indiana) yang baik dan rajin.  Naib Presiden Pence tahu bahawa beliau perlu berbakti kepada negeri dan negara yang telah banyak berjasa kepadanya.  Pada 2000, beliau menawarkan diri untuk menjadi ahli Kongres tempatan dan berjaya menduduki kerusi Dewan Perwakilan Amerika Syarikat pada usia 40.

Penduduk bahagian Timur-Tengah Indiana memilih Naib Presiden Pence enam kali untuk mewakili mereka dalam Kongres.  Di Capitol Hill, Pence memperjuangkan campur tangan terhad kerajaan, pengurusan fiskal yang bertanggungjawab, pembangunan ekonomi, peluang pendidikan, dan Perlembagaan A.S.  Rakan seangkatan beliau mengiktiraf keupayaan kepimpinan Pence dan sebulat suara memilih beliau untuk berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kajian Dewan Republikan dan Pengerusi Persidangan Dewan Republikan.  Sebagai pengerusi, Naib Presiden memainkan peranan membantu menjadikan kerajaan beroperasi secara lebih kecil dan lebih berkesan, mengurangkan perbelanjaan, dan mengembalikan kuasa kepada kerajaan negeri dan tempatan.

Pada 2013, Naib Presiden Pence meninggalkan Washington D.C. apabila penduduk Indiana memilih beliau sebagai Gabenor Indiana ke-50.  Beliau membawa falsafah yang sama tentang peranan terhad kerajaan dan cukai rendah dalam Dewan Negeri Indiana.  Sebagai Gabenor, beliau menggubal potongan cukai pendapatan yang terbesar dalam sejarah Indiana, menurunkan kadar cukai pendapatan individu, cukai milikan perniagaan peribadi dan cukai pendapatan korporat bagi mengukuhkan daya saing negeri dan menarik pelaburan baru serta mewujudkan pekerjaan yang bergaji tinggi.  Dengan tumpuan berterusan terhadap pekerjaan, kadar pengangguran di Indiana berjaya dikurangkan separuh sepanjang empat tahun beliau memegang jawatan, dan pada akhir tempoh pentadbiran beliau, lebih ramai penduduk Indiana mempunyai pekerjaan berbanding sebarang tempoh dalam sejarah 200 tahun Indiana.

Sebagai Gabenor Indiana, Naib Presiden Pence menambah pembiayaan untuk sekolah, memperbanyakkan pilihan sekolah, dan mewujudkan pelan pendidikan untuk kanak-kanak di bawah umur lima tahun yang dibiayai oleh kerajaan negeri dan ia merupakan yang pertama dalam sejarah Indiana.  Beliau menjadikan pendidikan kerjaya dan teknikal satu keutamaan untuk setiap sekolah tinggi.  Di bawah kepimpinan Naib Presiden Pence, Indiana, yang dikenali sebagai “The Crossroads of America,” melabur lebih daripada $800 juta untuk jalan dan jambatan di seluruh negeri.  Walaupun dengan pemotongan cukai dan pelaburan baru yang tinggi untuk jalan raya dan sekolah, negeri Indiana mengekalkan pengurusan fiskal yang bertanggungjawab.  Naib Presiden Pence bekerja bersama ahli badan perundangan Indiana untuk meluluskan dua belanjawan seimbang yang mengukuhkan rizab Indiana sehingga mendapat penarafan kredit AAA.

Cerita kejayaan Indiana, rekod dan pengalaman Naib Presiden Pence dalam perundangan dan eksekutif, serta nilai keluarga beliau yang kukuh mendorong Presiden Donald Trump untuk memilih Mike Pence sebagai pasangan bertandingnya pada Julai 2016.  Rakyat Amerika memilih Presiden Donald Trump dan Naib Presiden Pence pada 8 November 2016.  Presiden Donald Trump dan Naib Presiden Pence mulakan tugas mereka pada 20 Januari 2017.

Naib Presiden Mike Pence bersyukur dengan rahmat Tuhan, kasih sayang dan sokongan keluarganya, serta berkat kebebasan yang merupakan hak kelahiran setiap rakyat Amerika.  Beliau berharap untuk bekerjasama dengan rakyat Amerika dan berusaha untuk menjadikan Amerika hebat selari dengan slogan ‘Make America Great Again.’

Sumber biografi: whitehouse.gov