Laporan Pemerdagangan Manusia 2018

MALAYSIA

Senarai Pemerhation Tingkat 2

MALAYSIA: Senarai Pemerhatian Tingkat 2

Kerajaan Malaysia tidak memenuhi standard minimum untuk penghapusan pemerdagangan orang. Walau bagaimanapun, ia melakukan usaha penting untuk berbuat demikian. Kerajaan menunjukkan usaha yang ketara dengan mensabitkan lebih banyak pemerdagang orang, meningkatkan penguatkuasaan terhadap jenayah penahanan pasport yang tidak dibenarkan, memberi lebih banyak mangsa kebebasan pergerakan, menambah pembiayaan tiga kali ganda untuk NGO termasuk untuk tiga pusat perlindungan yang dikendalikan oleh NGO, dan membuka mahkamah khusus yang pertama untuk pemerdagangan orang. Kerajaan juga meminda levi pekerja asing dan Akta Agensi Pekerjaan Swasta untuk mengalihkan beban hutang daripada pekerja asing. Walau bagaimanapun, kerajaan tidak menunjukkan keseluruhan peningkatan usaha berbanding tahun sebelumnya. Usaha perlindungan mangsa kerajaan masih tidak mencukupi dan kerajaan kurang mengenal pasti mangsa berbanding tahun sebelumnya. Kementerian Sumber Manusia menggubal perubahan perundangan yang akan meliputi pembantu rumah di bawah undang-undang pekerjaan, tetapi peraturan baharu tidak diluluskan oleh Kabinet pada akhir tempoh pelaporan, dan amalan pengambilan pekerja sering mendedahkan pekerja asing kepada perhambaan hutang. Prosedur untuk memperluaskan kebebasan pergerakan mangsa dan hak untuk bekerja dihalang oleh kelewatan birokrasi, kekurangan kakitangan yang sesuai, dan sikap yang takutkan risiko dan paternalistik terhadap mangsa; daripada 721 mangsa yang dikenal pasti, kerajaan memberikan dua visa kerja dan 91 pas imigresen khas untuk kebebasan pergerakan. Penglibatan dalam kalangan pegawai penguatkuasaan undang-undang menghalang usaha antipemerdagangan orang. Sementara pihak berkuasa menyiasat jenayah ini, pegawai yang bersalah biasanya terselamat daripada pendakwaan dan hukuman. Tidak ada rakyat Malaysia, termasuk pegawai yang disyaki terlibat, telah didakwa kerana kemungkinan melakukan jenayah pemerdagangan orang yang ditemui di sempadan Thailand pada 2015. Kerajaan kurang mendakwa pemerdagang orang yang disyaki dari tahun sebelumnya. Oleh itu Malaysia diturunkan ke Senarai Pemerhatian Tingkat 2.

CADANGAN UNTUK MALAYSIA

Meningkatkan secara ketara bilangan mangsa pemerdagangan orang yang mendapat kelulusan untuk kebebasan bergerak; memperluas kebebasan pergerakan yang dibenarkan kepada mangsa di tempat perlindungan untuk memasukkan pergerakan tanpa ditemani dan komunikasi mengikut kehendak mereka dengan orang di luar kemudahan perlindungan; meningkatkan bilangan mangsa pemerdagangan orang yang mendapat kelulusan untuk bekerja; meningkatkan pelaksanaan peraturan untuk pindaan 2015 ke atas undang-undang antipemerdagangan orang dan membuat prosedur rasmi yang memastikan penilaian keselamatan direka untuk mengurangkan kebimbangan keselamatan dan sekuriti bagi setiap mangsa daripada menjadi risiko kepada tempat perlindungan atau kerajaan; meningkatkan bilangan pendakwaan dan perbicaraan pemerdagangan orang, termasuk pegawai yang terlibat dan jenayah buruh paksa; mengurangkan kelewatan mahkamah dan meningkatkan kefahaman kehakiman tentang pelbagai jenayah pemerdagangan orang, terutamanya buruh paksa; mengumumkan hasil penyiasatan yang melibatkan pegawai korup untuk meningkatkan ketelusan dan pencegahan dan menjadikan pegawai bertanggungjawab atas jenayah apabila melanggar undang-undang; memberikan perlindungan yang lebih besar terhadap perhambaan hutang kepada pekerja asing semasa proses pengambilan pekerja; meningkatkan kapasiti penguatkuasaan undang-undang untuk menyiasat dan mendakwa kes-kes pemerdagangan orang berdasarkan maklumat risikan dan perkongsian maklumat di kalangan agensi-agensi kerajaan; meningkatkan kapasiti pemeriksa buruh untuk mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan golongan yang terdedah, seperti pekerja asing, dan menyiasat penyeludupan buruh dengan berkesan; memperluas perlindungan buruh untuk pembantu rumah dan menyiasat tuduhan penderaan pembantu rumah; meningkatkan pengurusan kes dan komunikasi dengan mangsa pemerdagangan orang, termasuk melalui peningkatan interaksi pendakwa-mangsa sekurang-kurangnya dua minggu sebelum perbicaraan dengan mematuhi arahan hakim; memperkukuh kerjasama dengan NGO yang berwibawa dan berkesan serta melaksanakan rancangan untuk menyediakan lebih banyak perkhidmatan untuk mangsa, termasuk pembinaan tempat perlindungan baharu atau peluasan untuk tempat yang sedia ada; memperluas usaha untuk memaklumkan kepada pekerja, termasuk pembantu rumah tentang hak mereka untuk mengekalkan akses kepada pasport mereka pada bila-bila masa, tanpa kelewatan atau kelulusan, dan tanpa akibat daripada status dan hubungan mereka dengan majikan mereka, dan memasukkan bahasa yang secara jelas menyatakan pasport akan tetap menjadi kepunyaan pekerja dalam kontrak model dan memorandum persefahaman dua hala masa depan dengan negara sumber buruh; menguatkuasakan undang-undang dengan berkesan yang melarang majikan daripada menahan pasport tanpa kebenaran pekerja, mendidik pekerja dan majikan mengenai hak pekerja asing, termasuk rekursa dan remedi undang-undang terhadap pemerdagang orang, dan memastikan majikan menyediakan almari atau kemudahan penyimpanan pasport yang selamat; dan melaksanakan pelan nasional 2016-2020 sepenuhnya untuk memerangi pemerdagangan orang.

PENDAKWAAN

Kerajaan menunjukkan usaha penguatkuasaan undang-undang yang tidak sekata. Akta Antipemerdagangan Orang 2007— yang dipinda pada tahun 2010 dan 2015— melarang jenayah pemerdagangan buruh dan seksual dan menetapkan hukuman sehingga 20 tahun penjara yang cukup ketat. Berkenaan dengan pemerdagangan seks pula, hukumannya sepadan dengan yang ditetapkan untuk kesalahan serius yang lain, seperti rogol. Kerajaan telah menjalankan 556 penyiasatan berkaitan pemerdagangan dan penyeludupan orang pada 2017, berbanding 581 penyiasatan pada 2016 dan 158 pada 2015. Kerajaan memulakan pendakwaan terhadap 80 pemerdagang orang yang disyaki, berbanding 175 yang dimulakan pada 2016 dan 38 pada 2015. Kerajaan mensabitkan 45 orang pemerdagang orang—termasuk 13 atas kesalahan buruh paksa—di bawah akta antipemerdagangan orang. Jumlah ini merupakan bilangan tertinggi yang disabitkan dalam setahun, berbanding 35 pada 2016 dan tujuh pada 2015. Kerajaan menjatuhkan hukuman penjara ke atas 25 pemerdagang orang antara 15 bulan hingga 12 tahun. Sebelas pemerdagang orang menerima hukuman penjara antara satu hari hingga enam bulan, manakala 12 pemerdagang hanya didenda.

Pada bulan Mac 2018, kerajaan telah menubuhkan sebuah mahkamah antipemerdagangan orang yang bermula di negeri Selangor, yang pada sejarahnya mempunyai jumlah kes pemerdagangan orang yang tertinggi. Pada bulan pertama, mahkamah mempercepatkan 12 kes pemerdagangan orang di mahkamah yang sedia ada dengan mengetepikan beberapa jam seminggu untuk hakim kanan dan berpengalaman untuk memberi tumpuan dalam kes pemerdagangan orang. Majoriti pendakwa yang terlibat dengan mangsa sekurang-kurangnya dua minggu sebelum perbicaraan untuk lebih memahami dan mengatasi kebimbangan mangsa mengenai proses dalam perbicaraan; Walau bagaimanapun, ketersediaan jurubahasa bertauliah yang terhad dan bidang kuasa terpencar di Malaysia menjadikan sukar bagi pegawai untuk bertemu dengan semua mangsa.

Kerajaan memperluas mandat pasukan petugas penguatkuasaan undang-undang antara agensi dan menjadikannya kekal. Kerajaan menyediakan ruang pejabat baharu untuk kumpulan antara agensi seramai 17 orang ini. Pasukan petugas berjaya melaksanakan enam operasi yang memberi tumpuan kepada buruh paksa pada 2017. Polis Diraja Malaysia terus berkhidmat sebagai agensi penguatkuasaan utama di bawah akta antipemerdagangan orang dan mengekalkan unit antipemerdagangan orang khusus yang terdiri daripada 242 pegawai yang ditugaskan di seluruh negara. Pasukan penguatkuasaan pemerdagangan orang yang khusus dalam jabatan buruh telah meningkatkan bilangan pegawai kepada 34, daripada 30 orang. Jabatan Peguam Negara telah melantik tambahan dua orang pendakwa raya yang pakar dalam pemerdagangan orang di seluruh Malaysia, meningkatkan jumlah itu kepada 54 orang. Kerajaan terus menjalankan atau menyokong latihan antipemerdagangan orang, termasuk 34 latihan dalam perkhidmatan untuk pegawai polis dan 14 latihan transnasional atau dua hala di rantau ini yang memberi tumpuan kepada antaranya perlindungan mangsa, penguatkuasaan undang-undang, dan pendakwaan. Pemeriksa buruh menjalani lapan sesi latihan yang memberi tumpuan kepada pemerdagangan orang. Pada tahun ini, sejumlah 40 pendakwa di Jabatan Peguam Negara mengambil bahagian dalam empat program latihan berkaitan pemerdagangan orang.

Penemuan kem pelarian dan kubur besar-besaran pada 2015 sepanjang sempadan dengan Thailand menyemarakkan laporan bahawa pegawai yang korup memudahkan penyeludupan pendatang asing, yang mungkin termasuk jenayah pemerdagangan orang yang dilakukan pada 2015. Media menerbitkan laporan pada bulan Disember 2017 yang mendakwa salah laku pegawai kerajaan dan mendakwa pegawai penguatkuasaan undang-undang melakukan serbuan yang tidak didedahkan sebelumnya pada bulan Januari 2015; kerajaan melaporkan ia tidak mendedahkan butiran kes itu kerana ia adalah siasatan yang berterusan. Pada 2016, siasatan terhadap kem dan kubur ini menghasilkan empat sabitan penyeludupan pendatang di Malaysia; tiada warganegara Malaysia yang disabitkan kesalahan. Kerajaan melaporkan siasatan masih berterusan, dan Malaysia dan Thailand terus bekerjasama dalam mencari suspek tambahan. Tidak ada dakwaan baharu yang dibawa dan setakat ini tiada pegawai—warganegara Malaysia atau orang awam—didakwa atas dakwaan jenayah pemerdagangan yang berkaitan dengan kem dan kubur ini.

Penglibatan dalam kalangan pegawai penguatkuasaan undang-undang, dalam bentuk menerima rasuah untuk membenarkan penyeberangan sempadan tanpa dokumen, menghalang usaha antipemerdagangan orang. Kerajaan menemui empat rangkaian penyeludupan yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur; pengarah imigresen menugaskan semula 600 pegawai dan siasatan masih berterusan pada akhir tempoh pelaporan. Secara berasingan, pihak berkuasa menyiasat 18 penyeludupan dan pemerdagangan orang serta mendakwa dua orang pegawai kerana mengeksploitasi pembantu rumah mereka (tidak berkaitan dengan tugas rasmi mereka); semua kes terus dijalankan pada akhir tempoh pelaporan. Pada 2016, kerajaan mendakwa lima pegawai atas kesalahan korupsi dalam bentuk menerima rasuah untuk membenarkan penyeberangan sempadan tanpa dokumen; empat didapati bersalah kerana melakukan penyeludupan manakala pegawai kelima dibebaskan.

PERLINDUNGAN

Kerajaan mengekalkan usaha perlindungan. Agensi penguatkuasaan undang-undang mengikut prosedur yang telah ditetapkan untuk mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang. Pengenalpastian kes-kes pemerdagangan buruh terus bergantung kepada pemeriksaan buruh hasil daripada aduan pekerja tentang gaji yang tidak dibayar dan pelanggaran lain. Pada 2017, kerajaan mengenal pasti 2,224 mangsa pemerdagangan orang di seluruh negara dan mengesahkan 721 mangsa berbanding 3,411 mangsa pemerdagangan orang yang berpotensi dan 1,558 mangsa yang disahkan pada 2016. Kedua-dua tahun ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding 305 mangsa yang disahkan pada 2015. Agensi penguatkuasaan menggunakan undang-undang antipemerdagangan orang secara umum dengan menganggap semua wanita asing sebagai mangsa pemerdagangan yang berpotensi semasa tangkapan di bar atau rumah urut. Kerajaan mengalihkan sumber yang ketara ke arah buruh paksa, berbanding tumpuan utama terutamanya ke atas pemerdagangan seks, sebahagiannya menjelaskan penurunan jumlah keseluruhan mangsa yang dikenal pasti. Kerajaan tidak menyaring secara proaktif populasi pekerja pendatang asing yang terdedah untuk penunjuk pemerdagangan orang, yang menyebabkan jumlah yang tidak diketahui untuk mangsa berpotensi tanpa penjagaan yang sewajarnya. Undang-undang antipemerdagangan orang memberi kekebalan kepada mangsa pemerdagangan daripada kesalahan yang berkaitan dengan imigresen, seperti masuk secara haram, kehadiran yang menyalahi undang-undang, dan pemilikan dokumen perjalanan palsu. Kerajaan kadang-kadang menahan, mengusir, atau mendakwa mangsa yang berpotensi dengan kesalahan-kesalahan imigresen yang menafikan mereka menjadi mangsa pemerdagangan atau ketika majikan merampas dokumen mereka.

Pindaan kepada undang-undang antipemerdagangan membenarkan mangsa bekerja dan bergerak dengan bebas untuk masuk dan keluar dari kemudahan kerajaan, sementara menunggu penilaian risiko keselamatan, pemeriksaan kesihatan, dan penilaian kesihatan mental. Daripada 721 mangsa yang dikenal pasti, kerajaan mengeluarkan 91 pas imigresen khas yang akan membenarkan kebebasan pergerakan, berbanding dengan 12 pas pada 2016. Walau bagaimanapun, dari segi amalannya, pihak berkuasa kadang-kadang mengehadkan pergerakan di luar tempat perlindungan untuk perjalanan sekali-sekala dengan teman, dua hingga tiga kali sebulan. Kerajaan mengeluarkan dua visa kerja kepada mangsa, berbanding enam yang dikeluarkan pada tahun sebelumnya. Walaupun kerajaan berusaha untuk menyediakan pekerjaan yang sah untuk mangsa, kakitangan perlindungan kerajaan melaporkan majoriti peserta yang layak enggan menyertai program ini, dengan alasan lebih suka dihantar pulang. Kerajaan memulakan pembayaran elaun bulanan sebanyak RM127 kepada mangsa untuk perbelanjaan sampingan, dan pada Mac 2018, 273 mangsa menerima sejumlah RM96,320. Kerajaan tidak mengagihkan dana secara bulanan, dan mangsa menerima elaun sekali gus apabila mereka diusir pulang.

Kerajaan menempatkan kebanyakan mangsa dalam kemudahan kerajaan sebagai sebahagian daripada perintah perlindungan sementara 21 hari yang diarah oleh mahkamah (untuk mangsa pemerdagangan yang disyaki) atau perintah perlindungan 90 hari yang berikutnya (untuk mangsa pemerdagangan yang disahkan). Namun, sesetengah mangsa kekal berada di tempat perlindungan sehingga enam bulan. Tempat perlindungan kadangkala menjadi terlalu sesak selepas polis meningkatkan langkah untuk mengenal pasti mangsa. Kerajaan mengambil langkah untuk mengurangkan kesesakan tempat perlindungan dengan memberikan 80 peratus pembiayaan kepada tiga tempat perlindungan baharu yang dikendalikan NGO di Kuala Lumpur, Sabah dan Pulau Pinang. Walau bagaimanapun, tempat perlindungan ini masih kurang dimanfaatkan kerana halangan-halangan birokrasi dan pihak berkuasa hanya meluluskan sebilangan kecil mangsa untuk dipindahkan ke tempat perlindungan ini semasa tempoh pelaporan. Kebanyakan mangsa tinggal di tempat perlindungan kerajaan tanpa kebebasan bergerak atau hak untuk bekerja, bertentangan dengan amalan terbaik dunia. Seperti pada tahun-tahun yang lepas, banyak mangsa lebih suka kembali segera ke negara asal mereka. Walaupun undang-undang membenarkan mangsa untuk memberi keterangan dari jauh, pihak berkuasa umumnya menjangkakan mangsa kekal tinggal di negara ketika menunggu proses perbicaraan. Semasa tempoh pelaporan, ramai mangsa enggan untuk memberi keterangan. Keengganan mangsa untuk memberi keterangan saksi dilaporkan berpunca dari keinginan untuk mengelakkan proses perbicaraan jenayah berlarutan dan untuk cepat menyertai semula tenaga kerja tidak formal, tempat perlindungan dan keadaan kerja yang tidak menarik, dan rasuah atau intimidasi daripada pemerdagang.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyelenggarakan tujuh kemudahan khusus untuk menempatkan mangsa pemerdagangan orang—empat untuk wanita, satu untuk lelaki, dan dua untuk kanak-kanak. Dalam tempoh pelaporan, kerajaan memperuntukkan RM5.6 juta untuk mengendalikan tempat-tempat perlindungannya, termasuk dana untuk membuka tiga tempat perlindungan pemerdagangan orang baharu di negeri Kedah, Kelantan, dan Sarawak. Kerajaan memberi perkhidmatan asas kepada semua mangsa yang tinggal di kemudahannya, termasuk makanan, tempat tinggal, rawatan perubatan, kegiatan sosial dan agama, serta keselamatan. NGO memberi beberapa perkhidmatan pemulihan dan kaunseling mangsa di kebanyakan tempat perlindungan, biasanya tanpa pembiayaan yang diperuntukkan oleh kerajaan. Selepas tempoh 21 hari pertama apabila pihak berkuasa tidak membenarkan mangsa melakukan apa-apa komunikasi dengan orang di luar tempat perlindungan, mangsa boleh membuat panggilan telefon sekali sebulan, dan kakitangan perlindungan memberi peluang kepada mangsa terlibat dalam kraf tangan dan aktiviti lain yang menjana pendapatan. Umumnya, NGO menyatakan sukarnya untuk mengekalkan sumber dan tahap kakitangan yang mencukupi untuk memberikan perkhidmatan yang konsisten kepada mangsa. Keseluruhannya, kerajaan menambah tiga kali ganda dana untuk membiayai NGO pada tahun ini, meningkat daripada RM483,000 pada 2016 kepada RM1.4 juta untuk menjalankan pelbagai program dan aktiviti dengan penghuni di tempat perlindungan.

PENCEGAHAN

Kerajaan meningkatkan usaha untuk mencegah pemerdagangan orang. Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri mengetuai Majlis Antipemerdagangan Orang (MAPO), yang termasuk lima badan penguatkuasaan, entiti kerajaan lain, dan tiga NGO. Ia bermesyuarat setiap suku tahun dan aktif dalam menyelaraskan usaha antipemerdagangan antara agensi dan menjalankan latihan untuk kementerian-kementerian kerajaan, sebagai tambahan kepada sesi perundingan dengan rakan kongsi NGO untuk menguatkan perlindungan mangsa. Pada 2017, kerajaan mengekalkan peruntukan sebanyak RM4 juta untuk mengendalikan sekretariat MAPO. Kerajaan terus melaksanakan pelan tindakan nasional yang meliputi tahun 2016-2020, membuat kemajuan ke arah kerjasama yang lebih baik dengan masyarakat sivil, tindakan bersepadu di kalangan agensi penguatkuasaan undang-undang, dan peningkatan tumpuan untuk memerangi pemerdagangan buruh. Kerajaan mengeluarkan dan menyiarkan 9,006 siaran radio perkhidmatan awam dan 1,605 segmen televisyen semasa tempoh pelaporan, berbanding masing-masing 6,492 dan 1,648 pengumuman pada 2016. Ia juga berunding dengan masyarakat sivil untuk mengeluarkan dan menerbitkan buku panduan maklumat baharu untuk majikan pembantu rumah. Kerajaan mencetak 2,000 buku kecil dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia untuk diedarkan kepada majikan baharu. Pegawai-pegawai buruh juga menyediakan kain rentang dan papan tanda lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dalam ruang menunggu istirahat untuk pekerja asing yang baharu tiba dalam pelbagai bahasa untuk membantu mendidik pekerja asing tentang hak mereka di Malaysia. MAPO bekerjasama dengan Malaysia Airlines dalam kempen kesedaran pemerdagangan orang, bermula dengan pameran tiga hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. UNHCR dan NGO tempatan mengenal pasti orang tanpa kerakyatan di Semenanjung Malaysia dan mengemukakan permohonan kewarganegaraan untuk mengurangkan dedahan kepada pemerdagangan orang dengan menyediakan dokumen pengenalan. Kerajaan memberi respons dengan meluluskan kewarganegaraan kepada 2,168 orang dan terus memproses baki 10,000 permohonan dalam tempoh pelaporan.

Kerajaan menguatkan penguatkuasaan undang-undang terhadap penahanan pasport tanpa kebenaran dengan memulakan 70 pendakwaan dan memperoleh 41 sabitan terhadap majikan yang melanggar Akta Pasport Malaysia 1966 (17 pada 2016). Kerajaan juga melaksanakan dua penambahbaikan undang-undang buruh untuk menghapuskan keadaan yang sering membawa pekerja asing ke dalam perhambaan hutang. Penambahbaikan pertama mewajibkan majikan membayar levi pekerja asing untuk mana-mana bukan rakyat Malaysia yang mereka upah, bukannya memaksa pekerja yang menanggung kos. Kerajaan juga meminda Akta Agensi Pekerjaan Swasta untuk meningkatkan penalti dengan ketara kerana melanggar undang-undang pengambilan pekerja dan menghendaki semua agensi pengambilan pekerja untuk mendapatkan lesen khas daripada Kementerian Sumber Manusia untuk mengambil pekerja asing, termasuk pembantu rumah. Undang-undang pekerjaan terus mengecualikan pembantu rumah daripada banyak perlindungan, termasuk upah minimum negara. Pemeriksa buruh menjalankan 40,869 pemeriksaan buruh, yang menghasilkan pengeluaran 5,257 notis pembetulan, sedikit penurunan berbanding dengan 49,610 pemeriksaan buruh dan 5,297 notis pembetulan pada 2016. Mahkamah buruh menyelesaikan 12,498 pertikaian buruh dan mengarahkan majikan untuk mengembalikan gaji kepada pekerja yang dieksploitasi berjumlah lebih RM64 juta dan mengenakan denda sebanyak RM979,000 terhadap majikan yang tidak patuh. Kerajaan tidak menunjukkan usaha untuk mengurangkan permintaan seks komersial. Kerajaan menyediakan latihan antipemerdagangan kepada kakitangan diplomatik dan tentera sebelum mereka ditempatkan di luar negara untuk misi pengaman antarabangsa.

PROFIL PEMERDAGANGAN

Seperti yang dilaporkan dalam tempoh lima tahun yang lalu, Malaysia menjadi destinasi dan, pada tahap yang lebih rendah, negara sumber dan transit untuk lelaki, wanita, dan kanak-kanak yang menjadi buruh paksa serta wanita dan kanak-kanak yang mengalami pemerdagangan seks. Majoriti mangsa adalah dalam kalangan pekerja asing sah yang dianggarkan dua juta dan lebih ramai lagi dalam kalangan pekerja asing tanpa izin di Malaysia. Pekerja asing terdiri lebih 20 peratus daripada tenaga kerja Malaysia dan biasanya mereka datang secara suka rela—selalunya secara haram—dari Bangladesh, India, Nepal, Burma, Indonesia, Filipina, dan negara-negara Asia lain. Majikan, ejen pekerjaan, dan pengambilan pekerja tidak rasmi mengenakan sesetengah pekerja asing keadaan yang memaksa mereka bekerja atau perhambaan hutang apabila mereka tidak dapat membayar yuran untuk pengambilan kerja dan perjalanan yang berkaitan. Syarikat penyumberan luar atau syarikat buruh kontrak mungkin tidak mempunyai pengawasan terhadap isu-isu pekerja atau keadaan kerja harian, yang membawa kepada pendedahan yang lebih tinggi terhadap keadaan buruh yang bersifat eksploitasi dan kurang berupaya untuk menyelesaikan pertikaian bagi pekerja asing. Ejen-ejen di negara-negara sumber buruh mungkin mengenakan bayaran yang tinggi kepada pekerja sebelum mereka tiba di Malaysia, dan yuran pentadbiran tambahan selepas sampai dalam beberapa kes menyebabkan perhambaan hutang. Sindiket jenayah terancang besar bertanggungjawab untuk sesetengah kes pemerdagangan orang.

Penglibatan pegawai kerajaan dan rasuah dalam kalangan pegawai imigresen dan polis masih menjadi masalah dan menghalang usaha untuk mengatasi pemerdagangan orang. NGO membuat tuduhan yang boleh dipercayai mengenai penglibatan beberapa agensi penguatkuasaan undang-undang Malaysia, termasuk pegawai imigresen yang dilaporkan menerima rasuah untuk membenarkan penyeberangan sempadan tanpa dokumen. Penemuan kem-kem pendatang dan kubur besar-besaran di sepanjang sempadan dengan Thailand pada 2015 dan laporan media pada Disember 2017 menghasilkan laporan tentang beberapa pegawai yang terlibat dalam memudahkan penyeludupan pendatang asing, yang mungkin termasuk jenayah pemerdagangan. Walau bagaimanapun, tiada pegawai Malaysia (atau rakyatnya) dipertanggungjawabkan dalam jenayah ini.

Sesetengah pekerja asing di ladang kelapa sawit dan pertanian, di tapak pembinaan, dalam industri elektronik dan pakaian, dan di rumah sebagai pembantu rumah mengalami amalan yang boleh menunjukkan buruh paksa, seperti penahanan pasport, pelanggaran kontrak, pergerakan yang terhad, penipuan gaji, dan pengenaan hutang yang tinggi oleh ejen pengambilan kerja atau majikan. Pelanggaran kontrak terus meluas di Malaysia. Penahanan pasport masih meluas dan bermasalah. Undang-undang Malaysia membenarkan majikan memegang pasport pekerja dengan izin pekerja, tetapi sukar untuk menentukan sama ada pekerja memberi kebenaran secara sukarela, dan sesetengah majikan boleh menyimpan pasport untuk menghalang pekerja daripada bertukar kerja. Dalam usaha untuk mengelakkan perlindungan antipemerdagangan orang yang dibuat oleh kerajaan Indonesia, sesetengah pekerja Indonesia mungkin menjadikan Malaysia tempat transit yang sah dalam perjalanan ke negara-negara di Timur Tengah, di mana pemerdagang orang mengeksploitasi sesetengah daripada mereka menjadi buruh paksa. Walaupun jumlahnya jauh lebih sedikit daripada buruh paksa, sesetengah wanita asing muda—terutamanya dari Asia Tenggara—diambil bekerja kononnya secara sah di restoran, hotel, dan salun kecantikan di Malaysia, tetapi sebaliknya dipaksa atau terpaksa melakukan pelacuran. Pemerdagang memaksa sesetengah wanita dan gadis melakukan pelacuran melalui perkahwinan yang diatur. Lebih daripada 152,000 pelarian berdaftar dan pencari suaka di Malaysia tidak mempunyai status rasmi dan keupayaan mendapatkan permit kerja sah, menyebabkan mereka terdedah kepada pemerdagangan. Ramai pelarian menanggung hutang penyeludupan yang besar, yang digunakan oleh pemerdagang untuk memaksa sesetengah pelarian kepada perhambaan hutang. Pemerdagang mengeksploitasi anak-anak yatim di Malaysia dan anak-anak daripada komuniti pelarian untuk meminta sedekah secara paksa. Jumlah mangsa di Malaysia, termasuk mangsa kanak-kanak, semakin meningkat disebabkan oleh tumpuan tambahan terhadap pemerdagangan buruh.