Laporan Pemerdagangan Orang 2019 (Malaysia)

MALAYSIA

Pautan Kekal: 2019 Trafficking in Persons Report
Senarai Pemerhatian Tingkat 2
20 Jun 2019


Malaysia (Senarai Pemerhatian Tingkat 2)

Kerajaan Malaysia tidak memenuhi standard minimum untuk penghapusan pemerdagangan orang tetapi melakukan usaha ketara untuk menghapuskannya. Usaha-usaha ini termasuk mensabitkan lebih banyak pemerdagang orang, mengeluarkan sejumlah besar pas kepada mangsa untuk kebebasan pergerakan dari tempat perlindungan, dan menubuhkan satu perlindungan tambahan untuk mangsa pemerdagangan wanita dewasa, walaupun kemudahan ini belum digunakan. Kerajaan melaporkan beberapa siasatan terhadap dakwaan penglibatan pegawai kerajaan dan membenarkan siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas kem-kem dan kubur besar yang ditemui di Wang Kelian pada tahun 2015. Kerajaan juga terus merombak sistem pengurusan pekerja asingnya. Walau bagaimanapun, kerajaan tidak menunjukkan peningkatan usaha keseluruhan berbanding tahun sebelumnya. Kerajaan mengenal pasti jauh lebih sedikit mangsa daripada tahun-tahun sebelumnya dan pihak berkuasa menyiasat dan mendakwa kes-kes yang lebih sedikit. Usaha kerajaan untuk melindungi mangsa masih tidak mencukupi dan beberapa perkhidmatan pemulihan seperti penjagaan perubatan, panggilan telefon, kebebasan pergerakan, dan pengeluaran permit kerja tidak dilaksanakan secara konsisten, jika adapun ia dilaksanakan. Kerajaan berhenti membiayai pertubuhan-pertubuhan NGO untuk memberi tempat perlindungan. Rasuah yang berkaitan dengan proses untuk warga asing untuk bekerja di Malaysia terus berleluasa dan kerajaan tidak melaporkan memulakan pendakwaan baharu atau mensabitkan mana-mana pegawai yang terlibat dalam tempoh pelaporan ini. Oleh itu Malaysia kekal pada Senarai Pemerhatian Tingkat 2 untuk tahun kedua.

SARANAN UTAMA:

Mendraf, memuktamadkan, menyebarkan, dan melatih pegawai yang berkaitan, termasuk pemeriksa buruh dan pegawai imigresen, mengenai prosedur-prosedur operasi standard untuk pengenalpastian mangsa, termasuk maklumat mengenai petunjuk pemerdagangan orang. • Meningkatkan usaha untuk mendakwa dan menghukum lebih banyak kes pemerdagangan orang, termasuk pegawai yang terlibat dan jenayah buruh paksa. • Mengumumkan hasil siasatan yang melibatkan pegawai yang rasuah untuk meningkatkan ketelusan dan pencegahan dan jadikan pegawai bertanggungjawab atas jenayah apabila melanggar undang-undang. • Mewujudkan satu sistem untuk akses kepada penterjemahan yang tepat pada masa dan kandungannya dalam bahasa-bahasa utama mangsa yang tersedia dalam penguatkuasaan undang-undang, sistem mahkamah, dan tempat perlindungan. • Meningkatkan bilangan mangsa pemerdagangan orang yang mendapat kelulusan untuk kebebasan bergerak dari tempat perlindungan dan meluaskan kebebasan pergerakan dengan memasukkan pergerakan tanpa ditemani dan komunikasi dengan orang di luar kemudahan tempat perlindungan, termasuk melalui panggilan telefon. • Memperkukuhkan dan terus memperluas kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan NGO, termasuk melalui sokongan kewangan atau bukan kewangan kepada NGO untuk menyediakan beberapa perkhidmatan pemulihan mangsa. • Meningkatkan bilangan mangsa pemerdagangan orang yang mendapat kelulusan untuk bekerja dan menyelaraskan proses mencari pekerjaan. • Mengambil langkah untuk menghapuskan fi pengambilan atau penempatan kerja yang dikenakan kepada pekerja oleh perekrut pekerjaan Malaysia dan memastikan sebarang fi pengambilan kerja dibayar oleh majikan. • Meningkatkan keupayaan penguatkuasaan undang-undang untuk menyiasat dan mendakwa kes pemerdagangan orang berdasarkan pengumpulan risikan dan perkongsian maklumat dalam kalangan agensi kerajaan. • Memperluaskan perlindungan pekerja untuk pembantu rumah dan menyiasat dakwaan penderaan pembantu rumah. • Mengurangkan kelewatan mahkamah dan meningkatkan kefahaman mahkamah tentang pelbagai jenayah pemerdagangan orang, terutamanya buruh paksa. • Meningkatkan pengurusan kes dan komunikasi dengan mangsa pemerdagangan orang, termasuk melalui peningkatan interaksi antara pendakwa dan mangsa sekurang-kurangnya dua minggu sebelum perbicaraan mengikut arahan Peguam Negara. • Memperluas usaha untuk memaklumkan pekerja, termasuk pembantu rumah, tentang hak mereka untuk mengekalkan akses kepada pasport mereka pada bila-bila masa, tanpa ditangguhkan atau tanpa perlu kebenaran , dan tanpa menimbulkan kesan terhadap status dan hubungan mereka dengan majikan, dan memasukkan kenyataan jelas yang menyatakan pasport akan tetap berada dalam pemilikan pekerja dalam kontrak model dan memorandum persefahaman dua hala masa depan dengan negara-negara sumber buruh. • Menguatkuasakan secara berkesan undang-undang yang melarang majikan daripada menahan pasport tanpa persetujuan pekerja dan mendidik pekerja dan majikan mengenai hak pekerja asing, termasuk rekursa dan remedi undang-undang terhadap pemerdagang orang.

PENDAKWAAN

Kerajaan menunjukkan usaha penguatkuasaan undang-undang yang tidak sekata. Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 — yang dipinda pada tahun 2010 dan 2015 — melarang jenayah pemerdagangan buruh dan seksual dan menetapkan hukuman yang cukup ketat tiga tahun hingga 20 tahun penjara dan denda. Berkenaan dengan pemerdagangan seks pula, hukumannya sepadan dengan yang ditetapkan untuk kesalahan serius yang lain seperti rogol. Kerajaan menjalankan 281 siasatan kes pada tahun 2018, penurunan berbanding 398 siasatan pada tahun 2017. Daripada 281 siasatan, 123 adalah siasatan buruh paksa. Kerajaan memulakan pendakwaan terhadap 50 pemerdagang orang yang disyaki, satu penurunan berbanding 80 pada tahun 2017. Kerajaan mensabitkan 50 individu di bawah ATIPSOM, satu peningkatan daripada 45 pada tahun 2017. Walau bagaimanapun, jumlah ini mungkin termasuk sabitan untuk penyeludupan. Kerajaan melaporkan hukuman penjara antara tiga tahun hingga 13 tahun. Pada masa lalu, mahkamah menghukum beberapa pemerdagang orang melalui hukuman denda sahaja. Persatuan sivil dan media massa melaporkan kes-kes buruh paksa yang dianggap sebagai pelanggaran undang-undang buruh yang berlainan dan bukannya kes-kes jenayah pemerdagangan orang.

Kerajaan terus mengendalikan mahkamah khasnya di Selangor dengan dua hakim yang mempunyai kepakaran dalam mendengar kes pemerdagangan orang, tetapi ia tidak melaksanakan rancangan untuk mengembangkan mahkamah khas pemerdagangan orang di seluruh negara. Sepanjang tempoh pelaporan, sekumpulan 45 hakim menggubal amalan terbaik untuk mengendalikan kes pemerdagangan orang tetapi belum memuktamadkan cadangan mereka atau menyebarkan amalan itu. Satu arahan 2014 mewajibkan pendakwa untuk bertemu dengan mangsa sekurang-kurangnya dua minggu sebelum permulaan perbicaraan untuk mempersiapkan mangsa untuk merekodkan kenyataan mereka dan membantu mereka memahami proses perundangan. Pendakwa melaporkan mereka berhubung dengan mangsa. Walau bagaimanapun, ketersediaan perkhidmatan jurubahasa yang terhad menyebabkan komunikasi yang berkesan sukar dibuat dan NGO melaporkan bahawa beberapa pendakwa tidak bertemu dengan mangsa sekurang-kurangnya dua minggu sebelum perbicaraan seperti yang dikehendaki oleh arahan itu. Agensi penguatkuasaan undang-undang juga menyebut halangan bahasa dengan mangsa yang disyaki sebagai cabaran yang masih berlaku dalam pekerjaan mereka. Walaupun kerajaan kadang-kadang bekerja dengan kedutaan-kedutaan asing atau pertubuhan-pertubuhan NGO untuk menterjemah perbualan, ia tidak mempunyai cara yang diinstitusikan untuk memastikan komunikasi tepat pada masanya dan kandungannya dengan mangsa pemerdagangan orang yang disyaki yang tidak bercakap dalam bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris.

Polis Diraja Malaysia terus berkhidmat sebagai badan penguatkuasaan utama di bawah ATIPSOM dan meningkatkan bilangan pegawai dalam unit antipemerdagangan orang khususnya daripada 242 pada tahun 2017 kepada 247 pada tahun 2018. Kerajaan memperluaskan mandat pasukan petugas penguatkuasaan undang-undang selama tiga tahun melebihi lanjutan satu tahun seperti kebiasaan. Jabatan Tenaga Kerja juga menggunakan pasukan penguatkuasaan pemerdagangan orang yang khusus. Walaupun jumlah pegawainya menurun daripada 34 pada tahun 2017 kepada 30 pada tahun 2018. Jabatan Peguam Negara telah melantik tambahan dua orang pendakwa raya yang pakar dalam pemerdagangan orang di seluruh Malaysia, menjadikan jumlah itu meningkat kepada 55 orang di seluruh Malaysia. Kerajaan terus menjalankan atau menyokong latihan antipemerdagangan orang, termasuk 28 latihan dalam perkhidmatan untuk pegawai polis dan 26 latihan antarabangsa atau dua hala di rantau ini yang memberi tumpuan kepada antaranya perlindungan mangsa, penguatkuasaan undang-undang, dan pendakwaan. Kerajaan juga menganjurkan 14 sesi latihan yang menumpu kepada pemeriksa buruh dan lapan program latihan pemerdagangan orang untuk 55 pendakwa di pejabat Peguam Negara.

Penglibatan pegawai kerajaan masih menjadi kebimbangan serius. Penemuan kem pelarian dan kubur besar di Wang Kelian pada tahun 2015, yang mengandungi mayat yang disyaki orang Rohingya dan Bangladesh yang menjadi mangsa ugutan, penyeksaan, dan jenayah lain, telah menguatkan lagi laporan bahawa pegawai kerajaan yang korup memudahkan penyeludupan pendatang dan dalam sesetengah kes jenayah pemerdagangan orang. Sejak tahun 2015, pertubuhan-pertubuhan NGO dan media terus mendakwa pegawai kerajaan terlibat dalam kem-kem Wang Kelian apabila tidak mengambil tindakan terhadap laporan tentang kem-kem itu sebelum tahun 2015 serta salah laku dalam penyiasatan kem dan jenayah yang dilakukan di sana. Pada tahun 2016, kerajaan mensabitkan empat orang rakyat asing atas penyeludupan orang yang berkaitan dengan kem itu. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa tidak membuat tuduhan terhadap mana-mana pegawai kerajaan Malaysia atau rakyat biasa, walaupun terdapat dakwaan-dakwaan tersebut. Pada bulan Mac 2019, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia dan sebuah pertubuhan NGO menerbitkan laporan yang menyiasat peristiwa-peristiwa yang membawa kepada kubur besar ini dan tindak balas kerajaan. Laporan itu mendakwa penyeludup dan pemerdagang orang mendapat manfaat daripada pegawai sempadan Malaysia korup yang meminta rasuah untuk membenarkan kenderaan melepasi sempadan tanpa melakukan pemeriksaan yang sewajarnya. Selain itu, laporan itu mendakwa pihak berkuasa mungkin telah menghalang proses keadilan apabila seorang pegawai kanan polis mengarahkan pemusnahan semua bukti yang berpotensi, termasuk kem dan kubur besar, sehari selepas penemuan kem dan kubur ini. NGO terus menegaskan pihak berkuasa tidak menyiasat atau memastikan pelaku bertanggungjawab sepenuhnya terhadap jenayah yang berkaitan dengan kem, termasuk jenayah pemerdagangan orang. Semasa tempoh pelaporan, Perdana Menteri mengarahkan siasatan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas kem dan kubur besar dan Agong meluluskan siasatan yang dijangka berlangsung selama enam bulan pada Januari 2019.

Rasuah berterusan yang berkaitan dengan proses untuk warga asing untuk bekerja di Malaysia meningkatkan kos penghijrahan dan seterusnya meningkatkan keterdedahan pekerja asing terhadap pemerdagangan orang melalui paksaan berasaskan hutang. Semasa tempoh pelaporan sebelumnya, kerajaan melaporkan ia sedang menyiasat empat rangkaian penyeludupan, yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan didakwa melibatkan 600 pegawai imigresen. Kerajaan dilaporkan menugaskan semula 600 pegawai dan menangkap tujuh daripada pegawai-pegawai ini. Pada akhir tempoh pelaporan, pengendalian kes-kes itu masih berterusan. Secara berasingan, pihak berkuasa melaporkan menyiasat 18 pegawai imigresen dan polis atas penyeludupan dan pemerdagangan orang dan mendakwa dua orang pegawai kerana mengeksploitasi pembantu rumah mereka (tidak berkaitan dengan tugas rasmi mereka); semua kes masih dikendalikan pada akhir tempoh pelaporan dan kerajaan tidak melaporkan apa-apa perkembangan baharu. Kerajaan tidak melaporkan memulakan sebarang pendakwaan baru atau mensabitkan mana-mana pegawai yang terlibat dalam tempoh pelaporan.

PERLINDUNGAN

Kerajaan mengurangkan usaha perlindungan. Pada tahun 2018, kerajaan mengenal pasti 1,305 mangsa pemerdagangan orang yang berpotensi dan mengesahkan 97 mangsa. Jumlah ini merupakan penurunan ketara berbanding 2,224 mangsa pemerdagangan orang yang berpotensi dan 1,558 mangsa yang disahkan pada tahun 2016. Daripada 97 mangsa yang disahkan pada tahun 2018, 63 adalah wanita, jumlah yang lebih kurang sama bagi mangsa wanita disahkan pada tahun 2018. Walau bagaimanapun, terdapat penurunan yang ketara dalam jumlah mangsa lelaki dan kanak-kanak yang disahkan pada tahun 2018 (34) berbanding tahun 2017 (659). Kerajaan menjelaskan penurunan yang berterusan dalam jumlah mangsa yang dikenal pasti disebabkan oleh pengurangan serbuan besar-besaran polis terhadap tempat perniagaan seks komersial yang disyaki. Polis sebaliknya memberi tumpuan kepada penyiasatan terhadap buruh paksa, masalah pemerdagangan orang yang lebih besar di Malaysia. Kerajaan melaporkan setiap lima agensi penguatkuasaan undang-undang mengikuti prosedur operasi standard (SOP) khusus untuk mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang. Walau bagaimanapun, pemerhati melaporkan bahawa SOP itu tidak mempunyai petunjuk asas yang membolehkan pegawai-pegawai secara proaktif dan tepat mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang. Sebaliknya ia memberi tumpuan kepada peranan dan tanggungjawab pegawai itu apabila seorang mangsa dirujuk kepada penguatkuasaan undang-undang. Pengenalpastian kes pemerdagangan buruh oleh kerajaan bergantung kepada laporan penyalahgunaan daripada kedutaan-kedutaan yang mewakili pekerja asing dan pemberi maklumat lain dan pemeriksaan buruh yang dibuat selepas menerima aduan pekerja mengenai pembayaran gaji dan pelanggaran yang lain. NGO mengatakan bahawa pihak berkuasa melayan seperti penjenayah bagi banyak mangsa yang dikenal pasti semasa serbuan polis atau imigresen. Pertubuhan-pertubuhan NGO juga percaya layanan ini menyumbang kepada pengenalpastian mangsa yang tidak mencukupi; persekitaran serbuan yang tidak kondusif kepada mangsa untuk bercakap dengan jujur kepada penguatkuasaan undang-undang dan kerana kurangnya penunjuk asas pemerdagangan orang. NGO melaporkan pegawai menangkap dan mendakwa sesetengah mangsa atas pelanggaran imigresen dan bukannya mengenal pasti mereka sebagai mangsa pemerdagangan orang.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus membiayai dan mengendali tujuh tempat perlindungan khusus untuk menempatkan mangsa pemerdagangan orang—empat untuk wanita, satu untuk lelaki, dan dua untuk kanak-kanak. Semasa tempoh pelaporan, KPWKM menubuhkan sebuah tempat perlindungan tambahan untuk mangsa pemerdagangan perempuan dewasa. Namun ia belum memberi perkhidmatan kepada mangsa. Kerajaan menempatkan mangsa-mangsa dalam tempat-tempat perlindungan ini sebagai sebahagian daripada perintah perlindungan sementara 21 hari (untuk mangsa pemerdagangan yang disyaki) atau perintah perlindungan 90 hari yang berikutnya (untuk mangsa pemerdagangan yang disahkan). Dari segi amalan, kerajaan memperbaharui perintah perlindungan bagi mangsa yang disahkan, yang mewajibkan mereka tinggal di tempat perlindungan, sehingga selesai perbicaraan yang berkaitan dengan kes mereka; sesetengah mangsa masih berada di tempat perlindungan sehingga enam bulan. Dalam tempoh pelaporan sebelumnya, kerajaan mengambil langkah untuk mengurangkan kesesakan tempat perlindungan kerajaan dengan menyediakan pembiayaan dan merujuk mangsa kepada tiga tempat perlindungan NGO. Walau bagaimanapun, pada bulan Julai 2018, kerajaan—pentadbiran baru sejak Mei 2018—menggantung dana untuk mengkaji semula program itu dan tidak menyambungnya semula pada akhir tempoh pelaporan. Kerana pengurangan bilangan mangsa yang dikenal pasti, tidak ada tempat perlindungan kerajaan yang melebihi kapasiti.

Pada bulan Mac 2019, kerajaan telah menubuhkan satu program perintis untuk menyediakan dua pakar bantuan mangsa untuk membimbing mangsa daripada pengenalan mereka, kepada proses kehakiman, dan akhirnya penghantaran ke negara asal mereka; pada akhir tempoh pelaporan program itu belum mula beroperasi untuk mangsa. Kerajaan terus menyediakan perkhidmatan asas untuk semua mangsa yang tinggal di tempat perlindungannya, termasuk makanan, rawatan perubatan, aktiviti sosial dan keagamaan, dan keselamatan. NGO melaporkan pemeriksaan kesihatan tidak mencukupi untuk mangsa ketika tiba di tempat perlindungan kerajaan dan tempat perlindungan tidak mempunyai akses penuh kepada kesihatan reproduktif dan perkhidmatan pergigian. Tempat perlindungan tidak mempunyai kakitangan perubatan di lokasi dan akses kepada perkhidmatan perubatan memerlukan kakitangan tempat perlindungan untuk menyelaras pengangkutan dan pengiring. NGO menyediakan beberapa perkhidmatan pemulihan mangsa, termasuk penjagaan perubatan dan kaunseling, tanpa pembiayaan yang diperuntukkan oleh kerajaan. Walau bagaimanapun, NGO terus menyatakan kesulitan mengekalkan sumber daya yang mencukupi dan tahap kakitangan untuk menyediakan perkhidmatan yang konsisten untuk mangsa. Disebabkan kurangnya perkhidmatan penterjemahan yang tersedia dan mencukupi, sesetengah mangsa tidak memahami aturan tempat perlindungan dan hak mereka semasa proses undang-undang. Hal ini menyumbang kepada tekanan dan menyebabkan beberapa mangsa meminta penghantaran pulang daripada mengambil bahagian dalam pendakwaan. Semasa tempoh pelaporan, KPWKM menterjemahkan undang-undang dan peraturan tempat perlindungan kepada lima bahasa dan menyebarkannya kepada beberapa, tetapi bukan semua, tempat perlindungannya. Kerajaan melaporkan ia memberi setiap mangsa RM35 untuk membuat panggilan telefon setiap bulan. Walau bagaimanapun, dari segi amalan, jumlahnya ialah satu atau dua panggilan yang diselia oleh kakitangan perlindungan. Sesetengah tempat perlindungan kerajaan tidak dapat memantau kos telefon setiap mangsa, sebaliknya memperuntukkan satu panggilan telefon antarabangsa selama 10 minit sebulan manakala tempat lain hanya membenarkan panggilan dalam Malaysia. Kerajaan memulakan pembayaran elaun bulanan sebanyak RM127 kepada mangsa untuk perbelanjaan sampingan. Sepanjang tempoh pelaporan, 184 mangsa menerima sejumlah RM73,550. Kerajaan tidak sentiasa mengagihkan dana secara bulanan. Sesetengah mangsa menerima elaun sekali gus apabila mereka dihantar pulang.

Kerajaan meminda undang-undang antipemerdagangan pada tahun 2015 yang membenarkan mangsa bekerja dan bergerak bebas untuk masuk dan keluar dari kemudahan kerajaan, sementara menunggu penilaian risiko keselamatan, pemeriksaan kesihatan, dan penilaian kesihatan mental. Daripada 97 mangsa yang disahkan, kerajaan mengeluarkan 68 pas imigresen khas yang membenarkan kebebasan pergerakan, berbanding dengan 91 pas kepada 721 mangsa yang disahkan pada tahun 2017. Pada akhir tempoh pelaporan sebelumnya, kerajaan mengumumkan dasar untuk memastikan mangsa menerima pas imigresen khas sebelum tamat perintah perlindungan sementara 21 hari mereka. Walaupun majoriti mangsa yang disahkan menerima pas ini, kerajaan terus tidak mempunyai kaunselor kesihatan mental berkelayakan yang mencukupi untuk menjalankan penilaian psiko-sosial yang diperlukan semasa jangka masa yang ditetapkan. Di samping itu, dari segi amalan, kebebasan pergerakan mangsa tetap terhad kepada perjalanan yang ditemani. Kerajaan tidak mengeluarkan sebarang visa kerja kepada mangsa semasa tempoh pelaporan, berbanding dua pada tahun 2017 dan enam pada tahun 2016. Kakitangan tempat perlindungan terus memberikan peluang kepada mangsa untuk terlibat dalam kraf tangan dan kegiatan penjanaan pendapatan lain di tempat perlindungan. Pada Februari 2019, kerajaan mula menawarkan latihan teknikal dan vokasional kepada penghuni tempat perlindungan di tempat perlindungan wanita Kuala Lumpur dan perlindungan lelaki Melaka. Dua puluh satu mangsa (13 wanita dan lapan lelaki) mengambil bahagian dalam latihan daripada kelas bahasa Inggeris kepada kursus vokasional menjahit dan membaiki kereta.

Seperti pada tahun-tahun yang lepas, banyak mangsa yang dikenal pasti lebih suka kembali segera ke negara asal mereka. Walaupun undang-undang membenarkan mangsa untuk memberi keterangan dari jarak jauh, pihak berkuasa umumnya menjangkakan mangsa kekal tinggal di negara ketika menunggu proses perbicaraan. Keengganan mangsa untuk tinggal di Malaysia dan memberi keterangan saksi dilaporkan berpunca daripada keinginan untuk mengelakkan proses perbicaraan jenayah berlarutan, keinginan untuk cepat bekerja semula, tempat perlindungan dan keadaan kerja yang tidak menarik, dan intimidasi daripada pemerdagang orang. Bagi mangsa yang mengambil bahagian dalam prosiding mahkamah, pendakwa menyatakan bahawa mereka telah diarahkan untuk meminta restitusi dalam setiap kes. Pada tahun 2018, pendakwa meminta restitusi dalam 29 kes, berbanding dengan tiga pada tahun 2017, dan memperoleh RM80,000. Kerajaan tidak menyediakan alternatif undang-undang untuk mengecualikan mangsa rakyat asing ke negara-negara di mana mereka mungkin menghadapi kesusahan atau hukuman. Kerajaan bekerja dengan misi-misi diplomatik asing untuk membiayai dan memberikan bantuan restitusi kepada mangsa-mangsa untuk kembali ke negara asal mereka.

PENCEGAHAN

Kerajaan meningkatkan usaha untuk mencegah pemerdagangan orang. Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengetuai Majlis Antipemerdagangan Orang (MAPO), yang termasuk lima badan penguatkuasaan, entiti kerajaan lain, dan tiga NGO. Ia bermesyuarat setiap suku tahun dan menyelaraskan usaha antipemerdagangan antara agensi untuk melaksanakan pelan tindakan nasional 2016-2020. MAPO juga menjalankan latihan untuk kementerian-kementerian kerajaan dan mengadakan sesi perundingan dengan NGO. Pada tahun 2018, kerajaan mengekalkan peruntukan sebanyak RM4 juta untuk mengendalikan sekretariat MAPO. Kerajaan mengeluarkan dan menyiarkan 16,880 siaran radio khidmat awam dan 1,515 segmen televisyen, penambahan daripada 9,006 pengumuman radio dan 1,605 televisyen pada tahun 2017. Pegawai-pegawai buruh terus menyediakan sepanduk dan papan tanda lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dalam ruang menunggu istirahat untuk pekerja asing yang baharu tiba dalam pelbagai bahasa untuk membantu mendidik pekerja asing tentang hak mereka di Malaysia. Perdana Menteri melantik sebuah jawatankuasa mengenai pekerja asing yang terdiri daripada 13 anggota untuk membuat cadangan untuk membaik pulih sistem pengurusan pekerja asing kerajaan. Jawatankuasa itu mengadakan 13 perbincangan ‘town hall’ di seluruh negara dan bertemu dengan hampir 300 pihak berkepentingan. Pada Februari 2019, jawatankuasa itu telah mengemukakan 40 dasar dan cadangan struktur kepada Kabinet termasuk mewujudkan sistem pengambilan pekerja dalam talian untuk mengelakkan penipuan dan eksploitasi dan mewujudkan mekanisme aduan pekerja asing.

Akta Agensi Pekerjaan Swasta (APS), yang dipinda pada tahun 2017, mewajibkan semua agensi pengambilan pekerjaan mendapatkan lesen dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk merekrut pekerja asing, termasuk pembantu rumah. Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan APS, pada Oktober 2018, kerajaan mengumumkan bahawa ia akan mengharamkan lebih 150 syarikat penyumberan luar dari Malaysia untuk mengambil pekerja asing selepas Januari 2019. Syarikat-syarikat penyumberan luar sebelum ini berada di bawah bidang kuasa KDN dan mengekalkan kawalan ke atas pekerja asing sebagai majikan, walaupun pekerja asing menjalankan kerja untuk syarikat lain di lokasi luar tapak. Kerajaan mewajibkan pekerja-pekerja syarikat penyumberan luar untuk memindahkan pekerjaan mereka secara langsung kepada syarikat yang mereka sedang melakukan kerja atau menghadapi pengusiran selepas 31 Mac 2019. Pertubuhan sivil dan media mendokumenkan contoh syarikat penyumberan luar menambah keterdedahan pekerja asing terhadap perhambaan hutang dengan tidak memberitahu mereka mengenai pilihan bagi pekerja untuk tinggal dan bekerja secara sah di Malaysia dan menahan gaji pekerja asing yang meninggalkan Malaysia.

APS 2017 menetapkan fi penempatan pengambilan pekerja dibayar pada 25 peratus daripada gaji bulan pertama bagi pekerja Malaysia yang bekerja di dalam atau di luar Malaysia dan gaji satu bulan untuk bukan warganegara yang bekerja di Malaysia. Undang-undang tidak mentakrifkan apa terkandung dalam “fi penempatan.” Kebanyakan pekerja asing di Malaysia membayar fi kepada ejen di Malaysia serta ejen pengambilan pekerja di negara asal mereka, yang menyumbang kepada keterdedahan pekerja kepada perhambaan hutang. Pada tahun 2018, kerajaan menyiasat 14 syarikat kerana melanggar APS—sembilan kerana didakwa melakukan pengambilan pekerja tanpa lesen, dua kerana mengenakan fi kepada pekerja secara tidak sah, dan tiga kerana kegagalan untuk memaparkan lesen mereka atau menyimpan rekod yang betul—tetapi tidak melaporkan hasil siasatan. Media melaporkan bahawa dari tahun 2015-2018, agensi pekerjaan Malaysia dan 10 agensi perekrutan Bangladesh membentuk monopoli terhadap pengambilan pekerja Bangladesh untuk mengenakan fi pengambilan pekerjaan yang lebih tinggi dan dilaporkan menyogok ahli politik dan pegawai di kedua-dua negara untuk memudahkan monopoli itu. Kerajaan mendakwa bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri dengan pelbagai tuduhan rasuah dan pecah amanah. Beberapa dakwaan itu berkaitan dengan tuduhan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan syarikat penyumberan luar yang mengenakan fi yang tinggi kepada pekerja Bangladesh dan tuduhan bahawa dia menerima rasuah dari syarikat swasta untuk melantik syarikat itu sebagai pelaksana pusat sehenti untuk memproses permit kerja untuk pekerja asing Pakistan dan Nepal.

Dalam tempoh pelaporan terdahulu, kerajaan memberi mandat kepada majikan membayar levi pekerja asing, kos satu kali yang dibayar kepada kerajaan untuk mana-mana syarikat bukan rakyat Malaysia yang diupah, dan bukan memaksa para pekerja menanggung kos. Pertubuhan sivil dan kedutaan yang mewakili negara asal pekerja migran melaporkan majoriti majikan tidak menurunkan kos levi kepada pekerja, meskipun terdapat pengecualian. Penahanan pasport yang dikendalikan oleh majikan tetap meluas dan, berbanding dengan tahun lepas, kerajaan tidak melaporkan pendakwaan dan sabitan untuk penahanan tidak sah.

Semasa tempoh pelaporan, pekerja asing, media dan persatuan sivil mendakwa beberapa pengeluar produk getah di Malaysia mengeksploitasi pekerja asing, termasuk melalui kaedah yang menunjukkan tanda kerja paksa. Kerajaan melaporkan ia menyiasat tuduhan tersebut dan pada Februari 2019, Kementerian Sumber Manusia memfailkan 42 pertuduhan terhadap salah satu syarikat kerana melanggar undang-undang buruh. Kerajaan juga menggertak untuk mendenda sebuah syarikat lain kerana pemberian kerja lebih masa secara berlebihan tetapi tidak melaporkan secara terbuka sama ada ia telah mengambil tindakan terhadap syarikat atas kesalahan tersebut atau dakwaan-dakwaan lain yang lebih besar. Pada November 2018, sebuah NGO telah menerbitkan laporan yang mendokumenkan beberapa penunjuk buruh paksa dalam pengeluaran minyak sawit di Malaysia, termasuk amalan pemaksaan seperti ancaman, keganasan, ketidakjelasan dalam terma dan syarat pekerjaan, pergantungan kepada majikan, kekurangan perlindungan oleh polis, perhambaan hutang, fi pengambilan yang tinggi, dan kerja lebih masa yang tidak dilakukan secara sukarela. Pada Jun 2018, kerajaan membiayai dan memulakan kajian RM5 juta di bawah pengawasan organisasi antarabangsa, untuk memastikan kelaziman buruh paksa dan kanak-kanak dalam sektor minyak sawit. Kerajaan melengkapkan pengumpulan data pada Januari 2019 dan melaporkan ia sedang menganalisis data itu pada akhir tempoh pelaporan.

Undang-undang pekerjaan terus mengecualikan pembantu rumah daripada banyak perlindungan, termasuk upah minimum negara. Mahkamah Buruh menyelesaikan 14,009 pertikaian buruh dan memerintahkan majikan untuk memberikan lebih RM34.4 juta upah pekerja dan mengenakan denda sebanyak RM1.35 juta terhadap majikan yang melanggar undang-undang buruh. Kerajaan tidak menunjukkan usaha untuk mengurangkan permintaan seks komersial. Kerajaan menyediakan latihan antipemerdagangan untuk kakitangan diplomatik dan tentera sebelum mereka ditempatkan di luar negara untuk misi pengaman antarabangsa.

PROFIL PEMERDAGANGAN

Seperti yang dilaporkan dalam tempoh lima tahun yang lalu, pemerdagang orang mengeksploitasi mangsa di dalam Malaysia dan luar negara. Dalam sesetengah kes kecil, pemerdagang mengeksploit mangsa dari Malaysia di luar negara. Majoriti mangsa adalah dalam kalangan pekerja asing sah yang dianggarkan dua juta dan juga lebih ramai lagi dalam kalangan pekerja asing tanpa izin di Malaysia. Pekerja asing terdiri lebih 20 peratus daripada tenaga kerja Malaysia dan biasanya datang secara sukarela—selalunya bukan melalui saluran biasa—dari Indonesia, Bangladesh, Filipina, Nepal, Myanmar, Kemboja, Vietnam, India, Thailand, dan Laos. Majikan, ejen pekerjaan, dan subejen tidak sah mengeksploitasi sesetengah pendatang dalam pemerdagangan buruh terutamanya melalui paksaan berasaskan hutang apabila pekerja tidak dapat membayar fi untuk pengambilan pekerjaan dan perjalanan yang berkaitan. Sesetengah ejen di negara-negara sumber buruh mungkin mengenakan fi yang tinggi kepada pekerja sebelum mereka tiba di Malaysia, dan fi pentadbiran tambahan selepas sampai—dalam beberapa kes menyebabkan perhambaan hutang. Sindiket jenayah terancang besar bertanggungjawab untuk sesetengah kes pemerdagangan orang. Majikan mengeksploitasi sesetengah pekerja asing dalam pemerdagangan buruh di ladang kelapa sawit dan ladang pertanian; di tapak pembinaan; dalam industri elektronik, pakaian, dan industri getah; dan di dalam rumah-rumah sebagai pembantu rumah. Majikan menggunakan amalan yang menunjukkan buruh paksa, seperti sekatan pergerakan, melanggar kontrak, penipuan gaji, pengenaan hutang yang banyak, dan penahanan pasport—yang masih meluas. Undang-undang Malaysia membenarkan majikan memegang pasport pekerja dengan izin pekerja, tetapi sukar untuk menentukan sama ada pekerja memberi kebenaran secara sukarela, dan sesetengah majikan menyimpan pasport untuk menghalang pekerja daripada bertukar kerja. Rasuah yang berleluasa dan penglibatan pegawai kerajaan dalam proses untuk warga asing bekerja di Malaysia meningkatkan kos penghijrahan dan seterusnya meningkatkan keterdedahan pekerja migran kepada pemerdagangan orang melalui paksaan berasaskan hutang.

Pemerdagang orang merekrut sesetengah wanita asing muda terutamanya dari Asia Tenggara, walaupun baru-baru ini dari Nigeria—kononnya untuk bekerja secara sah di restoran, hotel, dan salun kecantikan Malaysia, tetapi memaksa mereka menjadi pelacur. Pemerdagang orang memaksa sesetengah wanita dan gadis melakukan seks komersial melalui perkahwinan yang diatur. Pemerdagang juga memaksa lelaki dan kanak-kanak terlibat dalam seks komersial, walaupun kes ini kurang berlaku. Lebih 163,000 pelarian berdaftar dan pencari suaka di Malaysia tidak mempunyai status rasmi dan keupayaan untuk mendapatkan permit kerja sah, menyebabkan mereka terdedah kepada pemerdagangan. Kebanyakan pelarian menanggung hutang penyeludupan yang besar, yang kemudiannya digunakan oleh pemerdagang untuk mengeksploitasi pelarian. Pemerdagang mengeksploitasi anak-anak yatim di Malaysia dan anak-anak daripada komuniti pelarian untuk meminta sedekah secara paksa. Pelaku pemerdagangan semakin mengeksploitasi wanita dan kanak-kanak Malaysia sebagai buruh paksa. Media melaporkan lelaki muda dan wanita Malaysia membayar fi pengambilan untuk pekerjaan bergaji tinggi yang dijanjikan, tetapi pemerdagang memindahkan mereka ke Kemboja dan mengeksploitasi mereka sehingga pihak berkuasa menangkap mereka kerana pelanggaran imigresen. Dalam usaha untuk mengelakkan perintah perlindungan antipemerdagangan orang yang dibuat oleh kerajaan Indonesia membabitkan 21 negara, sesetengah pekerja Indonesia mungkin menjadikan Malaysia tempat transit yang sah dalam perjalanan ke negara-negara di Timur Tengah, di mana pemerdagang orang mengeksploitasi sesetengah daripada mereka sebagai buruh paksa.