Laporan mengenai Kebebasan Beragama Malaysia 2018 – Malaysia

Malaysia

PDF (224 KB)
Permalink: https://www.state.gov/reports/2018-report-on-international-religious-freedom/malaysia/
21 JUN 2019


Ringkasan Eksekutif

Perlembagaan menyatakan bahawa Islam ialah “agama Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.” Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk melaksanakan dasar doktrin untuk umat Islam dan mempromosikan Islam Sunni di atas semua kumpulan agama lain. Bentuk-bentuk Islam yang lain adalah dilarang. Mereka yang berbeza dari tafsiran rasmi Islam terus menghadapi tindakan kerajaan yang teruk, termasuk “pemulihan” wajib di pusat-pusat yang mengajar dan menguatkuasakan amalan Islam yang dibenarkan kerajaan. Undang-undang hasutan menjadikan pengucapan yang “mengembangkan perasaan niat jahat, permusuhan, atau kebencian atas alasan agama” sebagai jenayah. Kerajaan mengekalkan sistem undang-undang yang selari, dengan perkara-perkara sivil tertentu untuk orang Islam diliputi oleh undang-undang syariah. Hubungan antara undang-undang syariah dan undang-undang sivil masih tidak dapat diselesaikan dalam sistem perundangan. Pada bulan Januari, mahkamah tertinggi negara sebulat suara membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan 2015 dan memerintah kanak-kanak bawah umur hanya boleh memeluk agama Islam dengan persetujuan kedua-dua ibu dan bapa. Mahkamah berpendapat ia mempunyai bidang kuasa ke atas keputusan pentadbiran pihak berkuasa syariah dan bidang kuasa sedemikian tidak boleh dimansuhkan oleh pindaan perlembagaan oleh parlimen. Pada bulan Disember, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia menyiapkan siasatan terhadap penculikan seorang pastor Kristian tahun 2017 dan dijangka melaporkannya kepada parlimen pada tahun 2019. Isteri aktivis sosial yang dilaporkan menyebarkan ajaran Syiah dan hilang pada tahun 2016 berkata seorang pegawai polis memberitahunya bahawa anggota keselamatan bertanggungjawab atas kehilangan suaminya dan pastor Kristian itu. Ketua anggota keselamatan tempatan bersara yang dinamakan oleh isteri aktivis itu menafikan beliau bertanggungjawab. Kerajaan terus menghalang orang Islam daripada memeluk agama lain tanpa kebenaran daripada mahkamah syariah dan mengenakan denda, penahanan, dan sebatan ke atas mereka yang diklasifikasikan di bawah undang-undang sebagai orang Islam yang melanggar peraturan syariah. Orang Islam yang bertukar memeluk agama lain mengalami kesukaran menukar agama mereka pada kad pengenalan nasional mereka. Mahkamah Tinggi memutuskan pada bulan Julai bahawa pihak berkuasa agama Negeri Selangor tidak mempunyai bidang kuasa ke atas komuniti Ahmadiyah kerana mereka tidak diiktiraf sebagai orang Islam. Pihak berkuasa agama negeri merayu keputusan itu. Orang bukan Islam terus menghadapi kesukaran undang-undang dalam menggunakan perkataan “Allah” untuk merujuk Tuhan. Kumpulan agama bukan Sunni terus melaporkan kesukaran untuk mendaftar sebagai organisasi kebajikan bukan keuntungan atau untuk membina rumah ibadat. Sesetengah parti politik mengkritik kerajaan kerana melantik orang bukan Islam ke jawatan peringkat tinggi, termasuk Peguam Negara.

Organisasi-organisasi hak asasi manusia dan pemimpin-pemimpin agama menyatakan sekali lagi bahawa masyarakat terus menjadi semakin tidak bertolak ansur terhadap kepelbagaian agama. Pada bulan Oktober seorang ahli parlimen menerima ancaman bunuh selepas mendesak kerajaan untuk meratifikasikan pengisytiharan PBB mengenai penghapusan sikap tidak bertoleransi terhadap agama. Seorang penggubal undang-undang Sarawak menerima ancaman bunuh dalam talian pada bulan Februari kerana mewakili empat individu yang cuba menukar agama daripada Islam. Pada bulan November keganasan berlaku selepas seramai 200 orang, yang dilaporkan diupah pemaju hartanah yang menuntut pemilikan ke atas tanah itu, memasuki sebuah kuil Hindu dan cuba untuk mengusir penganut di kuil itu secara paksa. Polis menahan seorang lelaki kerana dua kejadian vandalisme di sebuah gereja dan kuil Hindu di negeri Kelantan.

Pegawai kedutaan A.S. sering berbincang dengan pegawai kerajaan di Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, dan Jabatan Perdana Menteri mengenai isu-isu termasuk jaminan perlembagaan tentang kebebasan beragama, peningkatan sikap tidak bertoleransi agama dan penghindaran penghinaan ke atas agama minoriti, penukaran agama anak secara unilateral oleh seorang ibu atau bapa tanpa izin seorang yang lain, dan kehilangan tiga orang Kristian dan seorang aktivis Islam. Wakil-wakil Kedutaan bertemu dengan ahli-ahli kumpulan agama, termasuk golongan minoriti dan mereka yang kegiatannya disekat oleh kerajaan, untuk membincangkan sekatan-sekatan yang mereka hadapi dan strategi untuk melibatkan kerajaan mengenai isu kebebasan beragama. Kedutaan membolehkan penyertaan pemimpin-pemimpin agama dan ulama dalam program-program pertukaran pelawat dan persidangan yang menggalakkan toleransi dan kebebasan beragama. Timbalan Penolong Setiausaha Negara bagi Demokrasi, Hak Asasi Manusia dan Buruh yang melawat menggesa pegawai-pegawai kerajaan untuk membuang sekatan ke atas kebebasan beragama, termasuk diskriminasi terhadap masyarakat Islam Ahmadiyah dan halangan untuk orang Islam menukar agama, dan membangkitkan keprihatinan tentang kehilangan pastor Kristian dan aktivis sosial.

Bahagian I. Demografi Agama

Kerajaan A.S. menganggarkan jumlah penduduk sebanyak 31.8 juta (anggaran Julai 2018). Angka daripada bancian terkini pada tahun 2010 menunjukkan bahawa 61.3 peratus penduduk mengamalkan agama Islam; 19.8 peratus, Buddha; 9.2 peratus, Kristian; 6.3 peratus, Hindu; dan 1.3 peratus, Konfusianisme, Taois, atau falsafah dan agama Cina tradisional yang lain. Kumpulan agama lain termasuk animis, Sikh, Jehovah’s Witnesses, The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints, dan Bahai. Hampir semua orang Islam mengamalkan Sunni Islam mazhab Syafii. Orang Melayu, yang ditakrifkan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai orang Islam sejak lahir, berjumlah kira-kira 55 peratus daripada penduduk. Kawasan luar bandar – terutamanya di pantai timur semenanjung Malaysia – kebanyakannya terdiri daripada orang Islam, manakala negeri-negeri Sabah dan Sarawak mempunyai bilangan orang bukan Islam yang agak tinggi. Dua pertiga daripada penduduk Kristian negara ini mendiami negeri-negeri di Malaysia Timur Sabah dan Sarawak.

Bahagian II. Status Penghormatan Kerajaan terhadap Kebebasan Beragama

Kerangka Perundangan

Perlembagaan persekutuan menyatakan “setiap orang berhak menganut dan mengamalkan agamanya,” tetapi kerajaan persekutuan dan negeri mempunyai kuasa untuk mengawal atau menyekat penyebaran agama lain kepada orang Islam. Perlembagaan menjadikan Islam sebagai “agama Persekutuan” dan memberikan kuasa kepada parlimen untuk membuat peruntukan yang mengawal hal ehwal agama Islam. Undang-undang membenarkan rakyat dan organisasi untuk menyaman kerajaan atas pencabulan perlembagaan dalam kebebasan beragama. Kerajaan persekutuan dan negeri mempunyai kuasa untuk “mengawal atau menyekat penyebaran mana-mana doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganut agama Islam.” Perlembagaan mengiktiraf pemerintah tradisional, yang juga dikenali sebagai Sultan atau Raja, sebagai “Ketua Agama Islam” di dalam negeri masing-masing. Sembilan daripada 13 negeri mempunyai Sultan dan mereka merupakan pihak berkuasa tertinggi Islam. Di empat negeri yang lain dan Wilayah Persekutuan, pihak berkuasa tertinggi agama Islam ialah Agong. Setiap negeri mentadbir undang-undang Islamnya sendiri. Pejabat mufti ada di setiap negeri untuk menasihati Sultan dalam semua perkara tentang hukum Islam. Sultan menyelia mahkamah syariah dan melantik hakim berdasarkan syor jabatan dan majlis agama negeri masing-masing yang menguruskan perjalanan mahkamah. Di negeri yang tidak mempunyai Sultan dan di Wilayah-wilayah Persekutuan, Agong bertanggungjawab untuk proses ini.

Perlembagaan Persekutuan diberi keutamaan mengatasi undang-undang negeri, kecuali dalam perkara berkaitan undang-undang Islam. Pindaan perlembagaan memperuntukkan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara di dalam bidang kuasa mahkamah syariah. Walau bagaimanapun, dalam keputusan Mahkamah Persekutuan bulan Januari dalam kes yang melibatkan penukaran agama kanak-kanak bawah umur, diputuskan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa ke atas prosedur pihak berkuasa pentadbiran syariah dalam kes itu, dan bahawa bidang kuasa itu tidak boleh dibatalkan melalui pindaan perlembagaan oleh parlimen.

Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) ialah agensi persekutuan yang bertanggungjawab dalam penyelarasan mahkamah syariah. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ialah sekretariat tetap Jawatankuasa Fatwa Persekutuan, yang terdiri daripada 14 mufti, satu dari setiap negeri dan satu yang mewakili Wilayah Persekutuan. Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil di dalam Jabatan Peguam Negara mengawasi proses pembuatan undang-undang syariah di peringkat persekutuan.

Fatwa 1996, yang disokong oleh undang-undang negeri, mewajibkan negara untuk mengikuti mazhab Sunni dan melarang umat Islam daripada memiliki, menerbitkan, atau menyebarkan bahan yang bertentangan dengan ajaran Sunni.

Umat Islam yang ingin memeluk agama lain harus terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada mahkamah syariah untuk mengisytiharkan diri mereka sebagai “murtad.” Mahkamah Syariah jarang mengizinkan permintaan seperti itu, terutama bagi mereka yang dilahirkan sebagai orang Islam, dan enggan membenarkan penukaran agama bagi mereka yang sebelum ini beragama Islam. Hukuman untuk murtad berbeza-beza mengikut negeri. Di Perak, Melaka, Sabah dan Pahang, murtad ialah kesalahan jenayah yang boleh dihukum dengan hukuman denda atau penjara. Di Pahang, hukuman boleh dikenakan sehingga enam kali sebatan. Hukuman maksimum untuk murtad di negeri Kelantan dan Terengganu ialah hukuman mati. Undang-undang ini tidak pernah dikuatkuasakan dan status undang-undang ini masih belum dicabar. Di peringkat kebangsaan, mahkamah sivil secara umumnya menyerahkan kuasa kepada mahkamah syariah dalam kes-kes mengenai penukaran agama daripada Islam. Di sesetengah negeri, undang-undang syariah membenarkan salah seorang ibu bapa untuk menukar agama anak-anak kepada Islam tanpa persetujuan daripada salah seorang lagi ibu bapa.

Seorang minor (bawah umur 18 tahun, menurut undang-undang persekutuan) umumnya tidak boleh menukar agama lain tanpa kebenaran yang jelas daripada ibu bapa. Walau bagaimanapun, sesetengah undang-undang negeri membenarkan penukaran agama kepada Islam tanpa mendapat keizinan ibu bapa selepas umur 15 tahun. Pada bulan Januari, Mahkamah Persekutuan, mahkamah tertinggi negara, sebulat suara membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada tahun 2015 yang sebelum ini mengekalkan keputusan penukaran agama kanak-kanak secara unilateral oleh mahkamah syariah tanpa persetujuan kedua-dua ibu bapa. Penghakiman itu mengatakan mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan kuasa penyeliaan ke atas keputusan pentadbiran pihak berkuasa Islam negeri.

Undang-undang hasutan, antara beberapa akta lain, mentadbir dan menghukum pengucapan yang dianggap bersifat menyinggung kumpulan-kumpulan etnik, yang merangkumi pengucapan yang menghina Islam. Sabitan boleh menyebabkan hukuman penjara tiga hingga tujuh tahun, atau sehingga 20 tahun jika terdapat bahaya fizikal atau kerosakan kepada harta benda. Undang-undang ini juga menghalang pengucapan yang “mengembangkan perasaan niat jahat, permusuhan, atau kebencian atas alasan agama.”

Di bawah undang-undang syariah, yang berbeza mengikut negeri, individu yang disabitkan dengan kegiatan agama “sesat” berhadapan dengan hukuman penjara tiga tahun atau denda RM5,000 kerana “menghina Islam.”

JAKIM dan pihak berkuasa Islam negeri menyediakan khutbah Jumaat untuk jemaah serta mengawasi dan meluluskan pelantikan imam di masjid. JAKIM dan pegawai Islam negeri mesti secara rasmi meluluskan semua guru Islam sebelum mereka dibenarkan untuk mengajar atau berceramah tentang Islam kepada orang ramai.

Tidak ada keperluan undang-undang bagi kumpulan agama bukan Islam untuk mendaftar, tetapi untuk menjadi organisasi amal bukan keuntungan yang diluluskan, semua kumpulan mesti mendaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) kerajaan dengan mengemukakan dokumen yang menunjukkan barisan pemimpin, tujuan, dan peraturan organisasi, dan membayar sedikit fi. Organisasi-organisasi ini diwajibkan mengikut undang-undang untuk menghantar laporan tahunan kepada RoS untuk mengekalkan pendaftarannya. RoS boleh memeriksa organisasi berdaftar dan menyiasat organisasi-organisasi yang disyaki digunakan untuk tujuan “memudaratkan keamanan masyarakat, kesejahteraan, ketenteraman, atau moral.”

Undang-undang cukai membenarkan pengecualian cukai bagi kumpulan agama berdaftar untuk sumbangan yang diterima dan potongan cukai bagi penderma individu. Penderma yang memberi zakat kepada organisasi agama Islam menerima rebat cukai. Penderma kepada badan amal yang diluluskan kerajaan (termasuk beberapa kumpulan agama bukan Islam) boleh menerima potongan cukai ke atas sumbangan, tetapi bukan rebat cukai.

Di bawah undang-undang syariah, hukuman sebat dibenarkan di setiap negeri. Kesalahan yang dikenakan hukuman sebat, kadang-kadang bersama dengan hukuman penjara, termasuk perhubungan seks sesama jantina suka sama suka, pelacuran, penculikan, rogol, dan rompakan.

Undang-undang melarang penyebaran agama lain dalam kalangan umat Islam oleh orang bukan Islam, dengan hukuman yang berbeza-beza antara negeri, dan termasuk hukuman penjara dan sebat. Undang-undang membenarkan dan menyokong orang Islam menyebarkan agama Islam kepada penganut agama lain. Undang-undang tidak menyekat hak orang bukan Islam untuk menukar kepercayaan agama dan fahaman mereka. Seorang bukan Islam yang ingin berkahwin dengan seorang Islam mesti memeluk agama Islam agar perkahwinan itu diiktiraf secara rasmi.

Kerajaan negeri mempunyai kuasa eksklusif ke atas peruntukan tanah, dan pembinaan untuk semua tempat ibadat, serta peruntukan tanah untuk semua tanah perkuburan.

Semua rumah ibadat Islam – termasuk masjid dan surau – terletak di bawah kuasa JAKIM dan jabatan-jabatan agama Islam negeri yang berkaitan; pembinaan mana-mana masjid dan surau mesti mendapat kelulusan pegawai di jabatan agama.

Pelajaran agama Islam diwajibkan untuk anak-anak orang Islam di sekolah-sekolah kerajaan. Pelajar bukan Islam dikehendaki mengambil pelajaran moral dan etika yang bukan bersifat keagamaan. Sekolah swasta boleh menawarkan kurikulum keagamaan bukan Islam sebagai pilihan untuk pelajar bukan Islam.

Mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa ke atas orang Islam dalam hal ehwal undang-undang keluarga dan pengamalan agama. Orang bukan Islam tidak mempunyai kedudukan dalam prosiding mahkamah syariah, yang membawa kepada beberapa kes yang memberi kesan terhadap orang bukan Islam dan mereka tidak mempunyai keupayaan untuk membela kedudukan mereka atau merayu keputusan mahkamah. Kes-kes mereka selalunya melibatkan keputusan yang memberi kesan terhadap penjagaan anak, perceraian, harta warisan, pengebumian, dan penukaran agama dalam keluarga yang mempunyai agama-agama berlainan. Hubungan antara undang-undang syariah dan undang-undang sivil sebahagian besarnya masih tidak dapat diselesaikan dalam sistem perundangan. Dua negeri, Kelantan dan Terengganu, secara simbolik telah menggubal undang-undang hudud untuk umat Islam, walaupun kerajaan persekutuan tidak pernah membenarkan kanun itu dilaksanakan. Negeri-negeri ini tidak boleh melaksanakan undang-undang hudud tanpa pindaan terhadap undang-undang persekutuan dan persetujuan Sultan.

Umur sah perkahwinan untuk orang Islam adalah 16 tahun untuk perempuan dan 18 untuk lelaki, kecuali di Negeri Selangor, di mana perempuan mestilah berusia 18 tahun. Mahkamah Syariah boleh membuat pengecualian untuk perkahwinan mereka yang belum mencapai umur itu dengan izin ibu bapa mereka. Orang bukan Islam mestilah 18 tahun untuk berkahwin tetapi boleh berkahwin dengan orang yang berusia seawal 16 tahun dengan kelulusan ketua menteri negeri mereka. Pada bulan September, badan perundangan Negeri Selangor menaikkan usia minimum untuk berkahwin bagi kedua-dua lelaki dan wanita Islam kepada 18 tahun.

Kad pengenalan kebangsaan menyatakan pertalian agama dan kerajaan menggunakannya untuk menentukan rakyat yang tertakluk kepada undang-undang syariah. Kad pengenalan ini mengenal pasti orang Islam dengan cara bercetak pada permukaan kad. Untuk penganut agama lain yang diiktiraf, pertalian agama tidak dicetak, tetapi disulitkan dalam cip pintar dalam kad pengenalan. Orang Islam yang sudah berkahwin mesti membawa kad pengenalan dengan gambar diri dan pasangan mereka sebagai bukti perkahwinan.

JAKIM menyelaraskan haji, hibah (waqaf), zakat, dan aktiviti-aktiviti Islam lain.

Negara ini bukan pihak kepada Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik.

Amalan Kerajaan

Pada bulan Januari, polis menuduh seorang lelaki atas penculikan dan pemerasan Pastor Kristian Raymond Koh pada bulan Februari 2017. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) kemudian menggantung siasatan awam terhadap kejadian itu berikutan permintaan daripada Ketua Polis Negara, yang menyatakan bahawa SUHAKAM tidak boleh menyiasat sebarang aduan yang menjadi subjek prosiding mahkamah. Sesetengah anggota masyarakat sivil berkata penangkapan itu adalah cubaan oleh polis untuk menghentikan siasatan awam SUHAKAM atas kehilangan Koh. SUHAKAM membuka semula siasatannya pada bulan Ogos, dengan menyatakan perkara siasatannya dan siasatan polis adalah berbeza. Media melaporkan SUHAKAM menamatkan siasatannya pada 7 Disember, setelah mendengar testimoni 16 saksi. Panel siasatan dijangka membentangkan penemuan dan cadangan kepada parlimen pada tahun 2019.

Pada bulan Mei, isteri Amri Che Mat, seorang aktivis sosial Islam yang dituduh menyebarkan ajaran Syiah, memfailkan laporan polis selepas dia berkata seorang pegawai polis memberitahu anggota-anggota Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial (E2) di Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia terlibat dalam kehilangan suaminya pada tahun 2016 serta Pastor Koh. Pegawai E2 bersara yang dinamakan oleh isteri Amri berkata dia tidak terlibat. Sepanjang tahun pelaporan, SUHAKAM terus menyiasat kes itu dan juga Pastor Kristian Joshua Hilmy dan isterinya Ruth, yang juga hilang pada tahun 2016.

Pada bulan September, dua wanita Islam telah disebat secara terbuka selepas Mahkamah Syariah Negeri Terengganu mendapati mereka bersalah melakukan hubungan seks sesama jantina. Pada September, mahkamah syariah Terengganu menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap seorang wanita berusia 30 tahun kerana melacur.

Pakar undang-undang mengatakan keputusan bulan Januari oleh Mahkamah Persekutuan mengenai penukaran agama anak di bawah umur menguatkan peranan pengawasan mahkamah sivil dalam urusan pentadbiran, termasuk tindakan pentadbiran pihak berkuasa agama Islam negeri. Pendaftar Muallaf Negeri Perak telah mengeluarkan sijil penukaran agama bagi anak-anak di bawah umur pada tahun 2009 kepada bapa mereka tanpa memenuhi keperluan undang-undang mandatori, dengan itu “menyalahtafsirkan had kuasa dan bertindak di luar skopnya,” menurut penghakiman mahkamah. Keputusan itu datang sebagai sebahagian daripada saman yang dibawa oleh Indira Gandhi, seorang Hindu, yang bekas suaminya memeluk agama Islam dan secara unilateral menukar agama tiga anak kecil mereka, dan kemudian berjaya mengemukakan permohonan untuk hak menjaga anak kepada hakim mahkamah syariah. Sebagai sebahagian daripada keputusannya, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan kedua-dua ibu bapa mesti bersetuju dengan penukaran agama anak kecil dan mendapati penukaran agama anak itu menjadi “batal dan tidak sah.” Dengan berbuat demikian, mahkamah membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan 2015 yang memihak kepada bapa dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi 2009 mengetepikan sijil penukaran agama.

Walaupun mahkamah meminta polis mencari bekas suami Indira Gandhi dan anak bongsu mereka yang diculik pada tahun 2009, kedua-duanya masih hilang pada akhir tahun laporan. Sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) Islam, Persatuan Ulama Malaysia, berkata keganasan agama boleh tercetus sekiranya polis meneruskan pencarian mereka terhadap bekas suami dan anak. Gabungan NGO Islam kemudiannya memfailkan permohonan untuk mengkaji keputusan Mahkamah Persekutuan, dengan alasan bahawa hanya mahkamah syariah boleh menentukan sama ada seseorang itu ialah Islam atau bukan Islam. Kes itu masih belum dapat diputuskan pada akhir tahun.

Menurut laporan media, pengkritik keputusan Indira Gandhi termasuklah Mufti Perak dan Pahang serta Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia. Majlis itu berkata keputusan itu bertentangan dengan pandangan majoriti ulama dan menjejaskan peruntukan perlembagaan yang menetapkan bidang kuasa mahkamah syariah tidak boleh dipertikaikan. Penyokong keputusan itu termasuk Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dan Persatuan Hak Asasi Manusia Malaysia, yang mengatakan bahawa keputusan itu menyelesaikan masalah dalam kes-kes apabila pasangan yang tidak menukar agama itu ditinggalkan tanpa remedi di mahkamah sivil.

Memetik keputusan Indira Gandhi, sebuah mahkamah rendah memutuskan pada bulan Oktober bahawa penukaran agama secara unilateral dua anak kecil oleh ibu mereka, yang masuk Islam selepas kelahiran mereka, tidak sah. Walaupun dengan keputusan mahkamah itu, beberapa anggota masyarakat sivil berkata persoalan mengenai penukaran agama unilateral anak bawah umur akan tetap tertunggak sehingga parlimen persekutuan menjelaskan isu itu melalui undang-undang.

Mereka yang berdaftar sebagai orang Islam dalam kad pengenalan masih sukar untuk meminta pihak berkuasa mengubah pengenalan agama. Pada bulan April, Mahkamah Rayuan menolak permohonan yang dibuat oleh seorang wanita yang dilahirkan di luar nikah daripada pasangan Islam-Buddha dan dibesarkan oleh ibunya yang beragama Buddha untuk diisytiharkan bukan Islam dan oleh itu mahu membuang perkataan “Islam” daripada kad pengenalannya.

Dalam kes yang melibatkan penukaran agama oleh orang dewasa, Mahkamah Persekutuan pada bulan Februari membatalkan rayuan oleh empat orang dari negeri Sarawak yang berhasrat untuk membawa kes mereka ke mahkamah sivil, dengan membuat keputusan bahawa mahkamah syariah negeri adalah mahkamah yang sesuai untuk kes-kes murtad.

Peguam, kumpulan kebebasan sivil, dan pemimpin agama bukan Islam mengatakan bahawa apabila bidang kuasa sivil dan syariah bertembung, mahkamah sivil selalunya terus mengalah terhadap mahkamah syariah, yang mewujudkan situasi orang bukan Islam terjejas oleh penghakiman mahkamah syariah.

Pada bulan Jun, seorang lelaki Islam Malaysia berusia 41 tahun telah berkahwin dengan seorang gadis Islam Thailand berusia 11 tahun di Thailand dan balik bersama gadis itu ke Malaysia. Walaupun berlaku kemarahan orang ramai, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan Malaysia tidak berkuasa untuk bertindak, kerana Mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa berhubung isu perkahwinan antara orang Islam. Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, dan pegawai kerajaan lain berkata mereka akan berusaha untuk meningkatkan usia minimum perkahwinan kepada 18 tahun untuk semua lelaki dan wanita. Menjelang akhir tahun, negeri Selangor menukar umur perkahwinan yang sah kepada 18 tahun.

Pada bulan Julai, menteri hal ehwal agama mengatakan bahawa kerajaan merancang untuk membentangkan tiga rang undang-undang baharu – Akta Antidiskriminasi, Akta Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional, dan Akta Kebencian Agama dan Kaum – di parlimen yang akan menjadikan perbuatan “merendah-rendahkan agama dan kaum” satu jenayah dan mengenakan denda sehingga tujuh tahun penjara dan denda sehingga RM100,000. Menjelang akhir tahun, kerajaan tidak membentangkan rang undang-undang itu untuk pertimbangan parlimen. Sesetengah kumpulan masyarakat sivil menyuarakan kebimbangan bahawa undang-undang itu boleh menyekat kebebasan bersuara yang sah.

Kerajaan campuran Pakatan Harapan, yang mengambil alih kuasa buat kali pertama selepas pilihan raya persekutuan pada bulan Mei, menunjukkan bahawa ia akan terus menguatkuasakan fatwa 1996 yang mengisytiharkan ajaran Syiah “menyimpang”. Tidak seperti pada tahun-tahun sebelumnya, tidak ada laporan tentang pihak berkuasa agama yang menangkap orang Islam Syiah kerana menyambut Asyura. Bagaimanapun, media melaporkan pihak berkuasa agama di Kuala Lumpur dan Selangor meningkatkan pemantauan terhadap penganut Syiah untuk menghalang perhimpunan Asyura dan mengedar risalah yang mengutuk “amalan sesat.” Pegawai-pegawai di negeri Kelantan menyerbu sebuah pusat keagamaan Syiah pada bulan Ogos dan menahan 10 individu. Apabila Menteri hal ehwal agama menyatakan secara terbuka bahawa perlembagaan melindungi hak masyarakat minoriti, termasuk Syiah, Datuk Seri Zahid Hamidi, presiden parti pembangkang Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), berkata partinya akan menentang penyebaran ajaran Syiah.

Perdana Menteri Mahathir Mohamad memberitahu Associated Press pada bulan Ogos, “Anti-Semitik ialah istilah yang dicipta untuk menghalang orang mengkritik orang Yahudi kerana melakukan perkara-perkara yang salah.” Pada bulan Oktober, beliau mengulangi kenyataannya dari tahun 1970-an bahawa orang Yahudi “berhidung bengkok” dan bahawa jumlah orang Yahudi yang dibunuh di Holocaust bukannya enam juta.

JAKIM terus melaksanakan garis panduan persekutuan yang ditetapkan mengenai apa yang dimaksudkan dengan tingkah laku atau kepercayaan Islam yang sesat. Pihak berkuasa agama negeri umumnya mengikut garis panduan ini. Mereka yang berbeza dari tafsiran rasmi Islam terus menghadapi tindakan kerajaan yang teruk, termasuk “pemulihan” wajib di pusat-pusat yang mengajar dan menguatkuasakan amalan Islam yang diluluskan kerajaan. Kerajaan mengharamkan individu daripada meninggalkan pusat tersebut sehingga mereka menyelesaikan program pemulihan, yang panjang tempohnya berbeza-beza, tetapi selalunya berlangsung sekitar enam bulan. Program-program kaunseling ini terus dirancang untuk memastikan tahanan menerima pakai tafsiran rasmi kerajaan tentang Islam.

Pegawai penguatkuasaan agama Islam negeri terus mempunyai kuasa untuk mengiringi polis melakukan serbuan ke atas premis swasta dan tempat kediaman serta perniagaan awam, dan untuk menguatkuasakan undang-undang syariah, termasuk terhadap pelanggaran seperti berpakaian tidak senonoh, mengedar penerbitan yang dilarang, meminum alkohol, atau berkhalwat. Seorang pegawai dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan memberi keterangan di mahkamah pada bulan Mac bahawa waran tidak pernah dikeluarkan semasa mana-mana serbuan di mana beliau terlibat dalam isu tersebut. Pada bulan Oktober, The Star melaporkan menteri hal ehwal agama menunjukkan kerajaan tidak berminat dengan apa yang berlaku di sebalik pintu tertutup, tetapi hanya apa yang berlaku dalam “ruang awam.” Namun, kerajaan selepas itu menuntut permintaan maaf daripada The Star kerana melaporkan bahawa kerajaan akan menghentikan operasi “serbuan khalwat.”

Menurut sesetengah undang-undang negeri, orang Islam boleh dikenakan denda RM 1,000 jika mereka tidak menghadiri sesi “kaunseling” selepas didapati bersalah memakai apa yang dianggap oleh pihak berkuasa sebagai pakaian yang tidak sopan. Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) mengeluarkan notis kepada lebih 300 orang dari bulan Januari hingga Jun kerana memakai pakaian yang dianggap tidak Islamik, seperti wanita memakai pakaian yang ketat, dan berkelakuan tidak sopan di depan orang ramai. Notis itu mewajibkan mereka menghadiri sesi kaunseling. Walau bagaimanapun, seorang wakil JAHEAIK berkata hanya 20 peratus mematuhi perintah itu. Wakil itu berkata pihaknya akan meneruskan tindakan undang-undang jika tertuduh tidak menghadiri sesi kaunseling selepas menerima notis kedua. Pada bulan Julai media melaporkan Majlis Perbandaran Kota Bharu di Kelantan akan memasukkan kepatuhan pekerja terhadap kod pakaian Islam ketika menilai kebersihan kedai-kedai makanan.

Pada bulan Mac, seorang wanita berkata pegawai Majlis Perbandaran Kota Bharu menghalangnya bekerja sebagai pengacara majlis acara kanak-kanak. Pegawai itu berkata bahawa wanita Islam tidak boleh bercakap menggunakan mikrofon kerana suara wanita tidak boleh didengar oleh lelaki yang bukan mahram.

Pada bulan Oktober, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu mengeluarkan 11 garis panduan untuk acara muzik dan tarian, termasuk pemisahan penghibur lelaki dan wanita serta penonton serta syarat artis wanita hanya menyanyi dan menari di depan penonton wanita di tempat tertutup. Sebagai tindak balas kepada pengumuman itu, NGO Sisters in Islam (SIS) berkata, “Kesediaan kerajaan untuk mewujudkan garis panduan yang mengenakan pandangan dunia mereka yang ketat membahayakan kemajuan semua wanita Malaysia dan hak mereka untuk mengambil bahagian secara sepenuhnya dan sama rata dalam pembangunan sosioekonomi negara ini dan kehidupan awam.”

Aktivis persatuan sivil mengatakan bahawa kerajaan secara terpilih menghukum pengucapan yang didakwa merendahkan Islam sementara tidak mengendahkan kritikan terhadap agama lain. Pada bulan April, mahkamah mendenda seorang wanita RM5,000 selepas dia disabitkan di bawah Akta Hasutan kerana menyiarkan gambar hidangan daging babi pada media sosial pada bulan Ramadan tahun 2013 dengan kapsyen yang mengatakan “Selamat berbuka puasa.” Beberapa minggu sebelum pilihan raya persekutuan pada bulan Mei lalu, Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan memberi amaran kepada pengundi daripada mengundi sebuah parti yang sebahagian besarnya kaum Cina kerana ramai anggotanya adalah Kristian evangelikal. “Kalau dia Katolik saya masih percaya lagi, tapi bila dia evangelis, new Christian, ini masalah,” katanya. Pada bulan yang sama, Mufti Wilayah Persekutuan berkata Islam membenarkan undi untuk bukan Islam tetapi berkata pengundi mesti memastikan “jawatan tertinggi negara seperti Perdana Menteri, Menteri hal ehwal agama dan Menteri Pertahanan hanya dipegang oleh orang Islam yang layak sahaja.”

Semasa ucapan pada bulan Februari, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjanjikan penyokongnya “anda semua akan dapat melaksanakan Haji” jika mereka mengembalikan partinya untuk berkuasa dalam pilihan raya akan datang.

Sesetengah ahli politik, pemimpin Islam dan NGO menentang rancangan kerajaan untuk menandatangani Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), dengan mengatakan ia akan menghapus hak istimewa Melayu dan mengancam kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara. Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berkata, “Kita mesti menentang (ICERD) kerana wajib bagi umat Islam untuk mengatakan bahawa Islam itu yang sebenar. Kita boleh memberi hak kepada agama-agama lain tetapi mengatakan bahawa agama-agama lain sama seperti Islam tidak dapat diterima. ” Berikutan bangkangan daripada kumpulan Islam dan Melayu, kerajaan mengumumkan pada bulan November ia tidak akan meratifikasikan konvensyen itu. Seramai 50,000 individu berhimpun di pusat bandar Kuala Lumpur pada 8 Disember untuk meraikan penolakan kerajaan terhadap ICERD. Merujuk kepada parti-parti pembangkang, Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah berkata terdapat rakyat Malaysia menjadi “alergik” dengan idea hak asasi manusia, menurut laporan Al Jazeera.

Pegawai-pegawai di peringkat persekutuan dan negeri mengawasi kegiatan agama Islam, mengedarkan semua teks khutbah kepada masjid untuk diikuti, menggunakan masjid untuk menyampaikan mesej-mesej politik, dan mengehadkan luahan terbuka terhadap agama yang dianggap bertentangan dengan Islam Sunni. Pada bulan Mac, media melaporkan khutbah-khutbah di Selangor tidak lagi memasukkan perkataan yang merujuk kepada Syiah Islam sebagai “menyimpang”, walaupun pegawai-pegawai berkata keputusan itu adalah untuk memendekkan panjang khutbah dan tidak mewakili perubahan dasar.

Pada tahun itu, pihak berkuasa Islam di negeri-negeri Perak dan Johor mengharamkan beberapa pendakwah Islam daripada menyampaikan khutbah kerana mereka dianggap “memecah-belah.” Salah seorang penceramah yang diharamkan telah mempersoalkan Sultan Johor kerana mengkritik secara terbuka sebuah kedai dobi yang tidak membenarkan pelanggan bukan Islam.

Pada bulan Mei, ahli-ahli PAS mengkritik keputusan kerajaan negeri Sabah untuk memulihkan pembinaan patung dewi Taoisme dan Buddha Mazu, dengan mengatakan patung itu akan mencabar “sensitiviti masyarakat [Islam].”

Kerajaan terus mengekalkan sekatan ke atas perhimpunan agama dan peruntukan yang menafikan kumpulan keagamaan tertentu untuk mendaftar sebagai organisasi amal. Banyak gereja dan NGO terus mendapati pendaftaran sukar dibuat, dengan RoS menafikan atau menangguhkan banyak permohonan tanpa penjelasan atau atas alasan yang sangat teknikal. Wakil-wakil dari kumpulan agama terus mengatakan pendaftar tidak mempunyai dasar yang konsisten atau kriteria telus untuk menentukan sama ada hendak mendaftarkan kumpulan agama. Dalam kes-kes apabila kerajaan enggan mendaftarkan kumpulan agama, kumpulan itu boleh meneruskan pendaftaran sebagai sebuah syarikat. Kumpulan-kumpulan agama melaporkan bahawa proses pendaftaran sebagai sebuah syarikat pada umumnya agak cepat dan menyediakan asas yang sah untuk menjalankan perniagaan, tidak membatasi aktiviti keagamaan kumpulan, dan membenarkan organisasi itu melakukan kegiatan tertentu seperti mempunyai akaun bank dan memiliki harta, tetapi tidak memberikan status pengecualian cukai terhadap organisasi atau pembiayaan kerajaan. Contoh-contoh kumpulan yang terus didaftarkan sebagai syarikat termasuk Jehovah’s Witnesses dan The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints.

Kerajaan persekutuan dan negeri terus melarang perhimpunan agama dan ibadat untuk kumpulan yang dianggap sebagai ajaran sesat seperti Syiah, Ahmadiyah, dan Al-Arqam. Meskipun pengikut Islam Ahmadiyah di negara ini pada umumnya dilaporkan boleh mengekalkan pusat ibadat, pihak berkuasa agama kerajaan tidak membenarkan mereka mengadakan solat Jumaat kerana ini hanya boleh dilakukan di masjid yang berdaftar secara rasmi. Mahkamah Tinggi memutuskan pada bulan Julai bahawa pihak berkuasa agama Negeri Selangor tidak mempunyai bidang kuasa ke atas komuniti Ahmadiyah kerana mereka tidak diiktiraf sebagai orang Islam. Pemimpin-pemimpin masyarakat Ahmadiyah menyatakan optimisme mengenai keputusan itu, melihatnya sebagai perlindungan baru untuk kebebasan mereka beribadat tanpa gangguan oleh pihak berkuasa Islam negara. Bagaimanapun, sesetengah anggota masyarakat awam menyatakan kebimbangan bahawa pengiktirafan komuniti Ahmadiyah sebagai kumpulan bukan Islam boleh mempunyai implikasi simbolik dan praktikal. Jabatan Agama Islam Selangor merayu keputusan itu dan kes itu masih belum selesai pada akhir tahun itu. Pihak berkuasa tempatan membenarkan papan iklan mengisytiharkan “Ahmadiyah bukan agama Islam” untuk ditempatkan di hadapan ibu pejabat kumpulan itu sejak beberapa tahun yang lalu.

Pada bulan September, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyiasat satu kempen kesedaran awam di Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh “Who Is Hussain?” – sebuah organisasi berpangkalan di UK yang JAWI mengatakan menyebarkan ajaran Syiah. Tiada siapa yang ditahan berkaitan dengan kejadian itu, yang melibatkan pemberian donat percuma kepada penumpang di stesen tren.

Sekatan dikekalkan ke atas penggunaan perkataan “Allah” oleh orang bukan Islam. Satu rayuan oleh Sidang Injil Borneo, sebuah gereja evangelikal Kristian yang berpusat di Sabah dan Sarawak, untuk hak gereja dan jemaah berbahasa Melayu menggunakan perkataan “Allah” dalam Al-Kitab dan penerbitan agama lain masih berterusan.

Kerajaan terus mengharamkan buku-buku yang mempromosikan kepercayaan Syiah, mistik, dan kepercayaan lain yang kerajaan menetapkan “jelas menyimpang dari ajaran Islam yang sebenarnya.” Pada bulan April, kerajaan mengumumkan bahawa ia mengharamkan enam penerbitan “yang dianggap mengandungi elemen yang menyebabkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dan bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni) Islam.” Pada bulan Januari, Mahkamah Rayuan membuat keputusan bahawa larangan tahun 2015 terhadap tiga buku oleh novelis Faisal Musa telah melanggar kebebasan bersuara penulis. Kerajaan terdahulu merayu keputusan itu, tetapi pada bulan Oktober kerajaan baharu menarik balik rayuan itu dan mengarahkan Kementerian Dalam Negeri untuk mengeluarkan tajuk-tajuk itu daripada senarai penerbitan yang diharamkan.

Kumpulan-kumpulan bukan Islam terus melaporkan kesukaran dalam mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan untuk membina tempat ibadat baharu, yang menyebabkan banyak kumpulan menggunakan bangunan dalam zon kegunaan kediaman atau komersial untuk aktiviti keagamaan mereka. Pemerhati-pemerhati mengatakan bahawa amalan ini keseluruhannya masih lagi ditolak ansur, tetapi menyebabkan kumpulan-kumpulan agama terdedah. Pada bulan Disember, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata kerajaan sedang bersedia untuk mendaftar semua rumah ibadat sedia ada dan lokasi mereka. Menurut The Straits Times, menteri itu berkata rumah ibadat yang terletak di tanah yang bukan milik mereka perlu berpindah. Kementerian itu sedang merangka peraturan untuk mewajibkan semua rumah ibadat yang dicadangkan untuk dibina memperoleh kelulusan kerajaan sebelum dibina.

Pada bulan Februari, pada sesi ke-69 Konvensyen PBB mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), seorang perwakilan dari Pejabat Peguam Negara dan perwakilan-perwakilan Malaysia yang lain berkata khatan perempuan itu mesti diamalkan oleh umat Islam mengikut keputusan tahun 2009 oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, walaupun terdapat pengecualian atas sebab-sebab kesihatan. NGO mengatakan prosedur yang diamalkan di Malaysia boleh dikatakan sebagai Mutilasi Genital Wanita mengikut definisi UN CEDAW.

Sesetengah badan kerajaan, termasuk Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional kerajaan persekutuan, ditugaskan untuk menggalakkan keharmonian agama dan melindungi hak-hak kumpulan agama minoriti. Namun banyak pertubuhan berasaskan agama terus menyatakan mereka percaya bahawa badan-badan itu tidak mempunyai kuasa dan pengaruh seperti pihak yang mengawal hal ehwal Islam, dengan menyebut kehadiran dan bajet yang besar untuk JAKIM, berbanding pembiayaan yang lebih terbatas untuk Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional . Bajet tahunan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional ialah kira-kira RM275 juta, manakala RM1 bilion diperuntukkan untuk pembangunan Islam, termasuk RM811 juta untuk JAKIM.

Sepanjang tahun itu, JAKIM membiayai pelbagai pendidikan Islam dan projek berkaitan masjid. Tiada dana yang diperuntukkan khusus dalam bajet kerajaan untuk kumpulan agama bukan Islam, walaupun beberapa kumpulan agama dilaporkan terus menerima dana yang diberi sekali sekala untuk bangunan kuil dan gereja serta kegiatan lain.

Di sekolah-sekolah kerajaan pada peringkat sekolah rendah dan menengah, perhimpunan pelajar selalunya dimulai dengan pembacaan doa Islam oleh guru atau pemimpin sekolah. Terutamanya di semenanjung Malaysia, pemimpin masyarakat dan kumpulan kebebasan sivil mengatakan bahawa guru agama di sekolah kerajaan memberi tekanan ke atas gadis Islam untuk memakai tudung di sekolah. Sesetengah sekolah swasta mewajibkan gadis Islam untuk memakai tudung yang menutup muka mereka, kecuali mata mereka. Persekolahan di rumah masih dibenarkan, tetapi sesetengah keluarga terus melaporkan kesukaran mendapatkan kelulusan Kementerian Pendidikan.

Seorang aktivis kebebasan sivil menggesa perhatian diberikan kepada kandungan buku tambahan pendidikan Islam untuk pelajar sekolah menengah yang menggalakkan hukuman mati untuk murtad.

Pada bulan Ogos, seorang hakim di Mahkamah Rayuan yang tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah tahun 2015 yang membenarkan penukaran agama anak-anak kepada Islam berkata dia ditegur oleh seorang hakim kanan dan telah dihina dan tidak ditugaskan kepada kes-kes tertentu akibat pandangannya.

Kerajaan masih tidak mengiktiraf perkahwinan antara orang Islam dan bukan Islam dan menganggap anak yang lahir daripada perkahwinan itu anak luar nikah. Kerajaan meneruskan rayuannya pada keputusan 2017 oleh Mahkamah Rayuan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara tidak terikat dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, sebuah badan keagamaan, mengenai anak yang dilahirkan luar nikah boleh dibinkan dengan nama bapanya. Pelaksanaan keputusan mahkamah masih kekal sementara menunggu rayuan itu. Fatwa 2003 mengisytiharkan anak yang tidak sah tidak boleh dibinkan kepada nama bapa mereka jika mereka dilahirkan kurang dari enam bulan selepas perkahwinan ibu bapa mereka.

Pada 5 Jun, kerajaan mengumumkan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang baharu, orang bukan Islam dan bukan Melayu pertama yang memegang jawatan itu. Pada bulan Julai, seorang ahli PAS berkata pelantikan orang bukan Islam dalam kerajaan untuk jawatan kanan, termasuk jawatan peguam negara, ketua hakim, dan menteri hal ehwal undang-undang, akan melemahkan kepekaan terhadap perkara-perkara undang-undang yang melibatkan Islam dan umat Islam. Perdana Menteri menjawab, “Kami akan menubuhkan kerajaan yang menegakkan undang-undang dan perlembagaan negara dan kami tidak akan melakukan apa-apa yang bertentangan dengan Islam.” Pada bulan September, PAS menyatakan ia akan memberi tumpuan kepada “kepimpinan Islam” memandangkan apa yang dikatakannya adalah bilangan orang Islam yang rendah di Parlimen.

Pada bulan November, polis di Negeri Kedah telah menangkap dan kemudian mengusir empat warga asing kerana didakwa menyebarkan bahan-bahan keagamaan yang mengandungi petikan dari Al-Kitab. Individu-individu ini disiasat kerana menyebabkan ketidakharmonian atau kebencian dan melanggar syarat visa mereka. Pihak berkuasa di negeri Pulau Pinang menahan lima warga asing awal bulan ini kerana kesalahan yang sama.

Bahagian III. Status Penghormatan Masyarakat terhadap Kebebasan Beragama

Pertubuhan hak asasi manusia dan pemimpin agama menyatakan sekali lagi bahawa masyarakat terus menjadi semakin tidak bertolak ansur terhadap kepelbagaian agama. Mereka menyebut beberapa kutukan terbuka oleh kumpulan Islam mengenai peristiwa dan kegiatan masyarakat yang dikatakan “tidak Islamik” serta kenyataan yang menyasarkan kumpulan bukan Sunni dan bukan Islam. Pada bulan Ogos, pemuda UMNO menggesa Menteri Pertahanan Mohamad Sabu untuk menjelaskan kehadirannya di sebuah majlis yang didakwa diadakan di pusat agama Syiah di selatan Thailand. Sesetengah kumpulan Islam menuduh menteri itu sebagai orang yang mengamalkan ajaran Syiah secara sorok-sorok. Pada bulan Mei, ketua menteri negeri Melaka menghadapi tuduhan yang sama. Pada bulan November pemimpin Islam, termasuk Mufti Negeri Pahang, mempertahankan kewajaran fatwa 1996 mengenai larangan ajaran Syiah di negara ini selepas seorang aktivis sosial menyeru pemansuhan fatwa tersebut. Mufti memanggil amalan Syiah “menyimpang” dan “merosakkan kemurnian Islam.”

Pada 26 November, keganasan berlaku berhampiran kuil Hindu Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor, selepas seramai 200 orang yang bertopeng, yang diupah oleh pemaju hartanah yang mendakwa pemilikan tanah itu, memasuki kuil dan cuba mengusir penganut secara paksa. Menurut The Straits Times, sekurang-kurangnya sedozen individu cedera dan 20 kenderaan dibakar. Seorang bomba kemudiannya meninggal akibat kecederaan semasa menangani kejadian itu. Secara keseluruhan, 83 individu ditahan. Ketika video kejadian itu tular dalam talian, spekulasi rusuhan antara kedua-dua kumpulan itu muncul, tetapi pegawai polis dan kerajaan kemudiannya menyifatkan perkara tersebut sebagai pertikaian tanah tempatan dan memulakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Pada bulan Oktober seorang ahli parlimen menerima ancaman bunuh selepas dia mendesak kerajaan untuk meratifikasikan pengisytiharan PBB mengenai Penghapusan Semua Bentuk Ketidaktoleranan dan Diskriminasi Berdasarkan Agama atau Kepercayaan. Sebagai tindak balas, kumpulan hak Melayu Perkasa berkata ia akan meminta pihak polis untuk menyiasatnya kerana hasutan, dan Ismaweb berkata tindakan wakil rakyat itu telah menggalakkan murtad. Seorang penggubal undang-undang Sarawak menerima ancaman bunuh dalam talian pada bulan Februari berkaitan tugasnya yang mewakili empat individu yang cuba menukar agama daripada Islam.

Pada bulan Januari, polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun yang disyaki terlibat dalam kebakaran yang memusnahkan 40 peratus kuil Buddha di Negeri Sembilan. Rakaman CCTV dilaporkan menunjukkan suspek mencuri wang dari pejabat kuil sebelum kebakaran bermula. Polis menahan seorang lelaki kerana dua kejadian vandalisme di sebuah gereja dan kuil Hindu di negeri Kelantan. Tiga orang cedera dalam serangan “bom air” di sebuah gereja di pinggir bandar Kuala Lumpur berikutan sesi keagamaan malam Tahun Baharu, walaupun polis kemudian berkata dalam satu kenyataan, “Adalah dipercayai bahawa kejadian itu tidak ada kaitan dengan sebarang bentuk kebencian agama. ”

Saudara baru agama, terutamanya yang bertukar kepada agama lain daripada Islam, kadang-kadang menghadapi stigmatisasi yang teruk. Dalam banyak kes, saudara baru dilaporkan menyembunyikan kepercayaan dan amalan baru yang dia anuti daripada penganut bekas agama mereka, termasuk rakan dan saudara mara.

Pada bulan November, NGO Renaissance Front mengatakan bahawa Syiah dan Ahmadiyah menghadapi lebih banyak sekatan daripada orang bukan Islam, dan menggesa kerajaan baharu untuk menjauhkan diri dari naratif “sayap kanan dan supremasi” kepada yang berdasarkan hak asasi manusia sejagat.

Identiti agama terus memberi kesan kepada aspek kehidupan sekular. Wanita Islam yang tidak memakai tudung atau berpakaian bersesuaian dengan pengertian agama tentang sopan sering dimalukan di media sosial. Pada bulan Januari, polis menahan seorang lelaki yang mengakui menyerang seorang wanita di perhentian bas disebabkan marah wanita itu tidak memakai tudung.

Sesetengah kumpulan Islam mengkritik Menteri Pertahanan selepas media menerbitkan gambar dia berjabat tangan dengan Duta Besar A.S., seorang wanita, dengan alasan bahawa Islam mengharamkan lelaki dan wanita yang bukan mahram daripada bersalam.

Sekumpulan lelaki menyerbu sebuah kedai serbaneka di negeri Perak pada bulan Mei dan menuntut pemiliknya berhenti menjual alkohol, kerana majoriti penduduk masyarakat ialah orang Islam. Kumpulan itu dilaporkan mengancam tindakan keras terhadap pemilik kedai jika tuntutan mereka tidak dipenuhi. Polis membuka siasatan terhadap kejadian itu dan menggalakkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan dalam kes tersebut dan sebaliknya memfailkan laporan polis.

Pada bulan Oktober kumpulan Islam, termasuk ahli PAS, menekan kerajaan untuk mengharamkan acara Oktoberfest dengan mengatakan acara itu menyinggung umat Islam. Sekurang-kurangnya dua kerajaan negeri mengumumkan bahawa mereka tidak akan mengeluarkan permit untuk aktiviti Oktoberfest, walaupun kemudian berkata mereka tidak menerima sebarang permohonan untuk acara tersebut.

Pusat-pusat membeli-belah dan tempat-tempat komersil lain berkata bahawa mereka mengurangkan dekorasi sambutan Tahun Baharu Cina, yang pada tahun 2018 dikaitkan dengan simbol zodiak anjing, kerana takut menyinggung orang Islam yang mungkin melihat anjing sebagai binatang najis. Sesetengah perniagaan mengakui mereka telah mengeluarkan imej anjing daripada pengiklanan mereka. Dalam satu kenyataan, pengarah JAKIM berkata, “Walaupun Tahun Baharu Cina menggunakan haiwan sebagai simbol, semua pihak perlu menghormati dan mengekalkan keharmonian kaum.”

Pada bulan November cebisan yang dipercayai daging babi dilemparkan ke dalam dua surau di negeri Melaka. Polis menyiasat kejadian itu di bawah kanun keseksaan, yang melarang membencana dan mencemarkan tempat ibadat dengan niat untuk menghina.

Kumpulan agama menganjurkan sambutan antara agama dan antara budaya sepanjang tahun. Pada bulan Jun umat Islam di masjid Al-Faizin di Kuala Lumpur menjemput orang ramai daripada semua agama untuk berkongsi semangat Ramadan buat kali pertama sejak penubuhan masjid. Pada bulan Disember, Kuil Sri Sithi Vinayagar di Petaling Jaya mengadakan sambutan kebudayaan antara agama dengan wakil dari 22 organisasi keagamaan hadir.

Bahagian IV. Dasar dan Keterlibatan Kerajaan A.S.

Pegawai kedutaan A.S. aktif membuat perhubungan dengan pelbagai pegawai kerajaan persekutuan dan negeri di Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, dan Jabatan Perdana Menteri serta agensi-agensi lain, mengenai isu kebebasan agama dan toleransi sepanjang tahun, termasuk kebimbangan tentang merendah-rendahkan agama minoriti dan penukaran agama anak secara unilateral. Duta Besar dan seorang Timbalan Penolong Setiausaha Negara untuk Demokrasi, Hak Asasi Manusia dan Buruh yang melawat Malaysia membangkitkan kebimbangan mengenai kehilangan Pastor Raymond Koh, Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth, serta Amri Che Mat, selain mendesak pegawai kerajaan untuk membuang sekatan ke atas kebebasan beragama dan bersuara terhadap sikap tidak bertoleransi agama.

Pada bulan November, Duta Besar dan Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial memimpin “Harmony Walk” ke beberapa rumah ibadat di Kuala Lumpur untuk menyambut Hari Toleransi Antarabangsa PBB. Acara itu menekankan kebebasan agama dan dialog antara agama dalam mengurangkan sikap tidak bertolak ansur, diskriminasi, dan penganiayaan serta menegaskan komitmen kerajaan A.S. untuk memastikan semua individu dapat melaksanakan hak asasi mereka, termasuk kebebasan beragama atau tidak mempercayai agama. Kedutaan memaparkan video program itu di media sosial dan mendapat maklum balas yang sangat positif.

Pegawai Kedutaan bertemu dengan ahli kumpulan Syiah dan Ahmadiyah; kumpulan tersebut memperincikan sekatan kerajaan yang berat terhadap kegiatan keagamaan mereka dan diskriminasi masyarakat yang berterusan. Kedutaan terlibat dengan kumpulan Islam Sunni yang kegiatannya dibatasi oleh kerajaan, seperti SIS, G25, Islamic Renaissance Front, dan Komuniti Muslim Universal.

Kedutaan menyiarkan mesejnya berkaitan dengan kebebasan beragama di platform media sosialnya sepanjang tahun dan pada Hari Kebebasan Beragama Antarabangsa.

Pada bulan Mac, kedutaan membiayai seorang profesor universiti untuk mengambil bahagian dalam persidangan global untuk peguam wanita Islam mengenai topik undang-undang Islam dan kepimpinan.

Pada bulan Jun, Duta Besar merakam sebuah video yang menonjolkan kepentingan pluralisme dan toleransi agama. Penyiar negara menyiarkan video itu semasa bulan Ramadan.

Pada bulan Julai, Kedutaan menyokong program enam hari mengenai kebebasan dan luahan artistik yang mempromosikan toleransi dan penerimaan dalam kalangan agama yang berbeza.

Pada bulan Oktober, Kedutaan menaja lawatan empat pemimpin agama terkemuka ke komuniti-komuniti di seluruh Amerika Syarikat di mana mereka melihat kerjasama antara agama dan penglibatan belia.