Laporan Negara tentang Amalan Hak Asasi Manusia 2018 (Malaysia)

Malaysia

RINGKASAN EKSEKUTIF

TIP Report Cover
Malaysia ialah negara raja berperlembagaan persekutuan. Negara ini mempunyai sistem parlimen kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya berkala, pelbagai parti dan diketuai oleh seorang Perdana Menteri. Agong ialah ketua negara dan selalunya memainkan peranan istiadat. Agong berkhidmat selama lima tahun. Jawatan ini digilirkan dalam kalangan sultan dan raja daripada sembilan negeri yang mempunyai raja keturunan. Pada pilihan raya umum bulan Mei, pakatan pembangkang Pakatan Harapan mengalahkan perikatan parti kerajaan Barisan Nasional, yang menyebabkan pemindahan kuasa pertama antara perikatan parti-parti sejak kemerdekaan pada tahun 1957. Sebelum dan semasa kempen pilihan raya, ahli politik pembangkang dan pertubuhan masyarakat sivil mendakwa berlaku penyelewengan pilihan raya dan kelemahan sistemik kepada kumpulan pembangkang kerana kekurangan akses media dan pembahagian kawasan yang berpihak kepada perikatan parti yang memerintah kerajaan.

Pihak berkuasa awam ada ketikanya tidak mengekalkan kawalan berkesan ke atas pasukan keselamatan.

Isu hak asasi manusia termasuk: laporan tentang pembunuhan yang menyalahi undang-undang atau sewenang-wenang oleh kerajaan atau ejennya; gangguan sewenang-wenang atau menyalahi undang-undang terhadap privasi; penapisan, sekatan laman internet, dan penyalahgunaan undang-undang fitnah jenayah; gangguan yang banyak terhadap hak perhimpunan aman dan kebebasan persatuan; rasuah; keganasan terhadap golongan transgender dan aktiviti seksual sesama jantina yang dijadikan jenayah; buruh kanak-kanak; dan pemerdagangan orang.

Kerajaan menangkap dan mendakwa sesetengah pegawai yang terlibat dalam rasuah, penyalahgunaan jawatan, dan pencabulan hak asasi manusia. Namun kumpulan masyarakat sivil mendakwa pesalah terus bebas daripada hukuman.

 

Bahagian 1. Menghormati Integriti Orang, Termasuk Kebebasan daripada:

a. Pengambilan Nyawa Sewenang-wenang dan Pembunuhan Lain yang Menyalahi Undang-undang atau Bermotifkan Politik

Terdapat laporan kerajaan atau ejennya melakukan pembunuhan sewenang-wenangnya atau menyalahi undang-undang. Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (SUHAKAM), 521 orang mati dalam penjara dari tahun 2015 hingga 2016, termasuk lebih 100 orang di pusat tahanan imigresen. Kerajaan mendakwa bahawa kematian dalam tahanan polis, terutama yang disebabkan oleh polis, jarang berlaku, tetapi aktivis masyarakat sivil mempertikaikan dakwaan ini. Dalam laporan 2018 mengenai kematian tahanan, organisasi bukan kerajaan (NGO) Lawyers For Liberty menyifatkannya satu “sistem rosak yang menyokong pelaku jenayah-jenayah ini.”

Awal tahun laporan, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) kerajaan memutuskan bahawa pihak berkuasa melakukan “salah laku serius” berhubung dengan kematian seorang lelaki dalam tahanan polis pada tahun 2017. EAIC juga mendapati kamera litar tertutup di balai polis tidak berfungsi. Tiada tindakan selanjutnya yang diambil.

Pada bulan Mac, seorang lelaki berusia 39 tahun ditemui mati dalam pusat tahanan polis. Seorang pegawai polis menyatakan kejadian itu dipercayai disebabkan kecuaian dan akan disiasat. Tiada tindakan selanjutnya yang diambil.

Siasatan ke atas penggunaan kekerasan sehingga menyebabkan kematian oleh pegawai polis hanya berlaku jika peguam negara memulakan siasatan atau jika peguam negara meluluskan permohonan untuk siasatan oleh ahli keluarga si mati. Apabila peguam negara mengarahkan siasatan rasmi, mahkamah koroner bersidang, dan perbicaraan itu terbuka kepada orang ramai. Dalam kes sedemikian, mahkamah secara umumnya mengeluarkan “penghakiman terbuka” yang bermaksud bahawa tidak akan ada tindakan selanjutnya terhadap polis.

b. Kehilangan

Pada bulan Januari, Ketua Polis Negara memaklumkan kepada SUHAKAM bahawa polis telah mendakwa seorang lelaki atas penculikan pastor Kristian Raymond Koh pada tahun 2017. Polis mengatakan bahawa undang-undang menghalang SUHAKAM daripada menyiasat sebarang aduan yang menjadi subjek prosiding mahkamah, dan selanjutnya SUHAKAM mengumumkan ia akan “segera menghentikan” siasatan awam dalam perkara itu. Sesetengah anggota masyarakat sivil percaya penangkapan itu adalah cubaan oleh polis untuk menghentikan siasatan awam SUHAKAM atas kehilangan Koh. SUHAKAM mengumumkan pada bulan Mei ia akan membuka semula penyiasatannya, walaupun sedikit kemajuan dibuat dalam kes itu.

Polis juga tidak membuat banyak kemajuan dalam menyiasat kehilangan berasingan pastor Kristian Joshua Hilmy dan isterinya Ruth pada bulan November 2016, dan Amri Che Mat, seorang aktivis Islam yang didakwa berkaitan dengan ajaran Syiah. SUHAKAM meneruskan siasatan awam atas kehilangan-kehilangan ini.

c. Seksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Kejam, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah

Tiada undang-undang khusus melarang penyeksaan. Namun, undang-undang melarang “melakukan kecederaan parah” yang merangkumi penyeksaan. Lebih 60 kesalahan dikenakan hukuman sebatan, kadangkala bersama hukuman penjara. Hakim secara rutin menjatuhkan sebatan sebagai hukuman atas jenayah termasuk penculikan, rogol, samun, dan kesalahan bukan keganasan seperti pemilikan dadah, jenayah pecah amanah, penyeludupan pendatang, kesalahan imigresen dan lain-lain.

Undang-undang sivil dan jenayah mengecualikan hukuman rotan ke atas semua wanita dan lelaki melebihi umur 50 tahun, kecuali jika disabitkan dengan rogol. Kanak-kanak lelaki antara umur 10 hingga 18 tahun boleh menerima maksimum 10 kali sebatan dengan “rotan ringan” di mahkamah awam.

Sesetengah peruntukan undang-undang syariah negeri, yang mentadbir isu keluarga dan jenayah tertentu di bawah Islam dan terpakai kepada semua umat Islam, juga menetapkan hukuman sebat bagi kesalahan-kesalahan tertentu. Wanita tidak dikecualikan daripada hukuman sebat di bawah undang-undang syariah, dan mahkamah kebangsaan tidak menyelesaikan konflik antara perlembagaan, kanun jenayah, dan undang-undang syariah.

Pada bulan Ogos, sebuah mahkamah syariah di Negeri Terengganu menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan enam kali sebatan kepada seorang wanita kerana pelacuran. Tiada pertuduhan yang difailkan terhadap pelanggan yang dikatakan mengambil khidmat wanita itu.

Undang-undang sivil di Negeri Kelantan membenarkan mahkamah menjatuhkan hukuman sebatan terbuka atas kesalahan-kesalahan sivil tertentu, walaupun tidak ada laporan tentang hukuman tersebut di negeri itu.

Keadaan Penjara dan Pusat Tahanan

Penjara dan pusat tahanan yang dikendalikan oleh Jabatan Imigresen kerajaan berada dalam keadaan yang amat teruk. Pada tahun 2017, SUHAKAM menyifatkan keadaan di sebuah pusat tahanan polis sebagai “kejam, tidak berperikemanusiaan, dan menjatuhkan maruah.” Pada bulan Januari, SUHAKAM membuat lawatan susulan ke pusat tahanan polis di Negeri Johor dan menyarankan pusat itu ditutup kerana keadaannya yang teruk. Menurut SUHAKAM, “keadaan kurungan masih tidak berubah dan tidak memuaskan.”

Keadaan Fizikal: Kesesakan di penjara dan pusat tahanan imigresen, khususnya di kemudahan berhampiran bandar besar, masih menjadi masalah yang serius. Menurut Kementerian Dalam Negeri, 20 daripada 37 penjara di negara ini terlalu sesak.

Pada bulan April, Thanabalan Subramaniam, berusia 38 tahun, mati dalam tahanan polis di Negeri Selangor; bedah siasat tidak dapat menentukan punca kematian tetapi tidak menemui tanda-tanda penderaan. Menurut Amnesty International, insiden itu “menunjukkan yang pihak berkuasa, sekurang-kurangnya, tidak proaktif dalam memastikan [tahanan] menerima rawatan perubatan segera dan menyeluruh dalam kes kecemasan atau keadaan yang membahayakan kesihatan. Kematiannya juga menunjukkan prosedur pengendalian standard yang dibuat untuk situasi ini mungkin telah diabaikan.”

Pentadbiran: Undang-undang membenarkan siasatan terhadap dakwaan layanan teruk. Walau bagaimanapun, perkara ini tidak selalu diamalkan. Pegawai penguat kuasa undang-undang yang didapati bertanggungjawab atas kematian dalam tahanan biasanya tidak dikenakan hukuman. Pada bulan Ogos, peguam untuk seorang lelaki yang meninggal dunia dalam tahanan polis pada tahun 2014 berkata tiada siasatan dijalankan ke atas kematian kliennya, yang siasatan EAIC mendedahkan ia disebabkan pukulan polis.

Pihak berkuasa membatasi hak untuk mengamalkan agama untuk anggota mazhab Islam yang diharamkan oleh pemerintah sebagai “sesat”.

Pemantauan Bebas: Pihak berkuasa umumnya tidak membenarkan NGO dan media untuk memantau keadaan penjara; undang-undang membenarkan hakim untuk melawat penjara untuk memeriksa keadaan dan bertanya tentang keadaan penjara kepada tahanan dan pegawai penjara. Kerajaan menyediakan akses penjara kepada EAIC, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah, dan SUHAKAM, berdasarkan kes demi kes.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) pada umumnya mempunyai akses kepada pelarian berdaftar dan pencari suaka, dan kepada orang tidak berdaftar yang menjadi kebimbangan yang boleh membuat tuntutan status suaka atau pelarian yang ditahan di pusat tahanan imigresen dan penjara. Namun, akses ini tidak selalunya diberi pada masanya.

d. Penangkapan atau Penahanan Sewenang-wenang

Undang-undang melarang penangkapan dan penahanan sewenang-wenang dan memberi hak kepada mana-mana orang untuk mencabar undang-undang penangkapan atau penangkapannya di mahkamah, dan kerajaan umumnya mematuhi keperluan ini. Polis boleh menggunakan undang-undang tahanan pencegahan tertentu untuk menahan orang yang disyaki melakukan keganasan, jenayah terancang, aktiviti geng, serta penyeludupan dadah atau manusia secara tanpa waran atau semakan kehakiman selama tempoh dua tahun, yang boleh diperbaharui untuk tempoh masa tak terbatas. Walau bagaimanapun, dalam tempoh tujuh hari daripada mula ditahan, pihak polis harus mengemukakan sebab penahanan kepada pendakwa raya. Sekiranya pendakwa bersetuju “bukti yang mencukupi wujud untuk membenarkan” penahanan berterusan dan siasatan lanjut, pegawai siasatan pencari fakta yang dilantik oleh Menteri Dalam Negeri mesti melaporkan dalam tempoh 59 hari kepada lembaga penahanan yang dilantik oleh Agong. Lembaga penahanan boleh memperbaharui perintah tahanan atau mengenakan suatu perintah untuk mengehadkan tempat kediaman suspek, perjalanan, akses kepada kemudahan komunikasi dan penggunaan internet selama maksimum lima tahun. Butiran mengenai jumlah mereka yang ditahan atau di bawah perintah sekatan tidak didapati secara umum.

Dalam kes lain, undang-undang membenarkan penahanan penyiasatan untuk mencegah suspek jenayah melarikan diri atau memusnahkan keterangan semasa siasatan.

Undang-undang imigresen membenarkan pihak berkuasa untuk menangkap dan menahan orang bukan warganegara selama 30 hari sementara menunggu keputusan pengusiran.

PERANAN POLIS DAN JENTERA KESELAMATAN

Pasukan Polis Diraja Malaysia, dengan kira-kira 102,000 anggota, melapor kepada Menteri Dalam Negeri. Ketua Polis Negara bertanggungjawab untuk mengatur dan mentadbir pasukan polis. Kementerian Dalam Negeri juga menyelia penguatkuasaan imigresen dan sempadan dan pasukan RELA, sebuah organisasi awam separa tentera. NGO kekal menyuarakan kebimbangan bahawa latihan anggota RELA yang tidak mencukupi menyebabkan mereka kurang bersedia untuk melaksanakan tugas mereka.

Pegawai penguat kuasa agama negeri mempunyai kuasa untuk mengiringi serbuan pihak polis atau membuat serbuan di premis persendirian dan awam untuk menguatkuasakan undang-undang syariah, termasuk larangan ke atas pemakaian tak senonoh, meminum alkohol, penjualan buku yang diharamkan, atau berdua-duaan antara orang bukan mahram yang berlainan jantina. Pihak berkuasa agama di peringkat negeri mentadbir undang-undang syariah dan keluarga menerusi Mahkamah Syariah yang mempunyai bidang kuasa terhadap semua umat Islam.

Pihak berkuasa awam ada ketikanya tidak mengekalkan kawalan berkesan ke atas perkhidmatan keselamatan. Pihak kerajaan mempunyai beberapa mekanisme untuk menyiasat dan menghukum salah guna. EAIC dan SUHAKAM memainkan peranan dalam menyiasat penyalahgunaan yang didakwa dilakukan oleh pasukan keselamatan (lihat bahagian 1.b.). NGO dan media melaporkan bahawa walaupun terdapat siasatan dalam beberapa kejadian, pasukan keselamatan sering bertindak dengan sewenang-wenangnya.

Pegawai polis adalah tertakluk kepada perbicaraan oleh mahkamah jenayah dan sivil, tetapi tidak semestinya ada sabitan. Wakil polis melaporkan tindakan tatatertib terhadap pegawai polis; hukuman termasuk penggantungan, pemecatan, dan penurunan pangkat. Latihan polis memasukkan kesedaran hak asasi manusia dalam kursusnya. SUHAKAM juga menjalankan latihan hak asasi manusia dan bengkel untuk pegawai polis dan penjara. Pada bulan Oktober, Ketua Polis Negara menyatakan 72 anggota polis dipecat dan 1,484 yang lain dikenakan tindakan disiplin sepanjang tahun hingga September kerana kesalahan seperti “penyalahgunaan kuasa, kecuaian, kegagalan melaporkan tugas, serta kegiatan jenayah.”

PROSEDUR PENANGKAPAN DAN LAYANAN TERHADAP TAHANAN

Undang-undang membenarkan pihak polis untuk menangkap dan menahan individu atas beberapa kesalahan tanpa waran, walaupun dalam keadaan jenayah tidak dilakukan atau keadaan lain yang mendesak. Untuk memudahkan penyiasatan, polis boleh menahan suspek selama 24 jam, yang dapat dilanjutkan hingga maksimum 14 hari melalui perintah mahkamah di bawah peruntukan undang-undang jenayah umum. NGO melaporkan amalan polis untuk melepaskan suspek dan kemudian dengan cepat menahan semula mereka untuk meneruskan tahanan siasatan tanpa mendapatkan kebenaran kehakiman. Pada bulan Ogos, peguam untuk seseorang yang disyaki melakukan jenayah pecah amanah mendakwa polis menahan kliennya dalam tahanan selama lebih daripada 40 hari tanpa apa-apa pertuduhan, berulang kali melanjutkan perintah reman dengan memindahkan suspek dari satu bidang kuasa ke bidang kuasa yang lain. Sebuah NGO Hak Asasi Manusia tempatan menyifatkan penahanan yang dilanjutkan sebagai “keterlaluan dan penyalahgunaan kuasa” oleh pihak polis.

Sesetengah NGO menegaskan bahawa pendekatan polis yang “menangkap dahulu, menyiasat kemudian” berlaku secara berleluasa, terutamanya dalam kes yang melibatkan tuduhan keganasan. Mengikut undang-undang orang yang ditahan mesti diberitahu sebab ditahan oleh pegawai polis yang melakukan penahanan.

Jaminan biasanya tersedia untuk orang yang dituduh melakukan jenayah yang tidak boleh dihukum oleh hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati. Jumlah dan ketersediaan jaminan adalah berdasarkan budi bicara hakim. Orang yang dibenarkan dijamin biasanya mesti menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah.

Polis mesti memaklumkan tahanan mengenai hak untuk menghubungi ahli keluarga dan berunding dengan peguam pilihan mereka. Walau bagaimanapun, polis sering menafikan akses tahanan kepada peguam dan menyoal suspek tanpa membenarkan kehadiran peguam. Polis mewajarkan amalan ini sebagai perlu untuk mengelakkan gangguan dalam penyiasatan yang sedang berjalan, dan mahkamah umumnya merestui amalan tersebut.

Walaupun pihak berkuasa secara amnya menganggap komunikasi peguam-klien sebagai hak istimewa, pada tahun 2017, Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi memutuskan bahawa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menyoal peguam yang mengiringi klien mereka untuk perbicaraan suruhanjaya (tanpa arahan mahkamah) mengenai interaksi mereka dengan pelanggan mereka dan kandungan perbincangan mereka.

Polis kadangkala tidak membenarkan tahanan segera dapat berjumpa dengan anggota keluarga atau pelawat lain.

Undang-undang membenarkan penahanan seorang saksi material dalam kes jenayah jika orang itu berkemungkinan melarikan diri.

Penangkapan Sembarangan: Pihak berkuasa kadangkala menggunakan kuasa mereka untuk menakut-nakutkan dan menghukum pihak yang melawan kerajaan. Aktivis dan pengkritik kerajaan sering ditangkap pada larut malam, disoal siasat selama berjam-jam, dan ditahan dalam tempoh yang panjang, walaupun mereka akhirnya tidak didakwa atas kesalahan. Menurut SUHAKAM, polis menyerbu rumah peguam dan aktivis masyarakat sivil Siti Kasim pada bulan Jun “tanpa polis menyiasat keadaan fakta kes itu secara memadai dan munasabah.”

Tahanan Praperbicaraan: Mahkamah yang sesak dan kekurangan pekerja kerap menyebabkan penahanan praperbicaraan yang panjang, kadang-kadang berlangsung beberapa tahun. Pusat Kajian Penjara Antarabangsa melaporkan bahawa tahanan praperbicaraan membentuk kira-kira 26 peratus daripada populasi banduan pada pertengahan tahun 2015.

Keupayaan Tahanan untuk Mencabar kesahihan Penahanan di Mahkamah: Tahanan mempunyai hak untuk mencabar penahanan mereka dengan memfailkan permohonan habeas corpus. Namun, mereka jarang berjaya, terutamanya apabila didakwa di bawah undang-undang tahanan pencegahan.

e. Penafian Perbicaraan Awam yang Adil

Tiga perkara dalam perlembagaan memperuntukkan asas bagi suatu penghakiman bebas. Namun peruntukan perlembagaan yang lain, undang-undang yang menyekat semakan penghakiman, dan pengaruh eksekutif ke atas pelantikan kehakiman mengehadkan kebebasan kehakiman dan mengukuhkan pengaruh eksekutif ke atas sistem kehakiman. Badan kehakiman sering mengalah kepada pihak polis atau pihak berkuasa eksekutif dalam kes yang dianggap oleh pihak-pihak ini sebagai mempengaruhi kepentingan mereka.

Anggota Majlis Peguam Malaysia, wakil-wakil NGO, dan pemerhati lain menyatakan kebimbangan serius mengenai had yang ketara terhadap kebebasan kehakiman, dengan memetik beberapa contoh berprofil tinggi daripada keputusan mahkamah yang dibuat sewenang-wenang, pendakwaan terpilih, dan layanan istimewa kepada beberapa litigan dan peguam.

Menurut Lawyers for Liberty, kerajaan terdahulu bersalah atas “percubaan yang bersungguh-sungguh untuk mempolitikkan badan kehakiman,” termasuk memaksakan pegawai kehakiman untuk menghadiri ceramah politik pada Mei 2017 “yang melanggar doktrin pemisahan kekuasaan dan konsep kebebasan kehakiman.”

Pada bulan Ogos, hakim mahkamah rayuan Hamid Sultan Abu Backer berkata beliau “diberi amaran keras” oleh seorang hakim kanan yang tidak dinamakan kerana mempunyai pandangan berbeza dalam kes berprofil tinggi dan tidak lagi ditugaskan untuk mendengar kes berkepentingan awam yang berkaitan dengan perkara-perkara perlembagaan.

PROSEDUR PERBICARAAN

Perlembagaan memberikan hak untuk perbicaraan yang adil dan terbuka, dan hakim umumnya menguatkuasakan hak ini. Sistem undang-undang sivil adalah berdasarkan common law British dan defendan dianggap tidak bersalah sehingga terbukti bersalah. Defendan mempunyai hak untuk segera dimaklumkan tentang tuduhan terhadap mereka dan hak untuk perbicaraan yang tepat pada masanya dan hak untuk hadir di perbicaraan mereka. Defendan mempunyai hak untuk berkomunikasi dengan peguam pilihan mereka atau mempunyai peguam yang dilantik dengan dibayar oleh kerajaan jika mereka menghadapi tuduhan yang membawa hukuman mati. Defendan juga boleh memohon untuk peguam bela kerajaan dalam sesetengah kes lain.

Menurut Majlis Peguam Malaysia, defendan biasanya mempunyai masa dan kemudahan yang mencukupi untuk menyediakan pembelaan jika mereka mempunyai cara untuk menggunakan peguam peribadi. Jika tidak, defendan mesti bergantung kepada bantuan perundangan dan masa untuk menyiapkan perbicaraan adalah berdasarkan budi bicara hakim. Pihak berkuasa memberikan defendan khidmat terjemahan percuma dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan beberapa dialek lain yang biasa digunakan dari mula didakwa sehingga rayuan. Hak untuk menghadapi saksi dihadkan oleh peruntukan yang membolehkan identiti saksi pendakwaan dirahsiakan daripada pasukan pembelaan sebelum perbicaraan, yang menghalang pemeriksaan silang saksi itu. Defendan boleh mengemukakan saksi dan bukti bagi pihak mereka. Penzahiran praperbicaraan yang terhad dalam kes jenayah juga mengganggu pembelaan. Mahkamah memakai peraturan yang ketat tentang bukti. Defendan tidak boleh dipaksa untuk memberi keterangan atau mengaku bersalah.

Defendan boleh merayu keputusan mahkamah kepada mahkamah yang lebih tinggi, tetapi hanya jika rayuan menimbulkan persoalan undang-undang atau jika keadaan material menimbulkan keraguan munasabah mengenai sabitan atau hukuman. Majlis Peguam Malaysia mendakwa sekatan-sekatan ini sebagai berlebihan.

Dalam kes-kes yang berkaitan dengan keganasan atau keselamatan negara, undang-undang membenarkan polis menahan orang walaupun selepas dibebaskan disebabkan kemungkinan rayuan oleh pihak pendakwa.

Kebanyakan pertubuhan NGO mengadu bahawa wanita tidak menerima layanan yang adil daripada mahkamah syariah, terutama dalam kes perceraian dan penjagaan anak (lihat bahagian 6).

BANDUAN DAN TAHANAN POLITIK

Pada bulan Mei, pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim dibebaskan daripada tahanan selepas menerima pengampunan penuh diraja kerana liwat suka sama suka, pertuduhan yang dinafikan dirinya manakala banyak pemerhati antarabangsa dan organisasi hak asasi manusia melihatnya sebagai bermotif politik. Sebelum pembebasannya, pihak berkuasa umumnya membenarkan peguam dan keluarga Anwar untuk melawatnya. Walau bagaimanapun, pada bulan April, pihak berkuasa penjara melarang peguam Latheefa Koya daripada menemui Anwar kerana beliau melanggar peraturan penjara atas dakwaan mengeluarkan kenyataan kepada akhbar apabila Anwar dikatakan mengkritik rang undang-undang kontroversi di parlimen. Ahli keluarga berkata pegawai penjara kadangkala mengehadkan akses Anwar kepada rawatan perubatan untuk kecederaan bahu.

PROSEDUR DAN REMEDI KEHAKIMAN SIVIL

Individu atau organisasi boleh menyaman kerajaan dan pegawai di mahkamah atas dakwaan pelanggaran hak asasi manusia; Walau bagaimanapun, kes besar yang tertunggak sering menyebabkan kelewatan dalam tindakan sivil, yang merugikan plaintif. Mahkamah semakin menggalakkan penggunaan pengantara dan timbang tara untuk mempercepat penyelesaian.

f. Gangguan Sewenang-wenang atau Menyalahi Undang-undang Terhadap Privasi, Keluarga, Tempat Kediaman, atau Surat-menyurat

Undang-undang melarang tindakan sedemikian. Namun, kadangkala pihak berkuasa mencabul privasi rakyat. Di bawah undang-undang keselamatan negara, polis boleh masuk dan menggeledah rumah orang yang disyaki mengancam keselamatan negara secara tanpa waran. Kerajaan memantau internet dan mengancam untuk menahan sesiapa yang menghantar atau menyiarkan kandungan yang dianggap oleh kerajaan sebagai ancaman terhadap keselamatan atau ketenteraman awam (lihat bahagian 2.a.).

Pihak berkuasa Islam boleh memasuki premis swasta tanpa waran untuk menangkap orang Islam yang disyaki melakukan kesalahan seperti berjudi, meminum arak, dan melakukan hubungan seks tanpa bernikah.

Kerajaan tidak mengiktiraf perkahwinan antara orang Islam dan bukan Islam dan menganggap anak yang lahir daripada perkahwinan itu anak luar nikah.

Pada tahun 2017, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara tidak terikat dengan fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang mengisytiharkan anak itu haram, dan dengan itu tidak boleh menggunakan nama bapa mereka, jika mereka dilahirkan kurang dari enam bulan selepas perkahwinan ibu bapa. Walau bagaimanapun, kerajaan telah merayu kes itu dan berjaya memohon untuk menangguhkan pelaksanaannya. Kes itu masih tertunggak.

 

Bahagian 2. Penghormatan terhadap Kebebasan Sivil, Termasuk:

a. Kebebasan Bersuara dan Kebebasan Akhbar

Perlembagaan membenarkan sekatan ke atas kebebasan bersuara “demi kepentingan keselamatan Persekutuan … [atau] ketenteraman awam.” Kerajaan terdahulu kerap menyekat kebebasan bersuara media dan masyarakat sivil, dengan memetik sebab-sebab seperti menegakkan Islam dan status istimewa orang Melayu, melindungi keselamatan negara, mengekalkan ketenteraman awam, dan memelihara hubungan persahabatan dengan negara-negara lain.

Kebebasan Meluahkan Perasaan: Undang-undang mengharamkan hasutan dan komen umum mengenai isu yang ditakrifkan sebagai sensitif, termasuk perkara perkauman dan agama atau kritikan terhadap raja atau sultan yang memerintah. Dakwaan hasutan selalunya datang daripada komen lantang oleh masyarakat sivil atau pemimpin pembangkang. Kumpulan masyarakat sivil mendakwa kerajaan terdahulu umumnya gagal menyiasat dan menghukum kenyataan “menghasut” serupa yang dibuat oleh penyokong kerajaan atau pro-Melayu.

Dengan menyebut “salah arah dari segi undang-undang,” mahkamah rayuan pada bulan Februari membatalkan sabitan tahun 2014 terhadap Adam Adli di bawah Akta Hasutan selepas dia menggesa orang ramai untuk menggulingkan kerajaan semasa satu forum di Kuala Lumpur pada tahun 2013. Pihak berkuasa juga menarik balik dakwaan menggunakan Akta Hasutan terhadap Ahli Parlimen Khalid Samad, Hassan Abdul Karim, dan R. Sivarasa; bekas Ahli Parlimen Tian Chua; peguam hak asasi manusia N. Surendran dan Eric Paulsen; ahli jawatankuasa pusat parti sosialis S. Arulchevan; dan kartunis politik Zulkiflee Anwar Al Haquem, yang dikenali sebagai Zunar. Kerajaan memulakan tuduhan baharu di bawah Akta Hasutan terhadap beberapa orang kerana didakwa mengkritik keluarga diraja.

Pada bulan Februari pelukis Fahmi Reza dijatuhi hukuman penjara satu bulan dan denda RM30,000 kerana menerbitkan karikatur Perdana Menteri Najib Razak pada tahun 2016 yang dianggap “jelik, tidak senonoh, salah, mengancam atau menyinggung perasaan dengan niat untuk mengganggu, menyalahgunakan, mengancam, atau mengganggu orang lain. ” Amnesty International berkata keputusan itu “satu lagi contoh tindakan keras berterusan terhadap penentang oleh pihak berkuasa Malaysia.” Pada bulan November, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan itu tetapi mengurangkan denda kepada RM10,000 dan membatalkan hukuman penjara. Pada bulan Oktober, pendakwa raya menggugurkan dakwaan yang sama terhadap Fahmi dalam kes berasingan.

Pada bulan September, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kerajaan boleh menyaman individu kerana memfitnah. Kumpulan hak asasi manusia, Majlis Peguam Malaysia, dan bekas-bekas hakim mengkritik keputusan itu. Mereka menggambarkannya sebagai “tidak selaras dengan kebebasan bersuara rakyat dan prinsip tadbir urus yang baik.”

Kebebasan Akhbar dan Media: Parti politik dan individu yang dikaitkan dengan parti pemerintah terdahulu memiliki atau menguasai majoriti saham dalam hampir semua media cetak dan penyiaran, yang kebanyakannya sangat menyokong kerajaan. Saluran media dalam talian adalah lebih bebas, tetapi sering kali menjadi sasaran tindakan undang-undang dan gangguan.

Walaupun banyak sekatan dan tekanan kerajaan; parti pembangkang, kumpulan tindakan sosial, kesatuan, laman berita internet, dan kumpulan persendirian yang lain secara aktif membuat liputan tentang parti pembangkang dan selalu menerbitkan pandangan yang kritikal terhadap dasar kerajaan. Media dalam talian dan blog memberi pandangan dan melaporkan cerita yang tidak dipaparkan dalam akhbar arus perdana.

Pihak kerajaan mengekalkan dan kadang-kadang menggunakan kuasa untuk mengawal kandungan berita, baik dalam media cetak dan siaran. Kerajaan terdahulu menghukum penerbit “berita berniat jahat” dan mengharamkan, menghalang, atau mengehadkan penerbitan yang dipercayai menjadi ancaman terhadap ketenteraman, moral, atau keselamatan negara. Kerajaan mempunyai kuasa untuk menggantung penerbitan atas sebab-sebab ini, dan mengekalkan kawalan yang berkesan ke atas proses pelesenan. Pada bulan Februari, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta dua portal berita dalam talian untuk mengeluarkan artikel yang melanggar “undang-undang negara.” Menurut media, “artikel itu semuanya menyentuh isu-isu terkini dan politik tempatan, sementara secara terbuka bersikap kritis terhadap parti politik dan pemimpin tertentu.”

Pada bulan April, parlimen meluluskan undang-undang Antiberita Tidak Benar. Undang-undang itu menjadikan “penyalahgunaan” atau penyebaran “apa-apa berita, maklumat, data atau laporan, yang mana semuanya atau sebahagiannya palsu” sebagai jenayah. Kemudian pada bulan yang sama, Salah Salem Saleh Sulaiman, seorang rakyat Denmark keturunan Yemeni, mengaku bersalah mencipta dan menerbitkan berita palsu dan didenda RM10,000 kerana menyiarkan video di media sosial apabila dia mendakwa polis tidak bertindak balas dengan segera terhadap panggilan kecemasan berikutan pembunuhan pensyarah Palestin Fadi Albatsh pada 21 April. Ahli parlimen mengundi untuk memansuhkan undang-undang pada bulan Ogos, tetapi Dewan Negara yang dikuasai oleh pihak pembangkang telah membatalkan keputusan itu, menangguhkan pemansuhan undang-undang itu selama satu tahun.

Kerajaan terdahulu kadangkala melarang media dalam talian daripada membuat liputan sidang akhbar kerajaan.

Keganasan dan Gangguan: Wartawan mengalami gangguan dan intimidasi, terutamanya menjelang pilihan raya umum.

Penapisan atau Sekatan Kandungan: Kerajaan terdahulu menapis media, terutama media cetak dan penyiaran; kerajaan baru mengekalkan keupayaan untuk menapis media tetapi tidak selalu menggunakan kuasa ini. Di samping mengawal kandungan berita dengan mengharamkan atau menyekat penerbitan yang dipercayai mengancam ketenteraman, moral, atau keselamatan negara, kerajaan terdahulu mendakwa wartawan atas “berita jahat” dan kurang atau tidak mengambil tindakan terhadap orang atau organisasi yang mengasari wartawan. Undang-undang mewajibkan permit untuk memiliki mesin cetak, dan pencetak selalunya enggan mencetak penerbitan yang kritikal terhadap kerajaan kerana takut akan tindakan balas. Dasar sedemikian, bersama-sama dengan undang-undang antifitnah, menghalang kewartawanan atau penyiasatan bebas dan mengakibatkan penapisan sendiri yang meluas dalam media cetak dan penyiaran.

Pada malam pilihan raya, SKMM dilaporkan mengarahkan penyedia perkhidmatan internet untuk menghalang akses kepada media bebas seperti Malaysiakini, yang menerbitkan keputusan pilihan raya tidak rasmi yang menunjukkan kemenangan yang mungkin dicapai oleh pakatan pembangkang Pakatan Harapan. Kerajaan baharu mengarahkan penyiasatan mengenai perkara itu.

Kerajaan kadangkala menapis majalah, akhbar, dan program berita, selalunya disebabkan oleh kandungan seksual.

Sekatan kerajaan terhadap radio dan stesen televisyen juga berlaku ke atas media cetak, yang sebahagian besarnya menyokong kerajaan. Berita tentang pembangkang dalam media ini kekal terbatas dan berat sebelah. Stesen televisyen menapis program untuk mengikuti garis panduan kerajaan.

Kerajaan pada umumnya menyekat penerbitan yang dianggap boleh menjejaskan ketidakharmonian kaum atau agama. Kementerian Dalam Negeri mengekalkan senarai 1,653 penerbitan yang dilarang sejak Mac 2017. Pada bulan April 2018, kementerian mengharamkan enam buku yang kandungannya dianggap boleh memudaratkan ketenteraman awam, moral, atau kepentingan awam, termasuk teks yang mengandungi “unsur-unsur yang mempromosikan liberalisme yang boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan sesetengah pembaca.” Pada bulan Januari, mahkamah rayuan membuat keputusan bahawa larangan tahun 2015 terhadap tiga buku oleh novelis Faisal Musa telah melanggar kebebasan bersuara penulis. Kerajaan terdahulu merayu keputusan itu, tetapi pada bulan Oktober kerajaan baharu menarik balik rayuan itu dan mengarahkan Kementerian Dalam Negeri untuk mengeluarkan tajuk-tajuk itu daripada senarai penerbitan yang diharamkan.

Undang-Undang Libel/Fitnah: Undang-undang ini termasuk bahagian tentang fitnah sivil dan jenayah. Jenayah fitnah boleh dikenakan hukuman maksimum penjara dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali. Kenyataan benar boleh dianggap fitnah jika kenyataan itu bertentangan dengan kesejahteraan awam. Kerajaan dan penyokongnya menggunakan undang-undang ini, bersama-sama dengan peruntukan terhadap hasutan, untuk menghukum dan menyekat penerbitan bahan yang kritikal terhadap pegawai dan dasar kerajaan. Pada bulan Ogos, pendakwa raya mendakwa ahli pembangkang Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menghina ahli UMNO lain di Facebook. Peguam tertuduh mempersoalkan mengapa pendakwa raya menggugurkan tuduhan serupa terhadap ahli parti pemerintah.

Keselamatan Negara: Pihak berkuasa di bawah kerajaan terdahulu sering menyebut undang-undang keselamatan negara untuk menyekat pengedaran media bagi bahan kritikal tentang dasar kerajaan dan pegawai kerajaan.

Kesan Bukan Kerajaan: NGO yang bersimpati kepada kerajaan terdahulu berusaha menyekat kebebasan bersuara dengan membuat laporan aduan terhadap ucapan yang dikatakan menghasut. NGO sedemikian juga kadangkala cuba untuk menakut-nakutkan kumpulan pembangkang melalui demonstrasi.

KEBEBASAN INTERNET

Kerajaan umumnya mengekalkan dasar akses terhad kepada internet. Pihak berkuasa menyekat beberapa laman web dan memantau internet untuk mesej e-mel dan penyiaran blog yang dianggap ancaman kepada keselamatan atau ketenteraman awam. Berikutan pilihan raya bulan Mei, kerajaan baharu memulihkan akses kepada beberapa saluran media dalam talian yang sebelum ini dihalang, termasuk Sarawak Report dan Medium.

Pihak berkuasa membatasi kebebasan internet untuk membanteras pandangan politik yang berbeza dalam talian. Pada bulan Ogos, Menteri hal ehwal agama menyatakan pihak berkuasa kerajaan akan memantau isu “LGBT (lesbian, gay, biseksual, dan transgender), serta Islam liberal” di media sosial.

Kerajaan memberi amaran kepada pengguna internet untuk mengelakkan kandungan yang menyinggung atau tidak senonoh dan perkara-perkara sensitif seperti agama dan bangsa, dan secara agresif melakukan pendakwaan terhadap mereka yang mengkritik Islam, sultan dan raja, atau pemimpin politik.

Pada bulan Julai, pihak berkuasa membuka siasatan terhadap peguam Fadiah Nadwa di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung dengan siaran blog Fadiah yang mengkritik institusi raja.

Pada bulan Februari seorang lelaki dihukum denda RM20,000 atau empat bulan penjara kerana memuat naik kandungan ke Facebook pada tahun 2016 yang berkaitan dengan Perdana Menteri dan Peguam Negara yang dianggap menyinggung pihak berkuasa.

Undang-undang hasutan dan fitnah membawa kepada penapisan sendiri oleh sumber kandungan internet tempatan termasuk penulis blog, penyedia berita, dan aktivis NGO.

Undang-undang itu mewajibkan penyedia internet dan perkhidmatan rangkaian lain untuk mendapatkan lesen, dan membolehkan hukuman dikenakan terhadap pemilik laman web atau blog kerana membenarkan kandungan perkauman, agama, atau politik yang menyinggung. Dengan mengambil kira pengguna yang menyiarkan kandungan sebagai penerbit, kerajaan meletakkan beban bukti terhadap pengguna dalam kes ini. NGO dan orang ramai mengkritik undang-undang itu, dengan menyatakan ia boleh menyebabkan penapisan sendiri disebabkan oleh kebimbangan liabiliti.

Menurut Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa, kira-kira 80 peratus penduduk negara ini mempunyai akses kepada internet.

KEBEBASAN AKADEMIK DAN ACARA KEBUDAYAAN

Kerajaan meletakkan beberapa sekatan ke atas kebebasan akademik, terutamanya luahan pandangan politik yang tidak disetujui, dan sekatan yang dikenakan terhadap guru dan pelajar yang menyatakan pandangan yang menentang. Kerajaan menghendaki semua kakitangan awam, ahli fakulti universiti, dan pelajar menandatangani kesetiaan kepada raja dan kerajaan. Pemimpin pembangkang dan aktivis hak asasi manusia mendakwa kerajaan menggunakan ikrar kesetiaan untuk menghalang kegiatan politik dalam kalangan kumpulan-kumpulan ini. Walaupun ahli fakulti kadangkala mengkritik kerajaan secara terbuka, ahli akademik universiti awam mengamalkan penapisan sendiri memandangkan kemajuan kerjaya dan dana penyelidikan mereka bergantung kepada kerajaan. Pengawasan sendiri juga berlaku dalam kalangan ahli akademik di institusi swasta, didorong oleh ketakutan bahawa kerajaan mungkin membatalkan lesen institusi mereka. Undang-undang mengenakan batasan terhadap persatuan pelajar dan aktiviti politik pelajar dan fakulti. Pada bulan Februari, mahkamah membuat keputusan atas alasan prosedur bahawa Universiti Malaya tidak sepatutnya mengambil tindakan disiplin terhadap empat pelajar kerana mengangkat sepanduk politik semasa perjumpaan ‘town hall’ pada tahun 2016. Walau bagaimanapun, mahkamah tidak melayan dakwaan pelajar bahawa tindakan universiti melanggar hak kebebasan untuk bersuara.

Kerajaan kerap menapis filem, membuang kata-kata kotor, ciuman, seks, dan bogel. Kerajaan juga menapis filem yang mengandungi unsur politik dan agama tertentu, tidak membenarkan, contohnya, penayangan filem dalam bahasa Ibrani, Yiddish, atau dari Israel. Walaupun kerajaan membenarkan filem asing di festival filem tempatan, ia kadangkala menapis kandungan dengan secara fizikal menghalang skrin sehingga adegan jelik itu selesai. Peraturan penapisan media melarang filem dan lagu yang mempromosikan penerimaan orang gay (lihat bahagian 6). Lembaga Penapisan Filem mengharamkan filem Hindi kontroversial yang memaparkan hubungan antara seorang ratu Hindu dan raja Muslim di India abad pertengahan. Lembaga Penapisan juga mengharamkan Those Long Haired Nights, sebuah filem Filipina mengenai pelacur transgender.

b. Kebebasan Berhimpun Secara Aman dan Berpersatuan

Perlembagaan memperuntukkan kebebasan berhimpun dan berpersatuan tetapi membenarkan sekatan yang difikirkan perlu atau sesuai demi kepentingan keselamatan, dan ketenteraman awam, atau (dalam hal persatuan) moral. Mematuhi sekatan kerajaan tidak melindungi sesetengah penunjuk perasaan daripada gangguan atau ditangkap.

KEBEBASAN BERHIMPUN

Perlembagaan memperuntukkan “hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata” kepada semua rakyat. Namun, beberapa undang-undang membatasi hak ini. Walau pun undang-undang tidak mewajibkan kumpulan untuk memperoleh permit bagi perhimpunan, pihak polis sering kali meletakkan sekatan masa, tempat, dan lain-lain ke atas hak untuk berhimpun. Pihak berkuasa mengharamkan protes jalanan, dan polis kadangkala berhadapan dengan demonstrasi masyarakat sivil dan pembangkang dengan penangkapan besar-besaran.

Protes yang dianggap dapat diterima oleh kerajaan biasanya berjalan tanpa campur tangan.

Pada bulan Disember, polis meluluskan demonstrasi yang menentang ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Perkauman tetapi membatalkan permohonan yang diluluskan sebelumnya untuk mengadakan acara Hari Hak Asasi Manusia pada hari yang sama dengan menyebut risiko keselamatan.

KEBEBASAN BERPESATUAN

Perlembagaan memperuntukkan hak berpersatuan. Walau bagaimanapun, kerajaan meletakkan sekatan yang ketara terhadap hak ini, dan undang-undang tertentu membatasinya. Mengikut undang-undang, hanya organisasi berdaftar dengan tujuh orang atau lebih boleh berfungsi secara sah. Kerajaan selalunya menghalang pendaftaran atau mengenakan prasyarat yang ketat ke atas pertubuhan yang dianggap sangat tidak mesra kepada kerajaan. Kerajaan boleh membatalkan pendaftaran kerana melanggar undang-undang yang mengawal persatuan.

Kerajaan mengharamkan keanggotaan dalam parti politik dan organisasi yang tidak berdaftar.

Undang-undang melarang pelajar yang memegang jawatan politik daripada menjalankan aktiviti parti politik di kampus. Pelajar juga dilarang daripada “menyatakan sokongan atau simpati” terhadap persatuan atau organisasi yang menyalahi undang-undang. Pada bulan Disember, Dewan Rakyat meluluskan pindaan kepada undang-undang mengenai penyertaan pelajar universiti dalam aktiviti politik di kampus. Walau bagaimanapun, Dewan Negara tidak meluluskan undang-undang itu pada tahun laporan. Terdahulu pada tahun laporan, kerajaan memansuhkan larangan terhadap ahli politik pembangkang yang melawat sekolah-sekolah di kawasan mereka, tetapi menghendaki mereka terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa negeri.

Banyak pertubuhan hak asasi manusia dan organisasi masyarakat sivil  menghadapi kesukaran mendapatkan pengiktirafan kerajaan sebagai NGO. Akibatnya banyak NGO berdaftar sebagai syarikat, yang menimbulkan halangan undang-undang dan birokrasi untuk mereka mengumpul wang untuk menyokong kegiatan mereka. Pihak berkuasa sering menyebut ketiadaan pendaftaran sebagai alasan untuk mengambil tindakan terhadap organisasi. Sesetengah NGO juga melaporkan kerajaan memantau aktiviti mereka untuk menakut-nakutkan mereka.

c.Kebebasan Beragama

Lihat Laporan Kebebasan Beragama Jabatan Negara A.S. di www.state.gov/religiousfreedomreport/.

d. Kebebasan Bergerak

Perlembagaan memperuntukkan kebebasan bergerak dalam negara, penghijrahan, dan penghantaran balik. Namun hak ini selalunya dibatasi oleh pegawai kerajaan persekutuan dan negeri, terutamanya di negeri-negeri di timur Malaysia iaitu Sabah dan Sarawak.

Layanan Buruk Terhadap Pendatang, Pelarian, dan Orang Tanpa Kerakyatan: Kerajaan umumnya tidak menghalang organisasi yang memberi perlindungan dan bantuan kepada pendatang, pelarian, dan orang tanpa kerakyatan, yang kebanyakannya hidup bebas bergaul dengan masyarakat umum. Walau bagaimanapun, akses kepada mereka yang berada di pusat tahanan sering terhad.

Pendatang, pelarian, dan orang tanpa negara tidak menerima sokongan kerajaan. Kerajaan membenarkan UNHCR dan NGO untuk bekerja dengan kumpulan ini, tetapi kerjasama kerajaan dengan UNHCR tidak konsisten. Pada tahun 2017, kerajaan melancarkan perintis Sistem Maklumat Jejak Pelarian untuk mendaftarkan pelarian dan mengumpul data biometrik mereka. Program ini mewajibkan pelarian membayar fi tahunan sebanyak RM500 untuk kad pengenalan tetapi tidak memberi sebarang manfaat.

Disebabkan “pendatang tanpa izin”, pelarian dan lain-lain boleh dikenakan pengusiran pada bila-bila masa. Mereka juga menghadapi hukuman penjara lima tahun, denda RM10,000, atau kedua-duanya, dan hukuman mandatori maksimum enam sebatan jika disabitkan dengan pelanggaran undang-undang imigresen.

Pada bulan Julai, kerajaan menggunakan kaedah yang disebut tidak berperikemanusiaan dan merendahkan maruah oleh sesetengah NGO dalam menjalankan operasi besar-besaran untuk menangkap pekerja asing tanpa izin.

Kebanyakan pendatang, pelarian, dan orang tanpa kerakyatan tinggal di tempat tinggal persendirian dan hidup atas sokongan daripada UNHCR dan NGO atau melakukan buruh rencam secara tidak sah. Walau bagaimanapun, kerajaan telah menahan ribuan daripada mereka di pusat tahanan imigresen dan kemudahan lain.

NGO dan pertubuhan antarabangsa yang terlibat dengan populasi ini membuat tuduhan yang berwibawa tentang kesesakan yang berlebihan, makanan dan pakaian yang tidak mencukupi, kekurangan akses tetap kepada air bersih, penjagaan kesihatan yang kurang baik, sanitasi yang tidak baik, dan kekurangan tempat tidur. Sebuah NGO yang mempunyai akses kepada pusat tahanan mendakwa keadaan ini dan kekurangan pemeriksaan dan rawatan perubatan memudahkan penyebaran penyakit dan menyumbang kepada kematian. NGO menyediakan sebahagian besar penjagaan dan rawatan perubatan di pusat tahanan.

NGO tempatan dan antarabangsa menganggarkan populasi di kebanyakan 17 pusat tahanan imigresen berada pada atau di luar kapasiti, dengan beberapa tahanan ditahan selama setahun atau lebih. Jumlah yang ditahan di pusat tahanan ini tidak boleh didapati secara terbuka.

Pergerakan Dalam Negara: Negeri Sabah dan Sarawak mengawal imigresen yang masuk ke kawasan masing-masing dan mewajibkan rakyat dari Semenanjung Malaysia dan warga asing untuk mengemukakan pasport atau kad pengenalan nasional untuk kemasukan. Pihak berkuasa negeri terus menafikan kemasukan pemimpin pembangkang tertentu ke dalam negeri-negeri ini. Sarawak mengekalkan larangan perjalanan ke atas pesuruhjaya SUHAKAM kerana mengkritik pembinaan empangan kontroversi di negeri itu. SUHAKAM menyatakan larangan perjalanan itu menghalangnya daripada mengadakan mesyuarat suruhanjaya bulan Oktober seperti yang dirancang.

Perjalanan Luar Negara: Perjalanan ke Israel adalah tertakluk kepada kelulusan dan terhad kepada tujuan keagamaan. Kerajaan juga kadangkala menggunakan kuasa untuk mengehadkan perjalanan pengkritik kerajaan. Di samping menghalang perjalanan luar negara beberapa aktivis, kerajaan terdahulu menahan sementara dan dalam beberapa kes menafikan kemasukan aktivis hak asasi manusia dari luar negara.

Pada bulan Mei, pihak berkuasa imigresen mengharamkan bekas Perdana Menteri Najib Razak, isterinya, dan beberapa bekas pegawai kerajaan lain daripada melakukan perjalanan ke luar negara kerana mereka disyaki melakukan rasuah, walaupun mereka tidak dituduh melakukan jenayah ketika mereka cuba meninggalkan negara. Pihak berkuasa kemudian mendakwa Najib dengan 38 tuduhan pengubahan wang haram, rasuah, dan pecah amanah, dan isterinya dengan 19 tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah.

Perlindungan bagi Pelarian

Refulemen: Kerajaan ada kalanya tidak menyediakan perlindungan undang-undang terhadap tindakan mengusir atau menghantar balik secara paksa pelarian ke negara di mana nyawa atau kebebasan mereka akan terancam disebabkan bangsa, agama, kerakyatan, keahlian dalam kumpulan sosial tertentu, atau pandangan politik mereka. Pada tahun 2017, pihak berkuasa menahan tiga rakyat Turki, salah seorang daripadanya ialah pelarian berdaftar UNHCR, dan dihantar pulang ke Turki, dilaporkan atas permintaan kerajaan Turki. Menurut sebuah laporan yang dikeluarkan pada tahun itu oleh kumpulan hak asasi manusia Sweden, seorang rakyat Turki yang dihantar pulang oleh pihak berkuasa Malaysia pada tahun 2016 telah dipukul, diseksa, dan diancam dengan kematian ketika kembali ke Turki. Kumpulan hak asasi manusia Malaysia berkata pada bulan April bahawa kejadian itu melanggar undang-undang lazim antarabangsa.

Pada bulan Oktober, kerajaan melepaskan 11 orang Uighur dari penjara dan menggugurkan tuduhan terhadap mereka yang masuk secara haram. Kerajaan juga menolak permintaan China untuk mengembalikan kumpulan itu ke China dan membenarkan mereka berpindah ke Turki.

Akses Kepada Suaka: Undang-undang tidak memperuntukkan pemberian status suaka atau pelarian. Kerjasama kerajaan dengan UNHCR adalah tidak konsisten. Namun, kerajaan kadangkala melaporkan pelarian yang berpotensi kepada UNHCR.

Organisasi hak asasi manusia menyatakan kebimbangan serius mengenai keadaan di pusat tahanan imigresen dan kekurangan akses kepada proses undang-undang yang adil dan perwakilan yang mencukupi semasa perbicaraan mahkamah imigresen. Majlis Peguam Malaysia telah mengkritik mahkamah imigresen di pusat tahanan kerana membuka laluan kepada satu proses undang-undang yang mana pekerja asing tidak diberikan pemahaman yang jelas mengenai tuduhan terhadap mereka dalam bahasa mereka sendiri dan dengan sendirinya mereka dinafikan hak untuk mendapat khidmat peguam. Dalam perbicaraan mahkamah 15 hingga 20 pendatang sering dibicarakan bersama, dikumpulkan mengikut kesalahan yang dikenakan atas mereka. Sekiranya didapati bersalah, kos pengusiran dibayar oleh tahanan, yang menyebabkan tahanan dilanjutkan kerana pendatang tidak dapat membayar.

Kebebasan Bergerak Kerajaan umumnya bertolak ansur dengan kehadiran pelarian dan pencari suaka tanpa dokumen, tetapi kadangkala menahan mereka atas pelbagai sebab, di penjara polis atau pusat tahanan imigresen sehingga mereka boleh diusir atau UNHCR mendapat bona fide mereka. Namun, sesetengah pelarian yang memegang kad pengenalan UNHCR melaporkan keupayaan terhad untuk bergerak di seluruh negara kerana pihak berkuasa kadangkala tidak mengenali kad UNHCR.

Pekerjaan: Walaupun kerajaan tidak membenarkan pelarian UNHCR berdaftar untuk bekerja, ia biasanya tidak mengganggu jika mereka melakukan kerja bukan formal. UNHCR melaporkan kerajaan melakukan pendakwaan, dalam beberapa kes, terhadap majikan kerana mengambil mereka bekerja. Sepanjang tahun itu, kerajaan membenarkan program perintis untuk 30 pelarian Rohingya bekerja di sebuah kedai roti tempatan, penyokong program pelarian menyatakan ia sebagai berjaya.

Akses kepada Perkhidmatan Asas: Kerajaan menyediakan akses kepada penjagaan kesihatan pada kadar diskaun warga asing sebanyak 50% kepada pelarian UNHCR berdaftar, tetapi bukan pencari suaka, yang tidak menerima kad pendaftaran UNHCR. NGO mengendalikan klinik mudah alih, tetapi bilangan dan aksesnya adalah terhad. Pelarian tidak mempunyai akses kepada sistem pendidikan awam. Akses kepada pendidikan adalah terhad kepada sekolah-sekolah yang dikendalikan oleh NGO dan komuniti etnik. UNHCR menganggarkan kurang daripada 30 peratus kanak-kanak pelarian menghadiri sekolah. Kekurangan sumber dan guru yang bertauliah mengehadkan peluang belajar kepada majoriti anak-anak pelarian. Staf UNHCR melakukan banyak lawatan ke penjara dan pusat tahanan imigresen untuk memberikan kaunseling, sokongan, dan wakil perundangan untuk pelarian dan pencari suaka.

Perlindungan Sementara: Kerajaan menyediakan permit kediaman sementara yang boleh diperbaharui kepada sekumpulan pelarian Syria. Permit ini membenarkan kediaman sah dan memberikan hak bekerja, tetapi mesti diperbaharui setiap tahun.

Orang Tanpa Kerakyatan

Jabatan Pendaftaran Negara tidak menyimpan rekod orang tanpa kerakyatan. UNHCR menganggarkan terdapat 12,350 orang tanpa kerakyatan yang menetap di semenanjung Malaysia dan 450,000 di Sabah. Pada bulan Mei, kerajaan menubuhkan pasukan petugas minoriti untuk menangani status tanpa kerakyatan dalam kalangan anggota masyarakat etnik India.

Undang-undang kerakyatan serta peraturan dan prosedur pendaftaran kelahiran mewujudkan kelas kanak-kanak yang tidak mempunyai kerakyatan dalam populasi pendatang/pelarian. Apabila ibu tidak mempunyai bukti kerakyatan yang sah, pihak berkuasa memasukkan kerakyatan kanak-kanak sebagai “tidak diketahui” pada sijil kelahiran. UNHCR menyifatkan perkara ini sebagai satu masalah yang meluas dan melaporkan bahawa, dalam populasi kira-kira 80,000 pelarian Islam Filipina di negeri Sabah, kira-kira 10,000 ialah kanak-kanak yang tidak mempunyai kerakyatan secara teknikalnya.

Walaupun jika bapa ialah seorang rakyat Malaysia, perkahwinan dan anak berkenaan boleh dianggap tidak sah jika ibu tidak mempunyai bukti kerakyatan; anak itu juga dianggap tidak mempunyai kerakyatan.

Sesetengah pemerhati menyatakan bahawa anak yang dilahirkan oleh pelarian dan pencari suaka Islam selalunya lebih senang mendapat kerakyatan daripada pelarian dan pencari suaka bukan Islam. Bagi pelarian yang berkahwin secara Islam, pemerhati mendakwa pihak berkuasa sering menerima dokumen UNHCR atau dokumentasi lain untuk ganti pasport sebagai bukti kerakyatan.

Orang yang tidak mempunyai bukti kerakyatan tidak dapat mengakses perkhidmatan kerajaan seperti kos penjagaan kesihatan yang lebih rendah, atau memiliki harta tanah sendiri.

Pada bulan Oktober, kerajaan persekutuan meluluskan permohonan kerakyatan kepada dua kanak-kanak tanpa kerakyatan selepas peguam menyaman kerajaan. Kes membabitkan tiga kanak-kanak tanpa kerakyatan lain masih belum selesai.

Bahagian 3. Kebebasan Mengambil Bahagian dalam Proses Politik

Undang-undang memberikan rakyat keupayaan untuk memilih kerajaan mereka melalui pilihan raya berkala yang bebas dan adil, yang diadakan melalui undi rahsia dan berdasarkan hak mengundi umum dan sama rata. Pada bulan Mei, pakatan pembangkang Pakatan Harapan mengalahkan perikatan Barisan Nasional yang memerintah dalam pilihan raya umum, menandakan pemindahan pertama kuasa antara perikatan parti-parti sejak kemerdekaan pada tahun 1957. Dalam masa yang membawa kepada pilihan raya, parti politik pembangkang berada pada kedudukan tidak menguntungkan antaranya kerana kawalan kerajaan ke atas media tradisional dan pembahagian kawasan pilihan raya yang tidak wajar.

Walaupun pihak berkuasa umumnya mencatatkan undi secara tepat, terdapat penyelewengan yang mempengaruhi keadilan dalam pilihan raya. Perlembagaan menetapkan bilangan kerusi di Parlimen yang ditetapkan untuk setiap negeri yang memberi kelebihan kepada kawasan luar bandar tanpa mengira perubahan penduduk dari semasa ke semasa. Di samping itu, ia tidak memerlukan populasi yang sama di kawasan pilihan raya di mana-mana negeri tertentu. Setiap kawasan pilihan raya memilih seorang ahli Parlimen. Suruhanjaya Pilihan Raya telah mewujudkan kawasan pilihan raya dengan jumlah penduduk berbeza, yang lebih memberi kelebihan kepada penduduk luar bandar. Sebagai contoh, daerah pedalaman Igan mempunyai 18,000 pengundi berdaftar, sementara daerah bandar Kapar mempunyai lebih daripada 144,000 pengundi berdaftar. Pegawai tempatan dan perbandaran dilantik di peringkat negeri atau persekutuan.

Pilihan raya dan Penglibatan Politik

Pilihan raya Terkini: Pilihan raya umum negara telah diadakan pada 9 Mei dalam keadaan tuduhan berat sebelah di pihak institusi awam, khususnya Suruhanjaya Pilihan raya dan Pendaftar Pertubuhan. Satu konsortium NGO mengeluarkan laporan rasmi pada bulan Julai yang memperincikan penyelewengan dalam pilihan raya, termasuk membeli undi, penggunaan dana awam untuk aktiviti parti, dan tuduhan berlaku berat sebelah oleh pegawai awam. Menurut badan-badan NGO, yang tiada satu pun secara rasmi diiktiraf untuk memerhati pilihan raya, kerajaan persekutuan dan negeri membelanjakan lebih RM5 bilion untuk “pemberian” selepas parlimen dibubarkan dan pembuat undang-undang dilarang daripada membuat komitmen kewangan baru. Laporan itu juga mendakwa seorang pemerhati pilihan raya yang bertauliah aktif berkempen untuk kerajaan terdahulu.

Walaupun terdapat bantahan kuat oleh parti pembangkang dan masyarakat sivil, pada bulan Mac, kerajaan terdahulu meluluskan persempadanan semula daerah parlimen yang dikatakan oleh pengkritik menguntungkan Barisan Nasional secara tidak adil melalui gerimandering dan pembahagian kawasan yang tidak adil.

Memetik peraturan-peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya yang menetapkan hanya seorang presiden atau timbalan presiden parti boleh muncul dalam bahan-bahan kempen (selain calon di daerah berkenaan), pada bulan April polis telah membuang gambar pemimpin pembangkang Mahathir dari papan-papan tanda di daerah parlimen utama.

Suruhanjaya Pilihan Raya membatalkan sekurang-kurangnya enam calon dari Pakatan pembangkang Pakatan Harapan untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya Mei, termasuk naib presiden parti dan anggota parlimen yang memegang dua penggal. Selepas polis menyekat calon pembangkang daripada memasuki kawasan pencalonan di Negeri Sembilan, penyandang yang merupakan ketua menteri telah diisytiharkan sebagai pemenang tanpa bertanding. Pada bulan November, mahkamah pilihan raya membatalkan keputusannya dan menyeru supaya pilihan raya diadakan semula. Keputusan mahkamah dirayu penyandang.

Parti Politik dan Penyertaan Politik: Ramai calon parti pembangkang tidak dapat bersaing secara adil dengan perikatan yang diketuai oleh UMNO dan tertakluk kepada sekatan dan gangguan luar. Kekurangan akses yang sama kepada media adalah masalah yang serius bagi pembangkang dalam pilihan raya negara. Berita mengenai pembangkang dibatasi dan dilaporkan dengan cara yang berat sebelah dalam media cetak dan siaran. Pendaftaran parti politik baharu tetap sukar kerana sekatan kerajaan untuk proses ini.

Pendaftar Pertubuhan mengumumkan pada sidang akhbar pada bulan April bahawa pendaftaran parti pembangkang Bersatu akan dibubarkan sementara kerana gagal untuk menyediakan dokumen yang diminta oleh kerajaan. Pada bulan itu juga seorang hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyekat sementara pembubaran 30 hari Bersatu, dengan alasan bahawa jika Bersatu kekal “dibubarkan secara sementara, ia boleh menyebabkan kerosakan yang tidak dapat diperbaiki kepada parti politik itu dalam usahanya untuk memberikan pilihan alternatif kepada para pengundi” pada hari pilihan raya.

Penyertaan Wanita dan Minoriti: Tiada undang-undang yang mengehadkan penyertaan wanita atau kaum minoriti dalam proses politik, dan mereka telah sertai politik. Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan baru adalah wanita pertama yang memegang jawatan itu. Kerajaan Pakatan Harapan melantik orang bukan Melayu pertama sebagai Ketua Hakim, Menteri Undang-Undang, dan Peguam Negara.

Bahagian 4. Korupsi dan Kekurangan Ketelusan dalam Kerajaan

Undang-undang memperuntukkan penalti jenayah terhadap rasuah oleh pegawai. Walau bagaimanapun, sebelum pertukaran kerajaan, penguatkuasaan secara amnya memberi tumpuan kepada jenayah berskala agak kecil dan pada peringkat rendah. Terdapat persepsi meluas mengenai rasuah dan kronisme yang berleluasa dalam perikatan parti pemerintah terdahulu dan institusi kerajaan. Pandangan ini kekal selepas perubahan dalam kerajaan. Media melaporkan banyak kes dakwaan rasuah kerajaan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bertanggungjawab untuk menyiasat rasuah di kedua-dua badan swasta dan awam tetapi tidak mempunyai kuasa pendakwaan. Ketua Audit Negara bertanggungjawab, seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan, untuk mengaudit akaun kerajaan persekutuan dan negeri, agensi kerajaan, dan pihak berkuasa awam yang lain.

Korupsi: Korupsi menjadi isu utama kempen dalam pilihan raya umum bulan Mei. Di bawah kerajaan terdahulu, wartawan, aktivis, dan ahli politik diganggu dan didakwa setelah melaporkan secara terbuka atau mengkritik korupsi peringkat pemimpin tinggi, namun amalan sedemikian secara amnya berhenti berikutan pilihan raya.

Pada bulan Julai dan Ogos, bekas Perdana Menteri Najib Razak didakwa melakukan pecah amanah, penyalahgunaan kuasa sebagai pegawai kerajaan, dan pengubahan wang kerana peranannya dalam skandal rasuah yang melibatkan dana pembangunan pelaburan milik kerajaan. Polis merampas kira-kira RM1 bilion wang tunai, barang kemas, dan barangan mewah lain dari rumah bekas perdana menteri. Pada bulan Oktober, kerajaan mendakwa isterinya, Rosmah Mansor, dengan 17 tuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai. Rosmah didakwa dengan dua pertuduhan rasuah tambahan pada bulan November.

Dedahan Kewangan: Ahli kabinet mesti mengisytiharkan aset mereka kepada Perdana Menteri. Penjawat awam kanan perlu mengisytiharkan aset mereka kepada ketua setiausaha kerajaan. Penjawat awam junior mesti mengisytiharkan aset mereka kepada ketua jabatan mereka. Aset, liabiliti, dan kepentingan yang perlu diisytiharkan pegawai kerajaan diberi definisi jelas dan tidak termasuk aset dan pendapatan pasangan dan anak yang masih dalam tanggungan. Pegawai kerajaan mesti mengisytiharkan aset mereka setiap tahun, tetapi tidak ketika memulakan atau berhenti daripada jawatan mereka. Mereka yang menolak atau gagal untuk mengisytiharkan aset mereka menghadapi tindakan tatatertib dan tidak layak untuk dinaikkan pangkat. Kerajaan tidak mengumumkan kepada orang awam pengisytiharan yang telah dibuat.

Bahagian 5. Sikap Kerajaan Terhadap Siasatan Antarabangsa dan Bukan Kerajaan Tentang Dakwaan Pencabulan Hak Asasi Manusia

Kumpulan-kumpulan hak asasi manusia tempatan dan antarabangsa beroperasi dengan tertakluk kepada pelbagai tahap sekatan kerajaan, menjalankan penyiasatan serta menyiarkan penemuan mereka berkaitan kes hak asasi manusia. Namun, kerajaan tidak selalunya bekerjasama atau responsif terhadap pandangan mereka.

Di luar bidang hak politik dan hak asasi manusia, kerajaan pada umumnya membenarkan NGO berfungsi secara bebas, bertemu dengan wakil dari beberapa NGO, dan menjawab beberapa permintaan NGO. Namun kerajaan juga mengambil tindakan terhadap beberapa NGO.

Badan Hak Asasi Manusia Kerajaan: Ditubuhkan oleh satu akta parlimen, suruhanjaya hak asasi manusia kerajaan SUHAKAM diketuai oleh seorang pengerusi dan pesuruhjaya yang dilantik oleh Agong atas syor Perdana Menteri. Pemerhati umumnya menganggap SUHAKAM pemantau hak asasi manusia yang boleh dipercayai. SUHAKAM menjalankan latihan, membuat siasatan, menyediakan laporan, dan mengemukakan cadangan kepada kerajaan. SUHAKAM tidak boleh menyiasat kes-kes yang sedang berjalan dalam kes-kes mahkamah dan mesti menamatkan siasatannya sekiranya berlaku tindakan kehakiman.

EAIC juga melakukan beberapa fungsi pengawasan walaupun mandatnya tidak terhad kepada hak asasi manusia.

Bahagian 6. Diskriminasi, Penganiayaan Masyarakat dan Pemerdagangan Orang

Wanita

Rogol dan Keganasan Rumah Tangga: Rogol adalah satu kesalahan jenayah seperti kebanyakan bentuk keganasan rumah tangga. Jenayah rogol boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan. Undang-undang tidak mengiktiraf rogol perkahwinan sebagai jenayah.

Banyak hospital kerajaan mempunyai pusat krisis di mana mangsa rogol dan penderaan rumah tangga boleh memfailkan laporan tanpa pergi ke balai polis. Kumpulan wanita menegaskan mahkamah tidak konsisten dalam menghukum perogol.

Walaupun kerajaan dan NGO menyediakan perlindungan dan menawarkan bantuan lain kepada mangsa penderaan pasangan, aktivis menegaskan bahawa mekanisme sokongan bagi mangsa keganasan rumah tangga masih tidak mencukupi. Terdapat unit siasatan seksual di setiap ibu pejabat polis untuk membantu mangsa jenayah seksual dan penyalahgunaan, dan kadangkala polis menyerahkan tugas kepada pakar psikologi atau kaunselor untuk memberikan sokongan emosi.

Mutilasi/Khatan Kemaluan Perempuan (FGM/C): Undang-undang tidak melarang FGM/C yang biasa diamalkan, tetapi data mengenainya sangat terhad. Kementerian Kesihatan menggariskan panduan membolehkan amalan ini tetapi hanya di kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan. Kumpulan hak asasi wanita mengatakan fatwa tahun 2009 oleh Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam untuk mengisytiharkan amalan itu wajib telah menjadikan FGM/C lebih meluas. Menurut siasatan yang diterbitkan oleh media tempatan pada bulan November, tidak ada prosedur standard untuk amalan ini dan “dalam beberapa kes pemotong kotak dan pisau alat tulis digunakan.” Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan garis panduan untuk prosedur tersebut. Pegawai kerajaan mempertahankan amalan itu semasa semakan PBB pada bulan Februari. Seorang pegawai Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa amalan itu hanya dilakukan oleh profesional perubatan dan membandingkannya dengan program imunisasi untuk bayi perempuan. Panel PBB menggesa Malaysia untuk menghapuskan amalan tersebut.

Gangguan Seksual: Undang-undang melarang seseorang yang berkuasa menggunakan kedudukannya untuk mengugut orang bawahan untuk melakukan hubungan seksual. Undang-undang mengklasifikasikan beberapa jenis gangguan seksual di tempat kerja sebagai kesalahan jenayah (lihat bahagian 7.d.). Peraturan tingkah laku sukarela kerajaan memberi takrif terperinci tentang gangguan seksual yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai masalah tersebut. Pemerhati menyatakan bahawa pihak berkuasa mengambil serius dakwaan itu, tetapi mangsa selalunya enggan melaporkan gangguan seksual kerana kesukaran membuktikan kesalahan, dan proses perbicaraan yang panjang.

Paksaan dalam Kawalan Penduduk: Tiada laporan pengguguran paksa, pensterilan tanpa kerelaan.

Diskriminasi: Perlembagaan melarang diskriminasi terhadap warganegara berdasarkan jantina, dan memberi lelaki dan wanita hak memiliki harta tanah yang sama. Walau bagaimanapun, undang-undang syariah, yang menyimpang dari prinsip-prinsip ini dalam beberapa bidang, kadangkala digunakan. Sebagai contoh, undang-undang warisan Islam secara amnya memihak kepada keturunan lelaki dan saudara lelaki. Undang-undang syariah juga secara amnya memerlukan persetujuan suami untuk perceraian. Namun, sebilangan kecil dan semakin meningkat wanita memperoleh perceraian di bawah mahkamah syariah tanpa persetujuan suami mereka. Bukan Islam tidak tertakluk kepada undang-undang syariah. Undang-undang sivil memberi ibu dan bapa bukan Islam hak penjagaan yang sama rata, sementara undang-undang syariah memberi keutamaan kepada bapa. Walau bagaimanapun, empat negeri iaitu Johor, Selangor, Negeri Sembilan, dan Pahang meluaskan hak penjagaan yang sama kepada ibu orang Islam.

Pada bulan Mac, seorang wanita melaporkan bahawa pegawai Majlis Perbandaran Kota Baru menghalangnya bekerja sebagai pengacara majlis semasa acara kanak-kanak. Dia mendakwa bahawa wanita Islam tidak boleh bercakap ke mikrofon kerana suara wanita tidak boleh didengar oleh lelaki yang bukan ahli keluarga.

Undang-undang mewajibkan gaji yang sama kepada pekerja lelaki dan perempuan untuk pekerjaan dengan nilai yang sama. Walau bagaimanapun, NGO melaporkan diskriminasi berterusan terhadap wanita di tempat kerja dari segi kenaikan pangkat dan gaji (lihat bahagian 7.d.).

Kanak-kanak

Pendaftaran Kelahiran: Anak yang dilahirkan di negara ini mendapat kerakyatan jika salah seorang ibu bapa adalah rakyat atau pemastautin tetap pada masa kelahiran dan ibu bapanya berkahwin. Ibu bapa mesti mendaftar anak dalam masa 14 hari selepas kelahiran. Ibu bapa yang memohon pendaftaran lewat mestilah memberikan bukti bahawa anak itu dilahirkan di negara ini. Menurut UNHCR, anak yang dilahirkan oleh ibu rakyat Malaysia di luar negara hanya dapat memperoleh kerakyatan berdasarkan budi bicara kerajaan persekutuan melalui pendaftaran di konsulat Malaysia di luar negara atau di Jabatan Pendaftaran Negara. Pihak berkuasa tidak mendaftarkan anak yang dilahirkan oleh pendatang tanpa izin atau pencari suaka. UNHCR mendaftarkan anak yang dilahirkan oleh pelarian (lihat bahagian 2.d).

Pendidikan: Pendidikan adalah percuma, wajib, dan sejagat sehingga tamat sekolah rendah (enam tahun). Namun, tiada mekanisme penguatkuasaan yang menguatkuasakan kehadiran ke sekolah. Sekolah kerajaan tidak terbuka kepada anak pendatang tanpa izin atau pelarian, sama ada berdaftar dengan UNHCR atau tidak.

Perkahwinan Awal dan Paksa: Umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan. Perempuan beragama Islam yang lebih muda daripada 16 tahun boleh berkahwin dengan keizinan dari mahkamah syariah. Dalam beberapa kes, pihak berkuasa menganggap perkahwinan muda sebagai penyelesaian kepada rogol statutori.

Pada bulan Jun seorang lelaki Malaysia berusia 41 tahun, telah berkahwin dengan seorang gadis Thai berusia 11 tahun di Thailand dan kembali ke negara untuk tinggal bersamanya. Walaupun orang ramai meluahkan kemarahan terhadap perkara ini, Timbalan Perdana Menteri menyatakan kerajaan tidak berkuasa untuk bertindak kerana perkahwinan itu sah di bawah undang-undang Islam.

Eksploitasi Seksual Kanak-kanak: Undang-undang mengharamkan pornografi dan menyatakan bahawa kanak-kanak dianggap sebagai mangsa penderaan seksual jika dia terlibat sebagai peserta atau pemerhati dalam mana-mana aktiviti yang bersifat seks untuk tujuan pengambilan gambar, rakaman, filem, rakaman video, atau persembahan. Polis Persekutuan melaporkan mengesan kira-kira 20,000 alamat internet di negara yang memuat naik dan memuat turun pornografi kanak-kanak. Di bawah undang-undang, usia minimum untuk seks suka sama suka dan bukan komersial adalah 16 tahun untuk kedua-dua lelaki dan perempuan. Sabitan untuk pemerdagangan orang yang melibatkan kanak-kanak untuk tujuan eksploitasi seksual membawa hukuman penjara tiga hingga 20 tahun dan denda. Pada tahun 2017, kerajaan menubuhkan sebuah mahkamah khas untuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak untuk mempercepatkan perbicaraan. Kebanyakan perbicaraan ini mengambil masa bertahun-tahun untuk selesai. Pelacuran kanak-kanak wujud dan NGO tempatan menganggarkan pada tahun 2015 bahawa 5,000 kanak-kanak terlibat dalam pekerjaan seks di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya. Namun, pihak berkuasa sering menganggap kanak-kanak yang terlibat dalam pelacuran sebagai pesalah atau pendatang tanpa izin, bukan sebagai mangsa.

Kerajaan memberi tumpuan kepada pencegahan eksploitasi seksual kanak-kanak, termasuk eksploitasi seks komersial. Undang-undang memperuntukkan hukuman penjara enam hingga 20 tahun dan boleh dilakukan terhadap orang yang disabitkan kesalahan sumbang mahram. Testimoni kanak-kanak boleh diterima hanya jika ada bukti yang membenarkan, yang menimbulkan masalah khas untuk kes pencabulan sekiranya mangsa kanak-kanak itu adalah satu-satunya saksi.

Kanak-kanak Tersingkir: Kanak-kanak jalanan paling banyak di Sabah. Anggaran populasi kanak-kanak jalanan berkisar antara beberapa ribu hingga 15,000, yang kebanyakannya dilahirkan di negara ini oleh ibu bapa pendatang yang tidak sah. Pihak berkuasa mengusir pulang sesetengah ibu bapa ini yang meninggalkan anak-anak mereka tanpa penjaga. Ketiadaan kerakyatan, akses kepada sekolah, atau sokongan lain yang diberikan oleh kerajaan, menjadikan kanak-kanak ini sering kali melakukan buruh kasar, aktiviti jenayah, dan pelacuran untuk terus hidup. Mereka yang tinggal di jalan raya terdedah kepada buruh paksa, termasuk terpaksa mengemis.

Penculikan Kanak-kanak Antarabangsa: Negara ini bukan satu pihak kepada Konvensyen Hague 1980 tentang Aspek Sivil Penculikan Kanak-kanak Antarabangsa. Lihat Laporan Tahunan Jabatan Negara mengenai Penculikan Anak Ibu Bapa Antarabangsa di https://travel.state.gov/content/travel/en/International-Parental-Child-Abduction/for-providers/legal-reports-and-data.html.

Anti-Semitisme

Penduduk Yahudi negara ini dianggarkan antara 100 hingga 200 orang. Anti-Semitisme adalah masalah serius di seluruh spektrum politik dan menarik sokongan yang luas dalam kalangan beberapa segmen penduduk. Kaji selidik Liga Antifitnah 2015 mendapati 61 peratus rakyat negara ini mempunyai sikap anti-Yahudi. Perdana Menteri Mahathir Mohamad mempertahankan haknya untuk menjadi anti-Semitik dalam temu bual dengan Associated Press pada bulan Ogos, yang menyatakan “Anti-Semitik adalah istilah yang dicipta untuk menghalang orang mengkritik orang Yahudi kerana melakukan perkara-perkara yang salah,” dan BBC pada bulan Oktober mengulangi dakwaannya dari tahun 1970-an bahawa orang Yahudi “berhidung bengkok” dan bahawa jumlah orang Yahudi yang dibunuh dalam Holocaust bukannya enam juta.

Pemerdagangan Orang

Lihat Laporan Jabatan Negara tentang Pemerdagangan Orang di www.state.gov/j/tip/rls/tiprpt/.

Orang Kelainan Upaya

Undang-undang memberi orang kelainan upaya hak untuk mengakses dan menggunakan kemudahan awam, perkhidmatan, dan bangunan awam yang dibuka atau disediakan kepada orang awam. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertanggungjawab untuk melindungi hak orang kelainan upaya.

Bangunan kerajaan yang baharu pada umumnya mempunyai pelbagai kemudahan untuk orang kelainan upaya. Walau bagaimanapun, kerajaan tidak memberi arahan untuk kebolehaksesan kepada pengangkutan untuk orang kelainan upaya, dan pihak berkuasa mengubah sedikit kemudahan awam yang lebih lama untuk menyediakan akses kepada orang kelainan upaya. Kerajaan mengakui pengangkutan awam tidak “mesra untuk orang kelainan upaya” dengan mengekalkan 50 peratus pengurangan duti eksais ke atas kereta buatan tempatan dan motosikal yang disesuaikan untuk orang kelainan upaya.

Diskriminasi pekerjaan berlaku berhubung dengan orang kelainan upaya (lihat bahagian 7.d.).

Pelajar kelainan upaya menghadiri sekolah arus perdana, tetapi kebolehaksesan masih menjadi masalah yang serius. Kemudahan pendidikan berasingan juga wujud, tetapi tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan semua pelajar kelainan upaya.

Bangsa/Kaum/Etnik Minoriti

Perlembagaan memberi orang Melayu dan kumpulan peribumi lain yang secara kolektif dikenali sebagai “bumiputera”, “kedudukan istimewa” di negara ini. Peraturan dan dasar pemerintah banyak menyediakan program istimewa untuk meningkatkan kedudukan ekonomi bumiputera yang merupakan penduduk majoriti. Program sebegini memberi peluang yang terhad kepada bukan bumiputera (terutamanya etnik Cina dan India) dalam pendidikan tinggi dan pekerjaan kerajaan. Banyak industri tertakluk kepada syarat berasaskan kaum yang mensyaratkan tahap pemilikan bumiputera. Dasar perolehan dan pelesenan kerajaan memihak kepada perniagaan milik bumiputera. Kerajaan mendakwa dasar-dasar ini diperlukan untuk mencapai keharmonian kaum dan kestabilan politik.

Orang Asli

Perlembagaan memperuntukkan orang asli dan bukan asli dengan hak-hak sivil dan politik yang sama, tetapi kerajaan tidak melindungi hak ini dengan berkesan. Orang asli, yang berjumlah kira-kira 200,000, merupakan kumpulan termiskin di negara ini.

Orang asli di Semenanjung Malaysia tidak mempunyai banyak keupayaan untuk mengambil bahagian dalam keputusan yang mempengaruhi mereka. Peruntukan perlembagaan memperuntukkan “kedudukan istimewa orang Melayu dan peribumi mana-mana Negeri Sabah dan Sarawak,” tetapi tidak merujuk secara khusus kepada Orang Asli. Kekaburan mengenai status masyarakat ini dalam perlembagaan membawa kepada pentafsiran terpilih oleh institusi awam yang berbeza.

Mahkamah telah memutuskan bahawa Orang Asli mempunyai hak untuk tanah adat mereka di bawah perlembagaan, tetapi NGO mengatakan kerajaan gagal mengiktiraf pengumuman mahkamah ini. Kerajaan boleh merampas tanah ini jika ia memberikan pampasan. Terdapat konfrontasi antara komuniti orang asli dan syarikat pembalakan berkenaan tanah, dan ketidakpastian mengenai hak tanah mereka mendedahkan orang asli kepada eksploitasi.

Tindakan Kekerasan, Diskriminasi, dan Penindasan lain Berdasarkan Orientasi Seksual dan Identiti Jantina

Perbuatan seks sama jantina antara orang dewasa adalah menyalahi undang-undang tanpa mengira usia atau persetujuan. Undang-undang menyatakan bahawa perbuatan liwat dan seks oral adalah “persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.”  Walaupun pihak berkuasa jarang menguatkuasakan peruntukan ini, ia menjadi asas bagi kes kontroversi terhadap pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim (lihat bahagian 1.e.). Pantang larang agama dan kebudayaan terhadap perbuatan seks sejenis adalah meluas (lihat bahagian 2.a). Pada bulan Ogos, dua orang wanita di Negeri Terengganu masing-masing dihukum oleh mahkamah syariah denda RM3,300 dan enam sebatan rotan selepas mereka dituduh melakukan aktiviti seks sama jantina. Pihak berkuasa merotan wanita itu di hadapan kira-kira 100 orang. Hal ini merupakan sebatan awam pertama yang dicatatkan di negeri ini.

Pihak berkuasa sering kali mendakwa golongan transgender atas “kelakuan tidak senonoh” dan “menghampiri orang dengan niat tidak bermoral” di tempat awam. Mereka yang disabitkan dengan kesalahan pertama menghadapi denda maksimum RM25 dan hukuman maksimum 14 hari penjara. Hukuman untuk sabitan berikutnya boleh didenda maksimum RM100 dan maksimum penjara tiga bulan. Penyokong tempatan golongan ini berpendapat bahawa wanita transgender yang dipenjarakan menjalani hukuman mereka di penjara untuk lelaki dan bahawa polis dan banduan sering mendera mereka secara lisan dan seksual.

Satu kajian oleh kumpulan hak transgender tempatan melaporkan lebih daripada dua pertiga wanita transgender mengalami beberapa bentuk penderaan fizikal atau emosi. Pada bulan Ogos, sekumpulan lelaki berulang kali memukul wanita transgender di Negeri Sembilan. Pada bulan November polis menahan seorang lelaki kerana didakwa membunuh teman wanita transgendernya di Negeri Perak.

Pihak berkuasa agama negara dilaporkan memaksa golongan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) untuk menyertai program “rawatan” atau “pemulihan” untuk “menyembuhkan” seksualiti mereka. Pada bulan Ogos, polis menyerbu sebuah kelab di Kuala Lumpur yang berkaitan dengan komuniti LGBT, menahan 20 lelaki dan mengarahkan mereka untuk menghadiri kaunseling kerana menyertai “aktiviti dilarang”. Pihak berkuasa menyatakan bahawa serbuan itu adalah sebahagian daripada operasi pencegahan dadah, tetapi seorang menteri kerajaan berkongsi di Facebook bahawa dia berharap operasi itu akan “membendung budaya LGBT daripada terus merebak ke dalam masyarakat kita.”

Golongan LGBTI melaporkan diskriminasi dalam pekerjaan, perumahan, dan akses kepada beberapa perkhidmatan kerajaan kerana seksualiti mereka.

Pada bulan Ogos, seorang menteri kerajaan pusat mengarahkan penganjur festival di Negeri Pulau Pinang untuk mengeluarkan potret dua aktivis LGBTI dari pameran fotografi kerana kerajaan “tidak menyokong promosi budaya LGBT…” Salah seorang aktivis yang gambarnya dikeluarkan telah menerima pelbagai ancaman bunuh berikutan kontroversi. Pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang membuat ancaman tersebut.

Pada bulan Ogos juga, seorang menteri kerajaan menyatakan bahawa pihak berkuasa akan memantau media sosial dan kandungan dalam talian lain agar “membendung isu LGBT, serta Islam liberal.”

 

Bahagian 7. Hak Pekerja

a. Kebebasan Persatuan dan Hak untuk Tawar Menawar Kolektif

Undang-undang memperuntukkan kebebasan yang terhad untuk persatuan dan untuk beberapa kategori pekerja untuk menubuhkan dan menyertai kesatuan sekerja, dengan tertakluk kepada pelbagai sekatan undang-undang dan amalan. Undang-undang memperuntukkan hak untuk mogok dan tawar menawar kolektif, tetapi kedua-duanya adalah sangat terhad. Undang-undang melarang majikan daripada mengganggu kegiatan kesatuan sekerja, termasuk pembentukan kesatuan. Undang-undang melarang majikan daripada menghukum pekerja kerana terlibat dalam aktiviti kesatuan yang sah dan mengarah majikan mengembalikan jawatan pekerja yang dipecat kerana aktiviti kesatuan.

Undang-undang melarang pegawai tentera dan polis, pekerja bersara atau dibuang kerja, atau pekerja yang dikategorikan sebagai “sulit, pengurusan, dan eksekutif” daripada menyertai kesatuan. Undang-undang juga mengehadkan penubuhan kesatuan untuk pekerja dalam perdagangan, pekerjaan atau industri yang “sama”. Pekerja asing boleh menyertai kesatuan sekerja tetapi tidak boleh memegang jawatan kesatuan, kecuali jika mereka mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Sumber Manusia. Memandangkan ketiadaan hubungan pekerjaan yang langsung dengan pemilik tempat kerja, pekerja kontrak tidak boleh membentuk kesatuan dan tidak boleh berunding atau mendapat manfaat daripada perjanjian tawar menawar kolektif.

Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja dan Menteri Sumber Manusia boleh menolak pendaftaran atau menarik balik pendaftaran sesetengah kesatuan tanpa semakan kehakiman. Masa yang diperlukan untuk kesatuan diiktiraf masih mengambil masa lama dan tidak dapat diramalkan. Pegawai kesatuan melahirkan kekecewaan mengenai kelewatan dalam penyelesaian pertikaian pengiktirafan kesatuan; permohonan sedemikian selalunya ditolak. Sekiranya permintaan pengiktirafan kesatuan diluluskan, majikan kadangkala mencabar keputusan di mahkamah, yang membawa kepada kelewatan selama bertahun-tahun dalam mengiktiraf kesatuan.

Kebanyakan pekerja sektor swasta mempunyai hak untuk tawar menawar kolektif, walaupun rundingan ini tidak termasuk isu pemindahan, kenaikan pangkat, pelantikan, pemecatan, atau pengembalian semula kerja. Undang-undang menyekat tawar menawar kolektif dalam industri “perintis” yang dikenal pasti oleh kerajaan sebagai keutamaan pertumbuhan, termasuk pelbagai bidang teknologi tinggi. Pekerja sektor awam mempunyai hak tawar menawar kolektif, walaupun sesetengahnya hanya boleh meluahkan pendapat mengenai upah dan keadaan bekerja dan bukannya berunding secara aktif. Penangguhan yang lama terus berlaku dalam tuntutan kesatuan untuk mendapatkan pengiktirafan dalam soal tawar menawar kolektif.

Mogok sektor swasta adalah sah tetapi sangat terhad. Undang-undang memperuntukkan hukuman yang tetap untuk mogok aman. Undang-undang melarang mogok umum, dan kesatuan sekerja tidak boleh mogok untuk pertikaian yang berkaitan dengan pendaftaran kesatuan sekerja atau pemecatan yang tidak sah. Pekerja tidak boleh mogok dalam pelbagai industri yang dianggap “penting” dan mereka tidak boleh melakukan mogok apabila pertikaian sedang dipertimbangkan di Mahkamah Perusahaan. Pegawai kesatuan mendakwa syarat perundangan yang dikenakan untuk mogok hampir tidak mungkin dapat dipenuhi. Mogok besar terakhir berlaku pada tahun 1962.

Kerajaan tidak bersungguh-sungguh menguatkuasakan undang-undang melarang majikan daripada menghukum pekerja kerana terlibat dalam aktiviti kesatuan yang sah dan mengarah majikan mengembalikan jawatan pekerja yang dipecat kerana aktiviti kesatuan. Penalti termasuk denda, tetapi jarang dinilai dan pada umumnya tidak mencukupi untuk menghalang pelanggaran.

Kebebasan persatuan dan tawar menawar kolektif tidak dihormati sepenuhnya. Kesatuan pada peringkat kebangsaan dilarang. Kementerian membenarkan tiga persekutuan serantau (Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak) untuk beroperasi. Kesatuan ini melaksanakan sebahagian besar tanggungjawab kesatuan sekerja pada peringkat kebangsaan walaupun mereka tidak boleh melakukan tawar menawar bagi pihak kesatuan tempatan. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia ialah sebuah “persatuan” berdaftar bagi kesatuan sekerja dalam kedua-dua sektor swasta dan kerajaan yang tidak mempunyai hak untuk tawar menawar kolektif atau mogok tetapi boleh memberikan sokongan teknikal kepada ahli gabungannya. Sesetengah pertubuhan pekerja adalah bebas daripada kerajaan, parti politik, dan majikan, tetapi kesatuan yang dikuasai majikan atau kesatuan “kuning” dilaporkan menjadi kebimbangan.

Ketidakmampuan kesatuan untuk menyediakan lebih daripada perlindungan yang terhad untuk pekerja, terutamanya pekerja asing yang terus menghadapi ancaman pengusiran, dan kelaziman diskriminasi antikesatuan tidak menggalakkan pekerja menyertai kesatuan sekerja. Dalam sesetengah keadaan, syarikat dilaporkan mengganggu pemimpin kesatuan yang mahukan pengiktirafan. Sesetengah kesatuan sekerja melaporkan bahawa kerajaan menahan atau menyekat pergerakan sesetengah ahli kesatuan di bawah undang-undang yang membenarkan tahanan sementara tanpa mendakwa tahanan melakukan jenayah. Kesatuan sekerja menegaskan sesetengah pekerja ditahan gaji mereka atau diberhentikan kerana aktiviti berkaitan kesatuan.

b. Larangan Buruh Paksa atau Wajib

Undang-undang melarang segala bentuk buruh paksa atau wajib. Lima agensi, termasuk Jabatan Tenaga Kerja dalam Kementerian Sumber Manusia, mempunyai kuasa penguatkuasaan di bawah undang-undang, tetapi pegawai mereka tidak sentiasa aktif mencari petunjuk buruh paksa. Pertubuhan NGO terus mengkritik kekurangan sumber yang khusus untuk penguatkuasaan undang-undang.

Kerajaan terus berusaha menguatkuasakan undang-undang melarang buruh paksa. Jabatan Tenaga Kerja memerlukan bukti tidak membayar upah selama tiga bulan untuk memulakan penyiasatan dalam kes buruh paksa yang berpotensi. Penalti termasuk denda. Selain denda, pihak berkuasa sering mendakwa pelaku jenayah buruh paksa dengan jenayah yang berkaitan yang termasuk penalti yang lebih berat.

Majlis Antipemerdagangan Orang Kebangsaan melaporkan pegawai jabatan tenaga kerja menerima latihan khusus, termasuk dengan agensi penguatkuasaan undang-undang lain, untuk membantu meningkatkan koordinasi. Dalam Jabatan Tenaga Kerja, terdapat 30 “pegawai penguat kuasa khas” yang memberi tumpuan terutamanya kepada buruh paksa dan petunjuk lain pemerdagangan orang (lihat bahagian 7.e.).

Pada bulan September, kerajaan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing untuk menyediakan rancangan pembaharuan yang komprehensif kepada kerajaan mengenai pengurusan pekerja asing dan dasar pekerja.

Buruh paksa berlaku dalam negara. Pelbagai sumber melaporkan kejadian buruh paksa, atau keadaan yang menunjukkan buruh paksa, dalam ladang pertanian, industri perikanan, kilang elektronik, pengeluaran pakaian, pembinaan, restoran, dan dalam pekerjaan pembantu rumah, dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak (juga lihat bahagian 7.c ).

Majikan, ejen pekerjaan, atau perekrut tenaga pekerja menjadikan sesetengah pendatang sebagai buruh paksa atau terikat dengan hutang. Banyak syarikat mengupah pekerja asing menggunakan syarikat pekerjaan atau syarikat penyumberan luar dan bukannya secara langsung. Hal ini mewujudkan ketidakpastian mengenai hubungan undang-undang antara pekerja dan syarikat penyumberan luar atau pemilik tempat kerja, dan menjadikan pekerja lebih terdedah kepada eksploitasi dan merumitkan penyelesaian pertikaian. Wakil kesatuan sekerja menggambarkan pola tipikal ejen merekrut di negara asal dan di Malaysia dengan mengenakan yuran tinggi yang menjadikan pekerja terdedah kepada ikatan hutang.

Media melaporkan pada bulan Julai bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkaitan dengan skim penipuan yang melibatkan beratus-ratus ribu pekerja Nepal yang mencari pekerjaan di negara ini. Menurut laporan itu, yang organisasi masyarakat sivil anggap sebagai berwibawa, syarikat swasta yang dikaitkan dengan abang dan adik ipar mantan Timbalan Perdana Menteri itu mengenakan bayaran ke atas pekerja Nepal lebih RM185 juta untuk ujian perubatan dan permohonan visa dalam tempoh lima tahun sebelum ini. Perkhidmatan pemprosesan perubatan dan visa ini meningkatkan kos sepuluh kali ganda tanpa menawarkan perlindungan atau faedah tambahan. Zahid menafikan penglibatan dalamnya atau mengetahui mengenai penipuan itu, tetapi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mendakwanya pada bulan Oktober dengan 45 pertuduhan korupsi, rasuah dan pengubahan wang haram, tiga daripadanya berkaitan dengan RM3 juta yang didakwa sebagai suapan yang diterima daripada sebuah syarikat yang menjalankan pusat visa untuk pekerja Nepal. Pengkritik kerajaan terdahulu telah lama mengatakan sistem pengambilan pekerja asing sebagai korup.

Pada bulan Jun, Menteri Sumber Manusia menggantung sistem yang digunakan untuk merekrut pekerja asing dari Bangladesh berikutan tuduhan rasuah berskala besar di bawah kerajaan terdahulu. Media tempatan mendakwa bahawa ejen perekrutan pihak ketiga dengan hubungan rapat dengan pemimpin kanan Barisan Nasional memperoleh lebih RM2 bilion dalam tempoh dua tahun menerusi pengambilan lebih 100,000 pekerja Bangladesh. Menteri Sumber Manusia yang baharu mengatakan proses pengambilan yang sebelum ini “haru-biru” apabila pekerja membayar banyak wang kepada perantara dan menjadikan mereka terikat dengan hutang. Pada bulan Oktober, kerajaan juga menandatangani Memorandum Persefahaman baharu dengan kerajaan Nepal yang mewajibkan pengambilan pekerja asing dijalankan secara terus melalui kerajaan kepada kerajaan daripada bergantung kepada syarikat pengambilan pekerja swasta. Selain menghapuskan pengantaraan pihak ketiga daripada proses tersebut, perjanjian baharu memerlukan majikan untuk membayar tambang tiket penerbangan, bayaran visa, dan kos pemeriksaan perubatan dan juga menghendaki majikan untuk mendepositkan gaji pekerja secara langsung ke dalam akaun bank.

Kegagalan pembayaran gaji terus menjadi suatu kebimbangan. Perampasan pasport oleh majikan meningkatkan keterdedahan pekerja asing terhadap kerja paksa. Meskipun amalan itu adalah haram tetapi ia berlaku secara meluas dan pada umumnya tidak dihukum. Pekerja asing yang tidak mempunyai akses kepada pasport mereka lebih terdedah pada keadaan bekerja yang teruk, gaji yang lebih rendah daripada yang dijanjikan, potongan gaji yang tidak dijangka, dan tempat tinggal yang daif. Pertubuhan NGO melaporkan bahawa ejen atau majikan dalam sesetengah kes mendraf kontrak yang memasukkan peruntukan menyerahkan hak pekerja untuk memegang pasport mereka kepada majikan atau ejen. Sesetengah majikan dan pekerja asing melaporkan bahawa pekerja kadangkala meminta majikan menyimpan pasport mereka kerana penggantian pasport yang hilang atau dicuri boleh menyebabkan mereka membayar wang yang jumlahnya sama dengan gaji beberapa bulan dan menyebabkan mereka terdedah kepada disoal mengenai status sah mereka.

Lihat juga Laporan Jabatan Negara tentang Pemerdagangan Orang di www.state.gov/j/tip/rls/tiprpt/.

c. Larangan Buruh Kanak-kanak dan Umur Minimum Bekerja

Undang-undang melarang pengambilan kanak-kanak di bawah umur 14 tahun tetapi memberikan beberapa pengecualian, seperti kerja ringan dalam perusahaan keluarga, kerja dalam hiburan awam, kerja yang dilakukan untuk kerajaan di sekolah atau di institusi latihan, atau bekerja sebagai perantis yang dibenarkan. Tidak ada umur minimum untuk terlibat dalam kerja-kerja ringan. Bagi kanak-kanak antara 14 hingga 18 tahun, tidak ada senarai yang menjelaskan pekerjaan atau sektor tertentu yang dianggap berbahaya dan oleh itu dilarang.

Kerajaan tidak menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang melarang buruh kanak-kanak. Mereka yang didapati melanggar undang-undang buruh kanak-kanak menghadapi hukuman penjara dan/atau denda.

Buruh kanak-kanak berlaku dalam sesetengah perniagaan keluarga. Buruh kanak-kanak di kawasan bandar adalah perkara biasa dalam sektor ekonomi bukan formal, termasuk perniagaan makanan keluarga dan pasar malam, dan dalam industri kecil-kecilan. Buruh kanak-kanak juga dapat dilihat dalam kalangan pembantu rumah asing.

Pertubuhan NGO melaporkan bahawa kanak-kanak tanpa kerakyatan di Sabah adalah lebih terdedah kepada eksploitasi buruh dalam pengeluaran minyak sawit, terpaksa mengemis, dan bekerja dalam industri perkhidmatan, termasuk restoran. Walaupun Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang melaporkan jarang menemui kanak-kanak terlibat dalam kerja ladang di Semenanjung Malaysia, terdapat laporan kejadian buruh kanak-kanak di ladang kelapa sawit di seluruh negara. Eksploitasi seks komersial kanak-kanak juga berlaku (lihat bahagian 6, Kanak-kanak).

d. Diskriminasi Berkenaan Kerja atau Pekerjaan

Undang-undang tidak melarang diskriminasi berkenaan dengan pengambilan pekerjaan. Namun Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja boleh menyiasat diskriminasi dalam terma dan syarat pekerjaan untuk kedua-dua pekerja asing dan tempatan. Ketua Pengarah boleh mengeluarkan arahan yang perlu kepada majikan untuk menyelesaikan tuduhan diskriminasi dalam pekerjaan. Walau bagaimanapun, tidak ada penalti di bawah undang-undang untuk diskriminasi sedemikian.

Majikan diwajibkan untuk menyiasat kebanyakan aduan gangguan seksual dengan cara yang ditetapkan. Kumpulan advokasi seperti Persatuan Peguam Wanita menyatakan peruntukan ini tidak cukup menyeluruh untuk memberikan bantuan yang memadai kepada mangsa.

Diskriminasi dalam pekerjaan dan kerja berlaku berhubung dengan wanita; anggota nasional, kaum, dan etnik minoriti; dan orang kelainan upaya. Satu kod amalan membimbing semua agensi kerajaan, majikan, persatuan pekerja, pekerja, dan lain-lain berkenaan dengan penempatan orang kelainan upaya dalam pekerjaan sektor swasta. NGO hak kelainan upaya melaporkan majikan enggan menggaji orang kelainan upaya. Peraturan mensyaratkan satu peratus daripada pekerjaan sektor awam diberikan kepada orang kelainan upaya.

Pekerja asing mesti menjalani ujian mandatori untuk lebih daripada 16 penyakit serta kehamilan. Majikan boleh segera mengusir pekerja hamil atau sakit. Pekerja asing juga menghadapi diskriminasi pekerjaan (lihat bahagian 7.b dan 7.e). Majikan juga boleh secara satu pihak menamatkan permit kerja, yang menyebabkan pekerja asing segera diusir.

Wanita mengalami diskriminasi ekonomi dalam akses kepada pekerjaan. Laporan PBB menyatakan penyertaan dalam pasaran buruh untuk wanita adalah 46.1 peratus, berbanding 78.7 peratus bagi lelaki. Majikan secara rutin menanyakan status perkahwinan mereka semasa temu duga kerja. Persatuan Peguam Wanita menyokong penggubalan rang undang-undang gangguan seksual yang berasingan yang mewajibkan majikan merumuskan dasar gangguan seksual. Undang-undang melarang wanita daripada terlibat dalam kerja bawah tanah, seperti dalam pembetung, dan menyekat majikan daripada wajibkan pekerja wanita untuk bekerja dalam kerja industri atau pertanian antara 10 malam dan 5 pagi atau untuk memulakan kerja pada satu-satu hari tanpa rehat 11 jam berturut-turut sejak tempoh kerja terakhir.

Kerajaan memperuntukkan kuota yang besar kepada majoriti bumiputera untuk jawatan dalam perkhidmatan awam persekutuan serta untuk permit dan lesen vokasional dalam pelbagai industri, yang sangat mengurangkan peluang ekonomi bagi kumpulan minoriti (lihat bahagian 6).

e. Keadaan Kerja Yang Boleh Diterima

Gaji minimum dinaikkan kepada RM1,050 di seluruh bahagian negara, meningkat daripada RM920 sebulan di Sabah dan Sarawak dan RM1,000 sebulan di Semenanjung Malaysia. Gaji minimum dikenakan kepada pekerja tempatan dan pekerja asing dalam kebanyakan sektor, kecuali perkhidmatan pembantu rumah (lihat di bawah). Kadar gaji minimum adalah kurang daripada garis pendapatan kemiskinan yang diterbitkan oleh Kementerian Kewangan di Sabah dan Sarawak.

Waktu kerja tidak boleh melebihi lapan jam sehari atau 48 jam seminggu, kecuali pekerja menerima bayaran lebih masa. Undang-undang menentukan had untuk kerja lebih masa, yang berbeza mengikut sektor, tetapi ia memberikan pengecualian.

Undang-undang melindungi pembantu rumah asing hanya berkenaan dengan gaji dan penamatan kontrak. Undang-undang mengecualikan mereka daripada peruntukan yang menetapkan satu hari rehat setiap minggu, kerja lapan jam sehari, dan kerja 48 jam dalam seminggu. Sebaliknya, perjanjian dua hala atau memorandum persefahaman antara kerajaan dan beberapa negara asal pekerja asing termasuk peruntukan untuk tempoh rehat, pampasan, dan syarat pekerjaan lain untuk pembantu rumah asing, termasuk larangan ke atas penahanan pasport.

Pada 1 Januari, majikan bertanggungjawab membayar levi bagi pekerja asing mereka, langkah yang direka untuk melindungi pekerja asing yang berpendapatan rendah dan menggalakkan pengambilan pekerja tempatan. Sebelum ini majikan kerap melepaskan kos itu kepada pekerja dan menahan sebanyak 20 peratus daripada gaji tahunan pekerja untuk menampung yuran. Walaupun terdapat perubahan ini, sesetengah majikan terus memotong gaji pekerja mereka untuk membayar levi yang dikenakan kerajaan ke atas syarikat-syarikat yang mengambil pekerja asing.

Kementerian Sumber Manusia mula menguatkuasakan pindaan kepada Akta Agensi Pekerjaan Swasta (AAPS) pada 1 Februari, selepas diluluskan pada Oktober 2017. Langkah ini bertujuan untuk menjadikan kos perniagaan terlalu tinggi untuk agensi merekrut berskala kecil yang telah menjadi sumber penganiayaan pada masa lalu. Agensi pekerjaan kini perlu membayar sebanyak RM250,000 untuk mengendalikan perniagaan yang merekrut pekerja asing, peningkatan ketara daripada RM1,000 yang diperlukan di bawah AAPS asal. Seterusnya, agensi mesti mendapatkan nota bank yang dijamin sebanyak RM250,000 yang akan dicairkan (dan digunakan untuk kos penghantaran balik mangsa) jika didapati melanggar undang-undang. Di bawah pindaan baharu ini, agensi-agensi yang didapati beroperasi tanpa lesen akan menghadapi hukuman baharu yang berat, termasuk denda RM200,000 dan maksimum tiga tahun penjara, meningkat daripada denda RM5,000.

Undang-undang kesihatan dan keselamatan pekerjaan meliputi semua sektor ekonomi kecuali sektor maritim dan angkatan bersenjata. Undang-undang mewajibkan pekerja menggunakan peralatan keselamatan dan bekerjasama dengan majikan untuk mewujudkan tempat kerja yang selamat dan sihat, tetapi ia tidak menyatakan hak untuk mengeluarkan diri sendiri daripada keadaan berbahaya atau membahayakan tanpa dihukum. Undang-undang mengenai pampasan pekerja meliputi pekerja tempatan dan pekerja asing tetapi tidak memberi perlindungan kepada pembantu rumah asing.

Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan–terdiri daripada wakil pekerja, majikan, dan kerajaan–membuat dan menyelaras pelaksanaan langkah-langkah kesihatan dan keselamatan pekerjaan. Ia mewajibkan majikan untuk mengenal pasti risiko dan mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk menyediakan latihan keselamatan kepada pekerja, dan mewajibkan syarikat dengan lebih daripada 40 pekerja untuk menubuhkan jawatankuasa keselamatan pengurusan bersama pekerja.

Majlis Perundingan Gaji Negara bertanggungjawab mencadangkan perubahan kepada upah minimum dan liputan bagi pelbagai sektor, jenis pekerjaan, dan wilayah. Jabatan Tenaga Kerja Kementerian Sumber Manusia menguatkuasakan standard gaji, keadaan bekerja, dan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Pegawai penguat kuasa tenaga kerja bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang buruh di ratusan ribu perniagaan dan di kediaman persendirian yang menggaji pembantu rumah, namun bilangan pegawai tidak mencukupi untuk menguatkuasakan pematuhan. Pegawai Jabatan Tenaga Kerja melaporkan mereka berusaha melakukan pemeriksaan buruh sekerap mungkin. Walau bagaimanapun, banyak perniagaan boleh beroperasi selama bertahun-tahun tanpa pemeriksaan.

Hukuman bagi majikan yang gagal mengikuti undang-undang bermula dengan denda yang dinilai mengikut pekerja dan boleh dinaikkan kepada hukuman penjara. Majikan boleh dikehendaki membayar gaji dan denda. Jika mereka enggan mematuhi, majikan menghadapi denda tambahan setiap hari untuk upah yang tidak dibayar. Majikan atau pekerja yang melanggar undang-undang kesihatan dan keselamatan pekerjaan adalah tertakluk kepada denda, penjara, atau kedua-duanya.

Majikan tidak menghormati undang-undang mengenai upah dan waktu kerja. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia melaporkan bahawa bekerja 12, 14, dan 18 jam sehari adalah perkara biasa dalam industri makanan dan perkhidmatan lain. Pekerja asing sering bekerja di bawah keadaan yang sukar, bekerja dalam sektor yang biasa berlaku pelanggaran, melakukan tugas berbahaya, gaji mereka dipegang oleh majikan, dan tidak mempunyai akses bermakna kepada penasihat undang-undang dalam kes-kes pelanggaran dan penyalahgunaan kontrak. Sesetengah pekerja mendakwa majikan memaksa mereka hidup dalam keadaan yang tidak berperikemanusiaan, merampas dokumen perjalanan mereka, dan mendera mereka secara fizikal. Majikan pembantu rumah kadangkala gagal untuk menghormati syarat-syarat pekerjaan dan menyebabkan pekerja didera. Majikan dilaporkan mengehadkan pergerakan pekerja dan penggunaan telefon mudah alih; menyediakan makanan dan tempat tinggal di bawah standard; tidak memberikan masa rehat yang mencukupi; menyerang pekerja secara fizikal dan seksual; serta mengganggu dan mengancam pekerja, termasuk dengan pengusiran.

Menurut statistik oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, 117 pekerja meninggal dunia, 1,612 mengalami kecacatan yang tidak kekal dan 80 hilang upaya kekal pada separuh pertama tahun laporan.