Laporan Hak Asasi Manusia Malaysia 2017

Malaysia

Permalink: http://www.state.gov/j/drl/rls/hrrpt/humanrightsreport/index.htm?year=2017&dlid=277095

RINGKASAN EKSEKUTIF

Malaysia ialah sebuah negara raja berperlembagaan persekutuan. Negara ini mempunyai sistem parlimen kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya berkala, pelbagai parti dan diketuai oleh seorang Perdana Menteri. Agong ialah ketua negara dan selalunya memainkan peranan istiadat. Agong berkhidmat selama lima tahun, dan jawatan ini digilirkan dalam kalangan sultan dan raja daripada sembilan negeri yang mempunyai raja berketurunan. Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), bersama gabungan parti politik yang dikenali sebagai Barisan Nasional (BN), telah berkuasa sejak kemerdekaan pada 1957. Pada pilihan raya umum 2013, BN kehilangan undi popular kepada pakatan pembangkang tetapi dipilih semula dalam sistem pemenang kerusi terbanyak (first-past-the-post) di negara ini. Pembangkang dan pertubuhan masyarakat sivil mendakwa berlaku penyelewengan pilihan raya dan kelemahan sistemik terhadap parti pembangkang kerana kekurangan akses media dan penyalahgunaan pembahagian kawasan pilihan raya yang memihak kepada parti pemerintah. Pihak berkuasa awam ada ketikanya tidak mengekalkan kawalan yang berkesan ke atas pasukan keselamatan. Isu-isu hak asasi yang paling penting termasuklah: kejadian kehilangan secara paksa; layanan kasar dan teruk oleh pegawai keselamatan yang dalam beberapa kes menyebabkan kematian; penggunaan rotan sebagai hukuman yang sah; penahanan tidak terbatas tanpa waran atau semakan kehakiman bagi orang yang disyaki terlibat dalam jenayah berkaitan keselamatan; penangkapan dan penahanan sewenang-wenangnya terhadap pengkritik kerajaan; sekatan ke atas kebebasan meluahkan perasaan, termasuk melalui akhbar, perhimpunan, dan persatuan; sekatan hak politik dan privasi; rasuah; keganasan terhadap golongan transgender dan menjadikan aktiviti seksual sama jantina sebagai jenayah, walaupun undang-undang itu jarang dikuatkuasakan; serta buruh kanak-kanak dan buruh paksa, terutama bagi pekerja asing.

Kerajaan menangkap dan mendakwa sesetengah pegawai yang terlibat dalam rasuah, penyalahgunaan jawatan, dan pencabulan hak asasi manusia. Namun kumpulan masyarakat sivil mendakwa pesalah berkenaan terus bebas daripada sebarang hukuman.

Bahagian 1. Menghormati Integriti Orang, Termasuk Kebebasan daripada:

a. Pengambilan Nyawa Sewenang-wenang dan Pembunuhan Lain yang Menyalahi Undang-undang atau Bermotifkan Politik

Terdapat laporan kerajaan atau ejennya melakukan pembunuhan sewenang-wenangnya atau menyalahi undang-undang.  Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (SUHAKAM), 521 orang mati dalam penjara dari 2015 hingga 2016, termasuk lebih daripada 100 individu di pusat tahanan imigresen. Kerajaan mendakwa bahawa kematian dalam tahanan polis, terutama yang disebabkan oleh polis, jarang berlaku, tetapi aktivis masyarakat sivil mempertikaikan dakwaan ini.

Pada bulan Februari seorang lelaki berusia 44 tahun meninggal dunia dalam tahanan polis selepas pegawai yang bertanggungjawab tidak mematuhi perintah mahkamah agar suspek dibebaskan dan dibawa ke hospital. Saksi memberi keterangan dalam siasatan awam yang diadakan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan bahawa pegawai polis telah menampar, menumbuk, dan memukul tahanan dengan batang buluh dan hos getah. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan menggambarkan layanan terhadap individu itu sebagai “tanpa alasan yang munasabah dan berpatutan.” Kerajaan tidak mengambil tindakan sehingga kini.

Siasatan ke atas penggunaan kekerasan sehingga menyebabkan kematian oleh pegawai polis hanya berlaku jika peguam negara memulakan siasatan atau jika peguam negara meluluskan permohonan oleh ahli keluarga si mati untuk melakukan siasatan. Apabila peguam negara mengarahkan siasatan rasmi, mahkamah koroner bersidang, dan perbicaraan itu terbuka kepada orang ramai. Dalam kes sedemikian, mahkamah secara umumnya mengeluarkan “penghakiman terbuka” yang bermaksud bahawa tidak akan ada tindakan selanjutnya terhadap polis.

b. Kehilangan

Pada bulan Februari sekumpulan individu yang terancang menculik Raymond Koh, seorang pastor Kristian, dari kenderaannya di lebuh raya Kuala Lumpur di pinggir bandar. Walaupun terdapat rakaman televisyen litar tertutup tentang penculikan itu, siasatan polis membuat sedikit kemajuan, yang membawa kepada spekulasi awam yang meluas, polis bagaimanapun menolak dakwaan bahawa pegawai kerajaan terlibat dalam kejadian itu. Ketua Polis Negara kemudian mengumumkan bahawa polis akan menyiasat laporan bahawa Koh terlibat dalam kegiatan memurtadkan umat Islam, sambil menambah, “Tidak adil jika kita hanya menyiasat kehilangan Raymond.”

Polis membuat sedikit kemajuan dalam menyiasat kehilangan berasingan pastor Kristian Joshua Hilmy dan isterinya Ruth pada bulan November 2016, dan Amir Che Mat, seorang aktivis Islam yang didakwa berkaitan dengan ajaran Syiah. Pada bulan Mei, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata dalam satu kenyataan, “Kehilangan paksa jarang berlaku di Malaysia dan sangat membimbangkan apabila sedikit perkembangan telah dibuat mengenai” kes Koh dan Amir Che Mat. Pada bulan Oktober, SUHAKAM mengadakan siasatan awam mengenai kehilangan itu, tetapi saksi polis enggan berkongsi bukti dan nota utama walaupun pihak polis terlibat dalam proses siasatan itu. Polis mengatakan bahawa SUHAKAM perlu meminta melalui pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan keterangan.

c. Seksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Kejam, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah

Tiada undang-undang khusus melarang penyeksaan. Namun, undang-undang melarang “melakukan kecederaan parah” yang merangkumi penyeksaan.  Lebih daripada 60 kesalahan dikenakan hukuman sebatan, kadangkala bersama hukuman penjara. Hakim secara rutin menjatuhkan hukuman sebatan sebagai balasan atas jenayah termasuk penculikan, rogol, samun, dan kesalahan bukan keganasan seperti pemilikan dadah, jenayah pecah amanah, penyeludupan pendatang, kesalahan imigresen dan lain-lain.

Undang-undang sivil dan jenayah mengecualikan hukuman rotan ke atas lelaki melebihi umur 50 tahun, kecuali jika disabitkan dengan rogol, dan semua wanita. Kanak-kanak lelaki antara umur 10 hingga 18 tahun boleh menerima maksimum 10 sebatan dengan “rotan ringan” di mahkamah awam.

Sesetengah peruntukan undang-undang syariah negeri, yang mentadbir isu keluarga dan jenayah tertentu di bawah Islam dan terpakai kepada semua umat Islam, juga menetapkan hukuman sebat bagi kesalahan-kesalahan tertentu. Wanita tidak dikecualikan daripada hukuman sebat di bawah undang-undang syariah, dan mahkamah kebangsaan tidak menyelesaikan masalah yang melibatkan konflik di antara perlembagaan, kanun jenayah, dan undang-undang syariah.

Pada bulan Julai, Dewan Undangan Negeri Kelantan mengundi untuk membenarkan mahkamah memberi hukuman sebat secara terbuka kepada individu yang melakukan kesalahan sivil tertentu.

Keadaan Penjara dan Pusat Tahanan

Penjara dan pusat tahanan yang dikendalikan oleh Jabatan Imigresen kerajaan berada dalam keadaan yang amat teruk. Pada bulan Ogos, SUHAKAM menyifatkan keadaan di satu pusat tahanan polis sebagai “kejam, tidak berperikemanusiaan, dan menjatuhkan maruah.”

Keadaan Fizikal: Kesesakan di penjara dan pusat tahanan imigresen, khususnya di kemudahan berhampiran bandar besar, masih menjadi masalah yang serius.

Pada penghujung Februari, banduan di penjara Sungai Buloh mengemukakan petisyen kepada kerajaan dengan memperincikan keadaan penjara yang teruk, termasuk makanan dan air yang tercemar dan penyakit meluas kerana kekurangan rawatan perubatan. Kerajaan tidak memberi respons secara terbuka terhadap tuduhan itu.

Suara Rakyat Malaysia, sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) hak asasi manusia, merekodkan 15 kes kematian tahanan sepanjang tahun hingga bulan Oktober, lapan daripadanya berlaku dalam tahanan polis dan lima daripadanya berlaku dalam penjara.

Pada bulan Jun, seorang tahanan rebah di mahkamah, tetapi polis mendakwa dia cukup sihat untuk meneruskan perbicaraan. Namun, suspek itu meninggal dunia di mahkamah sejurus selepas prosiding itu. Polis menjalankan bedah siasat tanpa memberitahu keluarganya, dan menyatakan punca kematiannya ialah kecacatan jantung kongenital. Kumpulan hak asasi manusia mencabar dakwaan kerajaan.

Laporan pada bulan Mei di media antarabangsa memetik pelarian yang mendakwa telah dipukul dan dipaksa minum air dari tandas kerana terdesak. Namun kerajaan menyifatkan tuduhan itu “sangat tidak benar.”

Pentadbiran: Pegawai penguatkuasaan undang-undang yang didapati bertanggungjawab atas kematian dalam tahanan biasanya tidak dikenakan hukuman. Pada bulan April, empat pegawai polis yang didakwa membunuh lelaki berusia 32 tahun dibebaskan, walaupun Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan menyimpulkan bahawa mangsa meninggal dunia akibat polis yang menggunakan kekerasan fizikal.

Hak untuk pengamalan agama adalah dihadkan untuk ahli mazhab Islam yang diharamkan oleh kerajaan kerana dianggap sebagai “sesat”.

Pemantauan Bebas: Pihak berkuasa umumnya tidak membenarkan NGO dan media untuk memantau keadaan penjara; undang-undang membenarkan hakim untuk melawat penjara untuk memeriksa dan bertanya tentang keadaan penjara kepada tahanan dan pegawai penjara. Kerajaan menyediakan akses penjara kepada Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah dan SUHAKAM, suruhanjaya hak asasi kerajaan, berdasarkan kes demi kes.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) pada umumnya mempunyai akses kepada pelarian berdaftar dan pencari suaka, dan kepada orang tidak berdaftar yang menjadi perhatian kerana ditahan di pusat tahanan imigresen dan penjara serta mungkin membuat tuntutan suaka dan status pelarian. Namun, akses ini tidak selalunya diberi tepat pada masanya.

d. Penangkapan atau Penahanan Sewenang-wenang

Polis boleh menggunakan undang-undang tahanan pencegahan tertentu untuk menahan secara tanpa waran atau semakan kehakiman selama tempoh dua tahun ke atas orang yang disyaki melakukan keganasan, jenayah terancang, aktiviti geng, dan pengedaran dadah atau penyeludupan manusia, ia boleh diperbaharui untuk tempoh masa tak terbatas. Walau bagaimanapun, dalam tempoh tujuh hari dari tahanan awal, pihak polis harus mengemukakan kes tahanan kepada pendakwa raya. Sekiranya pendakwa bersetuju “bukti yang mencukupi wujud untuk membenarkan” penahanan berterusan dan siasatan lanjut, pegawai siasatan pencari fakta yang dilantik oleh Menteri Dalam Negeri mesti melaporkan dalam tempoh 59 hari kepada lembaga penahanan yang dilantik oleh Agong. Lembaga penahanan boleh memperbaharui perintah tahanan atau mengenakan suatu perintah untuk mengehadkan tempat kediaman suspek, perjalanan, akses kepada kemudahan komunikasi dan penggunaan internet selama maksimum lima tahun. Butiran mengenai bilangan mereka yang ditahan atau di bawah perintah sekatan tidak didapati secara umum.

Dalam kes lain, undang-undang membenarkan penahanan penyiasatan untuk mencegah suspek jenayah melarikan diri atau memusnahkan keterangan semasa siasatan.

Undang-undang imigresen membenarkan pihak berkuasa untuk menangkap dan menahan orang bukan warganegara selama 30 hari sementara menunggu keputusan pengusiran.

Peranan Polis dan Jentera Keselamatan

Pihak berkuasa awam ada ketikanya tidak mengekalkan kawalan berkesan ke atas perkhidmatan keselamatan. Pasukan Polis Diraja Malaysia, dengan kira-kira 102,000 anggota, melaporkan kepada Menteri Dalam Negeri. Ketua Polis Negara bertanggungjawab untuk mengatur dan mentadbir pasukan polis. Kementerian Dalam Negeri juga mengawasi penguatkuasaan imigresen dan sempadan.  Pegawai penguatkuasaan agama negeri mempunyai kuasa untuk mengiringi pihak polis melakukan serbuan atau membuat serbuan di premis persendirian dan awam untuk menguatkuasakan undang-undang syariah, termasuk larangan ke atas pemakaian tak senonoh, meminum alkohol, penjualan buku yang diharamkan, atau berdua-duaan antara orang bukan mahram yang berlainan jantina.  Pihak berkuasa agama di peringkat negeri mentadbir undang-undang syariah dan keluarga menerusi Mahkamah Syariah yang mempunyai bidang kuasa terhadap semua umat Islam. Kementerian Dalam Negeri juga mengawasi Ikatan Relawan Rakyat (RELA), sebuah pertubuhan sukarela awam separa tentera.  NGO kekal menyuarakan kebimbangan bahawa latihan yang tidak mencukupi untuk ahli RELA menyebabkan mereka kurang bersedia untuk melaksanakan tugas mereka.

Pihak kerajaan mempunyai beberapa mekanisme untuk menyiasat dan menghukum salah guna, dan SUHAKAM memainkan peranan dalam menyiasat penyalahgunaan yang didakwa dilakukan oleh pasukan keselamatan (lihat bahagian 1.b. tentang siasatan Koh). NGO dan media melaporkan bahawa walaupun terdapat siasatan dalam beberapa kejadian, pasukan keselamatan sering bertindak dengan sewenang-wenangnya.

Pegawai polis adalah tertakluk kepada perbicaraan oleh mahkamah jenayah dan sivil, tetapi tidak semestinya ada sabitan. Wakil polis melaporkan tindakan tatatertib terhadap pegawai polis; hukuman termasuk penggantungan kerja, pemecatan, dan penurunan jawatan. Kumpulan masyarakat sivil dan NGO terus meminta penubuhan suruhanjaya bebas aduan dan salah laku polis. Pegawai kerajaan dan polis menentang idea penubuhan ini. Latihan polis memasukkan kesedaran hak asasi manusia dalam kursusnya. SUHAKAM juga menjalankan latihan hak asasi manusia dan bengkel untuk pegawai polis dan penjara.

Prosedur Penangkapan dan Layanan terhadap Tahanan

Undang-undang membenarkan pihak polis untuk menangkap dan menahan individu atas beberapa kesalahan tanpa waran, walaupun di luar keadaan jenayah yang sedang berlaku atau keadaan lain yang mendesak. Untuk memudahkan penyiasatan, polis boleh menahan suspek selama 24 jam, yang dapat dilanjutkan hingga 14 hari melalui perintah mahkamah di bawah peruntukan undang-undang jenayah umum. NGO melaporkan amalan polis untuk melepaskan suspek dan kemudian dengan cepat menahan semula mereka untuk meneruskan tahanan siasatan tanpa mendapatkan kebenaran kehakiman. Pada bulan Jun kumpulan hak asasi manusia, SUARAM mendakwa polis menangkap dan menahan seorang lelaki yang disyaki melakukan aktiviti geng sebanyak enam kali. Pada masa sama, polis menahan suspek dalam bidang kuasa yang berbeza selepas mahkamah menafikan permohonan untuk melanjutkan penahanannya. Polis juga menahan suspek di bawah undang-undang yang berbeza untuk melanjutkan penahanannya.

Sesetengah NGO menegaskan bahawa pendekatan polis yang “menangkap dahulu, menyiasat kemudian” adalah berleluasa, terutamanya dalam kes yang melibatkan tuduhan terorisme. Mengikut undang-undang orang yang ditahan mesti diberitahu sebab ditahan oleh pegawai polis yang melakukan penahanan.

Jaminan biasanya tersedia untuk orang yang dituduh melakukan jenayah yang tidak boleh dihukum oleh hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati. Jumlah dan ketersediaan jaminan adalah berdasarkan budi bicara hakim. Orang yang diberikan jaminan biasanya mesti menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah.

Polis mesti memaklumkan tahanan mengenai hak untuk menghubungi ahli keluarga dan berunding dengan peguam pilihan mereka. Walau bagaimanapun, polis sering menafikan akses tahanan kepada peguam dan menyoal suspek tanpa membenarkan kehadiran peguam. Polis mewajarkan amalan ini sebagai perlu untuk mengelakkan gangguan dalam penyiasatan yang sedang berjalan, dan mahkamah umumnya mengesahkan amalan tersebut.

Walaupun pihak berkuasa secara amnya menganggap komunikasi peguam-klien sebagai hak istimewa, pada bulan Ogos Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menyoal peguam yang mengiringi klien mereka untuk perbicaraan SPRM (tanpa arahan mahkamah) mengenai interaksi mereka dengan pelanggan mereka.

Pihak polis ada kalanya tidak membenarkan akses segera kepada ahli keluarga atau pelawat lain.

Undang-undang membenarkan penahanan seorang saksi material dalam kes jenayah jika orang itu mungkin melarikan diri.

Penangkapan Sembarangan: Pihak berkuasa kadangkala menggunakan kuasa mereka untuk menakut-nakutkan dan menghukum pihak yang melawan kerajaan. Aktivis dan pengkritik kerajaan sering mengalami penangkapan pada larut malam, disoal siasat selama berjam-jam, dan direman dalam tempoh yang panjang, walaupun mereka akhirnya tidak didakwa atas kesalahan. Pada bulan Jun, BERSIH, sebuah gabungan NGO yang berkempen untuk reformasi pilihan raya, mengemukakan satu memorandum kepada SUHAKAM dengan melaporkan bahawa polis telah melakukan 119 tangkapan atau siasatan berkaitan aktiviti BERSIH antara 2016 hingga Mei 2017.

Tahanan Praperbicaraan: Mahkamah yang sesak dan kekurangan pekerja kerap menyebabkan penahanan praperbicaraan yang panjang, kadang-kadang berlangsung beberapa tahun. Pusat Kajian Penjara Antarabangsa melaporkan bahawa tahanan praperbicaraan membentuk kira-kira 26 peratus daripada populasi banduan pada pertengahan 2015.

Keupayaan Tahanan untuk Mencabar kesahihan Penahanan di Mahkamah:  Tahanan mempunyai hak untuk mencabar penahanan mereka dengan memfailkan permohonan habeas corpus. Namun, mereka jarang berjaya, terutamanya apabila didakwa di bawah undang-undang tahanan pencegahan.

e. Penafian Perbicaraan Awam yang Adil

Tiga perkara dalam perlembagaan memperuntukkan asas bagi suatu penghakiman bebas. Namun peruntukan perlembagaan yang lain, undang-undang yang menyekat semakan penghakiman, dan pengaruh eksekutif ke atas pelantikan kehakiman mengehadkan kebebasan kehakiman dan mengukuhkan pengaruh eksekutif ke atas sistem kehakiman. Badan kehakiman yang dipolitikkan sering mengalah kepada pihak polis atau pihak berkuasa eksekutif dalam kes yang dianggap oleh pihak-pihak ini sebagai menjejaskan kepentingan mereka.

Anggota Majlis Peguam Malaysia, wakil-wakil NGO, dan pemerhati lain menyatakan kebimbangan serius mengenai had ketara terhadap kebebasan kehakiman, dengan memetik beberapa contoh berprofil tinggi daripada keputusan mahkamah yang dibuat sewenang-wenang, pendakwaan terpilih, dan layanan istimewa kepada beberapa litigan dan peguam.

Pada bulan Ogos, Majlis Peguam Malaysia mengatakan pelanjutan kerajaan kepada Ketua Hakim dan Presiden Mahkamah Rayuan untuk tempoh jawatan mereka sebagai “tidak berperlembagaan, tidak sah, dan batal” kerana kedua-dua hakim telah mencapai umur persaraan mandatori. Pengkritik mendakwa pelanjutan itu bermotif politik dan dilakukan untuk mengehadkan kebebasan badan kehakiman.

Prosedur Perbicaraan

Peruntukan Perlembagaan menggariskan hak rakyat dalam perbicaraan. Sistem undang-undang sivil adalah berdasarkan common law Inggeris dan defendan dianggap tidak bersalah sehingga terbukti bersalah. Hakim menjalankan perbicaraan dan membuat keputusan. Perbicaraan adalah terbuka, namun hakim boleh memerintahkan liputan akhbar dihadkan. Defendan mempunyai hak untuk mendapat khidmat peguam yang dibayar oleh kerajaan jika mereka menghadapi tuduhan yang membawa hukuman mati dan boleh memohon peguam awam dalam beberapa kes lain.

Menurut Majlis Peguam Malaysia, defendan biasanya mempunyai masa dan kemudahan yang mencukupi untuk menyediakan pembelaan jika mereka mempunyai cara untuk menggunakan peguam peribadi. Jika tidak, defendan mesti bergantung kepada bantuan perundangan dan masa untuk menyiapkan perbicaraan adalah berdasarkan budi bicara hakim. Pihak berkuasa memberikan defendan khidmat terjemahan percuma dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan beberapa dialek lain yang biasa digunakan dari masa didakwa sehingga rayuan. Peraturan ketat tentang bukti terpakai di mahkamah.

Defendan mempunyai hak untuk hadir dalam perbicaraan mereka sendiri. Hak untuk menghadapi saksi dihadkan oleh peruntukan yang membolehkan identiti saksi pendakwaan dirahsiakan daripada pasukan pembelaan sebelum perbicaraan, yang menghalang pemeriksaan silang saksi itu. Defendan boleh mengemukakan saksi dan bukti bagi pihak mereka. Penemuan praperbicaraan terhad dalam kes jenayah menghalang kemampuan defendan untuk membela diri.

Defendan boleh merayu keputusan mahkamah kepada mahkamah yang lebih tinggi, tetapi hanya jika rayuan menimbulkan persoalan undang-undang atau jika keadaan material menimbulkan keraguan munasabah mengenai sabitan atau hukuman. Majlis Peguam Malaysia mendakwa sekatan-sekatan ini terlalu berlebihan.

Dalam kes-kes yang berkaitan dengan terorisme atau keselamatan negara, undang-undang membolehkan polis menahan orang walaupun selepas dibebaskan disebabkan kemungkinan rayuan oleh pihak pendakwa.

Kebanyakan pertubuhan NGO mengadu bahawa wanita tidak menerima layanan yang adil daripada mahkamah syariah, terutama dalam kes perceraian dan penjagaan anak (lihat bahagian 6).

Banduan dan Tahanan Politik

Pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim masih dalam penjara, menjalani hukuman lima tahun kerana liwat suka sama suka, pertuduhan telah ditolaknya dan banyak pemerhati antarabangsa dan organisasi hak asasi manusia melihatnya sebagai bermotif politik. Pihak berkuasa biasanya membenarkan peguam dan keluarga Anwar untuk melawatnya. Ahli keluarga telah mengatakan pegawai kadangkala mengehadkan akses Anwar kepada rawatan perubatan untuk kecederaan bahu.

Prosedur dan Remedi Kehakiman Sivil

Individu atau organisasi boleh menyaman kerajaan dan pegawai di mahkamah atas dakwaan pelanggaran hak asasi manusia. Pada bulan Julai Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan untuk memberi ganti rugi kepada Ahli Parlimen pembangkang sebanyak RM350,000 atas penangkapannya pada 2008 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Struktur kehakiman sivil mencerminkan struktur mahkamah jenayah. Banyak kes yang tertangguh sering menyebabkan kelewatan relief yang diperintah oleh mahkamah untuk plaintif sivil. Mahkamah semakin menggalakkan penggunaan perantara dan timbang tara untuk mempercepat penyelesaian.

f. Gangguan sewenang-wenang atau Menyalahi Undang-undang Terhadap Privasi, Keluarga, Tempat Kediaman, atau Surat-menyurat

Undang-undang melarang gangguan sewenang-wenang terhadap hak privasi. Namun, kadangkala pihak berkuasa mencabul hak privasi rakyat. Di bawah undang-undang keselamatan negara, polis boleh masuk dan menggeledah rumah orang yang disyaki mengancam keselamatan negara tanpa waran. Kerajaan memantau internet dan mengancam untuk menahan sesiapa yang menghantar atau menyiarkan kandungan yang dianggap oleh kerajaan sebagai ancaman terhadap keselamatan atau ketenteraman awam (lihat bahagian 2.a.).

Pihak berkuasa Islam boleh memasuki premis swasta tanpa waran untuk menangkap orang Islam yang disyaki melakukan kesalahan seperti berjudi, meminum arak, dan melakukan hubungan seks tanpa bernikah.

Kerajaan tidak mengiktiraf perkahwinan antara orang Islam dan bukan Islam dan menganggap anak yang lahir dari kesatuan itu anak luar nikah.

Pada bulan Julai Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Bahagian Pendaftaran Negara tidak terikat dengan fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang mengisytiharkan anak luar nikah, dan dengan itu tidak dapat menggunakan nama bapa mereka, jika mereka dilahirkan kurang dari enam bulan selepas perkahwinan ibu bapa. Walau bagaimanapun, kerajaan telah merayu kes itu dan berjaya memohon untuk menangguhkan pelaksanaannya.

Bahagian 2. Penghormatan terhadap Kebebasan Sivil, Termasuk:

a. Kebebasan Bersuara dan Kebebasan Akhbar

Perlembagaan membenarkan sekatan ke atas kebebasan bersuara “demi kepentingan keselamatan Persekutuan … [atau] ketenteraman awam.” Kerajaan kerap membatasi kebebasan bersuara media dan masyarakat awam, dengan memetik sebab-sebab seperti menegakkan Islam dan status istimewa orang Melayu, melindungi keselamatan negara, mengekalkan ketenteraman awam, dan memelihara hubungan persahabatan dengan negara-negara lain.

Kebebasan Meluahkan Perasaan: Undang-undang ini mengharamkan hasutan dan komen umum mengenai isu yang ditakrifkan sebagai sensitif, termasuk perkara perkauman dan agama atau kritikan terhadap raja atau sultan yang memerintah. Dakwaan hasutan selalunya diambil ke atas komen lantang oleh masyarakat sivil atau pemimpin pembangkang. Kumpulan masyarakat sivil mendakwa kerajaan umumnya gagal menyiasat dan menghukum kenyataan “menghasut” serupa yang dibuat oleh orang prokerajaan atau pro-Melayu.

Prosedur undang-undang sebelum perbicaraan hasutan yang dijangka berlaku terhadap kartunis politik Zulkiflee Anwar Al Haque, lebih dikenali sebagai Zunar, diteruskan pada bulan November. Tuduhan, yang bermula dari 2016, ini dibuat berikutan penerbitan kartun yang mengkritik Perdana Menteri. Zunar juga telah dihalang daripada pergi ke luar negara sejak didakwa, namun dia mencabar keputusan itu secara berasingan di mahkamah. Pada bulan November, Mahkamah Tinggi mengekalkan larangan perjalanan itu.

Pihak berkuasa imigresen menahan Mustafa Akyol, seorang wartawan Turki dan felo pelawat di Projek Kebebasan Universiti Wellesley, ketika dia cuba untuk meninggalkan negara pada 25 September selepas memberikan ceramah. Akyol sebelum ini dipanggil oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan berhubung dengan ucapan yang disampaikan di sebuah kelab persendirian. Pihak berkuasa agama kemudian menyoalnya di bawah undang-undang yang melarang individu untuk mengajar “apa-apa perkara yang berkaitan dengan agama Islam” tanpa kebenaran.

Kebebasan Akhbar dan Media: Parti politik dan individu yang dikaitkan dengan parti pemerintah memiliki atau menguasai majoriti saham dalam hampir semua media cetak dan penyiaran, yang kebanyakannya adalah prokerajaan secara aktif. Saluran media dalam talian adalah lebih bebas, tetapi sering kali menjadi sasaran tindakan undang-undang dan gangguan.

Kerajaan mengenakan kawalan terhadap kandungan berita, baik dalam media cetak dan penyiaran; menghukum penerbit “berita berniat jahat” dan mengharamkan, menghalang, atau mengehadkan penerbitan yang dipercayai menjadi ancaman terhadap ketenteraman, moral, atau keselamatan negara. Kerajaan mempunyai kuasa untuk menggantung penerbitan atas sebab-sebab ini, dan mengekalkan kawalan yang berkesan ke atas proses pelesenan. Pada bulan Mei, kerajaan mendakwa ketua eksekutif laman web berita dalam talian Malaysiakini atas dakwaan menggunakan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian secara tidak betul di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menerbitkan video yang mana seorang bekas pegawai parti pemerintah mengkritik peguam negara kerana membersihkan Perdana Menteri atas penglibatannya dalam skandal rasuah. Kerajaan sebelum ini telah menuduh editor Malaysiakini kerana terlibat dalam insiden yang sama pada bulan November 2016. NGO antarabangsa mengatakan tuduhan itu “begitu membimbangkan, dan juga berlaku pelanggaran jelas terhadap undang-undang hak asasi manusia antarabangsa mengenai kebebasan bersuara.” Perbicaraan dijangka bermula pada bulan Januari 2018.

Pihak berkuasa kadangkala melarang media dalam talian daripada membuat liputan sidang akhbar kerajaan.

Keganasan dan Gangguan: Wartawan tertakluk kepada gangguan dan ugutan. Pada bulan Januari, dua wartawan telah ditangkap ketika membuat liputan tentang satu protes oleh sekumpulan orang asli terhadap penebangan hutan di tanah mereka. Wartawan mengatakan pegawai Jabatan Perhutanan menggari mereka dan cuba untuk menakut-nakutkan mereka secara fizikal untuk menghalang mereka daripada melaporkan protes itu. Mereka dibebaskan selepas 12 jam dan tiada dakwaan yang difailkan terhadap mereka.

Penapisan atau Sekatan Kandungan: Kerajaan menapis media, terutama media cetak dan penyiaran. Di samping mengawal kandungan berita dengan mengharamkan atau menyekat penerbitan yang dipercayai mengancam ketenteraman, moral, atau keselamatan negara, kerajaan mendakwa wartawan atas “berita jahat” yang dilaporkan namun kurang atau tidak mengambil tindakan terhadap orang atau organisasi yang mengasari wartawan. Undang-undang mewajibkan permit untuk memiliki mesin cetak, dan pencetak selalunya enggan mencetak penerbitan yang kritikal terhadap kerajaan kerana takut akan tindakan balas. Dasar sedemikian, bersama-sama dengan undang-undang antifitnah, menghalang kewartawanan atau penyiasatan bebas dan mengakibatkan penapisan sendiri yang meluas dalam media cetak dan penyiaran.

Walaupun dengan sekatan ini, penerbitan parti pembangkang, kumpulan tindakan sosial, kesatuan, laman berita internet, dan kumpulan swasta yang lain secara aktif membuat liputan tentang parti pembangkang dan selalu mencetak pandangan yang kritikal terhadap dasar kerajaan. Media dalam talian dan blog memberi pandangan dan melaporkan cerita yang tidak dipaparkan dalam akhbar arus perdana.

Kerajaan kadangkala menapis majalah, akhbar, program televisyen dan filem asing, selalunya disebabkan oleh kandungan seksual.

Sekatan kerajaan terhadap radio dan stesen televisyen juga berlaku ke atas media cetak, yang sebahagian besarnya menyokong kerajaan. Berita tentang pembangkang dalam medium ini kekal terbatas dan berat sebelah. Stesen televisyen menapis program untuk mengikuti garis panduan kerajaan.

Kerajaan pada umumnya membatasi penerbitan yang ia anggap boleh menjejaskan ketidakharmonian kaum atau agama. Kementerian Dalam Negeri mengekalkan senarai 1,653 penerbitan yang dilarang sehingga Mac. Pada bulan Oktober Menteri Dalam Negeri mengumumkan pengharaman terhadap buku Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty oleh penulis Turki Mustafa Akyol, dengan mengatakan buku itu “tidak sesuai dengan norma masyarakat di sini.”

Pada bulan Februari mahkamah mensabitkan aktivis hak asasi manusia, Lena Hendry kerana menayangkan “No Fire Zone: The Killing Fields of Sri Lanka,” sebuah dokumentari mengenai pelanggaran hak asasi manusia di Sri Lanka, tanpa kelulusan Lembaga Penapisan Filem terlebih dahulu. Dia telah diperintahkan untuk membayar denda RM10,000, tetapi pendakwa memfailkan rayuan untuk hukuman yang lebih tinggi, yang masih berjalan setakat bulan Oktober. Sebuah NGO antarabangsa mengatakan pendakwaan itu sebagai “serangan keterlaluan terhadap kebebasan asasi luahan” dan “sebahagian daripada corak gangguan dan ugutan yang  membimbangkan oleh kerajaan Malaysia terhadap mereka yang berusaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap isu-isu hak asasi manusia.”

Undang-Undang Libel/Fitnah: Undang-undang ini termasuk bahagian tentang fitnah sivil dan jenayah. Jenayah fitnah boleh dikenakan hukuman maksimum penjara dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.  Kenyataan benar boleh dianggap fitnah jika kenyataan itu bertentangan dengan kesejahteraan awam. Kerajaan dan penyokongnya menggunakan undang-undang ini, bersama-sama dengan peruntukan terhadap hasutan, untuk menghukum dan menyekat penerbitan bahan yang kritikal terhadap pegawai dan dasar kerajaan. Pada bulan April, Perdana Menteri Najib menyaman seorang Ahli Parlimen pembangkang selepas dia mendakwa bahawa pembentangan pindaan kontroversi terhadap kuasa mahkamah syariah adalah untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada dakwaan skandal rasuah. Kes ini berterusan setakat akhir tahun.

Keselamatan Negara: Pihak berkuasa sering menyebut undang-undang keselamatan negara untuk menyekat pengedaran media bagi bahan kritikal tentang dasar kerajaan dan pegawai kerajaan. Pada bulan Julai, kerajaan mengharamkan sebuah buku esei mengenai Islam sederhana yang kerajaan anggap “memudaratkan ketenteraman awam.”

Kesan Bukan Kerajaan: NGO prokerajaan berusaha membatasi kebebasan bersuara melalui aduan jenayah yang dikatakan sebagai ucapan menghasut. NGO prokerajaan juga kadangkala cuba untuk menakut-nakutkan kumpulan pembangkang melalui demonstrasi. Penganjur membatalkan pameran yang memaparkan karya kartunis politik terkenal Zunar pada bulan Julai selepas anggota sayap pemuda parti pemerintah mengancam untuk hadir. Pada bulan November 2016, ahli-ahli sayap pemuda parti pemerintah menyerbu pameran Zunar yang berbeza, memusnahkan karya seni dan mengancam kartunis secara fizikal.

Kebebasan Internet

Kerajaan umumnya mengekalkan dasar akses terhad kepada internet. Pihak berkuasa menyekat beberapa laman web dan memantau internet untuk mesej e-mel dan penyiaran blog yang dianggap mengancam keselamatan atau ketenteraman awam.

Pihak berkuasa membatasi kebebasan internet untuk membanteras pandangan politik yang berbeza dalam talian. Pada bulan Mac kerajaan mendedahkan bahawa ia menyekat 3,110 laman web pada 2016 kerana pelbagai kesalahan seperti membahayakan ketenteraman awam. Namun senarai laman yang dilarang juga termasuk laman pornografi dan perjudian.

Kerajaan memberi amaran kepada pengguna internet untuk mengelakkan kandungan yang menyinggung atau tidak senonoh dan perkara-perkara sensitif seperti agama dan kaum, dan secara agresif melakukan pendakwaan terhadap mereka yang mengkritik Islam, sultan dan raja, dan pemimpin politik.

Pada bulan Januari, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan terhadap lelaki berusia 19 tahun kerana menyiarkan komen Facebook yang mengkritik Sultan Johor. Lelaki itu dijatuhkan hukuman untuk berada di pusat pemulihan sehingga dia berumur 21 tahun. Pada bulan Ogos, kerajaan mendakwa tiga individu kerana menyiarkan imej kritikal tentang Perdana Menteri di Facebook.

Undang-undang hasutan dan fitnah membawa kepada penapisan sendiri oleh sumber kandungan internet tempatan termasuk penulis blog, penyedia berita, dan aktivis NGO.

Undang-undang itu mewajibkan penyedia internet dan perkhidmatan rangkaian lain untuk mendapatkan lesen, dan mengizinkan hukuman terhadap pemilik laman web atau blog kerana membenarkan kandungan perkauman, agama, atau politik yang menyinggung. Dengan mengambil kira pengguna yang menyiarkan kandungan sebagai penerbit, kerajaan meletakkan beban bukti terhadap pengguna dalam kes ini. NGO dan orang ramai mengkritik undang-undang itu, dengan menyatakan ia boleh menyebabkan penapisan sendiri disebabkan oleh kebimbangan liabiliti.

Menurut Bank Dunia, kira-kira 71.1 peratus penduduk negara ini mempunyai akses kepada internet.

Kebebasan Akademik dan Acara Kebudayaan

Kerajaan meletakkan beberapa sekatan ke atas kebebasan akademik, terutamanya luahan pandangan politik yang tidak disetujui, dan sekatan yang dikenakan terhadap guru dan pelajar yang menyatakan pandangan yang menentang. Kerajaan menghendaki semua kakitangan awam, ahli fakulti universiti, dan pelajar menandatangani kesetiaan kepada raja dan kerajaan. Pemimpin pembangkang dan aktivis hak asasi manusia mendakwa kerajaan menggunakan ikrar kesetiaan untuk menghalang kegiatan politik dalam kalangan kelompok ini. Walaupun ahli fakulti kadangkala mengkritik kerajaan secara terbuka, ahli akademik universiti awam mengamalkan penapisan sendiri memandangkan kemajuan kerjaya dan dana penyelidikan mereka bergantung kepada kerajaan. Pengawasan sendiri juga berlaku dalam kalangan ahli akademik di institusi swasta, didorong oleh ketakutan bahawa kerajaan mungkin membatalkan lesen institusi mereka. Undang-undang mengenakan batasan terhadap persatuan pelajar dan aktiviti politik pelajar dan fakulti.

Kerajaan kerap menapis filem, membuang kata-kata kotor, adegan ciuman, seks, dan bogel. Kerajaan juga menapis filem untuk kandungan politik dan agama tertentu. Kerajaan tidak membenarkan pawagam untuk menunjukkan filem dalam bahasa Hebrew, Yiddish atau dari Israel. Walaupun kerajaan membenarkan filem asing di festival filem tempatan, ia kadangkala menapis kandungan dengan secara fizikal menghalang skrin sehingga adegan jelik itu selesai. Peraturan penapisan media melarang filem dan lagu yang mempromosikan penerimaan orang gay (lihat bahagian 6). Pada bulan Mac Lembaga Penapisan Filem berkata filem Disney Beauty and the Beast hanya akan ditayangkan jika empat minit kandungan yang melibatkan “unsur gay” dikeluarkan. Walau bagaimanapun pembikin filem enggan membuat perubahan, kerajaan membenarkan filem itu ditayangkan secara keseluruhannya.

b. Kebebasan Berhimpun Secara Aman dan Berpersatuan

Perlembagaan memperuntukkan kebebasan berhimpun dan berpersatuan tetapi membenarkan sekatan yang difikirkan perlu atau sesuai demi kepentingan keselamatan, dan ketenteraman awam, atau (dalam hal persatuan) moral. Mematuhi sekatan kerajaan tidak melindungi sesetengah penunjuk perasaan daripada gangguan atau ditangkap.

Kebebasan Berhimpun

Perlembagaan memperuntukkan “hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata” kepada semua rakyat. Namun, beberapa undang-undang membatasi hak ini. Walau pun undang-undang tidak mewajibkan kumpulan untuk memperoleh permit bagi perhimpunan, pihak polis sering kali meletakkan sekatan masa, tempat, dan lain-lain ke atas hak untuk berhimpun.  Pihak berkuasa mengharamkan protes jalanan, dan polis kadangkala melakukan penangkapan besar-besaran ketika berhadapan demonstrasi masyarakat sivil dan pembangkang.

Pada bulan Mei mahkamah rendah mendakwa penganjur perhimpunan Bersih atas kegagalan memberikan notis awal 10 hari kepada polis untuk perhimpunan pada Oktober 2016. Pertuduhan rasmi itu adalah yang pertama terhadap aktivis Bersih, walaupun lebih daripada 100 individu, termasuk Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah, ditahan dan disoal berikutan demonstrasi kumpulan itu pada November 2016. Sebagai tindak balas kepada pertuduhan itu, sebuah NGO antarabangsa menyatakan kebimbangan “bahawa pihak berkuasa semakin bertindak balas terhadap kegiatan yang bertujuan untuk menyatakan rasa tidak puas dan protes terhadap ketidakadilan dengan penyiasatan polis yang tidak berasas.” Ia menambah, “tindakan baru-baru ini oleh polis menyerlahkan pola penyalahgunaan sistem keadilan jenayah untuk menyasar dan mengganggu aktivis politik dan pembela hak asasi manusia. ”

Pada bulan Ogos rusuhan polis menangkap 44 warganegara Myanmar dari Rohingya yang membantah keganasan di negeri Rakhine. Penunjuk perasaan telah didakwa atas pelanggaran imigresen. Undang-undang tempatan melarang rakyat bukan warganegara daripada menyertai protes.

Protes yang dianggap dapat diterima oleh kerajaan biasanya berjalan tanpa campur tangan.

Kebebasan Berpersatuan

Perlembagaan memperuntukkan hak berpersatuan. Walau bagaimanapun, kerajaan meletakkan sekatan yang ketara terhadap hak ini, dan undang-undang tertentu membatasinya. Mengikut undang-undang, hanya organisasi berdaftar dengan tujuh orang atau lebih boleh berfungsi secara sah. Kerajaan selalunya menghalang pendaftaran pertubuhan yang dianggap sangat tidak mesra kepada kerajaan atau mengenakan prasyarat yang ketat. Kerajaan boleh membatalkan pendaftaran kerana melanggar undang-undang yang mengawal persatuan.

Kerajaan mengharamkan keanggotaan dalam parti politik dan organisasi yang tidak berdaftar.

Undang-undang melarang pelajar yang memegang jawatan politik daripada menjalankan aktiviti parti politik di kampus. Pelajar juga dilarang daripada “menyatakan sokongan atau simpati” terhadap persatuan atau organisasi yang menyalahi undang-undang. Pada bulan Ogos, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan sebuah universiti untuk menggantung seorang pelajar kerana mengambil bahagian dalam demonstrasi politik luar kampus yang aman pada luar waktu pembelajaran, dengan alasan penggantungan pelajar itu tidak menjadi pelanggaran haknya untuk kebebasan bersuara atau berpersatuan.

Banyak pertubuhan hak asasi manusia dan organisasi masyarakat sivil  menghadapi kesukaran mendapatkan pengiktirafan kerajaan sebagai NGO. Akibatnya banyak NGO berdaftar sebagai syarikat, yang menimbulkan halangan undang-undang dan birokrasi untuk mengumpul wang bagi menyokong kegiatan mereka. Pihak berkuasa sering menyebut ketiadaan pendaftaran sebagai alasan untuk mengambil tindakan terhadap organisasi. Sesetengah NGO juga melaporkan kerajaan memantau aktiviti mereka untuk menakut-nakutkan mereka.

c. Kebebasan Beragama

Lihat Laporan Kebebasan Beragama Jabatan Negara A.S. di www.state.gov/religiousfreedomreport/.

d. Kebebasan Bergerak

Perlembagaan memperuntukkan kebebasan bergerak dalam negara, penghijrahan, dan penghantaran balik. Namun hak ini selalunya dibatasi oleh pegawai kerajaan persekutuan dan negeri, terutamanya di negeri-negeri di timur Malaysia iaitu Sabah dan Sarawak.

Panel rayuan memutuskan pada bulan Julai bahawa pasport yang sah tidak memberi hak kepada rakyat untuk melakukan perjalanan ke luar negara, dengan alasan bahawa hak kebebasan bergerak yang diperuntukkan dalam perlembagaan adalah terhad kepada pergerakan di dalam negara. Mahkamah juga mengesahkan hujah kerajaan bahawa ketua pengarah imigresen tidak mempunyai kewajipan untuk menjelaskan alasan untuk melarang seseorang daripada keluar negara.

Layanan Buruk Terhadap Pendatang, Pelarian, dan Orang Tanpa Kerakyatan: Kerajaan umumnya tidak menghalang organisasi yang memberi perlindungan dan bantuan kepada pendatang, pelarian, dan orang tanpa kerakyatan, yang kebanyakannya hidup bebas bergaul dengan masyarakat umum. Walau bagaimanapun, akses kepada mereka yang berada di pusat tahanan sering terhad.

Pendatang, pelarian, dan orang tanpa kerakyatan dianggap “pendatang tanpa izin” dan tidak menerima sokongan atau pengiktirafan kerajaan. Kerajaan membenarkan UNHCR dan pelbagai NGO untuk bekerja dengan kumpulan ini, tetapi kerjasama dengan UNHCR tidak konsisten. Sebagai contoh, kerajaan melancarkan perintis Sistem Maklumat Jejak Pelarian pada bulan April untuk mendaftarkan pelarian dan mengumpul data biometrik mereka. Kumpulan masyarakat sivil menyatakan kebimbangan bahawa program itu tidak perlu dan hanya menurunkan nilai dokumen pengenalan yang disediakan oleh UNHCR dan boleh digunakan untuk menyasar dan menahan pelarian.

Sebagai “pendatang tanpa izin”, pelarian dan lain-lain boleh dikenakan pengusiran pada bila-bila masa. Mereka juga menghadapi hukuman penjara lima tahun, denda RM10,000, atau kedua-duanya, dan hukuman mandatori tidak lebih daripada enam sebatan jika disabitkan dengan pelanggaran undang-undang imigresen.

Kebanyakan pendatang, pelarian, dan orang tanpa kerakyatan tinggal di tempat tinggal persendirian dan hidup atas sokongan daripada UNHCR dan NGO atau melakukan buruh rencam secara tidak sah. Walau bagaimanapun, kerajaan telah menahan ribuan daripada mereka di pusat tahanan imigresen dan kemudahan lain.

NGO dan pertubuhan antarabangsa yang terlibat dengan populasi ini membuat dakwaan yang boleh dipercayai tentang kesesakan, makanan dan pakaian yang tidak mencukupi, kekurangan akses tetap kepada air bersih, penjagaan kesihatan yang kurang baik, sanitasi yang tidak baik, dan kekurangan tempat tidur. Sebuah NGO yang mempunyai akses kepada pusat tahanan mendakwa keadaan ini dan kekurangan pemeriksaan dan rawatan perubatan memudahkan penyebaran penyakit dan menyumbang kepada kematian. NGO menyediakan sebahagian besar penjagaan dan rawatan perubatan di pusat tahanan.

NGO tempatan dan antarabangsa menganggarkan populasi di kebanyakan 17 pusat tahanan imigresen sudah mencapai atau melebihi kapasiti, dengan beberapa tahanan ditahan selama setahun atau lebih. Jumlah yang ditahan di pusat tahanan ini tidak boleh didapati secara terbuka.

Pergerakan Dalam Negara: Sabah dan Sarawak mempunyai kawalan imigresen ke atas mereka yang masuk ke kawasan masing-masing dan mewajibkan rakyat dari Semenanjung Malaysia dan warga asing untuk mengemukakan pasport atau kad pengenalan nasional untuk kemasukan. Pihak berkuasa negeri terus menafikan kemasukan pemimpin-pemimpin pembangkang tertentu ke negeri-negeri di Malaysia timur.

Perjalanan Luar Negara: Perjalanan ke Israel adalah tertakluk kepada kelulusan dan terhad kepada tujuan keagamaan. Kerajaan juga kadangkala menggunakan kuasa untuk mengehadkan perjalanan pengkritik kerajaan. Di samping menghalang perjalanan beberapa aktivis di luar negara, kerajaan menahan sementara dan dalam beberapa kes menafikan kemasukan aktivis hak asasi manusia dari luar negara. Keputusan mahkamah pada bulan Julai bahawa pasport yang sah tidak memberi hak kepada rakyat untuk melakukan perjalanan ke luar negara membolehkan pengenaan halangan berbentuk pentadbiran  untuk perjalanan ke luar negara. Namun terdapat beberapa cabaran terhadap keputusan itu di mahkamah.

Perlindungan bagi Pelarian

Refulemen: Kerajaan tidak menyediakan perlindungan undang-undang terhadap tindakan mengusir atau menghantar balik pelarian ke negara di mana nyawa atau kebebasan mereka akan terancam disebabkan bangsa, agama, kerakyatan, keahlian dalam kumpulan sosial tertentu, atau pandangan politik mereka. Pada bulan Mei, pihak berkuasa menahan tiga warganegara Turki, salah seorang daripadanya adalah pelarian berdaftar UNHCR, dan dihantar pulang ke Turki, mengikut laporan atas permintaan kerajaan Turki.

Akses Kepada Suaka: Undang-undang tidak memperuntukkan pemberian suaka atau status pelarian. Walau bagaimanapun, kerajaan umumnya bekerjasama dengan UNHCR dan kerajaan kadangkala melaporkan pelarian yang berpotensi kepada UNHCR. Menurut statistik UNHCR, terdapat 149,147 “orang menjadi perhatian” di negara ini, termasuk 132,106 dari Myanmar, setakat 31 Ogos. Disebabkan negara ini tidak memberikan status suaka atau pelarian, misi utama UNHCR adalah menyediakan pilihan penempatan semula negara ketiga bagi populasi dalam bidang kerja UNHCR. Hingga November tahun laporan, UNHCR berjaya menempatkan semula 2,061 pelarian.

Organisasi hak asasi manusia menyatakan kebimbangan serius mengenai keadaan di pusat tahanan imigresen dan kekurangan akses kepada proses undang-undang yang adil dan perwakilan yang mencukupi semasa perbicaraan mahkamah imigresen. Majlis Peguam Malaysia telah mengkritik mahkamah imigresen di pusat tahanan kerana melakukan proses undang-undang untuk pekerja asing tanpa memberi pemahaman yang jelas mengenai tuduhan mereka dalam bahasa masing-masing dan dengan sendirinya mereka dinafikan hak untuk mendapat peguam. Di dalam perbicaraan mahkamah 15 hingga 20 pendatang sering dibicarakan bersama, dikumpulkan mengikut kesalahan yang dikenakan atas mereka. Sekiranya didapati bersalah, kos pengusiran dibayar oleh tahanan, yang menyebabkan tahanan dilanjutkan kerana pendatang tidak dapat membayar.

Kebebasan Bergerak: Kerajaan umumnya bertolak ansur dengan kehadiran pelarian dan pencari suaka tanpa dokumen, tetapi kadangkala menahan mereka atas pelbagai sebab, di penjara polis atau pusat tahanan imigresen sehingga mereka boleh diusir atau UNHCR membuat bona fide untuk mereka. Sesetengah pelarian yang memegang kad pengenalan UNHCR berkata pergerakan mereka mengehadkan di seluruh negara kerana mereka takut bahawa pihak berkuasa tidak mengiktiraf kad UNHCR.

Pekerjaan: Walaupun kerajaan tidak memberi kuasa secara sah kepada pelarian UNHCR berdaftar untuk bekerja, ia biasanya tidak mengganggu jika mereka melakukan kerja bukan formal. UNHCR melaporkan kerajaan melakukan pendakwaan, dalam beberapa kes, terhadap majikan kerana mengambil mereka bekerja. Kerajaan memulakan program perintis pada bulan Mac untuk menyediakan peluang pekerjaan secara sah untuk pelarian UNHCR Rohingya di ladang kelapa sawit. Walaupun ia satu langkah utama ke hadapan, progam perintis ini menerima penglibatan Rohingya yang terhad disebabkan oleh gaji yang tidak mencukupi untuk kerja keras di ladang terpencil, yang selalunya mereka perlu terpisah daripada keluarga. UNHCR sedang menilai semula parameter projek perintis dan menggalakkan pelbagai sektor untuk mengambil bahagian dalam projek perintis, termasuk firma perkilangan yang mana pekerjaan mungkin boleh didapati berhampiran  tempat tinggal komuniti keluarga pelarian.

Akses kepada Perkhidmatan Asas: Kerajaan menyediakan akses kepada penjagaan kesihatan pada kadar diskaun warga asing kepada pelarian UNHCR berdaftar, tetapi bukan pencari suaka, yang tidak menerima kad pendaftaran UNHCR. NGO mengendalikan klinik mudah alih, tetapi bilangan dan aksesnya adalah terhad. Pelarian tidak mempunyai akses kepada sistem pendidikan awam. Akses kepada pendidikan adalah terhad kepada sekolah-sekolah yang dikendalikan oleh NGO dan komuniti etnik. UNHCR menganggarkan kurang daripada 30 peratus kanak-kanak pelarian menghadiri sekolah. Kekurangan sumber dan guru yang bertauliah mengehadkan peluang belajar kepada majoriti anak-anak pelarian. Staf UNHCR melakukan banyak lawatan ke penjara dan pusat tahanan imigresen untuk memberikan kaunseling, sokongan, dan kemudahan  perwakilan undang-undang untuk pelarian dan pencari suaka.

Orang Tanpa Kerakyatan

Jabatan Pendaftaran Negara tidak menyimpan rekod orang tanpa kerakyatan. Anggarannya adalah berbeza-beza dan tidak konsisten. UNHCR menganggarkan terdapat 12,350 orang tanpa kerakyatan yang menetap di semenanjung Malaysia dan 450,000 orang tanpa kerakyatan di Sabah.

Undang-undang kewarganegaraan serta peraturan dan prosedur pendaftaran kelahiran mewujudkan kelas kanak-kanak yang tidak mempunyai kerakyatan dalam populasi pendatang/pelarian. Apabila ibu tidak mempunyai bukti kewarganegaraan yang sah, pihak berkuasa memasukkan kewarganegaraan kanak-kanak sebagai “tidak diketahui” pada sijil kelahiran. UNHCR menyifatkan perkara ini sebagai satu masalah yang meluas dan melaporkan bahawa, dalam populasi kira-kira 80,000 pelarian Islam Filipina di negeri timur di Sabah, kira-kira 10,000 adalah kanak-kanak yang tidak mempunyai kerakyatan secara teknikalnya.

Walaupun jika bapa adalah seorang warganegara, perkahwinan itu boleh dianggap tidak sahih dan anak adalah tidak sah jika ibu tidak mempunyai bukti kewarganegaraan; anak itu juga dianggap tidak mempunyai kerakyatan.

Sesetengah pemerhati menyatakan bahawa anak yang dilahirkan oleh pelarian dan pencari suaka Islam selalunya lebih senang mendapat kerakyatan daripada pelarian dan pencari suaka bukan Islam. Bagi pelarian yang berkahwin secara Islam, pemerhati mendakwa pihak berkuasa sering menerima dokumen UNHCR atau dokumentasi lain sebagai ganti pasport dan bukti kewarganegaraan.

Orang yang tidak mempunyai bukti kewarganegaraan tidak dapat bersekolah, mengakses perkhidmatan kerajaan seperti kos penjagaan kesihatan yang lebih rendah, atau memiliki harta sendiri.

Sejumlah NGO tempatan dan SUHAKAM menjalankan penyelidikan, mengadakan bengkel, dan menjalankan kempen kesedaran awam mengenai masalah kanak-kanak tanpa kerakyatan.

Bahagian 3. Kebebasan Mengambil Bahagian dalam Proses Politik

Undang-undang memberikan rakyat keupayaan untuk memilih kerajaan mereka melalui pilihan raya berkala yang bebas dan adil, yang diadakan melalui undi rahsia dan berdasarkan hak mengundi umum dan sama rata. Namun begitu, parti politik pembangkang berada pada kedudukan tidak menguntungkan antaranya kerana kawalan kerajaan ke atas media tradisional dan pembahagian kawasan pilihan raya yang tidak wajar.  Perikatan parti pemerintah yang berkuasa telah memegang kuasa sejak 1957.

Walaupun pihak berkuasa umumnya mencatatkan undi secara tepat, terdapat penyelewengan yang mempengaruhi keadilan dalam pilihan raya. Perlembagaan menetapkan bilangan kerusi di Parlimen yang ditetapkan untuk setiap negeri yang memberi kelebihan kepada kawasan luar bandar tanpa mengira perubahan penduduk dari semasa ke semasa. Di samping itu, ia tidak memerlukan populasi yang sama di kawasan pilihan raya di mana-mana negeri berkenaan. Setiap kawasan pilihan raya memilih seorang ahli Parlimen. Suruhanjaya Pilihan Raya telah membentuk kawasan pilihan raya dengan jumlah penduduk berbeza, yang lebih memberi kelebihan kepada penduduk luar bandar. Sebagai contoh, daerah pedalaman Igan mempunyai 18,000 pengundi berdaftar, sementara daerah bandar Kapar mempunyai lebih daripada 144,000 pengundi berdaftar. Pegawai tempatan dan perbandaran dilantik di peringkat negeri atau persekutuan.

Pilihan Raya dan Penglibatan Politik

Pilihan Raya Terkini: Berikutan dua pilihan raya kecil parlimen pada 2016, parti pembangkang dan NGO menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya menyusun semula sempadan pilihan raya dengan mengalihkan lebih daripada 100,000 pengundi di seluruh negara ke kawasan baharu tanpa memaklumkan kepada pengundi atau mendapatkan kelulusan parlimen. Pengkritik Suruhanjaya Pilihan Raya menggelar tindakan itu gerimandering yang tidak mengikut perlembagaan dan “muslihat” yang menjejaskan  sesetengah pengundi dalam pilihan raya kecil. Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya mendakwa perpindahan itu memindahkan pengundi ke pusat pengundian yang lebih dekat untuk memudahkan proses pengundian.

Pada 2016, kerajaan negeri Sarawak, yang mengekalkan autonomi ke atas imigresen, melarang masuk pemimpin pembangkang dari negeri-negeri lain semasa kempen pilihan raya negeri.

Masalah lebih perwakilan untuk beberapa kawasan pilihan raya menjejaskan pilihan raya negara pada 2013, apabila perikatan parti pemerintah memenangi 133 daripada 222 kerusi, walaupun parti pembangkang memenangi 52 peratus undi popular. Dalam laporan pasca pilihan raya, gabungan reformasi pilihan raya Bersih memetik Suruhanjaya Pilihan Raya yang tidak bebas, yang melaporkan terus kepada perdana menteri, sebagai tidak adil dan berpihak kepada Barisan Nasional yang memerintah.

Parti Politik dan Penyertaan Politik: Parti pembangkang tidak dapat bersaing secara adil dengan BN yang diketuai oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan tertakluk kepada sekatan dan gangguan luar. Kekurangan akses yang sama kepada media adalah masalah yang serius bagi pembangkang dalam pilihan raya negara. Berita mengenai pembangkang dibatasi dan dilaporkan dengan cara yang berat sebelah dalam media cetak dan penyiaran. Pendaftaran parti politik baru kekal sukar kerana sekatan kerajaan untuk proses ini. Pada bulan Julai, Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengarahkan parti pembangkang Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk mengadakan pemilihan semula kedua untuk jawatankuasa eksekutif pusatnya, dengan menggunakan senarai pemilih tahun 2012. Parti itu mengadakan pemilihan semula pada 2013 selepas RoS tidak mengiktiraf keputusan pemilihan jawatankuasa eksekutif 2012 parti itu kerana dakwaan penyelewengan. DAP mempersoalkan mengapa RoS menunggu empat tahun untuk menyatakan kebimbangan terhadap pelaksanaan pemilihan 2013. Setiausaha parti DAP menuduh tindakan RoS itu bertujuan untuk “menentukan dan mensabotaj” DAP sebelum pilihan raya umum. Pakatan pembangkang Pakatan Harapan tidak mendapat pengiktirafan rasmi oleh RoS menjelang akhir tahun.

Penyertaan Wanita dan Minoriti: Tiada undang-undang yang mengehadkan penyertaan wanita dan/atau kaum minoriti dalam proses politik, dan mereka telah pun menyertai.

Majoriti orang Melayu yang dominan memegang jawatan kepimpinan kanan kerajaan yang paling berkuasa. Bukan Melayu mengisi 11 daripada 36 jawatan menteri dan 14 daripada 32 jawatan timbalan menteri. Terdapat tiga menteri wanita dan enam timbalan menteri wanita.

Bahagian 4. Korupsi dan Kekurangan Ketelusan dalam Kerajaan

Undang-undang memperuntukkan penalti jenayah bagi rasuah oleh pegawai. Walau bagaimanapun, penguatkuasaan secara amnya memberi tumpuan kepada jenayah berskala agak kecil dan pada peringkat rendah. Terdapat persepsi meluas mengenai rasuah dan kronisme yang berleluasa dalam perikatan parti pemerintah dan institusi kerajaan. Media melaporkan banyak kes dakwaan rasuah kerajaan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertanggungjawab untuk menyiasat dan mendakwa rasuah bagi kedua-dua badan swasta dan kerajaan. Ketua Audit Negara bertanggungjawab, seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan, untuk mengaudit akaun kerajaan persekutuan dan negeri, agensi kerajaan, dan pihak berkuasa awam yang lain.

Laporan media dan kenyataan oleh pemimpin masyarakat sivil dan pembangkang mempersoalkan keupayaan dan kesanggupan kerajaan untuk mendakwa pegawai kerajaan berpangkat tinggi atas kesalahan rasuah.

Korupsi: Walaupun kerajaan berjaya mendakwa beberapa pegawai yang mengambil rasuah dan orang yang membayar rasuah, pemerhati menyatakan kerajaan tidak menghukum atau mendakwa mana-mana pegawai kanan. Wartawan, aktivis, dan ahli politik diganggu dan didakwa selepas melaporkan secara terbuka atau mengkritik rasuah pada peringkat pegawai kanan.

Menurut SPRM, antara Ogos 2016 hingga Ogos 2017, agensi itu merampas aset bernilai RM334.53 juta, peningkatan 600 peratus berbanding tahun sebelumnya. SPRM berkata ia telah membuka 952 penyiasatan (peningkatan 3 peratus), membawa 405 kes ke mahkamah (peningkatan 33 peratus), dan membuat 910 penangkapan (peningkatan 6 peratus) dalam tempoh yang sama.

Pada bulan Ogos, SPRM telah menahan bekas pengerusi sebuah agensi kerajaan berhubung tuduhan rasuah yang berkaitan dengan pembelian sebuah hotel di London dengan harga di atas pasaran sebanyak RM495 juta. Dia tidak didakwa menjelang akhir tahun.

Dedahan Kewangan: Ahli kabinet mesti mengisytiharkan aset mereka kepada Perdana Menteri. Penjawat awam kanan perlu mengisytiharkan aset mereka kepada ketua setiausaha kerajaan. Penjawat awam junior mesti mengisytiharkan aset mereka kepada ketua jabatan mereka. Aset, liabiliti, dan kepentingan yang diisytiharkan pegawai kerajaan mestilah jelas dan tidak termasuk aset dan pendapatan pasangan dan anak yang masih dalam tanggungan. Pegawai kerajaan mesti mengisytiharkan aset mereka setiap tahun, tetapi tidak ketika memulakan atau berhenti daripada jawatan mereka. Mereka yang menolak atau gagal untuk mengisytiharkan aset mereka menghadapi tindakan tatatertib dan tidak layak untuk dinaikkan pangkat. Kerajaan tidak mengumumkan pengisytiharan ini.

Bahagian 5. Sikap Kerajaan Terhadap Siasatan Antarabangsa dan Badan Bukan Kerajaan Tentang Dakwaan Pencabulan Hak Asasi Manusia

Beberapa kumpulan hak asasi manusia tempatan dan antarabangsa umumnya dapat beroperasi tanpa sekatan kerajaan, menjalankan penyiasatan serta menyiarkan penemuan mereka berkaitan kes hak asasi manusia. Namun, kerajaan tidak selalunya bekerjasama atau responsif terhadap pandangan mereka.

Di luar bidang hak politik dan hak asasi manusia, kerajaan pada umumnya membenarkan NGO berfungsi secara bebas, bertemu dengan wakil dari beberapa NGO, dan menjawab beberapa permintaan NGO. Namun kerajaan juga mengambil tindakan terhadap beberapa NGO.

Badan Hak Asasi Manusia Kerajaan: Ditubuhkan oleh satu akta parlimen, suruhanjaya hak asasi manusia kerajaan SUHAKAM diketuai oleh seorang pengerusi dan pesuruhjaya yang dilantik oleh Agong atas syor Perdana Menteri. Pemerhati umumnya menganggap SUHAKAM pemantau hak asasi manusia yang boleh dipercayai.  SUHAKAM menjalankan latihan, membuat siasatan, menyediakan laporan, dan mengemukakan cadangan kepada kerajaan. SUHAKAM tidak diberi kuasa untuk menyiasat sebarang tuduhan berkaitan dengan kes mahkamah yang sedang berlangsung dan mesti menghentikan penyiasatannya jika tuduhan yang disiasat menjadi kes mahkamah. 

Bahagian 6. Diskriminasi, Penganiayaan Masyarakat dan Pemerdagangan Orang

Wanita

Rogol dan Keganasan Rumah Tangga: Rogol, termasuk rogol perkahwinan, adalah satu kesalahan jenayah, seperti juga kebanyakan bentuk keganasan rumah tangga. Jenayah rogol boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan. Rogol perkahwinan tidak mempunyai penalti minimum, tetapi hukuman maksimum adalah penjara lima tahun. Mengikut statistik terkini dari Kementerian Dalam Negeri, kira-kira 16 peratus daripada kes rogol yang dilaporkan telah dibawa ke mahkamah, dengan kadar disabitkan sebanyak 2.7 peratus daripada semua kes yang dilaporkan.

Banyak hospital kerajaan mempunyai pusat krisis di mana mangsa rogol dan penderaan rumah tangga boleh membuat laporan tanpa pergi ke balai polis. Kumpulan wanita menegaskan mahkamah tidak konsisten dalam menghukum perogol.

Walaupun kerajaan dan NGO menyediakan perlindungan dan menawarkan bantuan lain kepada mangsa penderaan pasangan, aktivis menegaskan bahawa mekanisme sokongan bagi mangsa keganasan rumah tangga masih tidak mencukupi. Terdapat unit siasatan seksual di setiap ibu pejabat polis untuk membantu mangsa jenayah seksual dan penganiayaan, dan kadangkala polis menyerahkan tugas kepada pakar psikologi atau kaunselor untuk memberikan sokongan emosi.

Mutilasi/Khatan Kemaluan Perempuan (FGM/C):  FGM/C adalah amalan biasa tapi data sangat terhad. Kementerian Kesihatan menggariskan panduan mengizinkan amalan ini tetapi hanya di kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan.

Gangguan Seksual: Undang-undang melarang seseorang yang berkuasa menggunakan kedudukannya untuk mengugut orang bawahan untuk melakukan hubungan seksual. Undang-undang mengklasifikasikan beberapa jenis gangguan seksual di tempat kerja sebagai kesalahan jenayah (lihat bahagian 7.d.). Peraturan tingkah laku sukarela kerajaan memberi takrif terperinci tentang gangguan seksual yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai masalah tersebut. Pemerhati menyatakan bahawa pihak berkuasa mengambil serius dakwaan itu, tetapi mangsa selalunya enggan melaporkan gangguan seksual kerana malu, kesukaran membuktikan kesalahan, dan proses perbicaraan yang panjang.

Paksaan dalam Kawalan Penduduk: Tiada laporan mengenai pengguguran paksa, pensterilan tanpa kerelaan, atau kaedah kawalan penduduk secara paksa yang lain. Anggaran mengenai kematian ibu dan kehamilan kontraseptif boleh didapati di: www.who.int/reproductivehealth/publications/monitoring/ maternal-mortality-2015/en/.

Diskriminasi: Perlembagaan melarang diskriminasi terhadap warganegara berdasarkan jantina, dan memberi hak harta yang sama rata kepada lelaki dan perempuan. Walau bagaimanapun, undang-undang syariah, yang menyimpang dari prinsip-prinsip ini dalam beberapa perkara, kadangkala digunakan. Sebagai contoh, undang-undang warisan Islam secara amnya memihak kepada keturunan lelaki dan saudara lelaki. Undang-undang syariah juga secara amnya memerlukan persetujuan suami untuk perceraian. Namun, sebilangan kecil wanita dan jumlah mereka semakin meningkat dapat memperoleh perceraian di bawah mahkamah syariah tanpa persetujuan suami mereka. Wanita bukan Islam tidak tertakluk di bawah undang-undang syariah. Undang-undang sivil memberi ibu dan bapa bukan Islam hak penjagaan yang sama rata, sementara undang-undang syariah memberi keutamaan kepada bapa. Walau bagaimanapun, empat negeri iaitu Johor, Selangor, Negeri Sembilan, dan Pahang memperluaskan hak penjagaan yang sama kepada ibu orang Islam.

Undang-undang mewajibkan gaji yang sama kepada pekerja lelaki dan perempuan untuk pekerjaan dengan nilai yang sama. Walau bagaimanapun, NGO melaporkan diskriminasi berterusan terhadap wanita di tempat kerja dari segi kenaikan pangkat dan gaji (lihat bahagian 7.d.).

 

Kanak-Kanak

Pendaftaran Kelahiran: Anak yang dilahirkan di negara ini mendapat kewarganegaraan jika salah seorang ibu bapa adalah warganegara atau pemastautin tetap pada masa kelahiran dan ibu bapanya berkahwin. Ibu bapa mesti mendaftarkan anak dalam masa 14 hari selepas kelahiran. Ibu bapa yang memohon pendaftaran lewat mestilah memberikan bukti bahawa anak itu dilahirkan di negara ini. Menurut UNHCR, anak yang dilahirkan oleh ibu warganegara Malaysia di luar negara hanya dapat memperoleh kewarganegaraan berdasarkan budi bicara kerajaan persekutuan melalui pendaftaran di konsulat Malaysia di luar negara atau di Jabatan Pendaftaran Negara. Pihak berkuasa tidak mendaftarkan anak yang dilahirkan oleh pendatang tanpa izin atau pencari suaka. UNHCR mendaftarkan anak yang dilahirkan oleh pelarian (lihat bahagian 2.d).

Pendidikan: Pendidikan adalah percuma, wajib, dan sejagat sehingga tamat sekolah rendah (enam tahun). Tiada mekanisme penguatkuasaan yang mengawal kehadiran ke sekolah. Sekolah kerajaan tidak terbuka kepada anak pendatang tanpa izin atau pelarian, sama ada berdaftar dengan UNHCR atau tidak.

Penderaan Kanak-Kanak: Penderaan kanak-kanak berlaku dalam bentuk pengabaian, penderaan fizikal, penderaan seksual (termasuk sumbang mahram), dan pembuangan bayi. Hukuman untuk penderaan kanak-kanak termasuk denda, penjara, sebat, atau gabungan hukuman-hukuman ini.

Perkahwinan Awal dan Paksa: Umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan. Perempuan beragama Islam yang lebih muda daripada 16 tahun boleh berkahwin dengan keizinan daripada mahkamah syariah. Dalam beberapa kes, pihak berkuasa menganggap perkahwinan awal sebagai penyelesaian kepada rogol statutori.

Eksploitasi Seksual Kanak-kanak: Undang-undang mengharamkan pornografi dan menyatakan bahawa kanak-kanak dianggap sebagai mangsa penderaan seksual jika dia terlibat sebagai peserta atau pemerhati dalam mana-mana aktiviti yang bersifat seks untuk tujuan pengambilan gambar, rakaman, filem, rakaman video, atau persembahan. Di bawah undang-undang, usia minimum untuk seks suka sama suka dan bukan komersial adalah 16 tahun untuk kedua-dua lelaki dan perempuan. Sabitan untuk pemerdagangan orang yang melibatkan kanak-kanak untuk tujuan eksploitasi seksual membawa hukuman tiga hingga 20 tahun penjara dan denda. Pada bulan Jun, kerajaan menubuhkan sebuah mahkamah khas untuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak untuk mempercepatkan perbicaraan. Kebanyakan perbicaraan mengambil masa bertahun-tahun untuk selesai. Pelacuran kanak-kanak wujud dan NGO tempatan menganggarkan pada 2015 bahawa 5,000 kanak-kanak terlibat dalam pekerjaan seks di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya. Namun, pihak berkuasa sering menganggap kanak-kanak yang terlibat dalam pelacuran sebagai pesalah atau sebagai pendatang tanpa izin dan bukan sebagai mangsa.

Kerajaan memberi tumpuan kepada pencegahan eksploitasi seksual kanak-kanak, termasuk eksploitasi seks komersial. Pada bulan April, parlimen meluluskan rang undang-undang untuk melindungi kanak-kanak daripada penderaan seksual, termasuk peruntukan yang boleh dikenakan kepada warganegara yang melakukan kesalahan di luar negara. Undang-undang memperuntukkan hukuman penjara enam hingga 20 tahun ke atas individu yang disabitkan kesalahan sumbang mahram. Testimoni kanak-kanak boleh diterima hanya jika ada bukti yang membenarkan, yang menimbulkan masalah khas untuk kes pencabulan sekiranya mangsa kanak-kanak itu adalah satu-satunya saksi.

Kanak-Kanak Tersingkir: Kanak-kanak jalanan adalah satu masalah yang lazim di Sabah. Anggaran populasi kanak-kanak jalanan berkisar antara beberapa ribu hingga 15,000, yang kebanyakannya dilahirkan di negara ini oleh ibu bapa imigran yang tidak sah. Pihak berkuasa mengusir pulang sesetengah ibu bapa ini yang meninggalkan anak-anak tanpa penjaga. Ketiadaan kewarganegaraan, akses kepada sekolah, dan sokongan lain yang diberikan oleh kerajaan, menjadikan kanak-kanak ini sering kali melakukan kerja buruh kasar, aktiviti jenayah, dan pelacuran untuk meneruskan hidup. Mereka yang tinggal di jalan raya terdedah kepada buruh paksa, termasuk terpaksa mengemis.

Penculikan Kanak-Kanak Antarabangsa:  Negara ini bukan satu pihak kepada Konvensyen Hague 1980 tentang Aspek Sivil Penculikan Kanak-kanak Antarabangsa. Lihat Laporan Tahunan Jabatan Negara mengenai Penculikan Anak keibubapaan Antarabangsa di travel.state.gov/content/childabduction/en/legal/compliance.html.

Anti-Semitisme

Penduduk Yahudi negara ini dianggarkan antara 100 hingga 200 orang. Anti-Semitisme adalah masalah serius di seluruh spektrum politik dan menarik sokongan yang luas dalam kalangan beberapa segmen penduduk. Kaji selidik Liga Antifitnah 2015 mendapati 61 peratus rakyat negara ini mempunyai sikap anti-Yahudi. Akhbar milik kerajaan dan kenyataan oleh pemegang jawatan politik semasa dan mantan kadangkala menyalahkan aktiviti masyarakat sivil sebagai “plot Yahudi” atau “konspirasi Yahudi.”

Pemerdagangan Orang

Lihat Laporan Jabatan Negara tentang Pemerdagangan Orang di www.state.gov/j/tip/rls/tiprpt/.

Orang Kelainan Upaya

Undang-undang memberi orang kelainan upaya hak untuk mengakses dan menggunakan kemudahan awam, kelengkapan, perkhidmatan, dan bangunan awam yang dibuka atau disediakan kepada orang awam. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertanggungjawab untuk melindungi hak orang kelainan upaya.

Bangunan kerajaan yang baharu pada umumnya mempunyai pelbagai kemudahan untuk orang kelainan upaya. Walau bagaimanapun, kerajaan tidak memberi arahan untuk kebolehaksesan kepada pengangkutan untuk orang kelainan upaya, dan pihak berkuasa mengubah suai sedikit kemudahan awam yang lebih lama untuk menyediakan akses kepada orang kelainan upaya. Kerajaan mengakui pengangkutan awam tidak “mesra untuk orang kelainan upaya” dengan mengekalkan 50 peratus pengurangan duti eksais ke atas kereta buatan tempatan dan motosikal yang disesuaikan untuk orang kelainan upaya.

Diskriminasi pekerjaan berlaku berhubung dengan orang kelainan upaya (lihat bahagian 7.d.).

Pelajar kelainan upaya menghadiri sekolah arus perdana, tetapi kebolehaksesan masih menjadi masalah yang serius. Kemudahan pendidikan berasingan juga wujud, tetapi tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan semua pelajar kelainan upaya.

Bangsa/Kaum/Etnik Minoriti

Perlembagaan memberi orang Melayu dan kumpulan peribumi lain yang secara kolektif dikenali sebagai “bumiputera”, “kedudukan istimewa” di negara ini. Peraturan dan dasar pemerintah banyak menyediakan program istimewa yang dibentuk untuk meningkatkan kedudukan ekonomi bumiputera yang merupakan penduduk majoriti.  Program sebegini memberi peluang yang terhad kepada bukan bumiputera (terutamanya etnik Cina dan India) dalam pendidikan tinggi dan pekerjaan kerajaan. Banyak industri tertakluk kepada syarat berasaskan kaum yang mensyaratkan tahap pemilikan bumiputera. Dasar perolehan dan pelesenan kerajaan memihak kepada perniagaan milik bumiputera. Kerajaan mendakwa dasar-dasar ini diperlukan untuk mencapai keharmonian kaum dan kestabilan politik.

Orang Asli

Perlembagaan memperuntukkan orang asli dan bukan asli dengan hak-hak sivil dan politik yang sama, tetapi kerajaan tidak melindungi hak ini dengan berkesan. Orang asli, yang berjumlah kira-kira 200,000, merupakan kumpulan termiskin di negara ini.

Orang asli di Semenanjung Malaysia tidak mempunyai banyak keupayaan untuk mengambil bahagian dalam keputusan yang mempengaruhi mereka. Perlembagaan memperuntukkan “kedudukan istimewa orang Melayu dan peribumi mana-mana Negeri Sabah dan Sarawak,” tetapi tidak merujuk secara khusus kepada Orang Asli. Kekaburan mengenai status masyarakat ini dalam perlembagaan membawa kepada pentafsiran terpilih oleh institusi awam yang berbeza.

Mahkamah telah memutuskan bahawa Orang Asli mempunyai hak untuk tanah adat mereka di bawah perlembagaan, tetapi NGO mengatakan kerajaan gagal mengiktiraf pengumuman mahkamah ini. Kerajaan boleh merampas tanah ini jika ia memberikan pampasan. Terdapat konfrontasi antara komuniti orang asli dan syarikat pembalakan berkenaan tanah, dan ketidakpastian mengenai hak tanah mereka mendedahkan orang asli kepada eksploitasi.

Tindakan Kekerasan, Diskriminasi, dan Penindasan lain Berdasarkan Orientasi Seksual dan Identiti Jantina

Perbuatan homoseksual adalah menyalahi undang-undang tanpa mengira usia atau persetujuan. Undang-undang menyatakan bahawa perbuatan liwat dan seks oral adalah “persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.” Namun pihak berkuasa jarang menguatkuasakan peruntukan ini.

Walau bagaimanapun, ia menjadi asas bagi kes kontroversi terhadap pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim (lihat bahagian 1.e.). Pantang larang agama dan kebudayaan terhadap perbuatan seks sejenis adalah meluas (lihat bahagian 2.a).

Pihak berkuasa sering kali mendakwa individu transgender atas “kelakuan tidak senonoh” dan “menghampiri orang dengan niat tidak bermoral” di tempat awam. Mereka yang disabitkan dengan kesalahan pertama menghadapi denda maksimum RM25 dan hukuman maksimum 14 hari penjara. Hukuman untuk sabitan berikutnya boleh didenda maksimum RM100 dan maksimum tiga bulan penjara. Penyokong atau pejuang tempatan golongan ini berpendapat bahawa wanita transgender yang dipenjarakan menjalani hukuman mereka di penjara untuk lelaki di mana polis dan banduan sering mendera mereka secara lisan dan seksual.

Satu kajian oleh kumpulan hak transgender tempatan melaporkan lebih daripada dua pertiga wanita transgender mengalami beberapa bentuk penderaan fizikal atau emosi. Pada bulan Februari, Sameera Krishnan, seorang wanita transgender, ditembak dan dibunuh dan jarinya dipotong di bandar Kuantan. Polis menahan lima suspek pada April lalu tetapi kemudian membebaskan mereka dengan jaminan. Sameera sebelum ini diculik, dipukul, dan dirogol pada 2015. Prosiding mahkamah terhadap dua lelaki yang didakwa dalam penculikan beliau pada 2015 berterusan sehingga November. Menurut NGO hak transgender tempatan, hingga November, dua wanita transgender lain dibunuh pada tahun ini.

Bahagian 7. Hak Pekerja

a. Kebebasan Persatuan dan Hak untuk Tawar Menawar Kolektif

Undang-undang memperuntukkan kebebasan yang terhad untuk persatuan dan untuk beberapa kategori pekerja untuk menubuhkan dan menyertai kesatuan sekerja, tertakluk kepada pelbagai sekatan undang-undang dan amalan.  Undang-undang memperuntukkan hak untuk mogok dan tawar menawar kolektif, tetapi kedua-duanya adalah sangat terhad. Undang-undang melarang majikan daripada mengganggu kegiatan kesatuan sekerja, termasuk pembentukan kesatuan. Undang-undang melarang majikan daripada menghukum pekerja kerana terlibat dalam aktiviti kesatuan yang sah dan mengarah majikan mengembalikan jawatan pekerja yang dipecat kerana aktiviti kesatuan.

Undang-undang melarang pegawai tentera dan polis, pekerja bersara atau dibuang kerja, atau pekerja yang dikategorikan sebagai “sulit, pengurusan, dan eksekutif” daripada menyertai kesatuan. Undang-undang juga mengehadkan penubuhan kesatuan untuk pekerja dalam perdagangan, pekerjaan atau industri yang “sama”.  Pekerja asing boleh menyertai kesatuan sekerja tetapi tidak boleh memegang jawatan kesatuan, kecuali jika mereka mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Sumber Manusia. Memandangkan ketiadaan hubungan pekerjaan langsung dengan pemilik tempat kerja, pekerja kontrak tidak boleh membentuk kesatuan dan tidak boleh berunding atau mendapat manfaat daripada perjanjian tawar menawar kolektif.

Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja dan Menteri Sumber Manusia boleh menolak pendaftaran atau menarik balik pendaftaran sesetengah kesatuan tanpa semakan kehakiman. Masa yang diperlukan untuk kesatuan diiktiraf masih tidak dapat diramalkan dan mengambil masa yang lama. Pegawai kesatuan melahirkan kekecewaan mengenai kelewatan dalam penyelesaian pertikaian pengiktirafan kesatuan; permohonan sedemikian selalunya ditolak. Sekiranya permintaan pengiktirafan kesatuan diluluskan, majikan kadangkala mencabar keputusan di mahkamah, yang membawa kepada kelewatan selama bertahun-tahun dalam mengiktiraf kesatuan.

Kebanyakan pekerja sektor swasta mempunyai hak untuk tawar menawar kolektif, walaupun rundingan ini tidak termasuk isu pemindahan, kenaikan pangkat, pelantikan, pemecatan, dan pengembalian semula kerja. Undang-undang menyekat tawar menawar kolektif dalam industri “perintis” yang dikenal pasti oleh kerajaan sebagai keutamaan pertumbuhan, termasuk pelbagai bidang teknologi tinggi. Pekerja sektor awam mempunyai hak tawar menawar kolektif, walaupun sesetengahnya hanya boleh meluahkan pendapat mengenai upah dan keadaan bekerja dan bukannya berunding secara aktif. Terdapat kelewatan yang lama dalam layanan terhadap tuntutan kesatuan untuk mendapatkan pengiktirafan untuk tujuan tawar menawar kolektif.

Mogok sektor swasta adalah sah, namun mogok ini sangat terhad. Undang-undang memperuntukkan hukuman yang tetap untuk mogok aman. Pegawai kesatuan mendakwa syarat perundangan yang dikenakan untuk mogok hampir tidak mungkin dapat dipenuhi. Undang-undang melarang mogok umum, dan kesatuan sekerja tidak boleh mogok untuk pertikaian yang berkaitan dengan pendaftaran kesatuan sekerja atau pemecatan yang tidak sah. Pekerja tidak boleh mogok dalam pelbagai industri yang dianggap “penting” dan mereka tidak boleh melakukan mogok apabila pertikaian sedang dibicarakan di Mahkamah Perusahaan.

Kerajaan tidak bersungguh-sungguh menguatkuasakan undang-undang melarang majikan daripada menghukum pekerja kerana terlibat dalam aktiviti kesatuan yang sah dan mengarah majikan mengembalikan jawatan pekerja yang dipecat kerana aktiviti kesatuan. Penalti termasuk denda, tetapi jarang dinilai dan pada umumnya tidak mencukupi untuk menghalang pelanggaran.

Kebebasan persatuan dan tawar menawar kolektif tidak dihormati sepenuhnya. Walaupun Kementerian Sumber Manusia melarang kesatuan pada peringkat kebangsaan, kementerian membenarkan tiga kesatuan persekutuan wilayah serantau (Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak) untuk beroperasi. Kesatuan ini melaksanakan sebahagian besar tanggungjawab kesatuan sekerja pada peringkat kebangsaan walaupun mereka tidak boleh melakukan tawar menawar bagi pihak kesatuan tempatan. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) ialah sebuah “persatuan” berdaftar bagi kesatuan sekerja dalam kedua-dua sektor swasta dan kerajaan yang tidak mempunyai hak untuk tawar menawar kolektif atau mogok tetapi boleh memberikan sokongan teknikal kepada ahli gabungannya.  Sesetengah pertubuhan pekerja adalah bebas daripada kerajaan, parti politik, dan majikan, tetapi kesatuan yang dikuasai majikan atau kesatuan “kuning” dilaporkan menjadi kebimbangan.

Ketidakmampuan kesatuan untuk menyediakan lebih daripada perlindungan yang terhad untuk pekerja, terutamanya pekerja asing yang terus menghadapi ancaman pengusiran, dan kelaziman diskriminasi antikesatuan tidak menggalakkan pekerja menyertai kesatuan sekerja. Dalam sesetengah keadaan, syarikat dilaporkan mengganggu pemimpin kesatuan yang mahukan pengiktirafan. Sesetengah kesatuan sekerja melaporkan bahawa kerajaan menahan atau menyekat pergerakan sesetengah ahli kesatuan di bawah undang-undang yang membenarkan tahanan sementara tanpa mendakwa tahanan melakukan jenayah. Kesatuan sekerja menegaskan sesetengah pekerja ditahan gaji mereka atau diberhentikan kerana aktiviti berkaitan kesatuan.

b. Larangan Buruh Paksa atau Wajib

Undang-undang melarang segala bentuk buruh paksa atau wajib. Lima agensi, termasuk Jabatan Tenaga Kerja dalam Kementerian Sumber Manusia, mempunyai kuasa penguatkuasaan di bawah undang-undang, tetapi pegawai mereka tidak sentiasa aktif mencari petunjuk buruh paksa.  Pertubuhan NGO terus mengkritik kekurangan sumber yang khusus untuk penguatkuasaan undang-undang.  Kerajaan terus berusaha menguatkuasakan undang-undang melarang buruh paksa.

Kerajaan sedang berunding dengan Thailand untuk mengekstradisi tiga suspek yang didakwa telah memperdagang orang Rohingya dan kumpulan lain, yang mayat mereka ditemui dalam kubur besar di kedua-dua belah sempadan Malaysia-Thailand pada 2015. Pada akhir tahun, tiada pelaku jenayah tempatan telah disabitkan dengan penyiasatan tersebut.

Jabatan Tenaga Kerja bergantung kepada bukti tidak membayar upah selama tiga bulan untuk memulakan penyiasatan dalam kes buruh paksa yang berpotensi. Penalti termasuk denda. Selain denda, pihak berkuasa sering mendakwa pelaku jenayah buruh paksa dengan jenayah yang berkaitan yang termasuk mengenakan penalti yang lebih berat.

Pindaan kepada undang-undang antipemerdagangan yang dibuat pada 2015 membenarkan mangsa pemerdagangan yang disahkan untuk bergerak bebas dan bekerja, tetapi hanya enam mangsa pemerdagangan orang memenuhi kriteria yang ditetapkan dan diberikan visa kerja pada 2016.

Majlis Antipemerdagangan Orang Kebangsaan melaporkan pegawai jabatan tenaga kerja menerima latihan khusus, termasuk dengan agensi penguatkuasaan undang-undang lain, untuk membantu meningkatkan koordinasi. Dalam Jabatan Tenaga Kerja, terdapat 30 hingga 40 “pegawai penguatkuasaan khas” yang memberi tumpuan terutamanya kepada buruh paksa dan petunjuk lain pemerdagangan orang (lihat bahagian 7.e.).

Buruh paksa berlaku dalam negara. Pelbagai sumber melaporkan kejadian buruh paksa, atau keadaan yang menunjukkan buruh paksa, dalam ladang pertanian, industri perikanan, kilang elektronik, kilang pengeluaran pakaian, tapak pembinaan, restoran, dan dalam pekerjaan pembantu rumah, dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak (juga lihat bahagian 7.c ).

Majikan, ejen pekerjaan, atau perekrut tenaga pekerja menjadikan sesetengah pendatang sebagai buruh paksa atau terikat dengan hutang. Aktivis buruh dan pertubuhan NGO hak asasi manusia melaporkan kewujudan ikatan hutang ke atas pekerja asing di sesetengah ladang, kilang dan perniagaan lain. Banyak syarikat mengupah pekerja asing menggunakan syarikat pekerjaan atau syarikat penyumberan luar dan bukannya secara langsung oleh kilang atau ladang di mana mereka bekerja. Hal ini mewujudkan ketidakpastian mengenai hubungan undang-undang antara pekerja dan syarikat penyumberan luar atau pemilik tempat kerja, dan menjadikan pekerja lebih terdedah kepada eksploitasi dan merumitkan penyelesaian pertikaian.  Wakil kesatuan sekerja menggambarkan pola tipikal melibatkan ejen perekrut dari masing-masing negara asal dan di Malaysia yang mengenakan yuran tinggi yang menjadikan pekerja terdedah kepada ikatan hutang.

Perampasan pasport oleh majikan pekerja asing, yang meluas dan secara amnya berlaku tanpa dihukum, meningkatkan pendedahan pekerja kepada kerja buruh paksa. Pekerja asing yang tidak mempunyai akses kepada pasport mereka lebih terdedah pada keadaan bekerja yang teruk, gaji yang lebih rendah daripada yang dijanjikan, potongan gaji yang tidak dijangka, dan tempat tinggal yang teruk. Pertubuhan NGO melaporkan bahawa ejen atau majikan dalam sesetengah kes mendraf kontrak yang memasukkan peruntukan menyerahkan hak pekerja untuk memegang pasport mereka kepada majikan atau ejen. Sesetengah majikan dan pekerja asing melaporkan bahawa pekerja kadangkala meminta majikan menyimpan pasport mereka kerana penggantian pasport yang hilang atau dicuri boleh menyebabkan mereka membayar wang yang jumlahnya sama dengan gaji beberapa bulan dan menyebabkan mereka terdedah kepada disoal mengenai status sah mereka. Kerajaan meningkatkan usaha penguatkuasaan undang-undang untuk menjadikan majikan bertanggungjawab di bawah undang-undang, tetapi jumlah sabitan untuk penyimpanan pasport masih rendah.

Lihat juga Laporan Jabatan Negara tentang Pemerdagangan Orang di www.state.gov/j/tip/rls/tiprpt/.

c. Larangan Buruh Kanak-Kanak dan Umur Minimum Bekerja

Undang-undang melarang pengambilan kanak-kanak di bawah umur 14 tahun tetapi memberikan beberapa pengecualian, seperti kerja ringan dalam perusahaan keluarga, kerja dalam hiburan awam, kerja yang dilakukan untuk kerajaan di sekolah atau di institusi latihan, atau bekerja sebagai perantis yang dibenarkan. Tidak ada umur minimum untuk terlibat dalam kerja-kerja ringan. Bagi kanak-kanak antara 14 hingga 18 tahun, tidak ada senarai yang menjelaskan pekerjaan atau sektor tertentu yang dianggap berbahaya dan oleh itu dilarang.

Kerajaan tidak menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang melarang buruh kanak-kanak. Mereka yang didapati melanggar undang-undang buruh kanak-kanak menghadapi hukuman penjara dan/atau denda.

Buruh kanak-kanak berlaku dalam sesetengah perniagaan keluarga. Buruh kanak-kanak di kawasan bandar adalah perkara biasa dalam sektor bukan formal, termasuk perniagaan makanan keluarga dan pasar malam, dan dalam industri kecil-kecilan. Buruh kanak-kanak juga dapat dilihat dalam kalangan pembantu rumah asing. Pertubuhan Buruh Antarabangsa menggalakkan kerajaan mengambil langkah untuk menjadikan data sedemikian boleh didapati dan bekerja dengan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk mengkaji kelaziman buruh kanak-kanak dalam industri perladangan.

Pertubuhan NGO melaporkan bahawa kanak-kanak tanpa kerakyatan di Sabah adalah lebih terdedah kepada eksploitasi buruh dalam pengeluaran minyak sawit, terpaksa mengemis, dan bekerja dalam industri perkhidmatan, termasuk restoran.  Walaupun Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang melaporkan jarang menemui kanak-kanak terlibat dalam kerja ladang di Semenanjung Malaysia, terdapat laporan lain menyebut kejadian buruh kanak-kanak berlaku di ladang kelapa sawit di seluruh negara. Eksploitasi seks komersial kanak-kanak, satu bentuk buruh kanak-kanak yang paling teruk, juga berlaku (lihat bahagian 6, Kanak-kanak).

d. Diskriminasi Berkenaan Kerja atau Pekerjaan

Undang-undang tidak melarang diskriminasi berkenaan dengan pengambilan pekerja. Namun Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja boleh menyiasat diskriminasi dalam terma dan syarat pekerjaan untuk kedua-dua pekerja asing dan tempatan. Ketua Pengarah boleh mengeluarkan arahan yang perlu kepada majikan untuk menyelesaikan perkara itu.

Majikan diwajibkan untuk menyiasat kebanyakan aduan gangguan seksual dengan cara yang ditetapkan. Kumpulan advokasi seperti Persatuan Peguam Wanita menyatakan peruntukan ini tidak cukup menyeluruh untuk memberikan bantuan secukupnya kepada mangsa.

Diskriminasi dalam penggajian dan pekerjaan berlaku berhubung dengan wanita; ahli nasional, kaum, dan etnik minoriti; dan orang kelainan upaya. Satu kod amalan membimbing semua agensi kerajaan, majikan, persatuan pekerja, pekerja, dan lain-lain berkenaan dengan penempatan orang kelainan upaya dalam pekerjaan sektor swasta. NGO hak kelainan upaya melaporkan majikan enggan menggaji individu kelainan upaya. Peraturan mensyaratkan satu peratus daripada pekerjaan sektor awam diberikan kepada orang kelainan upaya.

Pekerja asing mesti menjalani ujian mandatori untuk lebih daripada 16 penyakit (serta kehamilan). Majikan boleh segera mengusir pekerja hamil atau sakit. Pekerja asing juga menghadapi diskriminasi pekerjaan (lihat bahagian 7.b dan 7.e). Majikan juga boleh secara satu pihak menamatkan permit kerja, yang menyebabkan pekerja asing segera diusir.

Wanita mengalami diskriminasi ekonomi dalam akses kepada pekerjaan. Laporan PBB menyatakan penyertaan dalam pasaran buruh untuk wanita adalah 46.1 peratus, berbanding 78.7 peratus bagi lelaki. Majikan secara rutin bertanya tentang status perkahwinan mereka semasa temu duga kerja. Persatuan Peguam Wanita menyokong penggubalan rang undang-undang gangguan seksual yang berasingan yang mewajibkan majikan merumuskan dasar gangguan seksual. Undang-undang melarang wanita daripada terlibat dalam “kerja bawah tanah,” yang merujuk secara literal kepada pekerjaan di bawah tanah, seperti dalam pembetung, dan menyekat majikan daripada wajibkan pekerja perempuan untuk bekerja dalam kerja industri atau pertanian antara 10 malam hingga 5 pagi atau untuk memulakan kerja pada hari itu 11 jam tanpa rehat berturut-turut dari akhir tempoh kerja terakhir.

Kerajaan memperuntukkan kuota yang besar kepada majoriti bumiputera berkenaan jawatan dalam perkhidmatan awam persekutuan dan berkenaan permit dan lesen vokasional dalam pelbagai industri, yang sangat mengurangkan peluang ekonomi bagi kumpulan minoriti (lihat bahagian 6).

e. Keadaan Kerja Yang Boleh Diterima

Gaji minimum ialah RM920 sebulan di negeri Sabah dan Sarawak dan RM1,000 sebulan di Semenanjung Malaysia. Gaji minimum dikenakan kepada pekerja tempatan dan pekerja asing dalam kebanyakan sektor, kecuali perkhidmatan pembantu rumah (lihat di bawah). Kadar upah minimum adalah kurang daripada tahap pendapatan kemiskinan yang diterbitkan oleh Kementerian Kewangan di Sabah dan Sarawak.

Waktu kerja tidak boleh melebihi lapan jam sehari atau 48 jam seminggu, kecuali pekerja menerima bayaran lebih masa. Undang-undang menentukan had untuk kerja lebih masa, yang berbeza mengikut sektor, tetapi ia memberikan pengecualian.

Undang-undang memperuntukkan perlindungan bagi pembantu rumah asing hanya berkenaan dengan upah dan penamatan kontrak. Undang-undang mengecualikan mereka daripada peruntukan yang menetapkan satu hari rehat setiap minggu, kerja lapan jam sehari, dan kerja 48 jam dalam seminggu. Sebaliknya, perjanjian dua hala atau memorandum persefahaman antara kerajaan dan beberapa negara asal pekerja asing merangkumi peruntukan untuk tempoh rehat, pampasan, dan syarat pekerjaan lain untuk pembantu rumah asing, termasuk larangan ke atas penyimpanan pasport. Sesetengah majikan memotong levi yang dikenakan kerajaan ke atas syarikat-syarikat yang mengambil pekerja asing daripada upah pekerja mereka. Pada 2016 kerajaan mengumumkan rancangan untuk membuat majikan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap levi tersebut, tetapi melambatkan pelaksanaannya akibat tekanan daripada pemilik perniagaan.

Undang-undang kesihatan dan keselamatan pekerjaan meliputi semua sektor ekonomi kecuali sektor maritim dan angkatan bersenjata. Undang-undang mewajibkan pekerja menggunakan peralatan keselamatan dan bekerjasama dengan majikan untuk mewujudkan tempat kerja yang selamat dan sihat, tetapi ia tidak menyatakan hak untuk mengeluarkan diri sendiri daripada keadaan berbahaya atau mengancam tanpa dihukum. Undang-undang mengenai pampasan pekerja meliputi pekerja tempatan dan pekerja asing tetapi tidak memberi perlindungan kepada pembantu rumah asing.

Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan–terdiri daripada pekerja, majikan, dan wakil kerajaan–membuat dan menyelaras pelaksanaan langkah-langkah kesihatan dan keselamatan pekerjaan. Ia mewajibkan majikan untuk mengenal pasti risiko dan mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk menyediakan latihan keselamatan kepada pekerja, dan mengkehendaki syarikat dengan lebih daripada 40 pekerja untuk menubuhkan jawatankuasa keselamatan pengurusan bersama pekerja.

Majlis Perundingan Gaji Negara bertanggungjawab mencadangkan perubahan kepada upah minimum dan liputan bagi pelbagai sektor, jenis pekerjaan, dan wilayah. Jabatan Tenaga Kerja Kementerian Sumber Manusia menguatkuasakan gaji, keadaan bekerja, dan standard keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Pegawai penguatkuasaan tenaga kerja bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang buruh di ratusan ribu perniagaan dan di kediaman persendirian yang menggaji pembantu rumah, namun bilangan pegawai tidak mencukupi untuk menguatkuasakan pematuhan. Pegawai Jabatan Tenaga Kerja melaporkan mereka berusaha melakukan pemeriksaan buruh sekerap mungkin. Walau bagaimanapun, banyak perniagaan boleh beroperasi selama bertahun-tahun tanpa pemeriksaan.

Hukuman bagi majikan yang gagal mengikuti undang-undang bermula dengan denda bagi setiap pekerja dan boleh dinaikkan kepada hukuman penjara. Majikan boleh dikehendaki membayar gaji dan denda. Jika mereka enggan mematuhi, majikan menghadapi denda tambahan setiap hari untuk upah yang tidak dibayar. Majikan atau pekerja yang melanggar undang-undang kesihatan dan keselamatan pekerjaan adalah tertakluk kepada denda, penjara, atau kedua-duanya. Pada masa lalu, MTUC telah meminta denda yang lebih berat terhadap majikan.

Majikan tidak menghormati undang-undang mengenai upah dan waktu kerja. MTUC melaporkan bahawa bekerja 12, 14, dan 18 jam sehari adalah perkara biasa dalam industri makanan dan perkhidmatan lain. Secara umum, pekerja asing lebih cenderung mengalami keadaan bekerja dalam keadaan yang teruk, mereka bekerja di sektor-sektor yang mana pelanggaran peraturan sering berlaku, dan menghadapi cabaran dalam mendapat keadilan. Pekerja asing sering bekerja di bawah keadaan yang sukar, melakukan tugas berbahaya, gaji mereka yang dipegang oleh majikan, dan tidak mempunyai akses yang bermakna kepada penasihat undang-undang dalam kes-kes pelanggaran dan penyalahgunaan kontrak. Sesetengah pekerja mendakwa majikan memaksa mereka hidup dalam keadaan yang tidak berperikemanusiaan, merampas dokumen perjalanan mereka, dan mendera mereka secara fizikal. Majikan pembantu rumah kadangkala gagal untuk menghormati syarat-syarat pekerjaan dan menyebabkan pekerja didera. Majikan dilaporkan mengehadkan pergerakan pekerja dan penggunaan telefon mudah alih; menyediakan makanan dan tempat tinggal di bawah standard; tidak memberikan masa rehat yang mencukupi; menyerang pekerja secara fizikal dan seksual; serta mengganggu dan mengancam pekerja, termasuk dengan pengusiran.

Menurut statistik oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, 142 pekerja meninggal dunia, 2,184 mengalami kecacatan yang tidak kekal dan 103 hilang upaya kekal pada separuh pertama tahun laporan.