Laporan Hak Asasi Manusia 2019: Malaysia

Permalink: https://www.state.gov/reports/2019-country-reports-on-human-rights-practices/malaysia/

RINGKASAN EKSEKUTIF

Malaysia adalah sebuah negara raja berperlembagaan persekutuan. Negara ini mempunyai sistem parlimen kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya berkala dengan pelbagai parti dan diketuai oleh seorang Perdana Menteri. Yang di-Pertuan Agong, yang merupakan ketua negara, selalunya berfungsi dalam peranan istiadat, dan berkhidmat selama lima tahun.  Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 6 Januari selepas berkhidmat selama dua tahun. Pada bulan yang sama Sultan Abdullah menggantikan beliau. Jawatan Yang di-Pertuan Agong digilirkan dalam kalangan sultan dan raja dari sembilan negeri yang mempunyai sultan dan raja berdasarkan keturunan. Pada pilihan raya umum 2018, pakatan pembangkang Pakatan Harapan mengalahkan pakatan parti kerajaan Barisan Nasional, yang membawa kepada pemindahan pertama kuasa antara pakatan parti-parti sejak kemerdekaan pada tahun 1957. Sebelum dan semasa kempen pilihan raya, ahli politik pembangkang pada masa itu dan pertubuhan masyarakat sivil mendakwa berlaku penyelewengan pilihan raya dan kelemahan sistemik terhadap kumpulan pembangkang kerana kekurangan akses media dan pembahagian kawasan yang berpihak kepada pakatan parti yang memerintah pada masa itu.

Polis Diraja Malaysia mengekalkan keselamatan dalaman dan berada di bawah Kementerian Dalam Negeri. Pegawai penguat kuasa agama peringkat negeri mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan beberapa aspek jenayah syariah. Pihak berkuasa awam ada ketikanya tidak mengekalkan kawalan berkesan ke atas pasukan keselamatan.

Isu hak asasi manusia yang penting termasuk: laporan pembunuhan yang menyalahi undang-undang atau sewenang-wenangnya oleh kerajaan atau ejennya; laporan penyeksaan; penahanan sewenang-wenangnya; keadaan penjara yang teruk dan mengancam nyawa; gangguan sewenang-wenang atau menyalahi undang-undang terhadap privasi; laporan tentang masalah berkaitan kebebasan badan kehakiman; sekatan terhadap kebebasan meluah perasaan, akhbar, dan internet, penapisan, penyekatan laman web, dan penyalahgunaan undang-undang fitnah jenayah; gangguan yang ketara terhadap hak berhimpun secara aman dan kebebasan persatuan; sekatan ke atas dan tidak tolak ansur dalam kebebasan beragama; sekatan terhadap kebebasan bergerak; refoulemen pelarian ke negara di mana mereka akan menghadapi ancaman terhadap hidup atau kebebasan mereka; perbuatan rasuah; pemerdagangan orang; keganasan terhadap transgender; aktiviti seksual sama jantina yang dijadikan jenayah; dan buruh kanak-kanak.

Kerajaan menangkap dan mendakwa sesetengah pegawai yang terlibat dalam rasuah, penyalahgunaan jawatan, dan pencabulan hak asasi manusia. Namun kumpulan masyarakat sivil mendakwa pesalah terus bebas daripada hukuman. Kerajaan menangkap dan mendakwa beberapa pegawai yang terlibat dalam rasuah, penyelewengan, dan pelanggaran hak asasi manusia. Walau bagaimanapun kumpulan-kumpulan masyarakat sivil mendakwa kegiatan ini masih berterusan.

Bahagian 1. Menghormati Integriti Orang, Termasuk Kebebasan daripada:

a. Pengambilan Nyawa Sewenang-wenang dan Pembunuhan Lain yang Menyalahi Undang-undang atau Bermotifkan Politik

Terdapat laporan yang tersebar bahawa kerajaan atau ejennya melakukan pembunuhan sewenang-wenang atau menyalahi undang-undang, kebanyakannya dalam sistem penjara. Pihak berkuasa di Kota Kinabalu, Sabah, menahan 10 warden penjara, termasuk seorang pegawai, berhubung dengan kematian lelaki berusia 36 tahun yang ditahan di penjara pusat pada 4 Oktober.  Walaupun pada mulanya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, kes itu diklasifikasikan semula sebagai pembunuhan selepas bedah siasat mendedahkan lelaki itu mengalami kecederaan serius, disebabkan oleh objek tumpul, pada kepala dan badannya. Siasatan masih berterusan sehingga bulan November. Dalam laporan tahun 2018 mengenai kematian tahanan, organisasi bukan kerajaan (NGO) Lawyers For Liberty menggambarkan suatu “sistem rosak yang menyokong pelaku jenayah-jenayah ini.”

Siasatan ke atas penggunaan kekerasan sehingga menyebabkan kematian oleh pegawai polis hanya berlaku jika Peguam Negara memulakan siasatan atau meluluskan permohonan untuk siasatan oleh ahli keluarga si mati. Apabila Peguam Negara mengarahkan siasatan rasmi, mahkamah koroner bersidang, dan perbicaraan itu terbuka kepada orang ramai. Dalam kes sedemikian, mahkamah biasanya mengeluarkan “penghakiman terbuka” yang bermaksud bahawa tidak akan ada tindakan selanjutnya terhadap polis.

Pada bulan Jun, sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyimpulkan siasatannya ke atas tapak kubur besar Wang Kelian yang ditemui di sepanjang sempadan Thailand pada tahun 2015. Namun begitu penemuan RCI ini tidak diumumkan kepada orang ramai. Semasa memberi keterangan kepada RCI pada bulan April, S. Sivanganam, yang menyelia operasi di Wang Kelian sebagai penolong pegawai pemerintah, memberitahu dimaklum seorang pemberi maklumat pada tahun 2015 bahawa pegawai penguat kuasa undang-undang bekerjasama dengan sindiket pemerdagang orang ”untuk memastikan operasi sindiket itu berjalan tanpa sebarang halangan.” Dia berkata telah menyerahkan maklumat ini kepada pegawai polis kanan di Perlis dan Kedah, unit perisikan sempadan Kedah-Perlis, dan wakil daripada Majlis Keselamatan Negara. Disebabkan laporannya, Sivanganam berkata dia “dilarang untuk kembali untuk operasi selanjutnya.” Secara berasingan, Penolong Superintenden Polis M. Joeking, yang menemui tapak Wang Kelian, menyatakan pegawai atasannya mengarahkannya memusnahkan semua gambar di kawasan itu kecuali yang disimpan di dalam komputer pejabat batalion.

Pada bulan Mac, Lawyers for Liberty mempersoalkan pelantikan Arifin Zakaria sebagai pengerusi RCI Wang Kelian, dengan memetik “kebimbangan yang sah mengenai rekod prestasinya dalam hak asasi manusia dan perlembagaan.” Kumpulan itu juga menggesa kerajaan untuk “mengambil perhatian yang lebih tinggi dan membuat perundingan yang lebih luas dalam memutuskan pelantikan ini.”

Laporan bersama oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan NGO Fortify Rights, yang dikeluarkan pada bulan Mac, mendapati terdapat “alasan yang munasabah untuk mempercayai” bahawa “jenayah terhadap kemanusiaan” telah dilakukan di Wang Kelian.  Laporan itu menuduh sindiket jenayah transnasional melakukan pembunuhan, penghapusan, perhambaan, pemenjaraan, penyeksaan, dan perkosaan sebagai sebahagian daripada “serangan yang meluas dan sistematik” terhadap pendatang Rohingya. Seorang pesuruhjaya SUHAKAM merungut bahawa Malaysia tidak mendakwa mana-mana pegawai penguat kuasa undang-undang yang dipercayai terlibat dalam kes itu dan mempersoalkan mengapa kerajaan menangguhkan pengumuman penemuan kem itu dan kemudian memusnahkannya “dengan terlalu pantas dan terlalu cepat.”

b. Kehilangan

Panel siasatan daripada SUHAKAM mengumumkan pada 3 April tentang “keputusan muktamad” bahawa aktivis Amri Che Mat dan Pastor Kristian Raymond Koh, yang diculik masing-masing pada tahun 2016 dan 2017 adalah mangsa “kehilangan paksa oleh agen negara, iaitu Cawangan Khas.” Polis menyifatkan keputusan itu sebagai “tidak wajar.” SUHAKAM juga mendapati “kelakuan tidak wajar polis” dan “kelemahan” dalam siasatan polis. Penemuan SUHAKAM adalah berdasarkan pada “modus operandi” yang sama dalam kedua-dua kes dan kesaksian daripada isteri Amri Che Mat, yang mengatakan seorang pegawai polis mengakui kepadanya bahawa Cawangan Khas terlibat. Bagaimanapun, pegawai polis itu menafikan secara terbuka membuat kenyataan sedemikian. Sebagai tindak balas kepada pengumuman itu, beberapa NGO meminta tindakan segera terhadap mereka yang terlibat, termasuk peletakan jawatan Ketua Polis Negara (KPN) Fuzi Harun, yang mengetuai Cawangan Khas dari tahun 2015 hingga 2017. Perdana Menteri Mahathir kemudian berkata kerajaan “akan membiarkan [Fuzi Harun] bersara dahulu dan kemudian kami akan mendapat seorang lagi KPN yang akan menjalankan siasatan” ke atas kemungkinan penglibatannya. Sehingga kini, KPN baharu tidak memulakan siasatan sedemikian.

Pada 26 Jun, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengumumkan komposisi panel kerajaan untuk menyiasat pemutusan SUHAKAM bahawa Cawangan Khas bertanggungjawab atas kehilangan secara paksa Amri Che Mat dan Pastor Koh. Bagaimanapun panel ini tidak ditugaskan untuk menyiasat kehilangan itu sendiri. Dalam kenyataan berasingan, isteri kepada Amri dan Pastor Koh menyatakan panel itu hanya disertai oleh lelaki Melayu (Muslim), salah seorang daripada mereka mewakili pihak polis semasa siasatan SUHAKAM dan kemudian menolak  penemuan berkenaan. Kementerian Dalam Negeri kemudiannya melantik seorang wakil perempuan dan seorang wakil etnik Cina; pegawai polis yang terlibat dalam siasatan SUHAKAM meletak jawatan daripada panel kerajaan. Siasatan panel diteruskan pada bulan November.

Polis membuat sedikit kemajuan dalam menyiasat kehilangan Pastor Kristian Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth Sitepu, pada tahun 2016, dikatakan kerana kekurangan maklumat dalam kes itu. Pada bulan Julai Pesuruhjaya SUHAKAM Mah Weng Kwai menyatakan SUHAKAM masih “memutuskan komposisi panel dan garis masa” untuk siasatan awam terhadap kehilangan pasangan itu.

c. Seksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Kejam, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah

Tiada undang-undang khusus melarang penyeksaan. Namun, undang-undang melarang “melakukan kecederaan parah” yang merangkumi penyeksaan. Lebih 60 kesalahan dikenakan hukuman sebat, kadangkala dikenakan bersama hukuman penjara. Hakim secara rutin menjatuhkan hukuman sebatan terhadap jenayah termasuk penculikan, rogol, samun, dan kesalahan bukan keganasan seperti pemilikan dadah, jenayah pecah amanah, penyeludupan pendatang, kesalahan imigresen dan lain-lain.

Menurut SUHAKAM, 521 orang mati dalam penjara dari tahun 2015 hingga 2016, termasuk lebih 100 orang di pusat-pusat tahanan imigresen. Kerajaan mendakwa bahawa kematian dalam tahanan polis, terutama yang disebabkan oleh polis, jarang berlaku, tetapi aktivis masyarakat sivil mempertikaikan dakwaan ini. Dalam laporan hak asasi manusia tahun 2018 yang diterbitkan pada 29 Mei, NGO hak asasi manusia SUARAM menyenaraikan “jumlah yang lebih rendah” untuk kematian dalam tahanan polis sebagai salah satu daripada beberapa perkembangan positif sepanjang tahun ini.

Undang-undang sivil dan jenayah mengecualikan hukuman sebat ke atas semua wanita dan lelaki berumur lebih 50 tahun, kecuali jika disabitkan dengan rogol. Kanak-kanak lelaki antara umur 10 hingga 18 tahun boleh menerima maksimum 10 sebatan dengan “rotan ringan” di mahkamah awam.

Sesetengah peruntukan undang-undang syariah negeri, yang mentadbir isu keluarga dan jenayah tertentu di bawah Islam dan terpakai kepada semua umat Islam, juga menetapkan hukuman sebat bagi kesalahan-kesalahan tertentu. Wanita tidak dikecualikan daripada hukuman sebat di bawah undang-undang syariah, dan mahkamah-mahkamah di negara ini tidak menyelesaikan konflik antara perlembagaan, kanun jenayah, dan undang-undang syariah.

Undang-undang sivil di negeri Kelantan membenarkan mahkamah menjatuhkan hukuman sebatan terbuka atas kesalahan-kesalahan sivil tertentu, walaupun tidak ada laporan tentang hukuman itu.

Pada sidang akhbar bulan Mei, SUARAM menuduh polis menyeksa Ahmad Haikal Anur dan Muhammad Pardi ketika kedua-dua lelaki itu berada dalam tahanan berikutan penangkapan mereka pada 6 April kerana mencuri motosikal.  Ahli keluarga mereka berkata polis memukul kedua-dua lelaki itu dan menahan mereka tanpa bukti yang mereka telah melakukan jenayah. Ketua Polis Klang Selatan Shamsul Amar Ramli berkata dia akan menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap sesiapa yang melakukan kesalahan. Shamsul kemudian memfailkan laporan polis mengenai sidang akhbar SUARAM dan memanggil pekerja SUARAM untuk disoal siasat. Dalam satu kenyataan, SUARAM menyatakan ia “mengambil [tindakan] ini sebagai satu bentuk intimidasi dan penafian terhadap pendedahan mengenai kesalahan seperti yang dilaporkan.”

Pada bulan Ogos, Ali Hussein al-Rassas, seorang warganegara Yaman, memfailkan saman di mahkamah Malaysia yang menuduh kerajaan dan polis melakukan penyeksaan dan penangkapan yang salah. Menurut al-Rassas, polis menangkapnya pada tahun 2017 dan menuduhnya merancang untuk membunuh Raja Arab Saudi semasa lawatan Raja Saudi ke Kuala Lumpur. Al-Rassas berkata pihak berkuasa memukulnya di muka, belakang, dan kepala, dan menendangnya untuk memaksanya mengaku. Dia juga berkata dia tidak dibenarkan menghubungi peguam atau ahli keluarga selama hampir 30 hari. Al-Rassas diusir pada tahun 2017 tanpa dakwaan.

Keadaan Penjara dan Pusat Tahanan

Keadaan di dalam penjara dan pusat tahanan boleh menjadi teruk dan mengancam nyawa.

Keadaan Fizikal: Kesesakan di dalam penjara dan pusat tahanan imigresen, khususnya dalam kemudahan berhampiran bandar besar, masih menjadi masalah yang serius. Menurut Kementerian Dalam Negeri, 20 daripada 37 penjara di negara ini terlalu sesak. Di Selangor, Kuala Lumpur, dan Kelantan, penjara penuh sesak dengan 45 hingga 50 peratus.

Proosothaman, seorang lelaki berusia 25 tahun, meninggal dunia akibat tuberkulosis pada bulan Mei semasa dalam tahanan polis, dilaporkan selepas beberapa minggu menunjukkan gejala sakit tanpa mendapat rawatan perubatan. Lawyers for Liberty menyeru polis “untuk menjalankan siasatan segera terhadap kematian ini” yang dikatakan mempunyai “unsur jenayah cuai.”

Pentadbiran: Undang-undang membenarkan siasatan terhadap dakwaan layanan teruk. Walau bagaimanapun, perkara ini tidak selalu diamalkan. Pegawai yang didapati bertanggungjawab atas kematian dalam tahanan biasanya tidak dikenakan hukuman.

Pihak berkuasa membatasi hak untuk mengamalkan agama untuk anggota mazhab Islam yang pemerintah haramkan sebagai “sesat”.

Pemantauan Bebas: Pihak berkuasa umumnya tidak membenarkan NGO dan media untuk memantau keadaan penjara; undang-undang membenarkan hakim untuk melawat penjara bagi memeriksa keadaan dan bertanya tentang keadaan penjara kepada tahanan dan pegawai penjara. Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah, dan SUHAKAM memantau penjara berdasarkan kes demi kes.

Selepas bertahun-tahun ditentang oleh polis, Ketua Polis Negara Hamid Bador yang baharu dilantik mengumumkan pada 10 Mei bahawa Polis Diraja Malaysia bersetuju kepada penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah laku Polis (IPCMC). Polis berhujah bahawa IPCMC akan melemahkan pihak berkuasa polis dan mendakwa bahagian hal ehwal dalaman mencukupi untuk menyiasat aduan daripada orang ramai. Badan Peguam Malaysia mengalu-alukan keputusan itu, dengan menyatakan IPCMC “akan membawa anjakan baharu kepada akauntabiliti polis dan… keyakinan orang ramai.” Penubuhan secara rasmi IPCMC secara perundangan masih tertunggak di Parlimen.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) pada umumnya mempunyai akses kepada pelarian berdaftar dan pencari suaka, dan kepada orang yang menjadi kebimbangan yang tidak berdaftar yang mungkin membuat tuntutan suaka atau status pelarian dan ditahan di pusat tahanan imigresen dan penjara. Namun, akses ini tidak selalunya diberi pada masanya.

d. Penangkapan atau Penahanan Sewenang-wenang

Undang-undang melarang penangkapan dan penahanan sewenang-wenang dan memberi hak kepada sesiapa sahaja untuk mencabar undang-undang penangkapan atau penahanan di mahkamah, dan kerajaan umumnya mematuhi keperluan ini. Polis boleh menggunakan undang-undang tahanan pencegahan tertentu secara tanpa waran,  atau semakan kehakiman selama tempoh dua tahun, yang boleh diperbaharui untuk tempoh masa tak terbatas untuk menahan orang yang disyaki melakukan keganasan, jenayah terancang, aktiviti kongsi gelap, dan pengedaran dadah atau pemerdagangan orang.  Walau bagaimanapun, dalam tempoh tujuh hari daripada mula ditahan, pihak polis perlu mengemukakan sebab penahanan kepada pendakwa raya. Sekiranya pendakwa bersetuju “terdapat bukti yang mencukupi untuk membenarkan” penahanan berterusan dan siasatan lanjut, pegawai siasatan pencari fakta yang dilantik oleh Menteri Dalam Negeri mesti melaporkan dalam tempoh 59 hari kepada lembaga penahanan yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Lembaga penahanan boleh memperbaharui perintah tahanan atau mengenakan suatu perintah untuk mengehadkan tempat kediaman suspek, perjalanan, akses kepada kemudahan komunikasi dan penggunaan internet selama maksimum lima tahun. Butiran mengenai jumlah mereka yang ditahan atau di bawah perintah sekatan tidak didapati secara umum.

Pada bulan Januari SUARAM dan SUHAKAM bersama-sama menggesa kerajaan persekutuan untuk melepaskan 142 kanak-kanak yang ditahan di bawah undang-undang keselamatan Malaysia. Apabila kerajaan terdahulu memperkenalkan undang-undang itu, “ia berjanji untuk menggunakan undang-undang hanya terhadap penjenayah tegar,” kata pengarah eksekutif SUARAM pada satu sidang akhbar. “Setegar mana orang yang berusia 16 dan 17 tahun? Jika mereka disyaki membunuh, tangkap mereka dan gunakan undang-undang ke atas mereka di mahkamah… POCA [Akta Pencegahan Jenayah] tidak boleh digunakan ke atas kanak-kanak.”

Dalam kes-kes lain, undang-undang membenarkan penahanan penyiasatan sehingga 28 hari untuk mencegah suspek jenayah daripada melarikan diri atau memusnahkan keterangan semasa siasatan.

Undang-undang imigresen membenarkan pihak berkuasa untuk menangkap dan menahan orang bukan warganegara selama 30 hari sementara menunggu keputusan pengusiran.

Prosedur Penangkapan dan Layanan terhadap Tahanan

Undang-undang membenarkan pihak polis untuk menangkap dan menahan individu atas beberapa kesalahan tanpa waran, walaupun dalam keadaan jenayah tidak dilakukan atau keadaan lain yang mendesak. Untuk memudahkan penyiasatan, polis boleh menahan suspek selama 24 jam, yang boleh dilanjutkan hingga maksimum 14 hari melalui perintah mahkamah di bawah peruntukan undang-undang jenayah umum. NGO melaporkan amalan polis untuk melepaskan suspek dan kemudian dengan cepat menahan semula mereka untuk meneruskan tahanan siasatan tanpa mendapatkan kebenaran kehakiman.

Sesetengah NGO menegaskan bahawa pendekatan polis yang “tangkap dahulu, siasat kemudian” berlaku secara berleluasa, terutamanya dalam kes yang melibatkan tuduhan keganasan. Mengikut undang-undang orang yang ditahan mesti diberitahu sebab ditahan oleh pegawai polis yang melakukan penahanan.

Jaminan biasanya tersedia untuk orang yang dituduh melakukan jenayah yang tidak boleh dihukum oleh hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati. Jumlah dan ketersediaan jaminan adalah berdasarkan budi bicara hakim. Orang yang dibenarkan dijamin biasanya mesti menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah.

Polis mesti memaklumkan tahanan mengenai hak untuk menghubungi ahli keluarga dan berunding dengan peguam pilihan mereka. Walau bagaimanapun, polis sering menafikan akses tahanan kepada peguam dan menyoal suspek tanpa membenarkan kehadiran peguam. Polis mewajarkan amalan ini sebagai perlu untuk mengelakkan gangguan dalam siasatan yang sedang berjalan, dan mahkamah umumnya membenarkan amalan tersebut.

Walaupun pihak berkuasa secara amnya menganggap komunikasi peguam-klien sebagai hak istimewa, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menyoal peguam yang mengiringi klien mereka untuk perbicaraan suruhanjaya (tanpa arahan mahkamah) mengenai interaksi mereka dengan pelanggan mereka dan kandungan perbincangan mereka.

Polis kadangkala tidak membenarkan perjumpaan segera tahanan dengan anggota keluarga atau pelawat lain.

Undang-undang membenarkan penahanan seorang saksi material dalam kes jenayah jika orang itu berkemungkinan melarikan diri.

Penangkapan Sembarangan: Pihak berkuasa kadangkala menggunakan kuasa mereka untuk menakut-nakutkan dan menghukum pihak yang melawan kerajaan. Aktivis dan pengkritik kerajaan sering ditangkap pada larut malam, disoal siasat selama berjam-jam, dan direman dalam tempoh yang panjang, walaupun mereka akhirnya tidak didakwa atas kesalahan.

Tahanan Praperbicaraan: Mahkamah yang sesak dan kekurangan pekerja kerap menyebabkan penahanan praperbicaraan yang panjang, kadang-kadang berlangsung beberapa tahun.

e. Penafian Perbicaraan Awam yang Adil

Tiga perkara dalam perlembagaan memperuntukkan asas bagi suatu penghakiman bebas. Namun peruntukan perlembagaan yang lain, undang-undang yang menyekat semakan penghakiman, dan pengaruh eksekutif ke atas pelantikan kehakiman mengehadkan kebebasan kehakiman dan mengukuhkan pengaruh eksekutif ke atas sistem kehakiman. Badan kehakiman sering mengalah kepada pihak polis atau pihak berkuasa eksekutif dalam kes yang dianggap oleh pihak-pihak ini sebagai mempengaruhi kepentingan mereka.

Anggota Badan Peguam Malaysia, wakil-wakil NGO, dan pemerhati lain menyatakan kebimbangan serius mengenai had yang secara ketara dikenakan ke atas kebebasan kehakiman, dengan memetik beberapa contoh berprofil tinggi daripada keputusan mahkamah yang dibuat sewenang-wenang, pendakwaan terpilih, dan layanan istimewa kepada beberapa litigan dan peguam.

Dalam satu afidavit yang difailkan pada bulan Februari sebagai sebahagian daripada tuntutan mahkamah terhadap Ketua Hakim Richard Malanjum, seorang hakim mahkamah rayuan, Hamid Sultan Abu Backer, mendakwa terdapat campur tangan kerajaan dalam keputusan kehakiman sebelum ini dan mendakwa hakim-hakim terlibat dalam kes-kes palsu yang direka untuk memberi ganjaran kepada penyokong kerajaan dengan penyelesaian yang besar. Hamid juga berkata hakim-hakim kanan bimbang kerajaan Pakatan Harapan yang baharu akan menyiasat badan kehakiman selepas berkuasa tetapi menyedari semuanya kembali kepada “urusan seperti biasa” apabila Malanjum dan hakim lain dinaikkan pangkat.

Pada bulan April, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara 30 hari kepada peguam Arun Kasi dan denda RM40,000 selepas mendapati dia bersalah kerana mengkritik keputusan mahkamah terdahulu dalam siaran blog dalam talian. Mahkamah berkata, kenyataan Arun yang mengkritik prosedur mahkamah adalah “serius dan mencemarkan nama baik badan kehakiman secara keseluruhannya, menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman, dan memperlekeh, menghina dan menyinggung maruah, integriti dan sifat tidak berat sebelah mahkamah.” Eric Paulsen, wakil Malaysia untuk Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia, berkata hukuman itu tidak perlu, dengan menyatakan, “Keadilan bukanlah satu kebanggaan, dan setiap orang harus dibenarkan menjadi kritikal, sama ada ini betul atau salah, malah menjadi kasar atau lantang mengenai badan kehakiman. “

Prosedur Perbicaraan

Perlembagaan memperuntukkan perbicaraan yang adil dan terbuka, dan badan kehakiman umumnya menguatkuasakan hak ini. Sistem undang-undang sivil adalah berdasarkan common law British dan defendan dianggap tidak bersalah sehingga terbukti bersalah. Defendan mempunyai hak untuk segera dimaklumkan tentang tuduhan terhadap mereka, untuk perbicaraan yang tepat pada masanya, dan untuk hadir di perbicaraan mereka. Defendan mempunyai hak untuk berkomunikasi dengan peguam pilihan mereka atau mempunyai peguam yang dilantik dengan dibayar oleh kerajaan jika mereka menghadapi tuduhan yang membawa hukuman mati. Defendan juga boleh memohon untuk peguam bela kerajaan dalam sesetengah kes lain.

Menurut Majlis Peguam Malaysia, defendan biasanya mempunyai masa dan kemudahan yang mencukupi untuk menyediakan pembelaan jika mereka mempunyai cara untuk mendapatkan peguam peribadi. Sekiranya tidak, defendan mesti bergantung kepada bantuan guaman dan masa untuk menyiapkan perbicaraan adalah berdasarkan budi bicara hakim. Pihak berkuasa memberikan defendan khidmat terjemahan percuma dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan beberapa dialek lain yang biasa digunakan dari mula didakwa sehingga rayuan. Hak untuk menghadapi saksi dihadkan oleh peruntukan yang membenarkan identiti saksi pendakwaan dirahsiakan daripada pasukan pembelaan sebelum perbicaraan, yang menghalang pemeriksaan silang saksi itu. Defendan boleh mengemukakan saksi dan bukti bagi pihak mereka. Penzahiran praperbicaraan yang terhad dalam kes jenayah juga mengganggu pembelaan. Peraturan ketat tentang bukti terpakai di mahkamah. Defendan tidak boleh dipaksa untuk memberi keterangan atau mengaku bersalah.

Defendan boleh merayu keputusan mahkamah kepada mahkamah yang lebih tinggi, tetapi hanya jika rayuan itu menimbulkan persoalan undang-undang atau jika keadaan material menimbulkan keraguan munasabah mengenai sabitan atau hukuman. Badan Peguam Malaysia mendakwa sekatan-sekatan ini terlalu berlebihan.

Dalam kes-kes yang berkaitan dengan keganasan atau keselamatan negara, undang-undang membenarkan polis menahan orang walaupun selepas dibebaskan disebabkan kemungkinan rayuan oleh pihak pendakwa.

Kebanyakan pertubuhan NGO mengadu bahawa wanita tidak menerima layanan yang adil daripada mahkamah syariah, terutama dalam kes perceraian dan hak penjagaan anak (lihat bahagian 6).

Banduan dan Tahanan Politik

Tiada laporan tahanan atau banduan politik.

Prosedur dan Remedi Kehakiman Sivil

Individu atau organisasi boleh menyaman kerajaan dan pegawai di mahkamah atas dakwaan pelanggaran hak asasi manusia. Walau bagaimanapun, kes besar yang tertunggak sering menyebabkan kelewatan dalam tindakan sivil yang merugikan plaintif. Mahkamah semakin menggalakkan penggunaan pengantara dan timbang tara untuk mempercepat penyelesaian.

f. Gangguan Sewenang-wenang atau Menyalahi Undang-undang Terhadap Privasi, Keluarga, Tempat Kediaman, atau Surat-menyurat

Undang-undang melarang tindakan sedemikian. Namun, kadangkala pihak berkuasa mencabul privasi rakyat. Di bawah undang-undang keselamatan negara, polis boleh memasuki dan menggeledah rumah orang yang disyaki mengancam keselamatan negara tanpa waran. Kerajaan memantau internet dan mengancam untuk menahan sesiapa yang menghantar atau menyiarkan kandungan yang dianggap oleh kerajaan sebagai ancaman terhadap keselamatan atau ketenteraman awam (lihat bahagian 2.a.).

Pihak berkuasa Islam boleh memasuki premis swasta tanpa waran untuk menangkap orang Islam yang disyaki melakukan kesalahan seperti berjudi, meminum arak, dan melakukan hubungan seks tanpa bernikah.

Kerajaan tidak mengiktiraf perkahwinan antara orang Islam dan bukan Islam dan menganggap anak yang lahir daripada perkahwinan itu anak haram.

Tidak ada perkembangan semasa tahun ini dalam kes tertunggak daripada keputusan mahkamah rayuan 2017 bahawa Jabatan Pendaftaran Negara tidak terikat dengan fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang mengisytiharkan anak itu haram, dan dengan itu tidak boleh menggunakan nama bapa mereka, jika mereka dilahirkan kurang daripada enam bulan selepas perkahwinan ibu bapa. Walau bagaimanapun, kerajaan telah merayu kes tahun 2017 itu dan berjaya memohon untuk menangguhkan pelaksanaannya.

Bahagian 2. Penghormatan terhadap Kebebasan Sivil, Termasuk:
a. Kebebasan Bersuara dan Kebebasan Akhbar

Perlembagaan membenarkan sekatan ke atas kebebasan bersuara “demi kepentingan keselamatan Persekutuan… [atau] ketenteraman awam.” Kerajaan kerap menyekat kebebasan bersuara orang ramai, media, dan masyarakat sivil, dengan memetik sebab-sebab seperti menegakkan Islam dan status istimewa orang Melayu, melindungi keselamatan negara, mengekalkan ketenteraman awam, dan memelihara hubungan persahabatan dengan negara-negara lain.

Kebebasan Meluahkan Perasaan: Undang-undang mengharamkan hasutan dan komen umum mengenai isu yang ditakrifkan sebagai sensitif, termasuk perkara perkauman dan agama atau kritikan terhadap raja atau sultan yang memerintah.

Pada bulan Julai mahkamah sesyen mengesahkan hukuman hasutan ke atas Wan Ji, seorang pendakwah Islam dan bekas pembantu politik kerana menghina Sultan Selangor pada tahun 2012 dengan menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan sebagai tambahan kepada hukuman sembilan bulan yang dikenakan mahkamah lebih rendah. Selepas dibebaskan daripada tahanan sementara menunggu rayuan, Wan Ji berkata seorang warden polis menumbuknya tiga kali ketika dia ditahan; dia menganggap bahawa serangan itu didorong oleh politik tetapi mengatakan dia tidak pasti. Berikutan keputusan mahkamah sesyen itu, Amnesty International Malaysia menyatakan, “Sekatan ke atas hak untuk kebebasan bersuara yang dikenakan dalam Akta Hasutan diungkapkan secara sangat kabur dan tidak jelas, berpotensi mengakibatkan kedua-dua undang-undang yang keterlaluan dan berpotensi untuk disalahgunakan. Undang-undang itu sepatutnya dihapuskan sekarang, mengikut manifesto Pakatan Harapan.”

Pada bulan Ogos polis mengharamkan pendakwah Islam Zakir Naik daripada bercakap di khalayak ramai dan membuat siaran di media sosial selepas dia membuat komen menghina kumpulan minoriti etnik Cina dan India. Zakir Naik dilarang daripada bercakap tentang agama di beberapa negara lain di bawah undang-undang antikebencian. Ketua Polis Negara mengatakan larangan itu “hanya bersifat sementara,” sambil menambah bahawa “jika keadaan tidak berubah, arahan itu akan kekal.” Polis berkata mereka “memerintahkan” pegawai penguat kuasa undang-undang untuk “menasihati” penganjur acara yang melibatkan Naik untuk membatalkan penyertaannya. Polis mewajarkan tindakan mereka dengan memetik undang-undang yang membenarkan mereka mengekalkan “undang-undang dan ketenteraman” dan memelihara “keamanan dan keselamatan.” Beberapa peguam berpendapat polis tidak mempunyai kuasa untuk mengharamkan seseorang daripada bercakap di khalayak ramai di bawah peruntukan tersebut. Merujuk kepada seksyen undang-undang yang dipetik oleh polis, seorang peguam memberitahu media, “Seksyen itu hanya untuk mengenal pasti peranan pasukan polis. Ia tidak memberi kuasa eksplisit untuk melakukan apa-apa yang spesifik.”

Akhbar dan Media, Termasuk Media Dalam Talian: Parti politik dan individu yang dikaitkan dengan parti pemerintah terdahulu Barisan Nasional memiliki atau menguasai majoriti saham dalam hampir semua media cetak dan penyiaran bahasa Inggeris dan Melayu, yang kebanyakannya sangat menyokong kerajaan. Saluran media dalam talian adalah lebih bebas, tetapi sering kali menjadi sasaran tindakan undang-undang dan gangguan.

Walaupun banyak sekatan dan tekanan kerajaan; parti pembangkang, kumpulan tindakan sosial, kesatuan, laman berita internet, dan kumpulan persendirian yang lain secara aktif membuat liputan aktiviti pembangkang dan selalu menerbitkan pandangan yang kritikal terhadap dasar kerajaan. Media dalam talian dan blog memberi pandangan dan melaporkan cerita yang tidak dipaparkan dalam akhbar arus perdana.

Pihak kerajaan mengekalkan dan kadangkala menggunakan kuasa untuk mengawal kandungan berita, baik dalam media cetak dan siaran. Kerajaan mengharamkan, menyekat, atau mengehadkan penerbitan yang dipercayai menjadi ancaman terhadap ketenteraman, moral, atau keselamatan negara. Kerajaan mempunyai kuasa untuk menggantung penerbitan atas sebab-sebab ini, dan mengekalkan kawalan yang berkesan ke atas proses pelesenan.

Pada bulan Oktober, parlimen memansuhkan undang-undang Antiberita Tidak Benar, yang menjadikan “penyalahgunaan” atau penyebaran “apa-apa berita, maklumat, data atau laporan, yang mana semuanya atau sebahagiannya palsu” sebagai jenayah. Ahli parlimen mengundi untuk memansuhkan undang-undang pada bulan Ogos 2018, tetapi Dewan Negara yang dikuasai pihak pembangkang telah membatalkan keputusan itu, menangguhkan pemansuhan undang-undang tersebut.

Keganasan dan Gangguan: Wartawan tertakluk kepada gangguan dan ugutan. Pada bulan September polis memanggil Dennis Ignatius, seorang kolumnis dan bekas diplomat Malaysia untuk menyiasat kolumnya pada 16 Ogos di Free Malaysia Today yang mengkritik Zakir Naik, seorang pendakwah Islam kontroversi. Merujuk kepada percubaan India untuk mengekstradisi Naik, seorang warga negara India, dan laporan polis Naik terhadapnya kerana fitnah, Ignatius memberitahu pemberita, “Saya fikir begitu ironi bahawa pada era Malaysia Baharu, saya kini dipanggil ke balai polis untuk memberi kenyataan kerana laporan yang difailkan oleh seorang yang kena buru.“ Pada bulan Ogos polis menahan seorang wartawan asing yang telah mengambil gambar sekatan yang dibuat oleh aktivis hak orang asli di negeri Perak. Wartawan itu dibebaskan selepas campur tangan Menteri Besar Perak.

Penapisan atau Sekatan Kandungan: Kerajaan mengekalkan keupayaan untuk menapis media tetapi tidak menggunakan kuasa ini dengan kerap seperti kerajaan terdahulu. Undang-undang mewajibkan permit untuk memiliki mesin cetak, dan pencetak selalunya enggan mencetak penerbitan yang kritikal terhadap kerajaan kerana takut akan tindakan balas. Dasar sedemikian, bersama-sama dengan undang-undang antifitnah, menghalang kewartawanan atau penyiasatan bebas dan mengakibatkan penapisan sendiri dalam media cetak dan penyiaran.

Menurut NGO Reporters Without Borders, “Persekitaran umum untuk wartawan-wartawan adalah jauh lebih relaks, penapisan sendiri telah menurun secara dramatik, dan media cetak kini menawarkan pelbagai sudut pandang yang lebih lengkap dan seimbang, termasuk sokongan untuk perikatan kerajaan baharu yang diketuai oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad, dan sokongan untuk perikatan kerajaan lama, yang sekarang menjadi pembangkang. ” Reporters Without Borders mengatakan kekurangan kemajuan dalam meminda atau membatalkan undang-undang kontroversi yang menyekat kebebasan bersuara terus “memberi ancaman berterusan kepada kakitangan media, yang masih tidak dapat meluahkan diri mereka dengan bebas sepenuhnya, walaupun terdapat kemajuan ini.”

Kerajaan kadangkala menapis majalah, akhbar, dan program berita, selalunya disebabkan oleh kandungan seksual.

Sekatan kerajaan terhadap radio dan stesen televisyen juga berlaku ke atas media cetak, dan media elektronik yang sebahagian besarnya menyokong kerajaan. Stesen televisyen menapis program untuk mengikuti garis panduan kerajaan.

Kerajaan pada umumnya menyekat penerbitan yang dianggap boleh menjejaskan ketidakharmonian kaum atau agama. Kementerian Dalam Negeri mengekalkan senarai 1,715 penerbitan yang dilarang sehingga bulan November. Pada bulan April, mahkamah tinggi mengekalkan larangan terdahulu terhadap tiga buku oleh Islamic Renaissance Front (IRF) kerana buku-buku itu “mungkin memudaratkan ketenteraman dan kepentingan awam dan mungkin mencetuskan kebimbangan pendapat orang ramai.” Pengarah IRF, Farouk Musa, berkata, “Nampaknya Menteri Dalam Negeri mempunyai budi bicara mutlak dalam mengharamkan buku-buku yang tidak sesuai dengan versi Islam yang disukai oleh pihak berkuasa Islam. Pada bulan yang sama, mahkamah tinggi membatalkan larangan kerajaan terdahulu ke atas buku, Breaking Silence: Voices of Moderation—Islam in a Constitutional Democracy, oleh NGO G25.

Undang-Undang Libel/Fitnah: Undang-undang ini termasuk seksyen tentang fitnah sivil dan jenayah. Jenayah fitnah boleh dikenakan hukuman maksimum penjara dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali. Kenyataan yang benar boleh dianggap fitnah jika kenyataan itu bertentangan dengan kesejahteraan awam. Kerajaan dan penyokongnya menggunakan undang-undang ini, bersama-sama dengan peruntukan terhadap hasutan, untuk menghukum dan menyekat penerbitan bahan yang kritikal terhadap pegawai dan dasar kerajaan.

Keselamatan Negara: Pihak berkuasa di bawah kerajaan terdahulu sering menggunakan undang-undang keselamatan negara untuk menyekat pengedaran media bagi bahan kritikal tentang dasar kerajaan dan pegawai kerajaan. Kerajaan sekarang mengekalkan keupayaan untuk mengenakan sekatan-sekatan ini.

Kesan Bukan Kerajaan: NGO yang bersimpati kepada kerajaan terdahulu berusaha menyekat kebebasan bersuara melalui aduan jenayah yang dikatakan sebagai kenyataan menghasut. NGO sedemikian juga kadangkala cuba untuk menakut-nakutkan kumpulan pembangkang melalui demonstrasi.

Kebebasan Internet

Kerajaan umumnya mengekalkan dasar akses terhad kepada internet. Pihak berkuasa menyekat beberapa laman web dan memantau internet untuk mesej dan penyiaran blog yang dianggap mengancam keselamatan atau ketenteraman awam. Berikutan pilihan raya tahun 2018, kerajaan baharu memulihkan akses kepada beberapa saluran media dalam talian yang sebelum ini dihalang, termasuk Sarawak Report dan Medium.

Pihak berkuasa membatasi kebebasan internet untuk membanteras pandangan politik yang berbeza dalam talian. Pada bulan Mac, kerajaan mengumumkan bahawa ia telah menubuhkan satu unit untuk memantau media sosial untuk siaran yang provokatif. Pada bulan yang sama, mahkamah di Kuching, Sarawak, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 bulan ke atas pemilik akaun Facebook Alister Cogia kerana menyiarkan komen yang dianggap menghina Islam dan Nabi Muhammad.

Kerajaan memberi amaran kepada pengguna internet untuk mengelakkan kandungan yang menyinggung atau tidak senonoh dan perkara-perkara sensitif seperti agama dan kaum, dan secara agresif melakukan pendakwaan terhadap mereka yang mengkritik Islam, sultan dan raja, atau pemimpin politik. Pada bulan September pihak berkuasa menangkap sekurang-kurangnya lima individu kerana siaran media sosial berasingan yang menghina Islam dan kaum Melayu. Sebagai tindak balas terhadap salah satu tangkapan, seorang bekas presiden Transparency International Malaysia memberitahu media, “Kebiasaannya tindakan kerajaan tidak konsisten dan mungkin dilihat sebagai tidak ikhlas atau bermotif politik.”

Pada bulan Julai, mahkamah rayuan mengekalkan sabitan ke atas Fahmi Reza kerana menggunakan dengan cara tidak betul kemudahan rangkaian dan secara sengaja mencipta kandungan yang menyinggung perasaan berdasarkan pada siaran tahun 2016 di Facebook apabila melukis karikatur mantan perdana menteri Najib Razak berwajah badut.

Pada bulan Ogos kerajaan mengatakan ia telah merujuk kepada polis untuk siasatan lanjut lebih daripada 5,000 aduan tentang kenyataan yang menghina nabi Mohammad.

Undang-undang hasutan dan fitnah membawa kepada penapisan sendiri oleh sumber kandungan internet tempatan termasuk penulis blog, penyedia berita, dan aktivis NGO.

Undang-undang mewajibkan penyedia internet dan perkhidmatan rangkaian lain untuk mendapatkan lesen, dan membolehkan hukuman dikenakan terhadap pemilik laman web atau blog kerana membenarkan kandungan perkauman, agama, atau politik yang menyinggung. Kerajaan menganggap mereka yang menyiarkan kandungan sebagai penerbit, seterusnya meletakkan beban bukti terhadap orang yang menyiarkan kandungan itu. NGO dan orang ramai mengkritik undang-undang itu, dengan menyatakan ia boleh menyebabkan penapisan sendiri disebabkan oleh kebimbangan liabiliti.

Kebebasan Akademik dan Acara Kebudayaan

Kerajaan meletakkan beberapa sekatan ke atas kebebasan akademik, terutamanya luahan pandangan politik yang tidak disetujui, dan sekatan yang dikenakan terhadap guru dan pelajar yang menyatakan pandangan yang menentang. Kerajaan menghendaki semua kakitangan awam, ahli fakulti universiti, dan pelajar menandatangani kesetiaan kepada raja dan kerajaan. Sesetengah ahli politik dan aktivis hak asasi manusia mendakwa kerajaan menggunakan ikrar kesetiaan untuk menghalang kegiatan politik dalam kalangan kumpulan-kumpulan ini. Walaupun ahli fakulti kadangkala mengkritik kerajaan secara terbuka, ahli akademik universiti awam mengamalkan penapisan sendiri memandangkan kemajuan kerjaya dan dana penyelidikan mereka bergantung kepada kerajaan. Pengawasan sendiri juga berlaku dalam kalangan ahli akademik di institusi swasta, didorong oleh ketakutan bahawa kerajaan mungkin membatalkan lesen institusi mereka. Undang-undang mengenakan batasan terhadap persatuan pelajar dan aktiviti politik pelajar dan fakulti. Pada bulan Mac, kerajaan telah melaksanakan pindaan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti yang membenarkan pelajar mengambil bahagian dalam beberapa aktiviti politik, termasuk mengadakan pilihan raya kampus, membentuk kesatuan pelajar, mengadakan perdebatan, menganjurkan perhimpunan, dan mengambil bahagian dalam forum politik.

Memetik undang-undang hasutan, polis menyiasat peserta dalam sebuah forum bulan April mengenai penerimaan Malaysia untuk Statut Rom dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa selepas beberapa individu menuduh ahli panel menghina institusi raja negara. Salah seorang penganjur memberitahu media, “Jika ada orang membuat laporan polis, maka adalah tanggungjawab polis untuk menyiasat. Siasatan tidak bermakna akan membawa kepada tangkapan atau dakwaan. Tetapi sudah tiba masanya untuk Pakatan Harapan memansuhkan Akta Hasutan… Polis harus pergi menangkap penjenayah dan bukan menangkap orang yang ingin menggalakkan perdebatan dan perbincangan. ”

Kerajaan menapis filem yang mengandungi unsur politik dan agama tertentu, tidak membenarkan, contohnya, penayangan filem dalam bahasa Ibrani, Yiddish, atau dari Israel. Walaupun kerajaan membenarkan filem asing di festival filem tempatan, ia kadangkala menapis kandungan dengan secara fizikal menghalang skrin sehingga adegan yang dipersoalkan itu selesai. Peraturan penapisan media melarang filem dan lagu yang mempromosikan penerimaan golongan gay (lihat bahagian 6). Pada Julai, Lembaga Penapisan Filem mengeluarkan beberapa adegan daripada filem Hollywood bertajuk Rocketman kerana kandungan seks sama jenis.

b. Kebebasan Berhimpun Secara Aman dan Berpersatuan

Perlembagaan memperuntukkan kebebasan berhimpun dan berpersatuan tetapi membenarkan sekatan yang difikirkan perlu atau sesuai demi kepentingan keselamatan, dan ketenteraman awam, atau (dalam hal persatuan) moral. Mematuhi sekatan kerajaan tidak melindungi sesetengah penunjuk perasaan daripada gangguan atau ditangkap.

Kebebasan Berhimpun Secara Aman

Perlembagaan memperuntukkan “hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata” kepada rakyat. Namun, beberapa undang-undang membatasi hak ini. Walau pun undang-undang tidak mewajibkan kumpulan untuk memperoleh permit bagi perhimpunan, pihak polis sering kali meletakkan sekatan masa, tempat, dan lain-lain ke atas hak untuk berhimpun. Pihak berkuasa mengharamkan protes jalanan, dan polis kadangkala menghadapi demonstrasi masyarakat sivil dan pembangkang dengan penangkapan besar-besaran.

Protes yang dianggap dapat diterima oleh kerajaan biasanya berjalan tanpa campur tangan.

Parlimen meluluskan beberapa pindaan kepada Akta Perhimpunan Aman pada bulan Julai, termasuk menjadikan bantahan jalanan bukan jenayah dan mengurangkan tempoh notis awal yang diperlukan daripada 10 kepada 5 hari. Mengadakan perhimpunan yang berlaku tanpa notis yang sah masih dianggap sebagai kesalahan jenayah. NGO tempatan menyambut baik perubahan itu tetapi menyeru kerajaan untuk memansuhkan peruntukan-peruntukan lain dalam akta itu yang membatasi kebebasan sivil. Dalam satu kenyataan, Human Rights Watch mendapati, “Meskipun membenarkan protes jalanan dan memendekkan tempoh notis adalah langkah ke arah yang betul, semakan yang dicadangkan tidak menangani banyak masalah asas undang-undang itu. Rang undang-undang itu masih tidak menggalakkan perhimpunan aman bukannya memudahkan hak asasi ini. ”

Kebebasan Berpersatuan

Perlembagaan memperuntukkan hak berpersatuan. Walau bagaimanapun, kerajaan meletakkan sekatan yang ketara terhadap hak ini, dan undang-undang tertentu membatasinya. Mengikut undang-undang, hanya organisasi berdaftar dengan tujuh orang atau lebih boleh berfungsi secara sah. Kerajaan selalunya menghalang pendaftaran pertubuhan yang dianggap sangat tidak mesra kepada kerajaan atau mengenakan prasyarat yang ketat. Kerajaan boleh membatalkan pendaftaran kerana melanggar undang-undang yang mengawal persatuan.

Kerajaan mengharamkan keanggotaan dalam parti politik dan organisasi yang tidak berdaftar.

Pada bulan Mac, kerajaan telah melaksanakan pindaan kepada undang-undang yang membenarkan pelajar mengambil bahagian dalam beberapa kegiatan politik. Pelajar masih dilarang daripada “menyatakan sokongan atau simpati” terhadap persatuan atau organisasi yang menyalahi undang-undang.

Banyak pertubuhan hak asasi manusia dan organisasi masyarakat sivil  menghadapi kesukaran mendapatkan pengiktirafan kerajaan sebagai NGO. Akibatnya banyak NGO berdaftar sebagai syarikat, yang menghadapi halangan perundangan dan birokrasi untuk mengumpul dana bagi menyokong kegiatan mereka. Pihak berkuasa sering menyebut ketiadaan pendaftaran sebagai alasan untuk mengambil tindakan terhadap organisasi. Sesetengah NGO juga melaporkan kerajaan memantau aktiviti mereka untuk menakut-nakutkan mereka.

c. Kebebasan Beragama

Lihat Laporan Kebebasan Beragama Jabatan Negara A.S. di https://www.state.gov/religiousfreedomreport/

d. Kebebasan Bergerak

Perlembagaan memperuntukkan kebebasan bergerak dalam negara, penghijrahan, dan penghantaran balik. Namun hak ini selalunya dibatasi oleh pegawai kerajaan persekutuan dan negeri, terutamanya di negeri-negeri di timur Malaysia iaitu Sabah dan Sarawak.

Pergerakan Dalam Negara: Negeri Sabah dan Sarawak mengawal imigresen dan kemasukan ke negeri masing-masing serta mewajibkan rakyat dari Semenanjung Malaysia dan warga asing untuk mengemukakan pasport atau kad pengenalan nasional untuk kemasukan. Pihak berkuasa negeri terus menghalang kemasukan pemimpin negara tertentu ke dalam negeri-negeri ini. Sarawak mengekalkan larangan masuk antaranya ke atas Zakir Naik, seorang pendakwah Islam kontroversi; Mandeep Karpal Singh, yang sebelum ini daripada gabungan NGO untuk pilihan raya yang adil Bersih; pengerusi Bersih sekarang Thomas Fann; bekas pengerusi Maria Chin dan Ambiga Sreenevasan; Wong Chin Huat, ahli akademik dan pengerusi sumber Bersih; Jerald Joseph, pesuruhjaya SUHAKAM; dan aktivis Colin Nicholas dan Jannie Lasimbang. Kerajaan negeri sabah menarik balik larangannya ke atas aktivis politik.

Perjalanan Luar Negara: Perjalanan ke Israel adalah tertakluk kepada kelulusan dan terhad kepada tujuan keagamaan.

Pada bulan Mei, Jabatan Imigresen menarik balik sekatan perjalanan ke atas bekas Peguam Negara Apandi Ali selepas Apandi mencabar larangan itu, dengan alasan bahawa dia tidak didakwa atas sebarang kesalahan jenayah dan tidak menghadapi apa-apa tindakan undang-undang yang belum selesai. Pada tahun 2016, semasa Peguam Negara itu bersama dengan kerajaan terdahulu, Apandi membersihkan Perdana Menteri Najib Razak daripada sebarang salah laku dalam satu skandal rasuah.

e. Orang Tersingkir Dalam Negara

Tidak Berkenaan.

f. Perlindungan bagi Pelarian

Sehingga bulan Ogos, 177,690 pelarian dan pencari suaka didaftarkan dengan UNHCR di Malaysia, yang mana lebih daripada 153,000 berasal dari Burma.

Layanan Buruk Terhadap Pendatang, Pelarian, dan Orang Tanpa Kerakyatan: Kerajaan umumnya tidak menghalang organisasi yang memberi perlindungan dan bantuan kepada pendatang, pelarian, dan orang tanpa kerakyatan, yang kebanyakannya hidup bebas bergaul dengan orang ramai. Kerajaan bekerjasama tetapi secara terhad dengan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian dan organisasi kemanusiaan lain dalam memberikan perlindungan dan bantuan kepada pelarian dan pencari suaka. Oleh sebab tidak ada kerangka undang-undang untuk menangani pelarian dan pencari suaka di negara ini, UNHCR menjalankan semua aktiviti yang berkaitan dengan perlindungan, termasuk pendaftaran dan penentuan status. Kebanyakan pendatang, pelarian, dan orang tanpa kerakyatan duduk di tempat tinggal persendirian dan hidup atas sokongan daripada UNHCR, NGO atau melakukan kerja sambilan secara tidak sah. Kerajaan telah menahan ribuan daripada mereka di pusat tahanan imigresen dan kemudahan lain. Akses kepada mereka yang berada di pusat tahanan selalunya terhad.

NGO dan pertubuhan antarabangsa yang terlibat dengan populasi ini membuat tuduhan yang berwibawa tentang kesesakan yang berlebihan, makanan dan pakaian yang tidak mencukupi, kekurangan akses tetap kepada air bersih, penjagaan kesihatan yang kurang baik, sanitasi yang tidak baik, dan kekurangan tempat tidur dalam pusat penahanan imigresen. Pada bulan Julai, pertubuhan masyarakat sivil Filipina Migrante International menuduh pegawai imigresen Malaysia menahan pendatang yang ditahan dalam keadaan tidak berperikemanusiaan, dengan makanan dan air yang tidak mencukupi dan mengalami penderaan secara lisan. Kumpulan itu mendakwa seorang tahanan yang menunjukkan tanda-tanda psikosis telah diikat pada dinding dan dipaksa berdiri untuk jangka masa yang lama. NGO menyediakan sebahagian besar penjagaan dan rawatan perubatan di pusat tahanan.

NGO tempatan dan antarabangsa menganggarkan populasi di kebanyakan 17 pusat tahanan imigresen berada pada atau di luar kapasiti, dengan beberapa tahanan ditahan selama setahun atau lebih. Jumlah yang ditahan di pusat tahanan ini tidak boleh didapati secara terbuka.

Organisasi hak asasi manusia menyatakan kebimbangan serius mengenai kekurangan akses kepada proses undang-undang yang adil dan perwakilan yang mencukupi semasa perbicaraan mahkamah imigresen. Badan Peguam Malaysia mengkritik mahkamah imigresen di pusat tahanan kerana kemudahan proses undang-undang untuk pekerja asing tidak diberikan pemahaman yang jelas mengenai tuduhan terhadap mereka dalam bahasa mereka sendiri dan dengan sendirinya mereka dinafikan hak untuk nasihat perundangan. Di perbicaraan mahkamah, 15 hingga 20 pendatang sering dibicarakan bersama, dikumpulkan mengikut kesalahan yang dikenakan atas mereka. Sekiranya didapati bersalah, kos pengusiran selalunya jatuh kepada tahanan, yang menyebabkan penahanan dilanjutkan kerana pendatang tidak dapat membayar.

Refulemen: Kerajaan kadang kala secara paksa menghantar pulang pelarian ke negara-negara di mana kehidupan atau kebebasan mereka menghadapi risiko. Pada bulan Mei, pihak berkuasa Malaysia menghantar pulang secara paksa Praphan Pipithnamporn, seorang pencari suaka rakyat Thailand yang berdaftar dengan UNHCR dan dianggap sebagai “orang yang menjadi kebimbangan,” ke Thailand atas permintaan pihak berkuasa Thailand. Menurut media, kerajaan Thailand mengeluarkan waran tangkapnya pada bulan Januari, dengan “menuduh dia melakukan hasutan dan jenayah terancang kerana terlibat dengan Pertubuhan Persekutuan Thailand, sebuah kumpulan antimonarki yang aman.” Dalam satu kenyataan, Human Rights Watch berkata, “Pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Malaysia telah meletakkan seorang aktivis Thailand menghadapi risiko penahanan sewenang-wenang dan pendakwaan yang tidak adil di Thailand.”

Isteri Abdallah Mahmoud Hisham, yang dihantar pulang ke Mesir pada bulan Mac, berkata suaminya telah hilang selepas kembali ke Mesir. Human Rights Watch menyatakan bahawa Abdallah Mahmoud Hisham, bersama dengan Abdelrahman Abdelaziz Ahmed, Mohamed Fathy Eid, dan Azmy al-Sayed Mohamed, yang dihantar pulang pada masa yang sama kerana keanggotaan mereka dalam Ikhwanul Muslimin, menghadapi “risiko serius penyeksaan dan layanan buruk di Mesir. “

Akses Kepada Suaka: Undang-undang tidak memperuntukkan pemberian perlindungan suaka atau status pelarian, dan kerajaan tidak menubuhkan satu sistem untuk memberikan perlindungan kepada pelarian.

Pendatang, pelarian, dan orang tanpa kerakyatan tidak menerima sokongan kerajaan. Kerajaan membenarkan UNHCR dan NGO untuk bekerja dengan kumpulan ini, tetapi kerjasama kerajaan dengan UNHCR tidak konsisten.

Sebagai “pendatang tanpa izin”, pelarian dan lain-lain boleh dikenakan pengusiran pada bila-bila masa. Mereka juga menghadapi hukuman penjara maksimum lima tahun, denda RM10,000, atau kedua-duanya, dan hukuman mandatori maksimum enam sebatan jika disabitkan dengan pelanggaran undang-undang imigresen.

Kebebasan Bergerak: Kerajaan umumnya bertolak ansur dengan kehadiran pelarian dan pencari suaka tanpa dokumen, tetapi kadangkala menahan mereka atas pelbagai sebab, di penjara polis atau pusat tahanan imigresen sehingga mereka boleh diusir atau UNHCR mengesahkan bona fide mereka. Namun, sesetengah pelarian yang memegang kad pengenalan UNHCR melaporkan keupayaan terhad untuk bergerak di seluruh negara kerana pihak berkuasa kadangkala tidak mengenali kad UNHCR.

Pekerjaan: Walaupun kerajaan tidak membenarkan pelarian UNHCR berdaftar untuk bekerja, ia biasanya tidak mengganggu jika mereka melakukan kerja secara tidak formal. UNHCR melaporkan kerajaan melakukan pendakwaan, dalam beberapa kes, terhadap majikan kerana mengambil mereka bekerja. Pelarian yang bekerja di sektor tidak formal dibayar gaji lebih rendah berbanding pekerja yang setara dan mereka terdedah kepada eksploitasi.

Akses kepada Perkhidmatan Asas: Kerajaan menyediakan akses kepada penjagaan kesihatan pada kadar diskaun warga asing sebanyak 50% kepada pelarian yang berdaftar dengan UNHCR, tetapi tidak kepada orang tanpa kad pendaftaran UNHCR. NGO mengendalikan klinik statik dan mudah alih, tetapi bilangannya dan aksesnya adalah terhad. Pelarian tidak mempunyai akses kepada sistem pendidikan awam. Akses kepada pendidikan adalah terhad kepada sekolah-sekolah yang dikendalikan oleh NGO dan komuniti etnik. UNHCR menganggarkan kurang daripada 40 peratus kanak-kanak pelarian menghadiri sekolah. Kekurangan sumber dan guru yang bertauliah mengehadkan peluang belajar kepada majoriti anak-anak pelarian. Staf UNHCR melakukan banyak lawatan ke penjara dan pusat tahanan imigresen untuk memberikan kaunseling, sokongan, dan wakil perundangan untuk pelarian dan pencari suaka.

Perlindungan Sementara: Kerajaan menyediakan permit kediaman sementara yang boleh diperbaharui kepada sekumpulan pelarian Syria. Permit ini membenarkan kediaman sah dan memberikan hak bekerja, tetapi mesti diperbaharui setiap tahun.

g. Orang Tanpa Kerakyatan

Jabatan Pendaftaran Negara tidak menyimpan rekod orang tanpa kerakyatan. Pada tahun 2018, UNHCR menganggarkan terdapat 12,350 orang tanpa kerakyatan yang menetap di semenanjung Malaysia dan 450,000 di Sabah.

Undang-undang kerakyatan serta peraturan dan prosedur pendaftaran kelahiran menyumbang jumlah yang besar untuk kanak-kanak yang tidak mempunyai kerakyatan dalam populasi pendatang dan pelarian. Apabila ibu tidak mempunyai bukti kerakyatan yang sah, pihak berkuasa memasukkan kerakyatan kanak-kanak sebagai “tidak diketahui” pada sijil kelahiran. UNHCR menganggap masalah ini sebagai meluas.

Walaupun jika bapa adalah seorang rakyat Malaysia, perkahwinan itu boleh dianggap tidak sah dan anak adalah tidak sah jika ibu tidak mempunyai bukti kerakyatan; anak itu juga dianggap tidak mempunyai kerakyatan.

Sesetengah pemerhati menyatakan bahawa anak yang dilahirkan oleh pelarian dan pencari suaka Islam selalunya lebih senang mendapat kerakyatan daripada pelarian dan pencari suaka bukan Islam. Bagi pelarian yang berkahwin secara Islam, pemerhati mendakwa pihak berkuasa sering menerima dokumen UNHCR atau dokumentasi lain sebagai ganti pasport sebagai bukti kerakyatan.

Orang yang tidak mempunyai bukti kewarganegaraan tidak dapat mengakses perkhidmatan kerajaan seperti kos penjagaan kesihatan yang lebih rendah, atau memiliki harta tanah sendiri. Walau bagaimanapun, kerajaan persekutuan mula membenarkan kanak-kanak tanpa kerakyatan untuk mendaftarkan diri di sekolah-sekolah kerajaan jika ibu bapa dapat membuktikan bahawa bapa anak itu rakyat Malaysia. Menurut kerajaan Perak, 427 kanak-kanak tanpa kerakyatan dan tanpa dokumen dibenarkan menghadiri sekolah-sekolah di negeri ini pada bulan April.

Pada bulan Februari, Menteri Dalam Negeri memberikan kewarganegaraan kepada tiga kanak-kanak tanpa kerakyatan yang ibu bapanya telah menyaman kerajaan persekutuan di mahkamah. Oleh sebab keluarga mereka kemudiannya menarik balik kes-kes mahkamah mereka, badan kehakiman tidak mewujudkan duluan kehakiman yang mengikat bagi kes-kes yang melibatkan kanak-kanak tanpa kerakyatan. Namun, pada 21 Oktober, mahkamah tinggi Kuala Lumpur memberi kewarganegaraan kepada Wong Kueng Hui dan memerintahkan Jabatan Pendaftaran Negara mengeluarkan kad pengenalan, yang menandakan kali pertama mahkamah telah memberikan kewarganegaraan kepada orang yang tidak memiliki kerakyatan. Dalam kes-kes terdahulu, Menteri Dalam Negeri memberi kewarganegaraan kepada individu sebelum keputusan mahkamah dibuat. “Saya gembira menjadi seorang rakyat Malaysia tetapi pada masa yang sama, saya berasa sedih kerana negara ini masih belum ada penyelesaian bagi orang tanpa kerakyatan. Saya harap kemenangan saya akan membuka jalan kepada orang lain untuk meneruskan kes mereka,” kata Wong dalam satu wawancara.

Bahagian 3. Kebebasan Mengambil Bahagian dalam Proses Politik

Undang-undang memberikan rakyat keupayaan untuk memilih kerajaan mereka melalui pilihan raya berkala yang bebas dan adil, yang diadakan melalui undi rahsia dan berdasarkan hak mengundi umum dan sama rata. Pada tahun 2018, perikatan pembangkang Pakatan Harapan mengalahkan perikatan Barisan Nasional yang memerintah dalam pilihan raya umum, menandakan pemindahan pertama kuasa antara perikatan parti-parti sejak kemerdekaan pada tahun 1957. Sebelum pilihan raya, parti politik pembangkang ketika itu berada pada kedudukan tidak menguntungkan antaranya kerana kawalan kerajaan ke atas media tradisional dan pembahagian kawasan pilihan raya yang tidak wajar.

Walaupun pihak berkuasa umumnya mencatatkan undi secara tepat, terdapat penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu yang mempengaruhi keadilan dalam pilihan raya. Mahkamah Pilihan Raya khas memutuskan pada 16 Ogos bahawa terdapat pelanggaran serius di daerah Parlimen Kimanis di Negeri Sabah semasa pilihan raya umum Mei 2018, termasuk “manipulasi” kotak undi dan lebih 300 undi “tidak betul”. Bekas Menteri Luar Anifah Aman, yang telah memegang kerusi Kimanis sejak 1999, menang pada 2018 sebanyak 156 undi; dia merayu atas keputusan mahkamah tersebut.

Perlembagaan menetapkan bilangan kerusi di Parlimen yang ditetapkan untuk setiap negeri, keadaan yang memberi kelebihan kepada kawasan luar bandar tanpa mengira perubahan penduduk dari semasa ke semasa. Di samping itu, ia tidak memerlukan populasi yang sama di kawasan pilihan raya di mana-mana negeri tertentu. Setiap kawasan pilihan raya memilih seorang ahli Parlimen. Suruhanjaya Pilihan Raya telah mewujudkan kawasan pilihan raya dengan jumlah penduduk berbeza, yang lebih memberi kelebihan kepada penduduk luar bandar. Sebagai contoh, daerah pedalaman Igan mempunyai 18,000 pengundi berdaftar, sementara daerah bandar Kapar mempunyai lebih daripada 144,000 pengundi berdaftar. Pegawai tempatan dan perbandaran dilantik di peringkat negeri atau persekutuan.

Pilihan Raya dan Penglibatan Politik

Pilihan Raya Terkini: Pilihan raya umum negara telah diadakan pada Mei 2018  dalam keadaan tuduhan berat sebelah di pihak institusi awam, khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya dan Pendaftar Pertubuhan. Satu konsortium NGO mengeluarkan laporan rasmi pada bulan Julai 2018 yang memperincikan penyelewengan dalam pilihan raya, termasuk membelian undi, penggunaan dana awam untuk aktiviti parti, dan tuduhan berlaku berat sebelah oleh pegawai awam. Menurut badan-badan NGO, yang tiada satu pun secara rasmi diiktiraf untuk memerhati pilihan raya, kerajaan persekutuan dan negeri membelanjakan lebih RM5 bilion untuk “pemberian” selepas parlimen dibubarkan dan pembuat undang-undang dilarang daripada membuat komitmen kewangan baharu. Laporan itu juga mendakwa seorang pemerhati pilihan raya yang bertauliah aktif berkempen untuk kerajaan terdahulu.

Walaupun terdapat bantahan kuat oleh parti pembangkang dan masyarakat sivil, pada bulan Mac 2018, kerajaan terdahulu meluluskan persempadanan semula daerah parlimen yang dikatakan oleh pengkritik menguntungkan Barisan Nasional secara tidak adil melalui gerimandering dan pembahagian kawasan yang tidak saksama. Mengikut undang-undang, kerajaan tidak boleh membuat persempadanan semula pilihan raya sehingga tahun 2026 melainkan ahli parlimen meminda perlembagaan persekutuan, satu proses yang memerlukan undi majoriti dua pertiga.

Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat kerajaan persekutuan, telah melantik lima pesuruhjaya pilihan raya baharu pada 14 Februari, termasuk bekas pegawai kanan kerajaan, profesor undang-undang, dan bekas aktivis masyarakat sivil. Kumpulan masyarakat sivil pada umumnya memuji pelantikan itu. Ahli parlimen dan bekas pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah memberitahu media, “Ini adalah permulaan yang baik… Saya percaya mereka boleh membawa… reformasi untuk membuat proses pilihan raya yang adil.” Pesuruhjaya-pesuruhjaya pilihan raya sebelum ini, yang semuanya kakitangan kerajaan yang bersara dengan pengalaman pilihan raya yang sedikit tetapi hubungan kuat dengan kerajaan Barisan Nasional, telah meletak jawatan pada tahun 2018 dalam keadaan terdapatnya tuduhan salah laku.

Parti Politik dan Penyertaan Politik: Ramai calon parti pembangkang tidak dapat bersaing secara adil dengan perikatan yang diketuai oleh Barisan Nasional dan dikenakan sekatan dan gangguan luar semasa kempen pilihan raya 2018. Pendaftaran parti politik baharu kekal sukar kerana sekatan kerajaan untuk proses ini.

Ahli parlimen mengundi sebulat suara pada 16 Julai memihak kepada rang undang-undang untuk menurunkan usia mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Penyertaan Wanita dan Minoriti: Tiada undang-undang yang mengehadkan penyertaan wanita atau kaum minoriti dalam proses politik dan mereka ini menyertai politik. Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail adalah wanita pertama yang memegang jawatan itu. Pada tahun 2018, kerajaan Pakatan Harapan melantik orang bukan Melayu pertama sebagai Menteri Undang-undang, Peguam Negara, dan Ketua Hakim. Namun Ketua Hakim telah bersara pada tahun ini. Pada bulan Mei, Tengku Maimun Tuan Mat dilantik sebagai Ketua Hakim, wanita pertama yang memegang jawatan itu.

Bahagian 4. Korupsi dan Kekurangan Ketelusan dalam Kerajaan

Undang-undang memperuntukkan penalti jenayah terhadap rasuah oleh pegawai. Walau bagaimanapun, sebelum pertukaran kerajaan pada tahun 2018, penguatkuasaan secara amnya memberi tumpuan kepada jenayah berskala agak kecil dan pada peringkat rendah. Selepas perubahan itu, kerajaan mendakwa beberapa bekas pegawai kerajaan dengan rasuah, termasuk mantan Perdana Menteri. Akan tetapi masih terdapat persepsi luas tentang korupsi dan kronisme yang meluas di institusi kerajaan. Media melaporkan banyak kes dakwaan rasuah kerajaan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bertanggungjawab untuk menyiasat rasuah di kedua-dua badan swasta dan awam tetapi tidak mempunyai kuasa pendakwaan. Ketua Audit Negara bertanggungjawab, seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan, untuk mengaudit akaun kerajaan persekutuan dan negeri, agensi kerajaan, dan pihak berkuasa kerajaan yang lain.

Menjawab soalan di Parlimen pada 28 Mac, seorang Timbalan Menteri mengesahkan bahawa laporan mengenai tadbir urus dan ekonomi yang dirangka oleh Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), sebuah badan penasihat yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri Mahathir, akan tetap tidak didedahkan kerana mengandungi maklumat sulit. Masyarakat sivil mengkritik keputusan itu yang juga dibidas oleh beberapa ahli parlimen. Menurut Pusat Kewartawanan Bebas, “mana-mana dokumen boleh dikelaskan sebagai rahsia setelah ia diperakui oleh pegawai kerajaan” dan “mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyemak sama ada dokumen itu dianggap rahsia ataupun tidak.”

Korupsi: Korupsi menjadi isu utama kempen dalam pilihan raya umum 2018.

Tindakan mahkamah yang difailkan pada tahun 2018 terhadap mantan Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor, masih berterusan. Najib didakwa melakukan jenayah pecah amanah, penyalahgunaan kuasa sebagai penjawat awam dan pengubahan wang haram; Rosmah didakwa dengan 19 tuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.

Menurut kerajaan persekutuan, pihak berkuasa telah menahan 418 penjawat awam kerana rasuah pada tahun 2018; pada bulan April, 140 telah didakwa. Pada bulan Januari Perdana Menteri Mahathir berkata laporan dakwaan rasuah semakin meningkat kerana individu tidak lagi takut memfailkan aduan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dan menambah bahawa kebanyakan laporan dikaitkan dengan kerajaan terdahulu.

Kerajaan persekutuan melancarkan pelan antirasuah kebangsaan pada bulan Januari. Pelan ini terdiri daripada 115 inisiatif, termasuk perubahan yang besar terhadap cara pegawai kerajaan dilantik dan untuk proses perolehan; keperluan ahli parlimen mengisytiharkan aset mereka secara terbuka; dan undang-undang baharu yang mengawal pembiayaan dan lobi politik.

Dedahan Kewangan: Ahli kabinet mesti mengisytiharkan aset mereka kepada Perdana Menteri. Penjawat awam kanan perlu mengisytiharkan aset mereka kepada Ketua Setiausaha Negara. Penjawat awam junior mesti mengisytiharkan aset mereka kepada ketua jabatan mereka. Aset, liabiliti, dan kepentingan yang diisytiharkan pegawai kerajaan mestilah jelas dan tidak termasuk aset dan pendapatan pasangan dan anak yang masih dalam tanggungan, kecuali dalam kes ahli parlimen. Pegawai kerajaan mesti mengisytiharkan aset mereka setiap tahun, tetapi tidak ketika memulakan atau berhenti daripada jawatan mereka. Mereka yang menolak atau gagal untuk mengisytiharkan aset mereka menghadapi tindakan tatatertib dan tidak layak untuk dinaikkan pangkat. Kerajaan tidak mengumumkan pengisytiharan ini.

Dalam pengundian sebulat suara, penggubal undang-undang meluluskan peraturan pada 1 Julai yang mewajibkan semua ahli parlimen, ahli keluarga terdekat mereka, dan pemegang amanah mengisytiharkan aset mereka pada 1 Oktober. Mereka yang tidak mematuhi kehendak ini boleh dianggap sebagai menghina peraturan parlimen, sementara yang didapati memberikan maklumat palsu boleh dikenakan prosiding jenayah. Perdana Menteri Mahathir berkata inisiatif itu akan menghalang anggota Parlimen daripada menyalahgunakan kedudukan mereka. Walaupun ahli-ahli pembangkang tidak mengundi menentang peraturan ini, Timbalan Presiden Parti Islam Se-Malaysia mendakwa bahawa langkah itu tidak perlu dan bertentangan dengan Islam, dengan alasan, “Jika Allah memberi kita kekayaan, kita tidak mendedahkannya kepada orang ramai, kerana ia akan menarik perhatian orang dan menyebabkan iri hati.“ Mantan Perdana Menteri Najib Razak berkata keputusan itu “tidak adil” kerana ramai ahli parlimen memperoleh pendapatan daripada sumber selain gaji daripada kerajaan.

Bahagian 5. Sikap Kerajaan Terhadap Siasatan Antarabangsa dan Bukan Kerajaan Tentang Dakwaan Pencabulan Hak Asasi Manusia

Kumpulan-kumpulan hak asasi manusia tempatan dan antarabangsa beroperasi dengan tertakluk kepada pelbagai tahap sekatan kerajaan, menjalankan penyiasatan serta menyiarkan penemuan mereka berkaitan kes hak asasi manusia. Namun, kerajaan tidak selalunya bekerjasama atau responsif terhadap pandangan mereka. Pada bulan Oktober Michelle Bachelet menjadi Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia yang pertama melawat Malaysia, atas jemputan kerajaan Malaysia.

Pada bulan April polis memanggil Numan Afifi, aktivis LGBTI dan Presiden NGO PELANGI Campaign, untuk menyoalnya mengenai kenyataan yang dibuatnya semasa Penilaian Berkala Sejagat (UPR) Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva pada bulan Mac. Numan berkata tindakan polis itu “dibuat untuk menakut-nakutkan dan mengganggu pembela hak asasi manusia.”

Di luar bidang hak politik dan hak asasi manusia, kerajaan pada umumnya membenarkan NGO berfungsi secara bebas, bertemu dengan wakil daripada beberapa NGO, dan menjawab beberapa permintaan NGO. Namun kerajaan juga mengambil tindakan terhadap beberapa NGO. Dalam penghakiman 27 Ogos, mahkamah tinggi menolak hujah oleh NGO Sisters in Islam bahawa fatwa negeri Selangor pada tahun 2014 yang menganggap organisasi itu “menyimpang” merupakan pelanggaran hak-hak perlembagaan kumpulan dan anggota. Fatwa itu menyatakan bahawa Sisters in Islam menyimpang daripada ajaran Islam kerana ia menganut prinsip-prinsip liberalisme dan pluralisme, dan membuat keputusan bahawa buku dan bahan SIS boleh disita. Namun mahkamah tidak mentakrifkan “liberalisme” atau “pluralisme.” Pada sidang akhbar di luar mahkamah, pengarah eksekutif NGO itu berkata dia “sangat kecewa” dengan keputusan itu, dan menambah, “Kita sedang melihat masa yang sangat gelap untuk Malaysia.”

Badan Hak Asasi Manusia Kerajaan: Ditubuhkan oleh satu akta parlimen, suruhanjaya hak asasi manusia kerajaan SUHAKAM diketuai oleh seorang pengerusi dan pesuruhjaya yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Pemerhati umumnya menganggap SUHAKAM pemantau hak asasi manusia yang boleh dipercayai. SUHAKAM mengendalikan latihan, membuat siasatan, mengeluarkan laporan, dan mengemukakan cadangan kepada kerajaan. SUHAKAM tidak boleh menyiasat kes-kes mahkamah yang sedang berjalan dan mesti menamatkan siasatannya sekiranya kes itu menjadi subjek tindakan mahkamah.

Bahagian 6. Diskriminasi, Penganiayaan Masyarakat dan Pemerdagangan Orang
Wanita

Rogol dan Keganasan Rumah Tangga: Rogol adalah satu kesalahan jenayah seperti kebanyakan bentuk keganasan rumah tangga. Jenayah rogol boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan. Undang-undang tidak mengiktiraf rogol perkahwinan sebagai jenayah.

Kumpulan wanita menegaskan mahkamah tidak konsisten dalam menghukum perogol.

Walaupun kerajaan dan NGO menyediakan perlindungan dan menawarkan bantuan lain kepada mangsa keganasan rumah tangga, aktivis menegaskan bahawa mekanisme sokongan itu masih tidak mencukupi. Banyak hospital kerajaan mempunyai pusat krisis di mana mangsa rogol dan penderaan rumah tangga boleh memfailkan laporan tanpa pergi ke balai polis. Terdapat juga unit siasatan seksual di setiap ibu pejabat polis untuk membantu mangsa jenayah seksual dan penderaan, dan kadangkala polis menyerahkan tugas kepada pakar psikologi atau kaunselor untuk memberikan sokongan emosi.

Mutilasi/Khatan Kemaluan Perempuan (FGM/C): Undang-undang tidak melarang FGM/C yang biasa diamalkan. Walaupun data terkini sangat terhad, kajian tahun 2012 oleh seorang profesor di Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Universiti Malaya ,mendapati lebih 93 peratus daripada kira-kira 1,000 wanita Islam yang ditinjau di tiga daripada 13 negeri di Malaysia telah menjalani prosedur tersebut. Kementerian Kesihatan menggariskan panduan membolehkan amalan ini secara umum tetapi hanya di kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan, yang tidak semestinya dilakukan. Kumpulan hak asasi wanita mengatakan fatwa tahun 2009 oleh Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam mengisytiharkan amalan yang wajib menjadikan FGM/C lebih meluas. Menurut siasatan yang diterbitkan oleh media tempatan pada tahun 2018, tidak ada prosedur standard untuk amalan ini dan “dalam beberapa kes pemotong kotak dan pisau alat tulis digunakan.” Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan garis panduan untuk prosedur tersebut. Pegawai kerajaan mempertahankan amalan itu semasa semakan PBB pada tahun 2018. Seorang pegawai Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa amalan itu hanya dilakukan oleh profesional perubatan dan membandingkannya dengan program imunisasi untuk bayi perempuan. Panel PBB menggesa Malaysia untuk menghapuskan amalan tersebut.

Gangguan Seksual: Undang-undang melarang seseorang yang berkuasa menggunakan kedudukannya untuk mengugut orang bawahan untuk melakukan hubungan seksual. Undang-undang mengklasifikasikan beberapa jenis gangguan seksual di tempat kerja sebagai kesalahan jenayah (lihat bahagian 7.d.). Kod tingkah laku sukarela kerajaan memberi takrif terperinci tentang gangguan seksual yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai masalah tersebut. Pemerhati menyatakan bahawa pihak berkuasa mengambil serius dakwaan itu, tetapi mangsa selalunya enggan melaporkan gangguan seksual kerana kesukaran membuktikan kesalahan, dan proses perbicaraan yang panjang.

Paksaan dalam Kawalan Penduduk: Tiada laporan pengguguran paksa, atau pensterilan tanpa kerelaan.

Diskriminasi: Perlembagaan melarang diskriminasi terhadap warganegara berdasarkan jantina, dan memberi lelaki dan wanita hak memiliki harta tanah yang sama. Walau bagaimanapun, undang-undang syariah, yang menyimpang daripada prinsip-prinsip ini dalam beberapa bidang, kadangkala digunakan. Sebagai contoh, undang-undang warisan Islam secara amnya memihak kepada keturunan lelaki dan saudara lelaki. Undang-undang syariah juga secara amnya memerlukan persetujuan suami untuk perceraian. Namun, sebilangan kecil wanita tetapi dengan jumlah yang semakin meningkat telah memperoleh perceraian di bawah mahkamah syariah tanpa persetujuan suami mereka. Bukan Islam tidak tertakluk kepada undang-undang syariah. Undang-undang sivil memberi ibu dan bapa bukan Islam hak keibubapaan yang sama rata, sementara undang-undang syariah memberi keutamaan kepada bapa. Walau bagaimanapun, empat negeri iaitu Johor, Selangor, Negeri Sembilan, dan Pahang meluaskan hak keibubapaan yang sama kepada ibu orang Islam.

Undang-undang mewajibkan gaji yang sama kepada pekerja lelaki dan perempuan untuk pekerjaan dengan nilai yang sama. Walau bagaimanapun, NGO melaporkan diskriminasi berterusan terhadap wanita di tempat kerja dari segi kenaikan pangkat dan gaji (lihat bahagian 7.d.).

Undang-undang tidak membenarkan ibu untuk menurunkan kewarganegaraan secara automatik kepada anak yang dilahirkan di luar negara. Anak yang dilahirkan di luar negara hanya boleh didaftarkan sebagai warganegara jika bapa anak itu seorang warganegara.

Kanak-kanak

Pendaftaran Kelahiran: Anak yang dilahirkan di negara ini mendapat kewarganegaraan jika salah seorang ibu bapa adalah warganegara atau pemastautin tetap pada masa kelahiran dan ibu bapanya berkahwin. Ibu bapa mesti mendaftarkan anak mereka dalam masa 14 hari selepas kelahiran. Ibu bapa yang lewat memohon pendaftaran mestilah memberikan bukti bahawa anak itu dilahirkan di negara ini. Menurut UNHCR, anak yang dilahirkan oleh ibu rakyat Malaysia di luar negara hanya dapat memperoleh kewarganegaraan berdasarkan budi bicara kerajaan persekutuan melalui pendaftaran di konsulat Malaysia di luar negara atau di Jabatan Pendaftaran Negara. Pihak berkuasa tidak mendaftarkan anak yang dilahirkan oleh pendatang tanpa izin atau pencari suaka. UNHCR mendaftarkan anak yang dilahirkan oleh pelarian (lihat bahagian 2.d).

Pendidikan: Pendidikan adalah percuma, wajib, dan sejagat sehingga tamat sekolah rendah (enam tahun) untuk warganegara dan penduduk tetap. Namun, tiada mekanisme penguatkuasaan yang menguatkuasakan kehadiran ke sekolah. Sekolah kerajaan tidak terbuka kepada anak pendatang tanpa izin atau pelarian, sama ada berdaftar dengan UNHCR atau tidak.

Perkahwinan Awal dan Paksa: Umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan. Perempuan beragama Islam yang kurang daripada umur 16 tahun boleh berkahwin dengan keizinan daripada mahkamah syariah. Dalam beberapa kes, pihak berkuasa menganggap perkahwinan muda sebagai penyelesaian kepada rogol statutori.

Eksploitasi Seksual Kanak-kanak: Undang-undang mengharamkan pornografi dan menyatakan bahawa kanak-kanak dianggap sebagai mangsa penderaan seksual jika dia terlibat sebagai peserta atau pemerhati dalam mana-mana aktiviti yang bersifat seks untuk tujuan pengambilan gambar, rakaman, filem, rakaman video, atau persembahan. Pada tahun 2018, Polis melaporkan telah mengesan kira-kira 20,000 alamat internet di negara yang memuat naik dan memuat turun pornografi kanak-kanak. Di bawah undang-undang, usia minimum untuk seks suka sama suka dan bukan komersial adalah 16 tahun untuk kedua-dua lelaki dan perempuan. Sabitan untuk pemerdagangan orang yang melibatkan kanak-kanak untuk tujuan eksploitasi seksual membawa hukuman penjara tiga hingga 20 tahun dan denda. Terdapat mahkamah khas untuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak untuk mempercepatkan perbicaraan yang selalunya mengambil masa bertahun-tahun untuk selesai. Pelacuran kanak-kanak wujud dan NGO tempatan menganggarkan pada tahun 2015 bahawa 5,000 kanak-kanak terlibat dalam pekerjaan seks di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya. Namun, pihak berkuasa sering menganggap kanak-kanak yang terlibat dalam pelacuran sebagai pesalah atau pendatang tanpa izin dan bukan sebagai mangsa.

Kerajaan memberi tumpuan kepada mencegah eksploitasi seksual kanak-kanak, termasuk eksploitasi seks komersial. Pada bulan Ogos, atas nasihat kerajaan, Yang di-Pertuan Agong melantik Noor Aziah Mohd Awal untuk menjadi pesuruhjaya SUHAKAM bagi kanak-kanak untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan perlindungan kanak-kanak.

Undang-undang memperuntukkan hukuman penjara enam hingga 20 tahun dan sebatan terhadap orang yang disabitkan kesalahan sumbang mahram.

Testimoni kanak-kanak boleh diterima hanya jika ada bukti yang membenarkan, yang menimbulkan masalah khas untuk kes pencabulan sekiranya mangsa kanak-kanak itu adalah satu-satunya saksi.

Kanak-kanak Tersingkir: Kanak-kanak jalanan paling banyak di Sabah. Anggaran populasi kanak-kanak jalanan berkisar antara beberapa ribu hingga 15,000, yang kebanyakannya dilahirkan di negara ini oleh ibu bapa pendatang haram. Pihak berkuasa mengusir pulang sesetengah ibu bapa ini yang meninggalkan anak-anak mereka tanpa penjaga. Ketiadaan kewarganegaraan, akses kepada sekolah, atau sokongan lain yang diberikan oleh kerajaan, menjadikan kanak-kanak ini sering kali melakukan buruh kasar, aktiviti jenayah, dan pelacuran untuk terus hidup. Mereka yang tinggal di jalan raya terdedah kepada buruh paksa, termasuk terpaksa mengemis.

Penculikan Kanak-kanak Antarabangsa: Negara ini bukan satu pihak kepada Konvensyen Hague 1980 tentang Aspek Sivil Penculikan Kanak-kanak Antarabangsa. Lihat Laporan Tahunan Jabatan Negara mengenai Penculikan Anak Ibu Bapa Antarabangsa di https://travel.state.gov/content/travel/en/International-Parental-Child-Abduction/for-providers/legal-reports-and-data/reported-cases.html.

Anti-Semitisme

Penduduk Yahudi negara ini dianggarkan antara 100 hingga 200 orang. Anti-Semitisme adalah masalah serius di seluruh spektrum politik dan menarik sokongan yang luas dalam kalangan beberapa segmen penduduk. Kaji selidik Liga Antifitnah tahun 2015 mendapati 61 peratus rakyat negara ini mempunyai sikap anti-Yahudi. Perdana Menteri Mahathir mempertahankan haknya menjadi anti-Semitik dalam wawancara. Susulan satu ucapan di Universiti Columbia pada bulan September, Mahathir berkata, “Saya melaksanakan hak saya untuk kebebasan bersuara. Kenapa saya tidak boleh mengatakan sesuatu terhadap orang Yahudi, apabila banyak orang mengatakan perkara jahat tentang saya, mengenai Malaysia, dan saya tidak memprotes, saya tidak berdemonstrasi?“

Kerajaan membatasi rakyat Israel daripada memasuki Malaysia untuk menghadiri persidangan atau mesyuarat yang dianjurkan oleh organisasi antarabangsa. Sebuah akhbar melaporkan bahawa Menteri Dalam Negeri menyatakan di Parlimen pada 10 April bahawa jumlah rakyat Israel yang memasuki Malaysia untuk perniagaan dan acara yang berkaitan dengan teknologi berkurangan daripada 33 pada 2016 kepada tiga pada tahun 2019. Pada bulan Januari, kerajaan mengumumkan bahawa ia tidak akan membenarkan atlet Israel mengambil bahagian dalam Kejohanan Renang Dunia Para Dunia, yang dijadualkan pada bulan Julai di Sarawak. Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa berkata dalam satu kenyataan ia “sangat kecewa dengan pendirian kerajaan Malaysia” dan membatalkan hak penganjuran Malaysia, dengan memindahkan acara itu ke London. Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq memberitahu media bahawa Malaysia akan “kehilangan kompas moral” jika ia membenarkan Israel untuk bersaing dalam acara itu.

Pemerdagangan Orang

Lihat Laporan Kebebasan Beragama Jabatan Negara A.S. di https://www.state.gov/trafficking-in-persons-report/.

Orang Kelainan Upaya

Undang-undang memberi orang kelainan upaya hak untuk mengakses dan menggunakan kemudahan awam, kemudahan, perkhidmatan, dan bangunan awam yang dibuka atau disediakan kepada orang awam. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertanggungjawab untuk melindungi hak orang kelainan upaya.

Bangunan kerajaan yang baharu pada umumnya mempunyai pelbagai kemudahan untuk orang kelainan upaya. Walau bagaimanapun, kerajaan tidak mewajibkan kebolehaksesan kepada pengangkutan untuk orang kelainan upaya, dan pihak berkuasa mengubah suai sedikit beberapa kemudahan awam yang sudah lama untuk menyediakan akses kepada orang kelainan upaya. Kerajaan mengakui pengangkutan awam tidak “mesra untuk orang kelainan upaya” dengan mengekalkan 50 peratus pengurangan duti eksais ke atas kereta buatan tempatan dan motosikal yang disesuaikan untuk orang kelainan upaya.

Diskriminasi pekerjaan berlaku terhadap orang kelainan upaya (lihat bahagian 7.d.).

Pelajar kelainan upaya menghadiri sekolah arus perdana, tetapi kebolehaksesan masih menjadi masalah yang serius. Kemudahan pendidikan berasingan juga wujud, tetapi tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan semua pelajar kelainan upaya.

Bangsa/Kaum/Etnik Minoriti

Perlembagaan memberi orang Melayu dan kumpulan pribumi lain yang secara kolektif dikenali sebagai “bumiputera”, “kedudukan istimewa” di negara ini. Peraturan dan dasar kerajaan banyak menyediakan program istimewa untuk meningkatkan kedudukan ekonomi bumiputera yang merupakan penduduk majoriti. Program sebegini memberi peluang yang terhad kepada bukan bumiputera (terutamanya kaum Cina dan India) dalam pendidikan tinggi dan pekerjaan kerajaan. Banyak industri tertakluk kepada syarat berasaskan kaum yang mensyaratkan tahap pemilikan bumiputera. Dasar perolehan dan pelesenan kerajaan memihak kepada perniagaan milik bumiputera. Kerajaan mendakwa dasar-dasar ini diperlukan untuk mencapai keharmonian kaum dan kestabilan politik.

Orang Asli

Perlembagaan memperuntukkan orang asli dan bukan asli dengan hak-hak sivil dan politik yang sama, tetapi kerajaan tidak melindungi hak ini dengan berkesan. Orang asli, yang berjumlah kira-kira 200,000, merupakan kumpulan termiskin di negara ini.

Orang asli di Semenanjung Malaysia tidak mempunyai banyak keupayaan untuk mengambil bahagian dalam keputusan yang mempengaruhi mereka. Peruntukan perlembagaan memperuntukkan “kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi mana-mana Negeri Sabah dan Sarawak,” tetapi tidak merujuk secara khusus kepada Orang Asli. Kekaburan mengenai status masyarakat ini dalam perlembagaan membawa kepada pentafsiran terpilih oleh institusi awam yang berbeza.

Mahkamah telah memutuskan bahawa Orang Asli mempunyai hak untuk tanah adat mereka di bawah perlembagaan, tetapi NGO mengatakan kerajaan gagal mengiktiraf keputusan mahkamah ini. Kerajaan boleh merampas tanah ini jika ia memberikan pampasan. Terdapat beberapa konfrontasi antara masyarakat orang asli dan syarikat pembalakan berkenaan tanah, dan ketidakpastian mengenai hak tanah mereka mendedahkan orang asli kepada eksploitasi. Pada bulan Ogos aktivis hak asasi membuat sekatan jalan di negeri Perak untuk membantah pembalakan di tanah yang mereka dakwa sebagai milik mereka. Dalam satu kenyataan, sebuah NGO Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka Malaysia) berkata, “Kami kesal dengan pihak berkuasa negeri dan pembalak yang degil,” yang terus menceroboh tanah adat Orang Asli, “meskipun terdapat banyak laporan polis dan aduan diserahkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan dan siasatan yang sedang dibuat.“ Pihak berkuasa tempatan cuba untuk menghalang media asing daripada membuat liputan tentang kejadian itu. Pada bulan Julai pihak berkuasa negeri telah menahan beberapa aktivis hak asasi untuk cuba menghalang akses ke kawasan yang sama. Menteri Perpaduan Negara menyatakan, “Sehinggalah sempadan undang-undang hak tanah Orang Asli ditentukan, saya berpendapat bahawa adalah menyalahi undang-undang bagi pihak berkuasa negeri untuk secara sepihak memberi permit kepada pemaju untuk menceroboh dan mengeksploitasi hak-hak orang yang tidak berdaya ini tanpa kebenaran termaklum terlebih dahulu. ”

 

Tindakan Kekerasan, Diskriminasi, dan Penindasan lain Berdasarkan Orientasi Seksual dan Identiti Jantina

Perbuatan seks sesama jantina adalah menyalahi undang-undang tanpa mengira usia atau persetujuan. Undang-undang menyatakan bahawa perbuatan liwat dan seks oral adalah “hubungan seks yang bertentangan dengan aturan tabii.” Pada bulan November, Mahkamah Syariah Negeri Selangor menjatuhi hukuman enam hingga tujuh bulan penjara, enam sebatan, dan denda RM4,800-RM4,900 kepada lima orang lelaki kerana “cuba melakukan hubungan seks di luar tabii.” Seorang aktivis LGBTI memberitahu media bahawa keputusan itu adalah “ketidakadilan ketara” dan akan menyebabkan “budaya ketakutan”. Pantang larang agama dan kebudayaan terhadap perbuatan seks sejenis adalah meluas (lihat bahagian 2.a).

Pihak berkuasa sering kali mendakwa golongan transgender atas “kelakuan tidak senonoh” dan “menghampiri orang dengan niat tidak bermoral” di tempat awam. Mereka yang disabitkan dengan kesalahan pertama menghadapi denda maksimum RM25 dan hukuman maksimum 14 hari penjara. Hukuman untuk sabitan berikutnya boleh didenda maksimum RM100 dan maksimum penjara tiga bulan. Penyokong tempatan golongan ini berpendapat bahawa wanita transgender yang dipenjarakan menjalani hukuman mereka di penjara untuk lelaki dan bahawa polis dan banduan sering mendera mereka secara lisan dan seksual.

Parti pembangkang dan beberapa orang awam mengkritik pelantikan seorang wakil transgender ke Mekanisme Penyelarasan Negara di bawah Kementerian Kesihatan, sebuah jawatankuasa yang disokong oleh Dana Global untuk Melawan AIDS, Tuberkulosis, dan Malaria. Seorang wakil Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berkata wakil transgender jawatankuasa itu harus datang daripada “golongan bekas transgender” yang telah “melalui fasa positif dan kembali ke [pangkal jalan],” sambil menambah bahawa “promosi kesaksamaan jantina bukan budaya di Malaysia. Kami menyokong pendirian yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah, yang telah membantah agenda LGBT dan menggesa apa-apa agenda untuk normalisasi LGBT untuk berhenti kerana ia bertentangan dengan agama dan perlembagaan kita. ”

Satu kajian tahun 2018 oleh kumpulan hak transgender tempatan melaporkan lebih daripada dua pertiga wanita transgender mengalami beberapa bentuk penderaan fizikal atau emosi. Pada Januari, seorang wanita transgender berusia 39 tahun ditemui mati di Klang; dia dipercayai dibunuh kerana identiti jantinanya.

Pihak berkuasa agama negara dilaporkan memaksa golongan LGBTi untuk menyertai program “rawatan” atau “pemulihan” untuk “menyembuhkan” seksualiti mereka. Pada bulan Februari, Menteri untuk hal ehwal agama berkata kerajaan akan melaksanakan program mendekati individu LGBTI yang, “selain menyediakan bantuan seperti makanan,” juga termasuk “perkhidmatan pendidikan dan kaunseling agama supaya mereka dapat kembali kepada kehidupan normal. ”

Golongan LGBTI melaporkan diskriminasi dalam pekerjaan, perumahan, dan akses kepada beberapa perkhidmatan kerajaan kerana seksualiti mereka.

Pada bulan Jun, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyatakan bahawa persidangan jantina dan seksualiti yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada tahun ini perlu dibatalkan kerana ia “jelas menggalakkan LGBT di Malaysia dan bertentangan dengan Islam dan Perlembagaan Persekutuan.” Dalam satu siaran di media sosial, JAKIM menyeru pihak berkuasa untuk mengambil “tindakan yang sesuai.”

Kerajaan persekutuan mengumumkan pada bulan Mac akan menyiasat penganjur acara memperingati Hari Wanita Antarabangsa pada 9 Mac di bawah beberapa undang-undang Malaysia kerana acara itu melibatkan dan mempromosikan komuniti LGBTI. Menteri Dalam Negeri juga berkata pihak penganjur tidak memaklumkan kepada kerajaan acara itu dalam jangka masa yang diperlukan, suatu tuduhan yang ditolak pihak penganjur. Menteri Hal Ehwal Agama mengatakan bahawa perarakan itu adalah “penyalahgunaan ruang demokrasi” kerana penyertaan individu LGBT. Pusat Kewartawanan Bebas mengkritik media tempatan kerana “terlalu [memberi tumpuan] pelaporan mereka mengenai isu LGBT” dan “menggunakan kata-kata negatif dalam tajuk utama mereka yang mendakwa bahawa adalah tidak sesuai dari segi budaya untuk menimbulkan isu hak asasi manusia untuk komuniti yang mengenal diri mereka sebagai LGBTIQ.”

 

Bahagian 7. Hak Pekerja

a. Kebebasan Persatuan dan Hak untuk Tawar Menawar Kolektif

Undang-undang memperuntukkan kebebasan yang terhad untuk persatuan dan untuk beberapa kategori pekerja untuk menubuhkan dan menyertai kesatuan sekerja, tertakluk kepada pelbagai sekatan undang-undang dan amalan. Undang-undang memperuntukkan hak untuk mogok dan tawar menawar kolektif, tetapi kedua-duanya adalah sangat terhad. Undang-undang melarang majikan daripada mengganggu kegiatan kesatuan sekerja, termasuk pembentukan kesatuan. Undang-undang melarang majikan daripada menghukum pekerja kerana terlibat dalam aktiviti kesatuan yang sah dan mengarah majikan mengembalikan jawatan pekerja yang dipecat kerana aktiviti kesatuan.

Undang-undang melarang pegawai tentera dan polis, pekerja bersara atau diberhentikan, atau pekerja yang dikategorikan sebagai “sulit, pengurusan, dan eksekutif” daripada menyertai kesatuan. Undang-undang juga mengehadkan penubuhan kesatuan untuk pekerja dalam perdagangan, pekerjaan atau industri yang “sama.” Pekerja asing boleh menyertai kesatuan sekerja tetapi tidak boleh memegang jawatan kesatuan, kecuali jika mereka mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Sumber Manusia. Memandangkan ketiadaan hubungan pekerjaan secara langsung dengan pemilik tempat kerja, pekerja kontrak tidak boleh membentuk kesatuan dan tidak boleh berunding atau mendapat manfaat daripada perjanjian tawar menawar kolektif.

Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja dan Menteri Sumber Manusia boleh menolak pendaftaran atau menarik balik pendaftaran sesetengah kesatuan tanpa semakan kehakiman. Masa yang diperlukan untuk kesatuan diiktiraf masih mengambil masa lama dan tidak dapat diramalkan. Pegawai kesatuan melahirkan kekecewaan mengenai kelewatan dalam penyelesaian pertikaian pengiktirafan kesatuan; permohonan sedemikian selalunya ditolak. Sekiranya permintaan pengiktirafan kesatuan diluluskan, majikan kadangkala mencabar keputusan di mahkamah, yang membawa kepada kelewatan selama bertahun-tahun dalam mengiktiraf kesatuan.

Kebanyakan pekerja sektor swasta mempunyai hak untuk tawar menawar kolektif, walaupun rundingan ini tidak termasuk isu pemindahan, kenaikan pangkat, pelantikan, pemecatan, atau pengembalian semula kerja. Undang-undang menyekat tawar menawar kolektif dalam industri “perintis” yang dikenal pasti oleh kerajaan sebagai keutamaan pertumbuhan, termasuk pelbagai bidang teknologi tinggi. Pekerja sektor awam mempunyai hak tawar menawar kolektif, walaupun sesetengahnya hanya boleh meluahkan pendapat mengenai upah dan keadaan bekerja dan bukannya tawar menawar secara aktif. Kelewatan yang lama berterusan dalam layanan terhadap tuntutan kesatuan untuk mendapatkan pengiktirafan untuk tujuan tawar menawar kolektif. Kerajaan juga mempunyai hak untuk memaksa timbang tara dalam kes rundingan tawar-menawar kolektif yang gagal.

Mogok sektor swasta sangat dihadkan. Undang-undang memperuntukkan hukuman yang tetap untuk mogok aman. Undang-undang melarang mogok umum, dan kesatuan sekerja tidak boleh mogok untuk pertikaian yang berkaitan dengan pendaftaran kesatuan sekerja atau pemecatan yang tidak sah. Pekerja tidak boleh mogok dalam pelbagai industri yang dianggap “penting” dan mereka tidak boleh melakukan mogok apabila pertikaian sedang dipertimbangkan di Mahkamah Perusahaan. Pegawai kesatuan mendakwa syarat perundangan yang dikenakan untuk mogok hampir tidak mungkin dapat dipenuhi. Mogok besar terakhir berlaku pada tahun 1962.

Kerajaan tidak bersungguh-sungguh menguatkuasakan undang-undang melarang majikan daripada menghukum pekerja kerana terlibat dalam aktiviti kesatuan yang sah dan mengarah majikan mengembalikan jawatan pekerja yang dipecat kerana aktiviti kesatuan. Penalti termasuk denda, tetapi jarang dinilai dan pada umumnya tidak mencukupi untuk menghalang pelanggaran. Pada bulan Julai Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan mahkamah rendah bahawa dua buah bank telah menaikkan pangkat pekerja perkeranian kepada jawatan eksekutif tanpa memberi mereka kuasa eksekutif untuk mengecualikan pekerja itu daripada Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE). Peguam kesatuan memanggil keputusan itu sebagai “groundbreaking.”

Kebebasan persatuan dan tawar menawar kolektif tidak dihormati sepenuhnya. Kesatuan pada peringkat kebangsaan dilarang. Kementerian membenarkan tiga persekutuan kesatuan mengikut wilayah serantau–Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak–untuk beroperasi. Kesatuan ini melaksanakan sebahagian besar tanggungjawab kesatuan sekerja pada peringkat kebangsaan walaupun mereka tidak boleh melakukan tawar menawar bagi pihak kesatuan tempatan. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia adalah sebuah “persatuan” berdaftar bagi kesatuan sekerja dalam kedua-dua sektor swasta dan kerajaan yang tidak mempunyai hak untuk tawar menawar kolektif atau mogok tetapi boleh memberikan sokongan teknikal kepada ahli gabungannya. Sesetengah pertubuhan pekerja adalah bebas daripada kerajaan, parti politik, dan majikan, tetapi kesatuan yang dikuasai majikan atau kesatuan “kuning” dilaporkan menjadi kebimbangan.

Ketidakmampuan kesatuan untuk menyediakan lebih daripada perlindungan yang terhad untuk pekerja, terutamanya pekerja asing yang terus menghadapi ancaman pengusiran, dan kelaziman diskriminasi antikesatuan tidak menggalakkan pekerja menyertai kesatuan sekerja. Dalam sesetengah keadaan, syarikat dilaporkan mengganggu pemimpin kesatuan yang mahukan pengiktirafan. Sesetengah kesatuan sekerja melaporkan bahawa kerajaan menahan atau menyekat pergerakan sesetengah ahli kesatuan di bawah undang-undang yang membenarkan tahanan sementara tanpa mendakwa tahanan melakukan jenayah. Kesatuan sekerja menegaskan sesetengah pekerja ditahan gaji mereka atau diberhentikan kerana aktiviti berkaitan kesatuan.

b. Larangan Buruh Paksa atau Wajib

Undang-undang melarang segala bentuk buruh paksa atau wajib. Lima agensi, termasuk Jabatan Tenaga Kerja dalam Kementerian Sumber Manusia, mempunyai kuasa penguatkuasaan di bawah undang-undang, tetapi pegawai mereka tidak sentiasa aktif mencari petunjuk buruh paksa. Pertubuhan NGO terus mengkritik kekurangan sumber yang khusus untuk penguatkuasaan undang-undang.

Kerajaan tidak menguatkuasakan undang-undang yang melarang buruh paksa dalam beberapa kes, dan denda yang tinggi sebagai penalti tidak mencukupi untuk menghalang pelanggaran. Pada bulan Julai, mahkamah membatalkan keputusan Jabatan Buruh terdahulu yang memutuskan bahawa tidak ada remedi untuk pembantu rumah tidak sah untuk menuntut gaji yang tidak dibayar dan mengarahkan kes pembantu rumah Indonesia terhadap majikannya untuk menjalankan perbicaraan penuh. Pekerja Indonesia itu, yang memfailkan kesnya di bawah nama samaran “Nona” mendakwa majikannya gagal membayar gajinya selama lima tahun. Pengarah eksekutif NGO Tenaganita menyatakan, “dengan duluan ini, pekerja tanpa dokumentasi mempunyai harapan untuk mendapatkan ganti rugi di mahkamah.”

Pada tahun 2018, kerajaan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing untuk menyediakan rancangan pembaharuan yang komprehensif kepada kerajaan mengenai pengurusan pekerja asing dan dasar pekerja. Jawatankuasa ini membentangkan laporan akhirnya kepada kabinet pada bulan Julai dengan cadangan mengenai penyelarasan dasar yang berkaitan dengan pekerja asing, tetapi laporan itu tidak diterbitkan kepada umum.

Pelbagai sumber melaporkan kejadian buruh paksa, atau keadaan yang menunjukkan buruh paksa, dalam ladang pertanian, industri perikanan, kilang elektronik, pengeluaran pakaian, pembinaan, restoran, dan dalam perkhidmatan pembantu rumah, dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak (juga lihat bahagian 7.c ).

Majikan, ejen pekerjaan, dan perekrut tenaga pekerja menjadikan sesetengah pendatang sebagai buruh paksa atau terikat dengan hutang. Banyak syarikat mengupah pekerja asing menggunakan syarikat pekerjaan atau syarikat penyumberan luar. Hal ini mewujudkan ketidakpastian mengenai hubungan undang-undang antara pekerja dan syarikat penyumberan luar atau pemilik tempat kerja, dan menjadikan pekerja lebih terdedah kepada eksploitasi dan merumitkan penyelesaian pertikaian. Wakil kesatuan sekerja mendapati ejen merekrut di kedua-dua negara asal dan di Malaysia kadangkala mengenakan bayaran tinggi yang menjadikan pekerja terdedah kepada ikatan hutang.

Pada bulan Ogos tiga pertubuhan bukan untung memfailkan aduan rasmi dengan sebuah kerajaan asing yang menggesa ia untuk mengharamkan import produk daripada FGV Holdings Berhad, sebuah syarikat minyak sawit Malaysia, berikutan laporan kerja paksa di ladang-ladang FGV. Satu lagi petisyen yang difailkan pada awal tahun ini menuduh FGV menggunakan buruh kanak-kanak. Jurucakap FGV memberitahu media pada bulan Ogos, “Kami komited untuk memastikan penghormatan terhadap hak asasi manusia. Kami sangat serius dalam menangani perkara ini. ” Perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkaitan dengan skim penipuan yang melibatkan beratus-ratus ribu pekerja Nepal yang mencari pekerjaan di negara ini diteruskan setakat bulan November. Syarikat swasta yang dikaitkan dengan adik dan adik ipar mantan Timbalan Perdana Menteri itu dilaporkan mengenakan bayaran lebih RM185 juta ke atas pekerja Nepal untuk ujian perubatan dan mengemukakan permohonan visa semasa lima tahun sebelum ini. Perkhidmatan pemprosesan perubatan dan visa ini meningkatkan kos sepuluh kali ganda tanpa menawarkan perlindungan atau faedah tambahan. Zahid menafikan penglibatannya atau mengetahui mengenai penipuan itu, tetapi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mendakwanya pada bulan Oktober dengan 45 pertuduhan korupsi, rasuah dan pengubahan wang haram, tiga daripadanya berkenaan RM3 juta yang didakwa rasuah yang diterima daripada sebuah syarikat yang menjalankan pusat visa untuk pekerja Nepal. Pengkritik kerajaan terdahulu telah lama menggambarkan sistem pengambilan pekerja asing sebagai korup.

Gaji yang tidak dibayar kekal menjadi suatu kebimbangan. Perampasan pasport oleh majikan meningkatkan keterdedahan pekerja asing terhadap kerja paksa. Meskipun amalan itu diharamkan ia dibuat secara meluas dan pada umumnya tidak dihukum. Pekerja asing yang tidak mempunyai akses kepada pasport mereka lebih terdedah pada keadaan bekerja yang teruk, gaji yang lebih rendah daripada yang dijanjikan, potongan gaji yang tidak dijangka, dan tempat tinggal yang teruk. Pertubuhan-pertubuhan NGO melaporkan bahawa ejen atau majikan dalam sesetengah kes mendraf kontrak termasuk peruntukan menyerahkan hak pekerja untuk memegang pasport mereka kepada majikan atau ejen. Sesetengah majikan dan pekerja asing melaporkan bahawa pekerja kadangkala meminta majikan menyimpan pasport mereka kerana penggantian pasport hilang atau dicuri boleh menyebabkan mereka membayar wang yang jumlahnya sama dengan gaji beberapa bulan dan menyebabkan mereka terdedah kepada disoal mengenai status sah mereka.

Lihat juga Laporan Pemerdagangan Orang Jabatan Negara A.S. di https://www.state.gov/trafficking-in-persons-report/.

c. Larangan Buruh Kanak-kanak dan Umur Minimum Bekerja

Undang-undang melarang semua bentuk pekerja kanak-kanak yang paling teruk. Undang-undang melarang pengambilan kanak-kanak di bawah umur 14 tahun tetapi memberikan beberapa pengecualian, seperti kerja ringan dalam perusahaan keluarga, kerja dalam hiburan awam, kerja yang dilakukan untuk kerajaan di sekolah atau di institusi latihan, atau bekerja sebagai perantis yang dibenarkan. Tidak ada umur minimum untuk terlibat dalam kerja-kerja ringan. Bagi kanak-kanak antara 14 hingga 18 tahun, tidak ada senarai yang menjelaskan pekerjaan atau sektor tertentu yang dianggap berbahaya dan oleh itu dilarang.

Kerajaan tidak menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang melarang buruh kanak-kanak. Mereka yang didapati melanggar undang-undang buruh kanak-kanak menghadapi hukuman yang tidak cukup berat untuk menghalang pelanggarannya.

Buruh kanak-kanak berlaku dalam sesetengah perniagaan keluarga. Buruh kanak-kanak di kawasan bandar adalah perkara biasa dalam sektor ekonomi tidak formal, termasuk perniagaan makanan keluarga dan pasar malam, dan dalam industri kecil-kecilan. Buruh kanak-kanak juga dapat dilihat dalam kalangan pembantu rumah asing.

Pertubuhan NGO melaporkan bahawa kanak-kanak tanpa kerakyatan di Sabah adalah lebih terdedah pada eksploitasi buruh dalam pengeluaran minyak sawit, terpaksa mengemis, dan bekerja dalam industri perkhidmatan, termasuk restoran. Walaupun Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang melaporkan jarang menemui kanak-kanak terlibat dalam kerja ladang di Semenanjung Malaysia, terdapat laporan kejadian buruh kanak-kanak di ladang kelapa sawit di seluruh negara. Eksploitasi seks komersial kanak-kanak juga berlaku (lihat bahagian 6, Kanak-kanak).

Lihat juga “Senarai Barangan Dikeluarkan oleh Buruh Kanak-kanak atau Buruh Paksa di laman Jabatan Buruh A.S.https://www.dol.gov/agencies/ilab/reports/child-labor/list-of-goods.

d. Diskriminasi Berkenaan Kerja atau Pekerjaan

Undang-undang tidak melarang diskriminasi berkenaan dengan pengambilan pekerjaan. Namun Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja boleh menyiasat diskriminasi dalam terma dan syarat pekerjaan untuk kedua-dua pekerja asing dan tempatan. Ketua Pengarah boleh mengeluarkan arahan yang perlu kepada majikan untuk menyelesaikan tuduhan diskriminasi dalam pekerjaan. Walau bagaimanapun, tidak ada penalti di bawah undang-undang untuk diskriminasi sedemikian.

Majikan diwajibkan untuk menyiasat kebanyakan aduan gangguan seksual dengan cara yang ditetapkan. Kumpulan advokasi seperti Persatuan Peguam-Peguam Wanita menyatakan peruntukan ini tidak cukup menyeluruh untuk memberikan bantuan secukupnya kepada mangsa.

Diskriminasi dalam pekerjaan dan kerja berlaku berhubung dengan wanita; anggota rakyat, kaum, dan etnik minoriti; dan orang kelainan upaya. Satu kod amalan menjadi panduan semua agensi kerajaan, majikan, persatuan pekerja, pekerja, dan lain-lain berkenaan dengan penempatan orang kelainan upaya dalam pekerjaan sektor swasta. NGO hak kelainan upaya melaporkan majikan enggan menggaji orang kelainan upaya. Peraturan mewajibkan satu peratus daripada pekerjaan sektor awam diberikan kepada orang kelainan upaya.

Pekerja asing mesti menjalani ujian mandatori untuk lebih daripada 16 penyakit serta kehamilan. Majikan boleh segera mengusir pekerja hamil atau sakit. Pekerja asing juga menghadapi diskriminasi pekerjaan (lihat bahagian 7.b dan 7.e). Majikan boleh secara satu pihak menamatkan permit kerja, yang menyebabkan pekerja asing segera diusir.

Wanita mengalami diskriminasi ekonomi dalam akses kepada pekerjaan. Majikan secara rutin menanyakan status perkahwinan mereka semasa temu duga kerja. Persatuan Peguam-Peguam Wanita menyokong penggubalan rang undang-undang gangguan seksual yang berasingan yang mewajibkan majikan merangka dasar gangguan seksual. Undang-undang melarang wanita daripada terlibat dalam kerja bawah tanah, seperti dalam pembetung, dan menyekat majikan daripada mewajibkan pekerja wanita untuk bekerja dalam kerja industri atau pertanian antara 10 pm hingga 5 am atau untuk memulakan kerja harian mereka tanpa 11 jam rehat berturutan sejak tempoh kerja terakhir.

Kerajaan memperuntukkan kuota yang besar kepada majoriti bumiputera untuk jawatan dalam perkhidmatan awam persekutuan serta untuk permit dan lesen vokasional dalam pelbagai industri, yang secara ketara mengurangkan peluang ekonomi bagi kumpulan minoriti (lihat bahagian 6).

e. Keadaan Kerja Yang Boleh Diterima

Gaji minimum dikenakan kepada pekerja tempatan dan pekerja asing dalam kebanyakan sektor, kecuali perkhidmatan pembantu rumah (lihat di bawah). Kadar gaji minimum adalah kurang daripada garis pendapatan kemiskinan yang diterbitkan oleh Kementerian Kewangan di Sabah dan Sarawak.

Waktu kerja tidak boleh melebihi lapan jam sehari atau 48 jam seminggu, kecuali pekerja menerima bayaran lebih masa. Undang-undang menyatakan had untuk kerja lebih masa, yang berbeza mengikut sektor, tetapi ia memberikan pengecualian. Undang-undang melindungi pembantu rumah asing hanya berkenaan dengan gaji dan penamatan kontrak. Undang-undang mengecualikan mereka daripada peruntukan yang menetapkan satu hari rehat setiap minggu, kerja lapan jam sehari, dan kerja 48 jam dalam seminggu. Sebaliknya yang dipakai adalah perjanjian dua hala atau memorandum persefahaman antara kerajaan dan beberapa negara asal pekerja asing termasuk peruntukan untuk tempoh rehat, pampasan, dan syarat pekerjaan lain untuk pembantu rumah asing, termasuk larangan ke atas penahanan pasport.

Pada bulan Januari 2018, majikan bertanggungjawab membayar levi bagi pekerja asing mereka, langkah yang direka untuk melindungi pekerja asing yang berpendapatan rendah dan menggalakkan pengambilan pekerja tempatan. Sebelum ini majikan kerap melepaskan kos itu kepada pekerja dan menahan sebanyak 20 peratus daripada gaji tahunan pekerja untuk menampung levi.

Kementerian Sumber Manusia mula menguatkuasakan pindaan kepada Akta Agensi Pekerjaan Swasta (AAPS) pada tahun 2018. Langkah ini bertujuan untuk menjadikan kos perniagaan terlalu tinggi untuk agensi rekrut berskala kecil yang telah menjadi sumber penyalahgunaan pada masa lalu. Agensi pekerjaan kini perlu membayar sebanyak RM250,000 untuk mengendalikan perniagaan merekrut pekerja asing, peningkatan ketara daripada RM1,000 yang diperlukan di bawah AAPS asal. Di samping itu, agensi mesti mendapatkan nota jaminan bank sebanyak RM250,000 yang akan dicairkan (dan digunakan untuk kos penghantaran balik mangsa) jika didapati melanggar undang-undang. Di bawah pindaan baharu ini, agensi-agensi yang didapati beroperasi tanpa lesen menghadapi hukuman baharu yang berat, termasuk denda RM200,000 dan maksimum tiga tahun penjara, meningkat daripada denda RM5,000 sebelumnya.

Pekerja asing sering bekerja dalam sektor yang biasa berlaku pelanggaran, melakukan tugas berbahaya, dan tidak mempunyai akses bermakna kepada nasihat perundangan dalam kes-kes pelanggaran kontrak dan penderaan. Sesetengah pekerja mendakwa majikan memaksa mereka tinggal dalam keadaan yang tidak berperikemanusiaan dan mendera mereka secara fizikal. Majikan pembantu rumah kadangkala gagal untuk menghormati syarat-syarat pekerjaan dan menyebabkan pekerja didera. Majikan dilaporkan mengehadkan pergerakan pekerja dan penggunaan telefon mudah alih; menyediakan makanan dengan standard rendah; tidak memberikan masa rehat yang mencukupi; menyerang pekerja secara seksual; dan mengganggu dan mengancam pekerja, termasuk dengan pengusiran.

Undang-undang kesihatan dan keselamatan pekerjaan meliputi semua sektor ekonomi kecuali sektor maritim dan angkatan bersenjata. Undang-undang mewajibkan pekerja menggunakan peralatan keselamatan dan bekerjasama dengan majikan untuk mewujudkan tempat kerja yang selamat dan sihat, tetapi ia tidak menyatakan hak untuk mengeluarkan diri sendiri daripada keadaan berbahaya atau bahaya tanpa penalti. Undang-undang mengenai pampasan pekerja meliputi pekerja tempatan dan pekerja asing tetapi tidak memberi perlindungan kepada pembantu rumah asing.

Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang terdiri daripada wakil pekerja, majikan, dan kerajaan membuat dan menyelaras pelaksanaan langkah-langkah kesihatan dan keselamatan pekerjaan. Ia mewajibkan majikan untuk mengenal pasti risiko dan mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk menyediakan latihan keselamatan kepada pekerja, dan memaksa syarikat dengan lebih daripada 40 pekerja untuk menubuhkan jawatankuasa keselamatan pengurusan bersama pekerja.

Jabatan Tenaga Kerja Kementerian Sumber Manusia menguatkuasakan standard gaji, keadaan bekerja, serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Kerajaan tidak menguatkuasakan undang-undang secara berkesan. Bilangan pegawai penguat kuasa tenaga kerja tidak mencukupi untuk menguatkuasakan pematuhan dalam perniagaan dan isi rumah yang menggunakan khidmat pembantu rumah. Pegawai Jabatan Tenaga Kerja melaporkan mereka berusaha melakukan pemeriksaan kerja sekerap mungkin. Walau bagaimanapun, banyak perniagaan boleh beroperasi selama bertahun-tahun tanpa pemeriksaan.

Hukuman bagi majikan yang gagal mengikuti undang-undang bermula dengan kadar denda yang dinilai untuk setiap pekerja dan boleh dinaikkan kepada hukuman penjara. Majikan boleh dikehendaki membayar gaji dan denda. Jika mereka enggan mematuhi, majikan menghadapi denda tambahan setiap hari untuk upah yang tidak dibayar. Majikan atau pekerja yang melanggar undang-undang kesihatan dan keselamatan pekerjaan adalah tertakluk kepada denda, penjara, atau kedua-duanya. Penalti tidak mencukupi untuk menghalang pelanggaran.

Majikan tidak menghormati undang-undang mengenai upah dan waktu kerja. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia melaporkan bahawa bekerja 12, 14, dan 18 jam sehari adalah perkara biasa dalam industri makanan dan perkhidmatan lain.

Menurut statistik Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, 127 pekerja meninggal dunia, 3,491 mendapat kecacatan yang tidak kekal dan 131 hilang upaya kekal pada separuh pertama tahun laporan.