Ucapan Pembukaan di Mesyuarat Peringkat Menteri Inisiatif Lower Mekong

Secretary Pompeo participates in the Lower Mekong Initiative Ministerial meeting in Bangkok on August 1. (State Dept./Ron Przysucha)

KENYATAAN

Michael R. Pompeo, Secretary of State
Centara Grand
Bangkok, Thailand


SETIAUSAHA NEGARA POMPEO: Terima kasih, Menteri Luar. Saya ingin mengucapkan terima kasih, Thailand, kerana telah menganjurkan mesyuarat khas peringkat menteri ini sebagai tanda satu dekad Inisiatif Lower Mekong (LMI). Amerika Syarikat berasa bangga menjadi rakan kongsi selama 10 tahun, dan terima kasih atas usaha kita: 340,000 orang mendapat akses kepada air minuman yang lebih baik; 3,800 orang pegawai, guru, dan pelajar telah dilatih dalam bahasa Inggeris teknikal; 27,000 orang mendapat akses kepada sanitasi yang lebih baik; dan 70 pasukan teknikal telah menyokong usaha 45 projek memperbaik kemampanan infrastruktur.

Semua ini merupakan pencapaian sebenar, dan mereka telah membuktikan komitmen Amerika Syarikat dalam perkongsian dengan lima negara Mekong. Kami akan terus membantu melindungi kedaulatan dan keamanan negara anda, membantu mencapai kemakmuran ekonomi, dan melindungi budaya dan persekitaran yang kaya ini.

Kami berkongsi matlamat ini bersama ramai rakan serta rakan kongsi kami yang menumpukan perhatian kepada rantau ini, termasuklah rakan-rakan Lower Mekong, yang baharu sahaja hari ini mengeluarkan kenyataan peringkat menteri yang menggariskan pendekatan bersama dan berprinsip kita.

Tetapi baru-baru ini, saya minta maaf kerana terpaksa melaporkan bahawa kita telah menyaksikan beberapa kecenderungan yang membimbangkan. Kita telah menyaksikan meluasnya pembangunan empangan di hulu yang menumpukan kawalan aliran ke hiliran. Sungai tersebut telah berada pada paras terendah dalam tempoh sedekad – masalah ini dikaitkan dengan keputusan China untuk menutup air di hulu. China juga mempunyai rancangan untuk meletupkan dan mengorek dasar sungai. China telah mengendalikan rondaan sungai di luar wilayah mereka. Dan kita melihat wujud desakan untuk membentuk peraturan baharu berdasarkan arahan Beijing bagi mengawal sungai, sehingga melemahkan Suruhanjaya Sungai Mekong. Di samping itu, terdapat kumpulan penjenayah – ada antara mereka yang aktif di kasino dan zon ekonomi khas – menggunakan Mekong sebagai laluan utama mereka untuk menyeludup dadah, hidupan liar, malah manusia.

Bagi menghadapi cabaran ini dan cabaran lain, kita mestilah memantapkan kerjasama ini, dengan membina kerjasama baharu, dan mencari peluang kerjasama masa depan. Hari ini, saya dengan bangganya mengumumkan inisiatif baharu bagi membantu kita berbuat demikian.

Salah satu daripadanya ialah Kerjasama Kuasa Mekong Jepun-A.S., atau JUMP, yang akan membangunkan grid elektrik serantau dengan komitmen awal AS bernilai $29.5 juta. Kerjasama ini dibina atas dasar usaha besar yang telah dilakukan oleh kedua-dua kerajaan kita dalam sektor kritikal ini, dan ia juga akan meningkatkan sokongan kami kepada syarikat-syarikat A.S. yang bekerja di barisan penghantaran rentas sempadan.

Sukacita kami maklumkan bahawa Amerika Syarikat, sedang bekerjasama dengan ahli Kongres, merancang untuk menyediakan bantuan awal berjumlah $14 juta kepada negara-negara Mekong bagi menangani masalah jenayah transnasional dan penyeludupan. Inisiatif ini akan memberi sokongan kepada penguatkuasaan undang-undang, menyokong mangsa pemerdagangan orang, menghentikan aliran kewangan kepada peyeludup hidupan liar, dan membantu menentang pengembangan pengedaran methamphetamine dan aktiviti haram lain yang datang dari Segi Tiga Emas. Kami juga berharap inisiatif ini dapat memperkasakan usaha pencegahan jenayah rakan kongsi utama yang lain, termasuklah Australia.

Beralih ke bahagian lain, pada akhir tahun ini Amerika Syarikat akan mengadakan persidangan Indo-Pasifik mengenai pengukuhan pentadbiran sungai-sungai rentas sempadan. Perhimpunan ini akan meningkatkan sokongan pendekatan berasaskan peraturan yang telus untuk Mekong. Pada bulan November ini, di Forum Perniagaan Indo-Pasifik kedua di Bangkok, Amerika Syarikat menjangka akan melancarkan inisiatif baharu bagi membantu negara-negara Mekong dalam sektor infrastruktur, tenaga dan digital. Dan bersama Republik Korea, kami akan membiayai satu projek bersama dalam menggunakan imej satelit secara lebih berkesan untuk mengkaji corak banjir dan kemarau di Mekong. Inisiatif LMI kita juga akan melancarkan satu platform perkongsian data air Mekong yang baharu dan juga program impak awam LMI yang baharu. Dan Amerika Syarikat menyokong pemulihan semula strategi ACMEC. Tahniah kepada Thailand kerana memulihkan kembali usaha ini.

Akhir sekali, melangkah ke hadapan ke tahun 2020, kita akan menyaksikan Vietnam sebagai tahun pengerusi ASEAN memberi peluang terbaik membentuk kesinambungan dalam meningkatkan kemajuan kerjasama Mekong, termasuklah dengan menjadikan mesyuarat peringkat menteri tahunan ini lebih fokus, strategik dan berkesan. Negara-negara Mekong mempunyai rakan di Amerika Syarikat, dan mereka akan sentiasa menjadi sahabat. Terima kasih.

Paparan Ucapan Pembukaan di Mesyuarat Peringkat Menteri Inisiatif Lower Mekong disiarkan dahulu di Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Terjemahan ini disediakan sebagai ihsan dan hanya sumber asal dalam bahasa Inggeris yang dianggap sebagai berwibawa.

###