Taklimat yang Dirakam: Tentang Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN

Taklimat yang Dirakam:
Timbalan Setiausaha Negara
John J. Sullivan
Tentang Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN
27 September 2018

TUAN PALLADINO:  Terima kasih semua kerana sudi hadir.  Kita bertuah pada hari ini dengan kehadiran Timbalan Setiausaha Negara John Sullivan yang akan bercakap tentang Mesyuarat Menteri-menteri Persatuan Negara-negara Asia Tenggara serta keutamaan Amerika Syarikat di rantau ini.  Timbalan Setiausaha Sullivan akan bermula dengan beberapa ulasan dan kemudian kita akan dapat memberi ruang kepada beberapa soalan.  Taklimat hari ini dirakamkan, tanpa kamera dan disekat sehingga selesai.

Timbalan Setiausaha Sullivan, dipersilakan.

TIMBALAN SETIAUSAHA SULLIVAN:  Terima kasih, Robert.  Selamat tengah hari semua.  Terima kasih atas pengenalan tadi dan terima kasih kerana memberi peluang kepada saya bercakap beberapa minit kepada anda, terutama tentang Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN yang dipengerusikan bersama oleh saya.  Kami telah bermesyuarat di sini.  Mesyuarat telah dipengerusikan bersama dengan menteri luar Laos, Menteri Luar Saleumxay, yang menjadi penyelaras negara bagi Amerika Syarikat – hubungan Amerika Syarikat dengan ASEAN bagi tiga tahun yang akan datang.

Dan saya telah bertemu dengan para perwakilan dari kesemua 10 buah negara anggota ASEAN.  Kami mengesahkan perkongsian strategik A.S.-ASEAN dan membincangkan A.S. – komitmen A.S. terhadap rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka dengan ASEAN berada di tengah-tengah sebagai pusat di mana negara-negara merdeka dengan pelbagai budaya dan aspirasi dapat bersama-sama mencapai kemakmuran dalam suasana yang bebas dan aman.

Semasa mesyuarat saya telah membangkitkan tentang komitmen A.S. untuk menegakkan undang-undang antarabangsa termasuk kebebasan untuk belayar di Laut China Selatan.  Kami turut membincangkan usaha ASEAN untuk melaksanakan sepenuhnya resolusi Majlis Keselamatan PBB berhubung Korea Utara.

Kami telah berkongsi banyak kejayaan sepanjang kerjasama A.S.-ASEAN selama 41 tahun yang lepas dan kami komited sepenuhnya untuk mengukuhkan lagi hubungan ini semasa Sidang A.S.-ASEAN dan Sidang Para pemimpin Asia Timur di Singapura pada 15 November.

Seterusnya saya membuka peluang kepada anda semua untuk menanyakan soalan.

TUAN PALLADINO:  Kita mulakan dengan Bloomberg, Nick Wadhams.

SOALAN:  Terima kasih.  Terima kasih, Tuan Setiausaha.  Boleh tuan nyatakan suasana di bilik persidangan? Wujud perpecahan di Majlis Keselamatan pada hari ini tentang sama ada sekatan terhadap Korea Utara perlu diteruskan atau dihentikan.  Terdapat beberapa laporan dari rantau Asia Pasifik bahawa negara-negara Asia berkongsi pandangan China bahawa perlu ada pendekatan berperingkat terhadap Korea Utara dan bahawa sokongan terhadap pendekatan tekanan yang maksimum oleh A.S. telah menjadi semakin lemah; banyak negara yang mahukan sekatan ditamatkan.  Apakah mod daripada para pegawai yang telah berbincang dengan anda?

TIMBALAN SETIAUSAHA SULLIVAN:  Sebenarnya itu bukanlah pandangan yang dinyatakan oleh negara-negara yang bertemu dengan saya hari ini.  Kami membincangkan keperluan untuk meneruskan resolusi Majlis Keselamatan PBB.  Kita bukan bercakap tentang keputusan Amerika Syarikat tetapi ini merupakan resolusi Majlis Keselamatan PBB yang telah diterima dan perlu dikuatkuasakan.  Dan tiada percanggahan dengan kedudukan yang saya ketengahkan, di mana semua negara – semua negara yang mahukan keamanan dunia, ke arah penghapusan senjata nuklear di Semenanjung Korea – sewajarnya menguatkuasakan sepenuhnya resolusi Majlis Keselamatan ini.

TUAN PALLADINO:  Kita teruskan soalan daripada David Brunnstrom dari Reuters.

SOALAN:  Terima kasih.  Boleh tuan jelaskan situasi berbanding dengan rangka masa bila tuan mahu melihat penghapusan senjata nuklear dilaksanakan? Jabatan Negara telah membuat kenyataan yang mengatakan menjelang 2021, tetapi Tuan Presiden semalam nampaknya menyatakan bahawa tiada rangka masa untuk penghapusan senjata nuklear.  Adakah rangka masa sudah tiada atau masih diteruskan untuk 2021?

TIMBALAN SETIAUSAHA SULLIVAN:  Setahu saya daripada perbualan dengan Setiausaha Pompeo bahawa beliau sedang berusaha dengan seberapa gigih yang boleh bersama dengan rakan-rakan sekerja kami dari pelbagai agensi untuk mencapai penghapusan senjata nuklear dengan seberapa cepat yang boleh.  Ulasan oleh Tuan Presiden semalam bagi saya menunjukkan skop cabaran yang kami hadapi.  Saya akan – Tuan Presiden telah berkongsi pendapat beliau tentang perkara ini dan saya menyokong beliau dengan sepenuhnya.  Saya berpendapat cabaran yang akan dihadapi adalah besar.  Setiausaha Negara bersama dengan pelbagai agensi sedang gigih berusaha untuk mencapai penghapusan senjata nuklear seberapa cepat yang kami boleh.

SOALAN:  Boleh saya membuat susulan terhadap soalan Nick?

TIMBALAN SETIAUSAHA SULLIVAN:  Boleh.

SOALAN:  Jadi apabila anda berkata bahawa anda telah mendengar – bahawa anda tidak mendengar sebarang pendapat yang berbeza daripada segi menguatkuasakan sekatan yang sedia ada, maksud saya, salah satu idea yang dibawakan oleh Rusia dan China ke mesyuarat Majlis Keselamatan pada hari ini – pihak Rusia terutamanya bercakap tentang pengecualian bagi sesetengah projek yang telah dipersetujui bersama oleh pihak Utara dan Selatan, dan pihak China bercakap tentang memudahkan keadaan di sempadan.

Tetapi adakah anda berkata bahawa negara-negara ASEAN, sama juga seperti anda, turut sama menentang kedua-dua pendapat? Dan pada tanggapan saya – saya hanya mahu membuat kepastian – bahawa A.S. menentang kedua-dua idea sehinggalah terdapat perubahan sebenar atau penghapusan senjata nuklear, betul?

TIMBALAN SETIAUSAHA SULLIVAN:  Sudah tentu.  Soalan ini ada dua bahagian.  Resolusi Majlis Keselamatan PBB yang kami mahu kuatkuasakan tidak menyediakan sebarang pengecualian tersebut.  Kami tidak bersetuju dengan pengecualian ini.  Perbincangan yang kami adakan hari ini dengan – di mesyuarat menteri-menteri ASEAN, apa yang saya katakan adalah bahawa saya tidak mendengar daripada negara-negara anggota tentang sebarang sokongan terhadap pengecualian tersebut atau mana-mana pengecualian. Ini bukanlah bermakna mereka telah membuat kenyataan pengesahan kepada saya bahawa mereka akan sama-sama membuat tentangan.  Saya tidak mahu mengeluarkan pendapat bagi pihak mereka, tetapi perkara ini tidak dibangkitkan semasa mesyuarat yang saya menjadi pengerusi bersama pada hari ini.

SOALAN:  Terima kasih.

TUAN PALLADINO:  Ya, tuan.  Di belakang sana.

SOALAN:  Ya.  Kami telah mendengar ulasan Perdana Menteri Mahathir yang berucap semasa CFR semalam dan pagi ini di Persatuan Asia.  Apakah sebenarnya yang anda jangkakan daripada negara-negara ASEAN berhubung dengan Laut China Selatan? Adakah terdapat sesuatu yang mereka boleh lakukan?

TIMBALAN SETIAUSAHA SULLIVAN:  Bagi Laut China Selatan.  Ini merupakan topik lain yang kami bincangkan hari ini di mesyuarat menteri-menteri dan saya rasa wujud kesepakatan dalam kalangan anggota di bilik mesyuarat bahawa, semua orang bersetuju, terdapat pertikaian tuntutan di Laut China Selatan.  Apa yang dicari oleh setiap negara anggota dan Amerika Syarikat adalah resolusi tuntutan bukan secara sebelah pihak oleh sebuah negara tetapi bawah norma-norma undang-undang antarabangsa.

Bangkangan kami terhadap apa yang telah dilakukan oleh kerajaan China di Laut China Selatan bukanlah kerana kami merasakan bahawa kami membuat keputusan yang China mempunyai tuntutan terhadap ciri tertentu Laut China Selatan atau tidak.  Kami mahu undang-undang antarabangsa dipatuhi dan wujud proses yang aman, dan bukannya keputusan sebelah pihak oleh sebuah negara, untuk menyelesaikan tuntutan tersebut yang melibatkan beberapa buah negara yang berlainan – Filipina, Vietnam dan sebagainya, Malaysia.

SOALAN:  Tetapi terdapat banyak pertentangan pendapat.  Tiada konsensus yang wujud dalam kalangan negara-negara ASEAN berhubung dengan China.  Adakah anda lihat perkara ini berlaku? Adakah ini – adakah ini persepsi anda?

TIMBALAN SETIAUSAHA SULLIVAN:  Pertentangan pendapat berhubung dengan apa?

SOALAN:  Maksud saya, tiada persetujuan dalam berurusan dengan China.

TIMBALAN SETIAUSAHA SULLIVAN:  Berhubung dengan Laut China Selatan?

SOALAN:  Ya.

TIMBALAN SETIAUSAHA SULLIVAN:  Perbincangan saya – sebagai contoh, saya bertemu – saya telah bertemu dengan beberapa – secara dua hala dengan beberapa buah negara ASEAN sepanjang minggu saya berada di UNGA. Bagi saya wujud satu persetujuan, satu komitmen oleh ASEAN dan Amerika Syarikat berhubung dengan peraturan undang-undang, perjanjian Undang-undang Laut, yang sepatutnya mentadbir tuntutan ini, pertikaian tuntutan di Laut China Selatan, dan bukannya tindakan sebelah pihak oleh sebuah negara untuk membangunkan ciri-ciri di Laut China Selatan, malah lebih teruk lagi untuk menempatkan angkatan tentera di sana.

TUAN PALLADINO:  Kita teruskan – Carol, silakan. Washington Post.

SOALAN:  Terima kasih. Adakah terdapat perbincangan tentang kesan daripada perang dagang A.S. dengan China, dan adakah perkara ini dibangkitkan sama sekali tentang apakah yang menjadi campur tangan pilihan raya? Sudah tentu ada negara-negara lain di ASEAN yang meletakkan iklan di akhbar-akhbar Amerika. Adakah wujud kebimbangan bahawa mereka mungkin dituduh campur tangan dalam pilihan raya?

TIMBALAN SETIAUSAHA SULLIVAN:  Kami tidak membincangkan campur tangan pilihan raya itu sendiri semasa mesyuarat menteri-menteri yang saya hadiri.  Kami ada berbincang tentang nilai-nilai teras yang dikongsi oleh Amerika Syarikat dan ASEAN, iaitu komitmen terhadap sistem perdagangan bebas dan saling timbal balik yang melayani negara-negara secara adil dan – berhubung dengan soalan khusus campur tangan dalam pilihan raya, hal ini tidak dibangkitkan semasa mesyuarat ini. Ini bukan bermakna isu ini tidak penting tetapi masa tidak mencukupi dengan pelbagai isu yang perlu diliputi dalam mesyuarat selama 90 minit.

TUAN PALLADINO:  Voice of America. Voice of America? Saya hanya meneka.

SOALAN:  Voice of America?

TUAN PALLADINO:  Adakah anda?

SOALAN:  Wall Street Journal.

TUAN PALLADINO:  Wall Street Journal.  Satu lagi.

TIMBALAN SETIAUSAHA SULLIVAN:  Boleh juga.

TUAN PALLADINO:  Satu lagi.  (Ketawa.) Baiklah —

SOALAN:  Tidak berapa tepat.

TIMBALAN SETIAUSAHA SULLIVAN:  Catatan harian impian Amerika.

TUAN PALLADINO:  Baiklah, saya minta maaf.  Silakan.

SOALAN:  Ini bergantung bagaimana anda melihatnya.

Jadi berhubung dengan Korea Utara, apakah yang sanggup ditawarkan oleh A.S. sebagai pertukaran dengan deklarasi aset? Ini kerana tanggapan bahawa sebagai sebahagian daripada rundingan tentunya ada timbal balik, jadi apakah yang A.S. akan berikan bagi membalas deklarasi ini? Dan juga, bagaimanakah caranya untuk anda meneruskan kempen tekanan maksimum apabila anda berhadapan dengan Rusia dan China yang kini secara terbuka menggunakan platform PBB untuk menyeru pengurangan sekatan?

TIMBALAN SETIAUSAHA SULLIVAN:  Bagi soalan pertama, saya tidak akan membincangkan strategi rundingan Setiausaha Pompeo dan apakah yang kami sediakan atau tidak sediakan sebagai tawaran atau perbincangan.  Apa yang saya akan tekankan adalah komitmen kami terhadap resolusi Majlis Keselamatan PBB, pelbagai resolusi yang diterima secara sebulat suara oleh Majlis Keselamatan – bahawa apa yang kami lakukan adalah menyatakan bahawa semua ini perlu dikuatkuasakan.

TUAN PALLADINO:  Adakah kita ada wakil dari negara Asia Tenggara yang mahu bertanya soalan, kalau ada? Ya tuan.

SOALAN:  Sudah tentu.

TUAN PALLADINO:  OK. Baiklah.

SOALAN:  Dia bukan dari Asia Tenggara. (Ketawa.) Anda dari mana satu? Singapura? (Ketawa.)

SOALAN:  Saya dari (tidak boleh dengar) Asia Tenggara.

TUAN PALLADINO:  Bagus. Baiklah. Teruskan.

SOALAN:  Perubahan topik.

TUAN PALLADINO:  Baiklah.

SOALAN:  Saya mahu bertanyakan anda tentang Myanmar.

TIMBALAN SETIAUSAHA SULLIVAN:  Ya.

SOALAN:  Isu Rohingya dan sejauh mana perkara ini dibincangkan semasa mesyuarat.  Saya tahu bahawa Tuan Setiausaha telah mengadakan pertemuan dengan Myanmar pada hari ini.  Apakah – adakah anda lihat sebarang kemajuan dalam menyelesaikan isu Rohingya daripada segi resolusi membawa pulang sebahagian daripada pelarian? Apakah pendirian A.S. semasa perbincangan ini dan apakah reaksi daripada anggota ASEAN secara keseluruhannya tentang membawa isu ini ke tengah?

TIMBALAN SETIAUSAHA SULLIVAN:  Seperti yang anda sedia maklum – Jabatan Negara telah mengeluarkan laporan awal minggu ini, laporan fakta tentang kekejaman yang telah dilakukan.  Dan Amerika Syarikat juga telah mengumumkan – saya percaya Duta Haley telah mengumumkan minggu ini tambahan – berjumlah $185 juta dalam usaha menangani krisis kemanusiaan yang timbul daripada masalah ini.  Ini membawa kepada jumlah sebanyak $400 juta yang telah dijanjikan oleh Amerika Syarikat bagi menangani situasi kemanusiaan yang buruk sebagaimana yang kita dapat lihat.  Ini merupakan bukti komitmen kami untuk melakukan perkara yang wajar bagi orang yang telah menerima layanan buruk serta membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

SOALAN:  Cuma – Robert, cuma susulan kepada perkara ini.

TUAN PALLADINO:  Baiklah, soalan akhir, PBS.

SOALAN:  Ya, saya mahu bertanya tentang laporan yang dikeluarkan pada hari Isnin, laporan fakta.  Laporan yang memperincikan pelbagai kekejaman tetapi laporan tersebut tidak menggunakan perkataan “genosid,” tidak menggunakan perkataan “jenayah terhadap kemanusiaan.”  Kenapakah tidak? Dan mengapakah laporan ini diterbitkan pada hari Isnin tanpa sebarang sidang akhbar, tanpa sebarang siaran media? Bagi kami ini kelihatan seperti sesuatu yang sengaja tidak dihebahkan. Adakah itu tujuannya?

TIMBALAN SETIAUSAHA SULLIVAN:  Saya akan – saya tiada apa-apa ulasan tentang cara laporan ini disiarkan.  Saya telah – diberikan taklimat tentang persediaan laporan.  Laporan – secara asasnya adalah pemeriksaan forensik tentang apa yang berlaku, laporan fakta tentang apa yang telah berlaku.  Tiada pertimbangan undang-undang yang dinyatakan dalam laporan kerana ini bukanlah tujuan laporan.  Saya tahu bahawa terdapat perbincangan sama ada untuk menggambarkan gambaran undang-undang tentang apa yang telah berlaku.  Saya sedar bahawa Setiausaha Tillerson telah mengklasifikasikan peristiwa ini secara minimum sebagai pembersihan etnik, dan laporan yang diterbitkan merupakan keterangan fakta tentang apa yang berlaku.  Dan kami sedang berusaha ke arah menghukum mereka yang bertanggungjawab, termasuk memanggilnya sebagaimana yang anda syorkan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan atau genosid.

SOALAN:  Maka untuk kepastian, tiada keputusan untuk tidak – anda menyatakan tiada keputusan untuk tidak menggunakan gelaran tersebut?

TIMBALAN SETIAUSAHA SULLIVAN:  Hal ini tidak disebut oleh laporan.

SOALAN:  Baiklah.

TUAN PALLADINO:  Timbalan Setiausaha Sullivan, terima kasih kerana sudi hadir pada hari ini dan terima kasih semua atas kedatangan dan sekatan telah dibuka.

TIMBALAN SETIAUSAHA SULLIVAN:  Terima kasih.

# # #