ANTONY J. BLINKEN, SETIAUSAHA NEGARA
Saya ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan kepada mereka yang menyambut bulan suci ini.
Bagi Muslim di Amerika Syarikat dan di luar negara, bulan suci Ramadan merupakan masa untuk beribadah dan bermuhasabah, masa untuk diraikan bersama keluarga dan masyarakat, serta memperingati dan beramal bakti kepada mereka yang kurang bernasib baik dengan penuh belas kasihan dan keterbukaan.
Ia juga merupakan masa untuk bertindak atas tanggungjawab kolektif kita bagi membantu mereka yang memerlukan, termasuk mereka yang dibelenggu kemiskinan, penganiayaan, konflik dan bencana alam. Muslim di seluruh dunia juga akan menyambut bulan ini melalui amal bakti dalam komuniti mereka. Atas semangat ini, banyak kedutaan dan konsulat kami di luar negara akan menganjurkan majlis berbuka puasa dan acara lain untuk berkongsi tradisi indah bulan Ramadan dan menunjukkan komitmen kami untuk mempromosikan perpaduan sosial, keterangkuman dan kepelbagaian dalam komuniti kita. Perbincangan ini mendukung harapan kita bersama untuk keamanan dan maruah semua orang.
Kami merakamkan penghargaan yang mendalam atas perkongsian berpanjangan kami dengan pelbagai komuniti di seluruh dunia Islam dan kekal komited untuk mempromosikan kebebasan beragama untuk semua, di dalam dan di luar negara. Saya mengucapkan selamat menyambut Ramadan Kareem kepada 1.8 bilion Muslim di seluruh dunia.
###