KENYATAAN AKHBAR
ANTONY J. BLINKEN, SETIAUSAHA NEGARA
20 APRIL 2023
Bagi pihak Jabatan Negara dan rakyat Amerika, kami ingin mengucapkan Selamat Hari Aidilfitri kepada umat Islam di Amerika Syarikat dan di seluruh dunia yang menyambutnya.
Pada hari gembira ini, komuniti meraikan manfaat hubungan kerohanian, kemasyarakatan dan kemanusiaan yang mendalam yang mereka boleh temui selepas sebulan berpuasa semasa Ramadan, bulan untuk merenung, menolong orang dan beramal.
Apabila keluarga dan komuniti berkumpul untuk bersembahyang, berkongsi hidangan perayaan, dan memberi hadiah, ia memberi peluang untuk mengiktiraf kekuatan dan daya tahan yang terdapat dalam kepelbagaian budaya dan tradisi Muslim di seluruh dunia. Aidilfitri mengingatkan kita tentang kepentingan nilai-nilai belas kasihan, empati, dan perpaduan, yang merentasi agama dan negara. Hari ini menawarkan peluang untuk merenung komitmen bersama kita untuk membina komuniti yang aman dan makmur.
Dalam kita meraikannya, jangan kita lupakan mereka yang tidak dapat berbuat demikian dalam keadaan selamat dan selesa di rumah mereka, akibat konflik, keganasan, penganiayaan, atau krisis kemanusiaan. Amerika Syarikat kekal tanpa berbelah bahagi dalam komitmennya untuk menggalakkan keamanan, keadilan, dan kebebasan beragama untuk semua. Kami mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri yang penuh berkat dan ceria. Eid Mubarak!