Malaysia Mengalukan Kumpulan Baru 100 Pembantu Guru Bahasa Inggeris Fulbright

Photo of Ambassador Yun speaking
Duta Besar Yun menyampaikan ucapan alu-aluan di majlis ETA bersama-sama dengan pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia – Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Madinah binti Mohamad dan Pengarah Datuk Dr Khair Mohamad Yusof. (Foto Kedutaan AS)

Pada 13 Januari, Duta Besar Joseph Yun telah menganjurkan majlis mengalu-alukan kumpulan baru 100 Pembantu Guru Bahasa Inggeris Fulbright (ETA) di kediamannya.  Majlis itu dihadiri oleh pegawai-pegawai utama daripada Kementerian Pendidikan Malaysia termasuk Ketua Setiausaha Datuk Dr Madinah binti Mohamad dan Ketua Pengarah Khair Mohamad Yusof, Pengarah Eksekutif MACEE James Coffman, ahli-ahli Lembaga Pengarah MACEE, ahli-ahli parlimen, diplomat-diplomat, organisasi korporat, alumni, dan media.

Photo of Ambassador Yun speaking to English Teaching Assistants
Duta Besar Yun bercakap dengan Pembantu Guru Bahasa Inggeris. (Foto Kedutaan A.S.)

Dalam ucapannya, Duta Besar Yun mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran atas sokongan dan kerjasama mereka dalam program ETA, yang telah menjadi program keempat terbesar di seluruh dunia.  Beliau turut menambah bahawa program ETA adalah hasil langsung daripada perbincangan antara Perdana Menteri Najib dan Presiden Obama, dan direka untuk membantu mengukuhkan hubungan A.S.-Malaysia dan meningkatkan persefahaman.  Duta Besar Yun menggesa para peserta ETA yang baru tiba untuk mendedikasikan diri mereka membantu mengajar bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di seluruh Terengganu, Johor, Pahang, Perak, dan buat kali pertama, di Sabah dan Sarawak.

Dalam ucapannya, Datuk Madinah mengucapkan terima kasih kepada para peserta ETA atas komitmen mereka terhadap program ETA dan berkata, memandangkan Malaysia berusaha untuk menjadi negara maju menjelang 2020, adalah penting bagi guru dan pelajar di Malaysia menjadi lebih cekap dalam penggunaan bahasa Inggeris.  Beliau berharap para ETA boleh menterjemahkan kemahiran bahasa mereka kepada pelajar-pelajar mereka melalui aktiviti-aktivi kelab dan ko-kurikulum yang dijalankan dalam bahasa Inggeris.  Pada masa yang sama mereka mendapat pemahaman yang mendalam tentang budaya Malaysia dengan tinggal dan bekerja di bandar-bandar di enam negeri yang mengambil bahagian dalam program tersebut.  Datuk Madinah juga menekankan kepentingan meletakkan guru penutur asal berbahasa Inggeris di kawasan luar bandar, terutamanya di kawasan kurang maju di Malaysia di mana Bahasa Inggeris adalah amat diperlukan.