Flag

An official website of the United States government

Syarikat Malaysia dan A.S. Teroka Kerjasama dalam Penjagaan Kesihatan Digital dan Teknologi Perubatan
melalui Forum Perdagangan Maya Teknologi Perubat
4 MINIT DIBACA
Mei 28, 2021

U.S. Ambassador Brian McFeeters speakingProgram ini menonjolkan kerjasama kukuh A.S.-Malaysia dalam penjagaan kesihatan digital dan teknologi perubatan untuk memerangi penyakit tidak berjangkit dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan terkemuka.

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Adham Baba dan Duta Besar A.S. ke Malaysia Brian McFeeters bersama melancarkan program Malaysia Forum Perdagangan Maya Teknologi Perubatan Asia Tenggara pada 27 Mei 2021. Dianjurkan oleh Perkhidmatan Komersial A.S. dan rakan strategiknya, USA Healthcare Alliance, Forum Teknologi Perubatan menyediakan platform untuk syarikat A.S. dan Malaysia berkongsi amalan terbaik untuk memajukan pendigitalan industri penjagaan kesihatan Malaysia.

Forum Teknologi Perubatan dianjurkan dari 25 hingga 28 Mei dan disertai lebih 150 wakil industri dan pegawai kanan kerajaan dari Malaysia, Vietnam, Thailand, dan A.S. Di Malaysia, acara ini menampilkan penyelesaian digital inovatif, dan teknologi perubatan canggih daripada syarikat-syarikat A.S. yang dapat mencegah dan mengawal penyakit tidak berjangkit (contohnya penyakit kardiovaskular, diabetes, dan barah) dengan lebih baik di Malaysia. Para peserta, termasuk pengimport dan pengedar alat perubatan dan penyelesaian kesihatan IT, juga berpeluang bertemu secara langsung untuk membincangkan potensi perkongsian dalam penyelesaian penjagaan kesihatan digital untuk memastikan keadaan pesakit menjadi lebih baik.

Menteri Kesihatan, Dato’ Sri Dr. Adham Baba bercakap mengenai strategi Malaysia untuk mendigitalkan dan memodenkan sistem penjagaan kesihatan negara. Sejajar dengan matlamat Malaysia untuk menjadi satu destinasi pelancongan perubatan bertaraf dunia, penyedia perkhidmatan kesihatan merancang untuk terus berinovasi dan mendigitalkan infrastruktur penjagaan kesihatan mereka untuk memberikan rawatan terbaik untuk pesakit mereka. Syarikat A.S. berminat untuk meningkatkan kerjasama dengan Malaysia dalam mencapai perkara di atas, dan menyumbang kepada kadar pertumbuhan tahunan yang diramalkan sebanyak 9.2% hingga tahun 2025 dalam pasaran penjagaan kesihatan Malaysia.

Duta Besar A.S., Brian McFeeters berkata, “Kesihatan merupakan salah satu bidang di mana negara kita menghadapi cabaran bersama ketika kita memerangi penyakit tidak berjangkit, yang tetap boleh membawa maut dan mengubah kehidupan hari ini seperti yang berlaku sebelum pandemik. Acara hari ini berlangsung tepat pada masanya dan kami berharap ia dapat menjadi platform kepada pakar industri Malaysia dan Amerika untuk berkongsi amalan dan strategi terbaik untuk menguruskan penyakit tidak berjangkit dan memberi kesan hasil rawatan pesakit secara positif di Malaysia.”

Eksport A.S. menyumbang 22% keperluan pasaran perubatan dan pergigian di Malaysia pada 2019. Dengan sokongan Perkhidmatan Komersial A.S. Malaysia, syarikat-syarikat A.S. terus komited untuk meningkatkan kerjasama dengan pemain industri penjagaan kesihatan untuk menyediakan teknologi perubatan dan penyelesaian kesihatan digital yang memberi manfaat kepada Malaysia.

Perkhidmatan Komersial A.S. Malaysia mempromosikan eksport A.S., memudahkan pelaburan masuk ke A.S. dan menjalankan diplomasi komersial untuk menyokong kepentingan perniagaan A.S. Untuk maklumat lebih lanjut, sila lawati trade.gov/malaysia.