Program Fellowship Borlaug di Malaysia Beri Manfaat Penyelidikan kepada Industri Koko

A popular Class 1 clone variety in Malaysia called MCB C1 (U.S. Embassy/USDA-FAS Kuala Lumpur photo)
H.Ramba (MCB) dan S. Librea (FAS – Pengurus Kanan Program untuk Borlaug) berdiri di sebelah biji koko yang sedia untuk dijual kepada pengisar. (Foto Kedutaan A.S./ USDA-FAS Kuala Lumpur)

Baca tentang Program Fellowship Borlaug USDA yang menyokong penyelidikan untuk melawan penyakit dan serangga yang mengganggu pengeluaran koko Malaysia. Program terkenal di dunia ini menyokong kerjasama penyelidikan yang memberi impak terhadap keselamatan makanan, pengeluaran pertanian, dan pertumbuhan ekonomi.

Pada 21 Mac 2017, Pejabat Perkhidmatan Pertanian Luar Negara A.S. (USDA) Jabatan Pertanian A.S. (FAS) di Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur menjemput Sarah Librea, Pengurus Program Kanan Asia dan Amerika Latin dari ibu pejabat FAS di Washington, DC ke negara ini. Kumpulan itu melawat kemudahan penyelidikan Lembaga Koko Malaysia (MCB) di Perak untuk bertemu dengan dua penyelidik yang telah mengambil bahagian dalam Program Fellowship Borlaug 2015. Seorang peserta program menilai ekstrak tumbuhan herba daripada famili halia untuk mengawal pengorek lenggai koko yang menebuk lenggai koko untuk memakan tisu. Seorang lagi menyiasat peranan mikronutrien dalam melawan penyakit koko kulat VSD yang boleh membunuh benih muda yang terdedah serta pokok yang matang. Di makmal MCB, mereka berdua meneruskan penyelidikan yang dimulakan di bawah program Borlaug.

Malaysia sebelum ini merupakan antara 10 pengeluar utama koko. Walau bagaimanapun, dengan kos pengeluaran yang lebih tinggi, yang kini pada RM6,000/tan biji koko kering berbanding kurang daripada RM2000/tan biji kering sebelum ini, ladang koko telah dimusnahkan dan digantikan dengan pokok kelapa sawit yang lebih menguntungkan. Malaysia berada di tempat keempat di dunia dalam hibrid/aksesi dan mempunyai bank germplasma terbesar di Asia termasuk empat varieti koko Kelas 1 yang mampu mengeluarkan hasil yang tinggi dan buah yang besar. Malaysia mengimport 90% biji koko dari Indonesia. Terdapat enam pengisar di Malaysia yang memproses biji koko menjadi produk separuh siap seperti jisim koko, mentega, kek dan serbuk yang digunakan sebagai bahan dalam pembuatan makanan, minuman dan coklat. Mentega koko digunakan untuk produk bukan makanan seperti kosmetik, minyak koko, sabun, krim berasaskan koko, losyen kulit, glos bibir, gincu dan salap.

Perkhidmatan Pertanian Luar Negara, agensi hal ehwal luar USDA yang menghubungkan pertanian A.S. dengan dunia untuk meningkatkan peluang eksport dan keselamatan makanan global, menaja Program Fellowship Antarabangsa Sains dan Teknologi Pertanian Norman E. Borlaug (BFP) yang menyokong penyelidik, saintis dan pembuat dasar untuk kajian yang memberi kesan kepada keselamatan makanan, pengeluaran pertanian, dan pertumbuhan ekonomi. Institusi yang menjadi tuan rumah fellowship ini termasuk universiti bertaraf “land-grant”, USDA atau agensi kerajaan Amerika Syarikat lain serta pusat penyelidikan, institusi bukan berorientasi keuntungan, dan pusat penyelidikan pertanian antarabangsa.

Setiap fellowship menggunakan kira-kira US$40,000 daripada pembayar cukai A.S. dengan felow menghabiskan 12 minggu di Amerika Syarikat dan bekerja dengan saintis/mentor A.S. dalam bidang masing-masing. Mereka memperoleh teknik penyelidikan baru, mendapat pendedahan tentang perkembangan sains terkini dalam pelbagai bidang pertanian, memperoleh akses kepada makmal dan perpustakaan yang serba lengkap, dan belajar tentang perkongsian awam-swasta unik yang membantu membiayai penyelidikan pertanian dan sains. Mentor menyelaras latihan peserta Fellowship, dan melawat negara mereka setelah sesuatu program selesai untuk meneruskan kerjasama yang sudah terjalin.

Permohonan untuk Program Fellowship Borlaug 2018 dibuka pada bulan Oktober. Maklumat lanjut termasuk pautan kepada keutamaan negara dan permohonan boleh didapati di https://www.fas.usda.gov/programs/borlaug-fellowship-program.3